Saturday 31 December 2011

Selamat Menyambut Tahun Baru 2012!

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2012 kepada semua rakan, keluarga serta yang sudi membaca kiriman saya di dalam blog ini. Ini merupakan kiriman ucapan tahun baru kedua semenjak saya menulis blog ini.



Blog ini pada asalnya bertujuan bagi menjadi medium perkongsian aktiviti astronomi yang telah saya ceburi hampir 2 tahun. Dengan menulis blog ini, hobi astronomi dapat saya kekalkan sebagai hobi yang bermanafaat bagi saya. Boleh saya katakan, sebelum menceburi hobi astronomi, saya tidak mempunyai topik tetap untuk menulis.


Kini setelah hampir 2 tahun, saya merasakan tujuan utama saya menulis blog ini tercapai. Setiap kali saya melakukan cerapan, saya akan menulis berkenaan cerapan tersebut. Apabila berlaku peristiwa penting, saya juga akan menulis berkenaan dengannya. 

Saya kembangkan fokus blog ini kepada semua hobi utama saya termasuk, membaca, menonton drama korea, perbincangan isu semasa/politik, dan hobi-hobi minor seperti birdwatching dan mencerap awan. 


Sepintas lalu Little Hubble 2011

Pada awal tahun 2011, saya telah meletakan beberapa target dalam hobi astonomi serta blogging. Antaranya termasuk menulis berkenaan hal semasa serta menambah giatkan lagi aktiviti astronomi dan memperkembangkan nya di peringkat Kolej. Saya amat berbesar hati memandangkan saya ada menulis berkaitan isu tukar kerajaan dan negara kebajikan serta sedikit perasaan saya terhadap rusuhan di UK. Saya tidak banyak menulis isu politik di Malaysia, saya kurang menulis tentang isu-isu seperti ini kerana saya tidak cerdik dalam bidang berkenaan.

Ringkasan buku yang saya baca juga ada saya tuliskan, Front of the class, Memoirs Shamsiah Fakeh, serta Memoirs Ismael Beah ada saya kirimkan ringkasan serta pandangan. Tidak semua buku yang saya baca saya tulis ringkasan nya. 

Berkenaan dengan aktiviti astronomi bersama bakal pelajar saya, saya fikir kesibukan tugas mengajar serta pentadbiran akan menjadi penghalang utama saya memulakan kelab astronomi di tempat saya mengajar. Hakikatnya target tersebut masih belum dicapai bukan kerana sebab-sebab yang saya nyatakan, tetapi kerana saya sendiri masih belum di tempatkan di mana-mana kolej.  Jadi, saya dan rakan-rakan masih menunggu panggilan dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Kami sudah menunggu 6 bulan, barangkali kami akan terpaksa menunggu lebih lama. Semoga Allah memberi kekuatan kepada saya dan rakan-rakan untuk terus mengekalkan semangat kami untuk berkhidmat kepada rakyat.

Tahun 2011 saya fikir tahun terbaik saya dalam hobi astronomi. Bertemu dengan Prof Brian Cox ,Sir Patrick Moore dan Brian May di Astrofest merupakan pengalaman berharga. .Selain itu, cerapan yang saya lakukan semakin baik. Teknik rakaman gambar saya semakin baik. Walaupun menggunakan teknik afocal (teknik yang sangat amatur) saya berjaya merakam beberapa imej menarik ketika tahun 2011. Ini dapat dicapai dengan menggunakan teleskop 10inchi saya.

Dua gambar saya sumbangkan kepada Hotel Kompleks Falak Negeri Sembilan yang terletak di Port Dickson. Saya difahamkan gambar yang disumbangkan akan dipamerkan di Hotel berkenaan. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak hotel memberi peluang untuk gambar saya (yang di ambil dengan teknik yang sangat amatur) untuk di pamerkan di hotel berkenaan. Saya juga mengucapkan terima kasih atas saguhati yang diberi kepada saya.Pada mulanya agak keberatan untuk menghantar gambar saya memandangkan kualiti gambar yang kurang memuaskan serta saya kurang berpengalaman dalam mengunakan software bagi meningkatkan kualiti gambar. Namun saya fikir, tidak ada ruginya saya menghantar, sekiranya terpilih, ini membuktikan bahawa hobi astronomi tidak memerlukan kos serta peralatan rakaman yang mahal-mahal. 

