Saturday 29 October 2011

Pembetulan dan Perincian Laporan Cerapan 291011

Post kali ini adalah pembetulan dari Log Cerapan Ribut di Musytari, Bulan dan Andromeda semalam. Semalam saya melakukan cerapan pada planet Musytari. Dan saya tulis laporan menerangkan apa yang saya lihat iaitu Great Red Spot. Berikut adalah gambar berlabel hasil cerapan semalam.
Gambar 1: Ciri a dan ciri b pada Musytari di terangkan didalam post ini. NEB adalah Northern Equatorial Belt dan SEB adalah Southern Equatorial Belt

Di dalam Log Cerapan semalam, saya ada menekan kan ciri b pada Gambar 1. Saya secara tidak sengaja menyangka bahawa ciri b pada Gambar 1 merupakan Great Red Spot (GRS). Ini sekali gus mendakwa ciri b berada pada Southern Equatorial Belt (Jalur khatulistiwa selatan).

Walaubagaimanapun, setelah habis menulis Log Cerapan, saya teliti kembali gambar-gamber yang saya ambil. Saya tidak dapat mengenal pasti ciri a. Ketika itu saya menyangka ciri a berada di Northern Equatorial Belt(NEB). Jadi saya google NEB untuk mendapat maklumat berkenaan dengan jalur tersebut.

Barge

Apa yang saya temui ialah laporan cerapan mengatakan ternampak bintik hitam pada NEB. Baru saya sedar ciri b berada pada NEB sekaligus dan ciri b bukan GRS. Ciri b adalah keadaan yang dipanggil sebagai Barge pada Musytari. Ramai ahli astronomi amatur perasan ciri ini. Bahkan lebih dari satu barges boleh kelihatan pada NEB. Barge merupakan ribut pada NEB Musytari
Gambar 2: Ini adalah gambar 1 yang di zoom dan di edit. Kelihatan GRS di sebelah bawah dan Barge pada sebelah atas.

GRS
Ini menjadikan ciri a sebagai GRS. GRS adalah ribut besar pada permukaan Musytari. Saiz GRS amat besar dan boleh memuatkan 2-3 bumi. Ketika SEB hilang pada tahun 2010, GRS kelihatan lebih jelas.Saya akan cuba buat bacaan dan akan menulis berkenaan dengan Musytari untuk post bulan hadapan.

Kesimpulan
Pada asalnya saya fikir ciri b adalah bulan musytari. Namun, setelah diteliti, keempat-empat bulan berada di tempat lain. Lantas saya membuat kesimpulan awal bahawa ciri b adalah GRS. Ternyata saya silap, GRS yang sebenar adalah ciri a. Bahkan saya telah teliti laporan-laporan cerapan dari ahli astronomi amatur lain didalam forum-forum.

Apa yang membuatkan saya sangsi pada mulanya ialah ciri b agak gelap berbeza dengan GRS y saya lihat pada tahun 2010. Selain itu ciri a juga lebih mirip kepada GRS. Kesilapan besar kali ini adalah saya tersalah label antara NEB dan SEB. Selepas teliti artikel di internet dan buku, saya tahu kesilapan saya.

Ini membuktikan beberapa perkara penting dalam cerapan sebagai ahli astronomi amatur. Pertama, kepentingan forum sebagai bahan rujukan. Kedua, kepentingan Log Cerapan dalam hobi astronomi. Sekiranya saya tidak menulis log cerapan, saya tidak akan perasan apa pun yang saya lihat dan tidak akan perasan kesilapan saya. Log Cerapan penting!...

Semalam saya bukan sahaja nampak 1 ribut pada Musytari, tapi 2!!! sekian....

Ribut Pada Musytari, Bulan dan Andromeda

Tarikh: 29/10/11
Masa: 2030-2230
Objek: Musytari(Jupiter), Andromeda
Teleskop/Eyepiece: Orion XT10, 15mm Plossl, 2x Barlow, 35mm 2inch Q70 eyepiece
Cuaca: Sedikit berawan.

Post kali ini ringkas. 29/10/11 tarikh Istiqbal Musytari tahun ni. Bila Istiqbal, Musytari berada hampir dengan Bumi. Perkataan Istiqbal tu sendiri membawa makna ''perbuatan menghampiri sesuatu''. Jadi bila hampir, banyak ciri-ciri Musytari yang boleh di lihat. Ikut log cerapan semalam, Great Red Spot (ribut besar pada Musytari) tidak kelihatan.

Cerapan Tahun lepas juga, saya tulis nampak samar-samar. Masa tu saya tidak pakai barlow dan eyepiece 15mm lagi. Cuma pakai 25mm eyepiece sahaja. Tahun ini, Alhamdulillah saya yakin, dan mengesahkan bahawa dengan teleskop 10 inch, GRS boleh di cerap. Silapnya, saya tak bawa keluar teleskop Mak Cass 90mm. Tapi rasanya mungkin tak kelihatan dengan Teleskop kecil.

