Dalam bulan Jun-Julai Zuhal masih lagi boleh dicerap dan kecantikan gelang Zuhal memang tak dapat dinafikan. Walaubagaimanapun dengan set up yang saya ada sekarang, saya dah nampak perbezaan cerapan Zuhal ketika hampir dengan tarikh Istiqbal(opposition) dan apa yang saya cerap sekarang.
Saya tak dapat perhatikan Cassini Division ketika cerapan baru-baru ni. Mungkin ada beberapa sebab. Antaranya kedudukan Zuhal semakin jauh, atau mungkin seeing tak berapa baik pada tarikh saya lakukan cerapan. Pada asalnya saya jangkakan collimation teleskop dah lari, tapi lepas periksa teleskop, nampak tiada masalah. Saya akan buat star test pada masa akan datang.
Teleskop Newtonian
Teleskop jenis newtonian walaupun murah ada beberapa kelemahan. Antaranya pengguna perlu periksa collimation teleskop. Asalnya sebelum saya beli teleskop XT10 memang saya ambil kira perkara ini dan saya dapati collimation tidak sukar dilakukan.
Teleskop Newtonian bersaiz kecil (3-8inch) tidak memerlukan collimation yang kerap. Teleskop 10 inch berkemungkinan memerlukan collimation setiap kali ianya dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain (travel jauh).Tapi sepanjang saya guna, walaupun teleskop xt10 saya pernah travel dari birmingham ke Malaysia, kedudukan cermin dalam OTA tidak memerlukan collimation yang serius. Link untuk collimate teleskop boleh didapati di bahagian tepi blog saya.
Imej Zuhal
Walaupun gunakan teleskop Dobsonian (manual) saya tak terlepas dari ambil gambar. Teleskop Dobsonian tak sesuai untuk astrophotografi. Sepanjang tahun 2012, saya dah cuba ambil gambar Zuhal beberapa kali. Gunakan Dobsonian dan Orion Apex 90mm saya. Kedua-duanya tidak mempunyai sistem auto tracking. Sejak kebelakngan ini saya selalu lakukan cerapan dengan XT10. Berikut beberapa Imej yang saya dapati dalam tahun 2012.
Gambar 1 |
Gambar 2 |
Gambar 3 |
Gambar 4 |
Gambar 2 dan Gambar 3 diambil pada tarikh yang sama. Gambar 3 kelihatan secara tidak jelas titik berhampiran Zuhal. Perisian astronomi meyakinkan saya titik berkenaan adalah Titan, bulan Zuhal yang paling besar.
Terdapat perbezaan dari segi kualiti ke empat-empat gambar yang saya ambil. Perbezaan tersebut boleh disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah teknik yang saya gunakan untuk merakam gambar berkenaan. Saya menggunakan teknik Afocal, manual tracking. Jadi kadangkala imej yang dihasilkan memang akan berbeza hanya kerana cara saya letakan lens kamera compact saya pada eyepiece berbeza.
Kedua, mungkin disebabkan oleh cara saya edit gambar berkenaan. Kadangkala baik dan kadangkala kurang baik. Perhatikan perbezaan Gambar 1,2,3 dengan Gambar 4. Cassini Division hampir/langsung tidak kelihatan pada gambar 4. Secara visual pada tarik 17/06/2012 saya tidak dapat perhatikan Cassini Division.
Gambar 1 diambil ~sebulan sebelum tarikh opposition manakala gambar 2 dan 3 diambil lebih kurang 2 minggu selepas tarikh opposition. Cassini division dapat dilihat dibahagian tepi gelang kiri dan kanan. Secara visual ia lebih jelas. Berhampiran dengan tarikh opposition saya dapat rakamkan titan.
Seperti mana saya katakan sebelum ni, mungkin disebabkan cuaca, dan berkemungkinan besar disebabkan Zuhal dah semakin jauh dari bumi (saya rasa sebab kedua). Saya tak dapat lakukan cerapan selepas tarikh 17/06/2012 atas sebab cuaca. Secara visual Titan masih kelihatan pada kali terakhir cerapan saya (dan memang sentiasa kelihatan sepanjang tahun).
Encke Division
Saya ada baca secara teori teleskop 8inchi (ada yang kata 7inchi) berkualiti dapat digunakan untuk cerap Encke Division sekiranya keadaan cuaca yang sangat baik. Encke division berada paling luar dalam gelang Zuhal. Lebarnya lebih kecil dari Cassini Division (325km< 4800km).
Walaupun saya ada teleskop 10inchi yang berkualiti, saya tidak rasa saya dapat cerap Encke Division atas beberapa sebab. Antaranya, cuaca yang baik sukar didapati dan eyepiece yang saya ada tak cukup untuk cerap Encke Division. Saya perlukan eyepiece bermaknifikasi tinggi. Selain daripada itu, Encke division kecil dan memerlukan Zuhal untuk senget secara maksimum supaya dapat dilihat.