Setelah menggunakan kaedah cuba jaya, saya berjaya menaikan resolusi gambar berkenaan dengan menggunakan software percuma. Berikut adalah gambar yang saya hantarkan kepada wakil Hotel Kompleks Falak Negeri Sembilan






Gambar Musytari (Jupiter) dan bulan nya Io menjadi gambar planet terbaik pernah saya rakam kan dalam hidup saya setakat ini. Bukan sahaja planet dan bulan, tetapi ciri seperti GRS dan barge pada Musytari amat jelas kelihatan. Imej tersebut saya rakamkan  ketika istiqbal( Opposition) Musytari 2011.

Manakala Gambar bulan yang saya ambil pada 7 November 2011 adalah gambar bulan paling menarik pernah saya rakam kan. Saya berjaya mencerap kawasan yang di panggil Lunar Libration Zone. Dua gambar ini merupakan pencapaian saya dalam hobi astronomi pada tahun 2011.

Target 2012


Dengan keadaan cuaca yang mendung akibat La Nina, saya tidak mempunyai target spesifik untuk tahun ini. Cuma saya akan kejar target yang gagal saya capai pada 2011, iaitu promosi bidang astronomi/falak kepada  pelajar. Insya'Allah jika di izinkan Allah dan di murahkan rezeki saya. Khuatir juga penempatan yang jauh menyukarkan saya membawa teleskop ke kolej.

Selain itu, saya akan cuba membaca banyak buku dari pelbagai genre. Barangkali akan saya tulis ringkasannya jika berkelapangan. Saya juga akan menulis laporan cerapan dengan lebih teratur. Saya tidak bercadang untuk menaik taraf peralatan, saya tidak fikir saya mampu dari segi ekonomi untuk berbuat demikian. Namun saya akan cuba menggunakan peralatan sedia ada semaksimum mungkin.

Tahun 2012 juga menjanjikan peristiwa astronomi yang menarik. Jika tidak ada aral saya mahu mencerap venus trasit pada tahun ini (dengan menggunakan projection technique) serta saya amat menanti Istiqbal Marikh tidak lama lagi. Semoga cuaca cerah dan jika berkelapangan saya akan menulis mengenainya.

Saya merancang, dan Allah juga merancangan, dan sebaik-baik perancangan adalah perancangan Allah swt. Saya berharap tahun 2012 merupakan tahun yang baik untuk aktiviti astronomi, serta tahun yang di beri keberkatan oleh Allah kepada semua rakyat Malaysia.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2012!!!  

Saturday 10 December 2011

Fenomena Librasi Bulan (bulan ''bergoyang'')

Post ini merupakan laporan dengan cerapan bulan yang saya lakukan pada 07 November 2011 yang lalu. Saya mempunyai suatu habit yang kurang baik dalam melakukan cerapan. Ini dimana apabila saya tidak menulis apa-apa pemerhatian cerapan ketika cerapan dilakukan, sebaliknya sibuk melakukan rakaman dan menulis laporan setelah tamat cerapan. Pada 07 November lalu, saya sebenarnya melakukan cerapan bulan, namun saya tidak menulis dan meneliti apa-apa dari cerapan 7 November sehinggalah pada penghujung bulan November. Di dalam post ini saya akan mengulas berkenaan cerapan, dan berkenaan dengan fenomena Librasi Bulan ( Lunar Libration)

Laporan 7 November 2011

Objek: Bulan
Cuaca: Berawan
Masa : Jam 2015
Teleskop: Orion XT10

Ada beberapa sebab yang mendorong saya untuk menulis laporan cerapan ini agak lewat. Hal yang demikian kerana cerapan pada 7 November merupakan satu cerapan pendek dan saya tidak berjaya merakam gambar yang berkualiti untuk laporan. Jadi saya rasa itu tidak baik dan saya teliti kembali semua gambar cerapan 7 November pada tarikh 23 November lepas. Sebenarnya saya dapati ada beberapa perkara menarik yang berjaya saya cerap. 