Kali pertama lihat GRS hari ni, mula-mula ingatkan moon transit. Tapi tengok keliling Musytari, ada je 4 bulan dia. Jadi tidak syak lagi itu GRS. Berikut adalah foto-foto Musytari yang diambil pada 29/10/11.Sila klik pada gambar untuk dibesarkan:
GRS pada South Eq Belt Musytari :)
Gambar lain yang di edit. Kelihatan seperti bintik hitam melalui teleskop
Io dan Musytari. GRS jelas kelihatan. Gambar terbaik setakat ini
Sebelum mencerap Musytari, saya sempat menghalakan teleskop kearah bulan. Bulan pada fasa bulan sabit terbenam awal. Selepas isyak ia sudah berada di balik pohon-pohon di kampung. Jadi tiada report penuh untuk bulan kali ini. Berikut adalah gambar bulan tadi, sekitar Jam2030.
Bulan Sabit hampir terbenam kelihatan dipucuk pokok di belakang rumah jiran

Setelah puas mencerap Musytari, dan berjaya merakam imej Musytari, saya mengeluarkan eyepiece Orion Q70 32mm 2inch eyepiece yang belum pernah saya guna. Saya halakan finderscope kearah buruj Cassiopeia. Kemudian dari situ saya sekali lagi cuba mencari Andromeda. Segan untuk saya mengaku, saya belum pernah dapat mencari Andromeda sebelum ini.

Namun, kali ini saya berjaya. Agak teruja juga. Banyak objek saya lihat malam ini. Andromeda melalui teleskop tidak seperti yang disangka. Tidak seperti gambar-gambar di internet. Tapi saya dapat mengenali nya.

Orion Nebula timbul lewat. Keadaan berembun, dan panas. Saya membuat keputusan untuk menamatkan cerapan pada kali ini. Cuaca yang cerah memberikan saya peluang untuk mencerap. Walaupun berawan, tapi awan tidak pula menutup Musytari.

Insya'Allah kalau cuaca mengizinkan dan kalau saya rajin, saya nak keluar mencerap Orion Nebula selepas tengah malam.Sekian.... :-)

Terdapat sedikit kesilapan dalam laporan cerapan ini. Pembetulan dan Perincian cerapan 291011 boleh di dapati di sini [link]

Friday 28 October 2011

Musytari (Jupiter) Menghampiri Bumi Bhg 2

Date: 28/10/11
Time: 2150-2250 hr
Location: Asahan Melaka
Object : Musytari (Jupiter)
Equipment: Orion XT10 Classic Dobsonian, 15mm Plossl Eyepiece, 2x Barlow, Nikon Coolpix 8Mp.
Weather: Cloudy

Post kali ini adalah berkaitan dengan cerapan saya pada malam semalam. Selepas saya post, berkenaan dengan awan dan time lapse etc, saya menjenguk ke luar rumah. Saya dapati keadaan berawan, namun apa yang baiknya ialah, Musytari masih jelas kelihatan walaupun sedikit malap akibat dilitupi awan nipis. Jadi saya bergegas mengangkat peralatan saya (Orion XT10). Tak tahu kenapa, tapi OTA rasa lagi berat dari 2 tahun lepas. Ini merupakan kali kedua saya mencerap menggunakan Orion XT10 di Malaysia. Cerapan pertama cuma bertahan kurang 1minit. Post kali ini juga merupakan kelangsungan dari post Musytari Menghampiri Bumi yang saya post beberapa minggu lepas.

Keadaan cuaca bukanlah yang terbaik, namun sejak 2-3 hari, langit sentiasa mendung, jadi walaupun berawan, saya teruskan juga cerapan. Hasilnya tidak mengecewakan, saya berjaya mencerap selama sejam. Gambar-Gambar dibawah adalah gambar yang sempat saya rakamkan semalam. Saya mengambil beberapa video Musytari dan kemudiannya di Proses menggunakan Registax (link download di sebelah kanan blog). Sila klik gambar agar lebih jelas.

Musytari 281011. Nothern and Southern Equatorial Belt jelas kelihatan.

Bulan Musytari, Europa(titik kecil atas) dan Musytari menari bersama :)

Musytari dan bulan nya Io (titik kecil)

Dari atas, Ganymede, Europa, dan Musytari

Imej terbaik saya setakat ini, selain North, and South Eq Belt, North n temperate and South s Temperate belt Juga kelihatan. Nothern dan Southern Polar region juga jelas..