Selain daripada tu saya ada juga perhatikan imej yang diambil oleh DrRowi dari blog beliau tahun ini. Saya perhatikan Imej Zuhal yang beliau rakam tidak kelihatan Encke Division. Tiada laporan pemerhatian Encke Division secara visual oleh beliau (setahu saya). Peralatan yang Dr Rowi gunakan JAUH lebih hebat dari apa yang saya ada. Saya tak periksa laporan cerapan/imej En Shahrin berkenaan Zuhal.
Walaubagaimanapun saya lihat di FB page Damian Peach, imej Zuhal yang beliau rakam ada kelihatan Encke Division. (Kalau tak silap saya beliau ada rakam ribut di Zuhal juga). Damian Peach guna teleskop 14inchi dengan kamera/ccd yang canggih(dan mahal).
Nota: Division (Encke/Cassini) adalah kawasan kosong antara gelang-gelang Zuhal. Sebagai contoh Cassini Division memisahkan gelang A dan B planet Zuhal.
Musim
Jun-Julai bulan akhir untuk saya cerap Zuhal. Ini disebabkan Zuhal semakin menjauh. Musim cerapan Zuhal untuk saya dah hampir tamat. Lagipuun sejak transit venus baru-baru ini peminat astronomi dah mengalihkan pandangan kepada peristiwa berkenaan.
Musytari(Jupiter) pula dah mula terbit disebelah timur waktu subuh. Masih jauh dari tarikh opposition tapi gambar yang di kirim oleh Damian Peach baru-baru ni menunjukan sesuatu yang menarik berlaku pada Musytari. Jalur awan utara( Northen Equatorial Belt) Musytari kelihatan bergolak. Komen pada gambar Damian Peach mencadangkan perkara itu jarang berlaku dan tidak berlaku hampir 50tahun sebelum ini.
Sistem cuaca Musytari agak misteri dan menjadi tumpuan Ahli Astronomi professional dan Amatur. Jalur selatan(Southern Equatorial Belt) Musytari sebagai contoh kadang-kadang hilang hampir 2 tahun dan boleh muncul semula. Pada tahun 2010 saya cerap Musytari, SEB tidak ada. Ketika itu saya gunakan magnifikasi 48x sahaja (rendah). Imej saya rakam dengan kamera (handheld) menunjukan ketiadaan SEB. Hanya beberapa bulan selepas saya cerap, SEB muncul semula setelah 2 tahun menghilang. Yang menarik, Saintis tidak faham mengapa ia berlaku.
Penutup:
Saya gembira dengan teleskop yang saya ada. Cuma saya perlu akui saya perlu invest sedikit lagi untuk lengkapkan peralatan saya. Saya perlukan mount sesuai untuk Orion Apex 90mm, Eyepiece berkuasa tinggi (mungkin 10mm), dan finderscope baru (EZ finderscope yang dibuat dari plastic dah takbetul sangat). Buat masa ni saya kalau rosak teruk saya gunakan finderscope Orion Apex 90mm saya.
Berkenaan dengan Zuhal: kali pertama saya cerap Zuhal dengan XT10 adalah bulan Jun 2010. Hanya dengan magnifikasi 48x saya rasa saya nampak Cassini Division. Kawan yang hadir ketika cerapan sifatkan ciri yang kami nampak sebagai garisan hitam. dengan magnifikasi 48 sukar untuk saya sahkan apa yang kami lihat. Kini saya rasa itu bukan Cassini Division sebaliknya jalur pada permukaan Zuhal ataupun ruang antara gelang dengan planet. Namun pada cerapan saya tahun ini dengan magnifikasi 160x, saya boleh sahkan saya lihat cassini division dengan teleskop saya. Dan saya rakam imej planet berkenaan dengan lebih baik.
Tahun lepas saya sahkan saya boleh cerap GRS pada Musytari. Saya juga berjaya rakam gambar Musytari dengan GRS. Tahun ini saya berharap dapat cerap transit bulan planet Musytari. Kali terakhir cerap adalah Transit Io pada 2010. Itupun magnifikasi rendah jadi tak dapat saya nak pastikan. Kali ini harapnya berjaya.
Selain daripada itu, sekarang saya mula berjinak-jinak dengan DSO (Deep Sky Object). Selain Andromeda, Orion Nebula,Omega Centauri, dan Pleiades tak ada DSO lain yang saya cerap dengan Teleskop. Baru-baru ni saya scan langit dengan Bino, dan guna Stellarium untuk belajar kedudukan bintang dan DSO. Saya dapati Antares adalah bintang yang baik untuk saya jadikan rujukan untuk cerap DSO. Lagipun M4 berdekatan dengan Antares dan saya percaya saya perhatikan M4 dari bino 10x50 saya.
No comments:
Post a Comment