Rupes Liebig

Rajah 1:Mare Humorum dengan ciri lereng, diding bulat dan kawah.




Rajah 2:Gambar berlabel yang menunjukan Rupes Liebig
Di dalam artikle Geologi Bulan melalui teleskop dan binokular saya ada bercakap berkenaan dengan ciri yang di panggil sebagai scarp (lereng). Saya beri contoh Rupes Recta di dalam artikle itu. Pada cerapan kali ini, saya lihat sekali lagi ciri yang sama, kali ini di kawasan mare humorum. Rupes Liebig adalah lereng di bahagian barat mare Humorum. Ianya menjadi seakan sempadan di bahagian barat Mare. Ia berkepanjangan 180km dari utara ke selatan. Peralatan minimum yang boleh digunakan untuk memerhatikan ciri Rupes Liebig adalah teleskop 50mm. Nama Liebig diambil sempena nama Justus Von Liebig ahli kimia pada kurun ke 19 yang bertanggungjawab mencipta kaedah 'silvering method' dalam pembuatan cermin teleskop untuk astronomi( Virtual Moon Atlas).

Selain itu, ciri seperti Gassendi juga dapat dilihat. Ia merupakan diding berbentuk bulat dan ditengahnya terdapat puncak kawah, tetapi berlantai rata. Di dalam nya terdapat jaringan rilles yang di panggil Rimae Gassendi. (S.M Chong, Albert Lim dan P.S Ang, 2002)


Zon Librasi (Libration Zone)


Pada cerapan 7 November 2011 juga saya dapati saya berjaya merakam beberapa Mare yang berada di Zon Librasi, atau lebih mudah di katakan mare yang berada di bahagian belakang bulan (Far Side of the Moon). Di dalam laporan ini saya akan terangkan apakah itu Librasi dan bagaimana ia boleh berlaku. Berikut adalah gambar bulan pada 7 November 2011.

Rajah 3: Bulan pada 7 November. Perhatikan bahagian bawah gambar, terdapat 3 mare yang kelihatan di horizon (timur bulan).



Rajah 4: a) Mare Australe b) Mare Smythii c) Mare Marginis
Rajah 3 dan 4 masing-masing memperlihatkan 3 Mare yang berada pada zon librasi bulan. Mare ini cuma akan kelihatan pada masa-masa tertentu sahaja. Ini kerana ianya berada pada bahagian belakang bulan. Sila lihat Rajah 5 yang di ambil pada 9 April 2011 dimana kedudukan bulan pada orbit tidak membolehkan Maria ini kelihatan.
Rajah 5: Ke tiga tiga maria tidak kelihatan di sebelah kanan (timur) rajah 5 

Justeru, saya merasakan cerapan pada 7 November merupakan suatu perkara yang baru bagi saya. Selain dari Maria di zon librasi, dalam rajah 3, sinar kawah dari tycho dan copernicus amat jelas. kebanyakan kawah pada bulan tidak kelihatan (atau samar-samar) kerana bulan terang pada waktu berkenaan. Ini menyebabkan kontras pada kawah tidak dapat dilihat dan kawah seperti trio dalam rajah 5 tidak kelihatan dalam rajah 3.

Apa itu Librasi?

Librasi datangnya dari perkataan bahasa Inggeris Libration yang di Melayukan/di Indonesiakan. Namun Libration sendiri bukan asalnya perkataan Inggeris tetapi bahasa latin Libra (neraca). Neraca (seperti lambang Parti Barisan Nasional di Malaysia), boleh berayun (atas, bawah, depan dan belakang) pada titik pemegangnya (titik keseimbangan neraca). Justeru, perkataan Libration/Librasi menunjukan sifat bulan yang kelihatan berayun pada titik keseimbangannya apabila dilihat dari Bumi( David P Stern, 2003).