Musytari dan bulan nya Io
Walaupun banyak ciri Musytari yang dilihat melalui gambar yang saya rakam, namun, bukan semua ciri yang saya lihat menerusi teleskop ada dalam gambar. Ini di sebabkan limitation kelengkapan fotografi serta teleskop saya yang bukanya dicipta untuk astrophotografi. 

Ada 4 bulan Musytari yang saya lihat pada malam itu. Kedudukan Ganymede, Europa, dan Io adalah seperti dalam gambar diatas. Manakala Callisto berada sedikit jauh dengan Musytari. Jadi agak sukar untuk saya rakamkan.

Selain itu, jalur pada musytari juga lebih jelas berbanding dengan gambar-gambar di atas. Imej Musytari sangat jelas dan terang. Walaupun terdapat ganguan dari atmosfera bumi, ianya merupakan imej terbaik pernah saya lihat menerusi teleskop.

Selain dari Musytari dan bulan-bulannya, saya juga melihat satu bintang tidak jauh dengan kedudukan Callisto. Bintang itu adalah HIP10310 bermagnitude 8.35. Kedudukan Musytari dan bulan-bulannya adalah seperti gambar dibawah. Gambar di bawah dihasilkan dengan menggunakan Stellarium
Dari atas, Ganymede, Europa, Musyatri, Io, Callisto dan bintang HIP10310.(dihasilkan dengan menggunakan Stellarium)
Imej-Imej yang dihasilkan adalah dari video yang diproses. Kesemua video saya letakan bersama pada laman youtube. Bulan-Bulan Musytari juga kelihatan dalam video. Keadaan atmosfera menyebabkan imej video tidak jelas, tidak seperti gambar yang di proses. Video berkenaan adalah seperti di bawah:



Kesimpulan:

Pada post yang lepas saya telah merancang untuk mencerap Musytari ketika Istiqbal, dan saya telah berjaya melakukan nya. Ketika saya menulis log ini, cuaca mendung. Saya tidak fikir cuaca seperti semalam mudah di dapati ketika musim hujan begini. Saya bukan sahaja berjaya mencerap, tetapi merakam gambar Musytari dan 3 bulan nya iaitu Ganymede, Europa dan Io. Jalur-jalur Musytari juga jelas kelihatan ketika cerapan semalam. Great Red Spot tidak kelihatan. Ia berada pada kedudukan sisi planet ketika cerapan di lakukan.

Hakikatnya kedudukan Musytari membantu cerapan pada kali ini. Musytari berada berdekatan dengan bumi berbanding kedudukanya pada masa-masa lain dalam tahun ini. Musytari akan menghampiri bumi setiap tahun. Jadi tahun hadapan ianya akan berlaku lagi. Sekian...

Selamat Mencerap Musytari, Istiqbal Musytari 2011!!!



Bila Cuaca Berawan..

  • 26hb Oktober lepas selamat transfer teleskop Orion XT10 dari Putrajaya ke Melaka. Tamat sudah perjalanan teleskop dari Birminghan sampai lah ke Asahan. Teleskop Orion XT10 ni lah teleskop kegemaran.
  • 26hb malam sempat cerap Musytari (Jupiter), tapi awan menutup tirai malam. Tak sampai seminit cerap. Imej yang di hasilkan mantap. Eyepiece 15mm, letak lagi dengan 2x barlow. Anyway, sekurang-kurangnya dapat test imej lepas collimate teleskop siang hari nya.
  • Dan seperti biasa, nasib sama macam baru mula-mula beli teleskop. Mendung, hujan di waktu petang/malam. Bangun waktu subuh pun cloudy juga. Jadi masih tak berkesempatan nak cerap Musytari. Sangat-sangat bercadang nak capture imej Musytari sempena Opposition bulan ni.
  • Seperti biasa, sejak-sejak balik ke Malaysia dan mengangur menungu kerja ni, kalau berawan dan mendung saya tangkap gambar awan. Awan pun cantik jugak.. Dalam post ni saya sertakan beberapa gambar awan yang di tangkap, serta time lapse awan siang tadi. Semuanya pakai camera compact Nikon Coolpix 8Mpixel.
  • Walaupun kamera cikai, tp saya puas hati sebab dah gunakan fungsinya sepenuhnya. Dari berjalan-jalan melancong, Astrophotography, clouds timelapse, video etc2..ok, video kat bawah adalah video yang diproses siang td. Gambar di ambil selang 10 saat selamat 50 min. Pastu proses semua gambar pakai make avi software dan terhasil la time lapse 21 saat..enjoy!.



  • Maybe bukan time lapse yang berkualiti. Kalau pakai camera canggih-canggih, dengan remote control segala bagai, lagi senang. Tutorial penuh camna nak buat time lapse boleh di dapati ada link ini.
  • Gambar kat bawah pula adalah beberapa gambar awan yang di ambil sebelum ni.
Awan siang tadi 28hb Oktober selepas solat Jumaat

Awan, bumbung rumah, pokok kepaya

Awan yang sama dengan awan atas, cuma di ambil dari sudut berbeza

Awan dan tunggul pokok kelapa
Awan dan kampung Relau Asahan
  • Kesimpulannya, bila cuaca berawan, tiadalah aktiviti mencerap di malam hari. Tapi seronok jugak tengok awan. Perasan atau tidak, waktu kecik2 dulu selalu tengok awan, tengok bulan. Bila jalan jauh-jauh, kita mesti fikir bulan ikut kita.hahaha..mungkin dengan memikirkan macam tu boleh wat kita rasa tenang dalam perjalanan jauh..Kita adalah moon gazer/cloud chaser sejak kecil lagi :-)
  • Sekarang dah penghujung bulan 10, harapnya berita baik sampai bulan depan. Semoga Allah memudahkan segala urusan kami di muka bumi ini.

Saturday 22 October 2011

Langit Musim Sejuk, Nostalgia sebagai pelajar

Tarikh:23/10/11
Masa: Jam 0030-0100
Objek: Pleiades, Orion Nebula
Peralatan: Orion Apex 90mm Mak Cass, Celestron Upclose 10x50 Binocular
Cuaca: Mendung, Berawan, dan Hujan. Ketika mencerap hujan baru berhenti
Kedudukan Buruj Orion pada jam 0025 23/10/11 dilihat dari langit Melaka.

.
  1. Semalam dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka. Langit nampak cerah. Jupiter jelas waktu dalam perjalanan. Berangan-angan nak mencerap bila sampai ke Melaka
  2. Sampai di Melaka dalam pukul 8.45. Cuaca jadi mendung dan tiba-tiba hujan. Ahh sedihnya. tp biasalah hobi ni. mmg mcam ni.
  3. Pukul 12.30 masih belum mengantuk. Hujan baru berhenti. Buka pintu di belakang rumah (menghadap timur), langit belah timur cerah. Cepat-cepat saya bawa teleskop keluar. Langit belah barat mendung. Jupiter berada di atas kepala. 
  4. Pleiades juga jelas tidak jauh dengan Jupiter. Apa yang mengamit memori ialah 3 bintang yang beratur tak jauh dari Pleaiedes. Boleh dikatakan terbit sebelah timur. Itu Orion Belt. Buruj Orion, Buruj pemburu. 21/22 hb Oktober juga merupakan kemuncak hujan meteor Orionids. Cuaca cuma cerah 30 min, selepas tu hujan balik.
  5. Walaupun sekejap, sempat juga mencerap Pleiades, dan Orion Nebula. Cantik. Ini kali pertama cerap Orion nebula pakai teleskop. Walau macam manapun, saya rasa orion nebula lebih cantik dari binokular 10x50 saya. Sekarang baru saya tahu, binokular betul-betul boleh memberikan kepuasan.
  6. Ini kali pertama saya mencerap Orion Nebula di Malaysia. Sebelum ini di Birmingham dan Twickenham.
  7. Sekarang penghujung bulan Oktober. Di UK musim luruh nak bertukar ke musim sejuk. Langit semalam mengingatkan suasana waktu jadi pelajar.
  8. Waktu musim sejuk, malam panjang, matahari terbenam awal. Dalam perjalanan di waktu gelap, bila mendongak kelangit, mesti lihat Buruj Orion. Pleiades pun menyerikan malam musim sejuk. Langit Musim Sejuk adalah langit yang cantik untuk di cerap. Di Malaysia pun sama, Selepas ini Orion akan terbit lebih awal. Ada peluang untuk cerap Orion Nebula lebih kerap.
  9. Rakan-Rakan, untuk mencari Orion Nebula, cari bintang yang beratur sebaris. Itu adalah tali pingang si pemburu Orion. Dekat bawah tali Pinggang, ada pedang, di tengah2 pedang ada Orion Nebula. Boleh di cerap dengan teleskop ataupun binokular.
  10. 26hb ni merancang untuk collect Teleskop XT10 dibawa pulang ke Melaka. Harapnya semua berjalan lancar. Sekian, catatan ringkas. Tiada sebarang gambar/catatan cerapan. Ini merupakan Log ringkas. Terima kasih kerana membaca.
Buruj Orion si pemburu. M42 ialah Orion Nebula. Betelgeuse bintang red Supergiant. Buruj menghiasi langit musim sejuk.

Friday 14 October 2011

Musytari (Jupiter) menghampiri Bumi


Jika anda mengharapkan post kali ini berkaitan dengan planet Musytari hendak melanggar Bumi, saya terpaksa mengecewakan anda. Setakat ini tiada kedengaran dari Planetary Defence Force yang ada objek hendak melanggar bumi.