Umum mengetahui permukaan bulan yang menghadap bumi adalah sama setiap masa. Ini kerana tempoh putaran bulan pada paksinya sama dengan tempoh bulan mengorbit Bumi. Walaubagaimana pun mungkin ramai yang menyangka kita cuma boleh melihat 50% dari permukaan bulan. Librasi bulan membolehkan orang di Bumi melihat 59% permukaan Bulan dan cuma 41% sahaja yang tidak dapat di lihat.(Alexander Vandenbohede, 2005) Video di bawah merupakan simulasi librasi bulan yang berlaku sepanjang tahun 2011. 


Video: Simulasi Librasi Bulan sepanjang tahun 2011. Bulan kelihatan 'menari' setempat.(NASA)

Jenis-Jenis Librasi

Terdapat empat jenis librasi yang menyebabkan bulan kelihatan berayun dalam keadaan yang berbeza. Jenis-jenis librasi adalah seperti berikut. ( Alexander Vadenbohede, 2005)

1) Librasi Longitud (Libration in Longitude)

Librasi pada longitud adalah ayunan sisi bulan (seakan menggeleng kepala ke kiri dan ke kanan). Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, tempoh putaran bulan pada paksinya sama dengan temph masa bulan mengorbit bumi (seterusnya menyebabkan permukaan yang sama menghadap bumi).

Walaubagaimana pun, orbit bulan pada bumi bukan nya bulat, tetapi bujur. Justeru, kelajuan bulan mengorbit bumi tidak tetap, kadangkala perlahan dan laju.
Rajah 6: Lakaran orbit bulan serta kedudukan nya pada Apogee dan Perigee


Rajah 7: Kedua-dua kawasan gelap mempunyai luas yang sama. Masa yang di ambil untuk bulan/planet untuk melalui 1-2 dan 3-4 adalah sama.




Menurut hukum kepler ke 2, masa yang diambil oleh planet, untuk melalui kawasan yang sama luas (orbit membujur), adalah sama. Seperti dalam rajah 7, masa yang di ambil oleh planet untuk melalui 1-2 (Luas A) adalah sama dengan masa yang di ambil untuk planet melalui 3-4 (Luas A). Ini akan membuatkan kelajuan (speed) pada 1-2 lebih perlahan daripada kelajuan pada 3-4. (Zelik dan Gregory: 1998).

Ini bermakna, kelajuan bulan adalah lebih perlahan ketika di kedudukan Apogee, dan lebih laju ketika di kedudukan Perigee. Justeru, bahagian timur bulan akan lebih kelihatan ketika Perigee, dan bahagian barat bulan akan 'terpusing' jauh sedikit dari bumi.(Alexander Vadenbohede,2005)

2) Librasi Latitud (Libration in Latitud)


Jikalau librasi pada longitud adalah pergerakan sisi seakan menggeleng, librasi pada latitud pula pergerakan ke atas dan ke bawah seakan mengangguk. Ini bermakna, librasi pada latitud membolehkan pemerhati di bumi memerhati kawasan melepasi kutub utara dan selatan bulan.

Rajah 8: Lakaran kecondongan orbit bulan daripada ecliptic.



Librasi pada latitud di sebabkan oleh orbit bulan condong sebanyak 5 darjah daripada ecliptic. Selain itu, paksi putaran bulan juga condong sebanyak 1.5 darjah daripada orbitnya. Justeru, pada titik tertentu, kita boleh melihat lebih sebanyak 6 darjah melepasi kutub utara dan seterusnya pada titik yang lain, kita boleh melihat lebih daripada kutub selatan seperti lakaran dalam rajah 8.(Alexander Vadenbohede,2005)


3) Librasi Harian (Diurnal Libration)

Librasi ini di sebabkan oleh kesan paralaks. Ianya dipanggil berlaku setiap hari bergantung pada kedudukan pemerhati di Bumi. Librasi ini membolehkan pemerhati melihat lebih sedikit daripada bahagian timur bulan ketika bulan terbit, dan lebih sedikit daripada bahagian barat bulan ketika bulan tenggelam (rajah 9). Librasi jenis ini cuma memberikan kesan sebanyak 1 darjah sahaja kepada permukaan bulan yang boleh dilihat.(Alexander Vadenbohede,2005)
Rajah 9: Lakaran kasar bagi menerangkan librasi harian.
4) Librasi Fizikal (Physical Libration)