Post ringkas kali ini berkaitan dengan peristiwa yang di panggil Istiqbal (dalam bahasa arab) ataupun opposition (English). Istiqbal Musytari akan berlaku pada 29 hb Oktober tahun 2011. Peristiwa ini amat penting bagi segenap lapisan masyarakat kerana ini adalah masa terbaik untuk mencerap Musytari. Mengapa? kerana Musytari berada dalam kedudukan paling hampir dengan bumi berbanding kedudukanya sepanjang tahun ini.

Apa itu Istiqbal/Opposition?

Saya fikir gambar di bawah dapat menerangkan secara jelas apa yang di maksudkan dengan istiqbal/ opposition. Gambar menunjukan kedudukan Musytari dan Bumi ketika Istiqbal nanti.

Gambar 1: Musytari dan Bumi pada 29hb Oktober 2011. Kedudukan Musytari pada orbitnya menghampiri Bumi

Istiqbal dari segi bahasa bermaksud perbuatan menghampiri sesuatu. Di dalam kes Istiqbal Musytari, Musytari dan Bumi menghampiri antara satu sama lain. Seperti di dalam gambar di atas bumi berada di antara matahari dan Musytari. Musytari dan Matahari berada bertentangan antara satu sama lain (Opposite). Jadi kedudukan seperti di dalam gambar 1 merujuk kepada Istiqbal/Opposition.

Masa terbaik mencerap Musytari


Ketika Istiqbal (atau beberapa hari sebelum dan selepas), Musytari akan kelihatan cerah di langit. Ketika ini, Musytari adalah objek yang kedua paling cerah di langit selepas bulan. Kecerahan disebabkan oleh kedudukan Musytari berdekatan dengan Bumi. Teleskop berfungsi sebagai alat untuk mengumpul cahaya, justeru, imej Musytari menerusi teleskop akan kelihatan lebih jelas dan ciri pada planet akan lebih signifikan. 
Gambar 2: Bulan dan Jupiter pada 15hb September 2011. Jupiter kelihatan cerah di bawah bulan seakan menari-menari bersama di langit cerah.

Ketika Istiqbal tahun lepas (Laporan Cerapan) saya mendapati saiz Musytari lebih besar berbanding dengan saiz Musytari sebulan sebelum Istiqbal (melalui teleskop XT10). Ini memberikan kepuasan di dalam melakukan cerapan. Bagi yang memiliki teleskop berdiameter besar, ini merupakan masa terbaik untuk mencerap ribut di Musytari (Great Red Spot). 

Apa yang boleh dilihat pada Musytari?


Musytari merupakan objek kegemaran peminat astronomi amatur memandangkan ianya mudah di cari dan banyak perkara menarik boleh di cerap melalui teleskop. 

Belts(Jalur) pada Musytari merupakan ciri yang paling jelas boleh di lihat. Apa yang menarik ialah, belts pada Musytari akan hilang pada sesetengah waktu. Kadang-kadang belts pada Musytari mengambil masa sehingga 2 tahun untuk muncul kembali. Saintis masih belum memahami sepenuhnya cuaca di Musytari dan bagaimana belts pada Musytari boleh terbentuk dan hilang secara tiba-tiba. (Artikel Nasa)
Gambar 3: Imej  Musytari yang di ambil pada September 2010. Southern belt tidak kelihatan.( Gambar terbalik, bahagian selatan adalah bahagian sebelah atas)
Gambar 4: Diambil pada 15 September 2011, Kedua-dua belts kelihatan pada Musytari.



Gambar 3 dan 4 menunjukan perbezaan jelas tentang ciri yang di panggil sebagai Belts (Jalur). Pada bulan September 2010, Southern Equatorial Belt tidak kelihatan dan memudahkan cerapan Great Red Spot (terletak pada southern equatorial). Kedua-kedua gambar di atas di ambil dengan teknik amatur, jadi kualiti agak tidak baik, tapi saya berpuas hati kerana gambar tersebut di ambil oleh saya secara sendiri. Gambar 3 adalah gambar Musytari pertama yang saya ambil dalam penglibatan saya dalam hobi ini.

Selain daripada itu, Musytari popular kerana pergerakan bulan-bulan nya mengelilingi Planet kelihatan seolah-olah seperti sistem suria mini. Terdapat 4 bulan Musytari yang jelas kelihatan, iaitu, Ganymede, Calisto, Io dan Europa. Saya pernah melihat 3 bulan Musytari menggunakan binokular Celestron Upclose 10x50 (Laporan Cerapan).

Dengan menggunakan teleskop, peristiwa lebih menarik seperti moon transit pada Musytari boleh di cerap. Ianya berlaku apabila bulan Musytari berada diantara Musytari dan Matahari kelihatan seolah-olah bulan berkenaan merentasi Musytari jika di lihat dari Bumi. Saya pernah melihat Io transit pada Musytari. Jelas kelihatan Bulan-bulan berkenaan bergerak mengorbit Musytari seakan sistem solar mini.

Kesimpulan

Secara keseluruhan Istiqbal Musytari memberikan peluang yang baik bagi peminat astronomi untuk mencerap planet berkenaan. Ciri-ciri yang saya nyatakan boleh di lihat dengan lebih jelas berbanding masa-masa lain sepanjang tahun. Ini juga merupakan masa terbaik untuk merakam imej berkenaan memandangkan Musytari berada dekat dengan Bumi.

Selamat Melakukan Cerapan Musytari, Istiqbal Musytari 2011!

Thursday 6 October 2011

Geologi Bulan Menerusi Teleskop dan Binokular

Artikel ditulis sempena menyambut sambutan minggu angkasa sedunia dan International Observe the Moon Event. Semoga sambutan kali ini memberi manafaat kepada semua pihak khususnya rakyat Malaysia. Semoga rakyat Malaysia mengambil kesempatan untuk mengikuti aktiviti cerapan yang bakal di jalankan pada malam 8 Oktober 2011.

Artikel kali ini akan membincangkan ciri-ciri utama geologi bulan yang dapat dilihat melalui teleskop dan binokular. Bulan merupakan objek paling menarik bagi sesetengah ahli astronomi amatur. Namun bagi sesetengah yang lain, bulan merupakan objek yang bosan untuk dicerap. Dengan memahami geologi bulan, boleh menaikan minat untuk mencerap bulan. Di dalam artikel ini juga saya menggunakan gambar-gambar hasil cerapan saya pada masa lalu. Ini bagi memfokuskan artikel pada ciri-ciri geologi bulan yang telah saya lihat dengan teleskop atau binokular.

Maria(Laut-Laut)
Rajah 1: Maria jika dilihat dengan mata kasar. Gambar di lukis oleh Peter Grego.
Untuk permulaan, saya rasa adalah tepat jika saya mulakan penulisan saya dengan membincangkan struktur bulan yang paling ketara, Maria ataupun laut. Maria boleh dilihat dengan mata kasar, namun sekiranya di lihat dengan mengunnakan teleskop, banyak bentuk dan ciri-ciri maria yang berbeza dan menarik. Rajah 2 adalah gambar yang saya rakam pada 15 September 2011. Saya tandakan maria/ mare(kata tunggal bagi maria) untuk dibincangkan didalam post kali ini.
Rajah 2: Maria yang kelihatan ketika cerapan 15hb September 2011




Walaupun bahagian bertanda di panggil Laut atau Maria dalam dalam latin, ianya bukanlah laut yang mengandungi air seperti di bumi. Nama maria di beri oleh ahli astronomi silam memandangkan ianya kelihatan seakan-akan laut [1].  Ketika zaman Yunani, maria di salah anggap sebagai bayang-bayang bumi pada bulan. Maka, peta-peta dunia ketika awalnya di lukis kelihatan seperti maria di bulan. Hal ini berlaku kerana pada ketika itu mereka beranggapan bahawa bulan adalah objek yang sempurna tanpa kawah dsb.

Di dalam Rajah 2, Maria yang di tanda dengan abjad adalah seperti berikut:
a) Mare Serenitatis ( Sea of Serenity)
b) Mare Frigoris (Sea of Cold)
c) Mare Imbrium ( Sea of Showers)
d) Oceanus Procellarum (Ocean of Storms)
e) MareTranquillitatis (Sea of Tranquillity)
f) Mare Nectaris ( Sea of Nectar)
g) Mare Nubium ( Sea of Clouds)
h) Mare Humorum ( Sea of Moisture)

Maria terbentuk hasil dari limpahan lava dari teras bulan[2]. Pada masa dahulu, bulan merupakan objek yang aktif dan aktiviti volkanik bukan merupakan perkara yang asing. Sesetengah Maria di kaitkan dengan hentaman asteroid, yang kemudianya di ikuti dengan limpahan lava. Mare Imbrium,Mare Crisium(Rajah 4) dan Mare Humorum adalah di antara yang di kaitkan dengan hentaman meteorite. Ini kerana bentuknya yang lebih sekata berbanding dengan mare yang lain. Tambahan pula, kesan dari hentaman asteroid menyebabkan gunung, dan bukit terbentuk di sekeliling Mare.

Rajah 3: Pembentukan Mare dari kesan hentaman meteorite.

Mare Imbrium adalah laut yang berbentuk sekata paling besar, bersaiz 1300km diameter (anggaran). Luas Mare Imbrium adalah 863 000 km persegi ( bersamaan dengan saiz UK+Perancis). Ianya di kelilingi oleh gunung Alps, Appennine, dan Carpathians.