Librasi yang disebabkan oleh bentuk fizikal bulan adalah librasi yang tidak dapat dikesan oleh pemerhati di Bumi. Ini kerana librasi fizikal di sebabkan oleh bentuk bulan yang sedikit membonjol ke arah Bumi. Ini menyebabkan putaran bulan pada paksinya sedikit tidak sekata. Namun librasi fizikal amat kecil cuma 0.5'' sahaja dan ianya tidak akan dapat di kesan oleh pemerhati.(Alexander Vadenbohede,2005)

Kesimpulan

Mengapa kita perlu memerhati zon librasi pada bulan, sedangkan permukaan bulan telah dirakam dengan penuh detail oleh Lunar Reconnaissance Orbiter. Persoalan yang sama di ajukan oleh Alexander Vadenbohede di dalam e book nya, Observing the Lunar Libration Zones (yang juga merupakan rujukan utama saya dalam post kali ini). Antara sebab yang di beri adalah tidak ramai yang memerhati kawasan librasi ini, jadi untuk menjadi segelintir di antara peminat hobi astronomi adalah satu kepuasan. Selain itu beliau juga menekan kan beberapa ciri geologi yang menarik berada pada zon librasi.

Di awal e book nya juga, beliau ada memetik kata-kata Harold Hill, '' Many Look, Few Observe''. Ramai yang melihat bulan, sedikit kat memerhatikan bulan. Pada 7 November, saya tidak mencerap/memerhati bulan, tetapi sekadar melihat dan mengambil beberapa gambar. Akan datang saya perlu menjadi pemerhati yang baik.

Rujukan:

1) Alexander Vadenbohede, Observing the Lunar Libration Zones, 2005, m/s1-3, available at <http://users.telenet.be/lunar/jpeg/libratieboek.pdf>, 26 November 2011
2) Dr David P Stern, 4.b Libration of the Moon, 8 September 2003. <http://www-istp.gsfc.nasa.gov/stargaze/Smoon4.htm>, 26 November 2011
3) Michael Zelilik dan Stephen A. Gregory, Introductory Astronomy & Astrophysics 4th Edition, 1998, Thomson Learning, Inc, m/s 7-8
4)S.M Chong, Albert Lim dan P.S Ang, Photographic Atlas of the Moon, 2002, Cambridge University Press, m/s 52
5) Virtual Moon Atlas 5.1


Sunday 4 December 2011

Birdwatching: Blue-Tailed Bee-Eater 2

Ini hari kedua memerhatikan burung di belakang rumah akak saya. Tak merancang untuk memerhati burung pada hari ini. Tapi tadi cuaca sedikit baik dan saya dengar burung berkicauan. Jadi saya set up kan teleskop dan camera.

Berkenaan dengan nama tempatan burung ini. Saya tidak jumpa nama melayunya. Cuma saya rasa ianya sejenis raja udang. Walaupun artikel wikipedia di dalam bahasa inggeris membezakan kingfisher dan bee eater. Persamaan saintifik antara kingfisher dan bee eater adalah kedua-duanya daripada order coraciiformes. Entah mengapa saya merasakan sains disebalik haiwan dan unggas lebih sukar dari astronomi. 

Gambar yang saya ambil bukanlah berkualiti baik, tidak seperti gambar yang diambil menggunakan kamera dan lensa yang mahal. Saya cuma gunakan teleskop astronomi saya untuk memerhati hidupan liar. Ada baiknya dari menunggu awan yang sentiasa menyeliputi langit malam. Teknik fotografi adalah teknik yang sama saya lakukan untuk merakamkan planet. Berikut adalah gambar yang saya rakamkan pada hari ini.