Oceanus Procellarum (Ocean of Storms) adalah lebih besar dari Mare Imbrium. Ianya bersaiz 2500km (utara-selatan) dan bersaiz 2.39 Juta km persegi. Walaubagaimana pun, ianya tidak terbentuk melalui hentaman meteorite seperti Mare Imbrium, sebaliknya ia terbentuk disebabkan limpahan basalt yang membanjiri kawasan dengan lava pepejal.
Rajah 4: kedudukan Mare Crisium Berasingan dengan Maria yang lain.

Hampir kesemua mare bercantum dengan mare yang lain. Mare Crisium adalah contoh mare yang terasing dari kumpulan maria. Walaupun ianya kelihatan memanjang dari utara ke selatan, diameter timur-barat Mare Crisium lebih besar dari utara-selatan iaitu 590km berbanding 490km (disebabkan oleh foreshortening effect). Kedalaman Mare Crisium adalah dalam lingkungan 4km. Ini lebih dalam dari Oceanus Procellarum yang tidak sampai 1km[3].

Gunung
Rasanya tidak lengkap artikel ini jika saya cuma menulis berkenaan laut tanpa bercakap berkenaan gunung. Sebagaimana yang saya nyatakan pada awalnya, mare Imbrium dikelilingi oleh gunung-gunung. Ada di antara gunung-gunung di bulan terbentuk hasil dari hentaman meteorite pada masa dahulu seperti yang ditunjukan di dalam rajah 3. Rajah 5 dan Rajah 6 menunjukan gunung-gunung yang boleh dilihat dengan teleskop semasa cerapan.
Rajah 5: Banjaran gunung di sekeliling Mare Imbrium
Rajah 5:
a)Alpes
b)Caucasus Mtns 
c)Archimedes Mtns
d)Apennine Mtns

Rajah 6: Gunung-Gunung yang kelihatan di tanda dengan abjad, manakala ciri bertanda nombor roman adalah kawah-kawah yang mudah dilihat dengan teleskop/binokular



















Rajah 6
a)Jura Mtns
b)Carpathian Mtns
c)Riphaeans Mtns

Banjaran gunung yang paling mudah dilihat semasa cerapan adalah Apennine Mtns. Apennine Mtns  dianggarkan berketinggian 5km dan panjangnya sejauh 600km. Nama Apennine Mtns diambil sempena banjaran gunung di Italy dengan nama yang sama[4].
                                 
Kawah ( Crater) 
Kawah merupakan antara ciri bulan yang paling jelas boleh dilihat dengan teleskop ataupun binokular. Terdapat pelbagai bentuk kawah, setiapnya memberikan cerita yang berbeza bagaimana dan bila ianya terbentuk. Tambah menarik, setiap kawah di berikan nama sempena tokoh-tokoh terkenal.

Rajah 7: Bahagian selatan bulan, kawasan yang terdapat banyak kawah.  Ciri bertanda (i) adalah Rupes Recta, rujuk Rilles untuk maklumat lanjut
Di dalam rajah 7, kawah-kawah saya tandakan dengan abjad. Kawah-kawah yang bertanda akan di jadikan contoh untuk mendalami proses pembentukan kawah di bulan. Nama-nama kawah yang bertanda adalah seperti berikut:
a) Bullialdus ( dinamakan sempena Ismael Bullialdus, seorang ahli astronomi perancis)
b) Gauricus (dinamakan sempena Luca Gaurico, ahli teologi dan astronomi Itali)
c) Tycho ( dinamakan sempena Tycho Brahae, Ahli astronomi denmark)
d) Clavius ( dinamakan sempena, Christophorus Clavius, ahli matematik german)

Perhatikan perbezaan di antara kawah- kawah di dalam rajah 7 dari segi bentuk kawah. Kawah a dan kawah c mempunyai puncak di tengah. Manakala kawah b pula rata. Kawah d berlantai rata namun terdapat kawah-kawah kecil di dalam kawah berkenaan. Apakah perbezaan ciri kawah a,b,c dan d membawa makna tertentu mengenai kisah silam kawah berkenaan?

Kawah terbentuk apabila meteorite menghentam permukaan bulan. Rajah 6 menerangkan bagaimana kawah di bulan terbentuk.
Rajah 8: Proses pembentukan kawah di bulan.(Brooks/ Cool Publishing a division of Thomson Learning, 2003)




















Rajah 8a menunjukan fasa pertama pembentukan kawah di bulan iaitu meteorite menghampiri permukaan bulan dengan kelajuan yang tinggi.