Tunggul pohon yang sudah mati menjadi tempat burung ini hinggap. Di sekelilingnya terdapat banyak serangga berterbangan. Saya dapat lihat burung ini terbang dan mendapatkan serangga. Saya tidak berjaya merakam gambar burung dengan serangga, barangkali ada limitation dalam peralatan yang digunakan (teleskop tidak stabil, kamera perlahan etc).

Walaupun tidak sebaik kamera mahal saya berpuas hati dapat memerhati unggas hanya dari tingkap bilik tidur. Video rakaman burung ini akan saya muat naik nanti. Sekian.

Kemaskini:

Video rakaman pemerhatian burung 4/12/11


Saturday 3 December 2011

Birdwatching : Blue-Tailed Bee-Eater

7 hari sebelum gerhana bulan penuh 10 Disember 2011. Saya kini berada di Kuala Lumpur. Cuaca di Melaka tidak cerah pada petang dan malam hari. Begitu juga di Kuala Lumpur. Seperti mana ketika belajar di Twickenham, saya seronok memerhati burung-burung di dengan binokular. Di London, kadang-kadang, beri makan burung di tepi sungai thames. Ada post sebelum ini berkisar tentang aktiviti berkenaan.

Ini dikira post kedua berkenaan birdwatching yang saya kongsikan. Walaupun cuaca mendung dan musim tengkujuh, saya masih bawa juga teleskop Orion Maksutov Cassegrain 90mm saya. Ahhh, saya dapati ada habuk pada cermin utama. saya tidak pasti bagainama habuk boleh masuk kedalam tiub optik teleskop saya. Tapi saya percaya ianya tidak perlu di bersihkan kerana tidak menganggu imej.

Kali ini saya gunakan teleskop 90mm saya untuk tujuan melihat burung. Walaupun asalnya saya hendak merakam gambar monyet, tetapi monyet kelihatan seakan-akan tahu kehadiran saya. Mereka beredar sebaik teleskop saya siap untuk merakam telatah mereka.

Jadi saya teruskan dengan hidupan liar lain. Saya bernasib baik dapat merakam gambar seekor burung. Agak sukar merakam gambar hidupan liar menggunakan teleskop memandangkan mereka berkeliaran dan tidak duduk diam. Lokasi saya mengambil gambar adalah di belakang pangsapuri tempat akak saya menginap. Jadi, dari balkoni tempat menyidai baju saya lakukan aktiviti saya. Balkoni menghadap ke arah timur, saya fikir ia bagus untuk di gunakan sekiranya langit cerah 10 Disember nanti. Berikut adalah gambar yang saya rakam. Kualiti tidak memuaskan, cahaya kurang. Saya letakan kamera kecil Nikon Coolpix saya pada teleskop.



Saya teliti gambar yang saya rakam. Saya tidak punya pengalaman dalam meneliti unggas dan hidupan liar. Namun setelah melakukan sedikit carian dengan google. Saya yakin saya dapat mengenal pasti burung yang saya lihat petang tadi.

Burung berkenaan adalah Blue-Tailed Bee-Eater atau nama saintifiknya Merops Philippinus. Spesies burung ini banyak di sekitar asia tenggara. Ianya juga berhijrah dan pada musim tertentu dilihat di semenanjung India. Ciri yang dinyatakan di wikipedia adalah berwarna hijau dan terdapat belang hitam pada mata. saya fikir ciri ini sama dengan burung yang saya lihat melalui teleskop saya. Spesies burung ini dikira sebagai tidak terancam. Seperti namanya, burung ini memakan serangga seperti kumbang dan pepatung.

Walaupun objektif untuk merakam imej monyet di sekitar belakang rumah akak saya tidak kesampaian, namun saya berjaya merakam gambar burung melalui teleskop saya. Ini kali pertama saya menggunakan teleskop saya untuk aktiviti bukan astronomi. Harapanya langit yang mendung akan cerah pada 10 Disember nanti. Sekian.

Nota: saya gagal mendapatkan nama tempatan bagi burung ini. Asalnya saya ingatkan sejenis burung raja udang. Tapi saya rasa ianya berbeza.