Rajah 8b pula menerangkan proses seterusnya iaitu, meteorite berkecai, dengan suhu yang panas, dan tersejat apabila mengentam permukaan bulan,

Di dalam rajah 8c letupan dan hentaman meteorite menyebabkan kawah berbentuk 'bulat' terbentuk. Ini menyebabkan bahan yang terdapat pada permukaan bulan tersebar akibat hentaman. (dan pada sesetengah kawah ianya menyebabkan 'ray system' terbentuk)

Rajah 8d pula menceritakan bagaimana diding berteres dan puncak tengah kawah terbentuk. Diding berteres terbentuk akibat 'hakisan' (yang disebab kan oleh daya hentaman) manakala pucak tengah kawah terbentuk akibat kesan lantunan dari hentaman dan juga di akibatkan oleh terlalu banyak bahan terpelanting terkeluar kesan dari letupan meteorite.  [5]

Setakat ini Rajah 8 berjaya menerangkan dari mana datang nya bentuk kawah a dan c, bagaimana pula dengan kawah-kawah seperti kawah b dan d? Mengapa puncak tengah pada b dan d tidak kelihatan?Proses terbentuknya lantai rata di dalam kawah b dan d menyerupai proses yang ditunjukan di dalam pembentukan mare dalam rajah 3. Lantai b dan d berbentuk rata berbanding dengan a dan c kerana selepas hentaman, lava memenuhi kawah dan puncak tengah kawah tidak kelihatan/kecil(dalam kes Clavius, puncak tengah kecil dan tidak kelihatan di dalam Rajah 7). 

Lantai yang rata juga memberi makna bahawa kawah tersebut terbentuk lebih awal dari kawah-kawah yang mempunyai pucak di tengah. Ini kerana proses limpahan lava memakan masa yang lama. Ia juga bermakna hentaman meteorite berlaku ketika aktiviti volkanik bulan masih aktif [6]. Kawah Gauricus sebagai contohnya berusia diantara 3.92 hingga 4.55 billion tahun, berbeza dengan kawah muda Tycho yang hanya berusia lebih kurang 108 juta tahun. Begitu juga kawah Clavius, yang dipenuhi dengan kawah-kawah sekunder menunjukkan usianya yang lebih tua. Puncak tengah yang kecil pada kawah Clavius juga memberi makna lantai yang rata cuma terbentuk selepas beberapa lama hentaman berlaku. Clavius di jangkakan berusia 4 billion tahun.

Ciri-ciri yang sama juga dapat dilihat pada kawah di dalam Rajah 6 i,iii dan iv. i merupakan kawah Copernicus, iaitu kawah yang paling mudah dilihat ketika membuat cerapan. Kawah iv mempunyai persamaan dengan kawah b dan d iaitu lantai rata. Kawah ii pula ialah kepler, ciri kawah tidak jelas di dalam rajah 6. Diding kawah Kepler agak berciri teres dan terdapat puncak kecil ditengah-tengah kawah. Ini mungkin disebabkan oleh saiz meteorite yang menghasilkan kawah kecil dan mempunyai tenaga yang kurang berbanding kawah seperti Copernicus (i). Kepler dan Copernicus di kategorikan sebagai kawah muda di mana Copernicus dianggarkan berusia 800juta tahun manakala kepler di angarkan berusia lebih muda dari itu Copernicus tetapi lebih tua dari Tycho(108juta tahun).[7]

Sistem Sinar ( Ray System)
Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, apabila meteorite menghentam permukaan bulan, banyak debu-debu dan bahan-bahan di atas permukaan tersebar akibat hentaman yang berlaku. Suatu lagi kesan yang jelas kelihatan akibat hentaman adalah sinar kawah.

Ketika bulan penuh/ hampir penuh, kita dapat melihat sistem sinar bulan paling jelas. Tetapi sistem sinar tidak akan kelihatan sekiranya keamatan cahaya tidak tinggi. Sebagai contohnya, sila rujuk rajah 7 (c), kawah Tycho. Tycho mempunyai sistem sinar yang sangat jelas dan ianya menjangkaui 1500km, namun pada rajah 7 (c) sistem sinar tidak kelihatan. Ini berbeza dengan Rajah 9 (iii), sistem sinar pada kawah Tycho sangat jelas kerana bulan hampir penuh dan banyak cahaya yang dipantulkan oleh bulan.

Di dalam rajah 9, terdapat 4 sinar kawah yang di label kan. Nama kawah-kawah tersebut adalah seperti berikut:
i) Copernicus
ii) Kepler
iii)Tycho
iv) Byrgius

Rajah 9: Sistem kawah pada bulan yang di cerap pada 15hb Sept 2011 di tandakan dengan nombor roman. Ciri bertanda a dan b adalah banjaran gunung, masing-masing adalah Caucasus Mtns dan Appennine Mtns

Sistem sinar membantu ahli geologi bulan dalam mengangarkan umur relatif kawah yang mempunyai sistem sinar. Ini kerana apabila sinar kawah 'menindih' sinar kawah yang lain, kawah tersebut lebih muda dari kawah yang sistem sinarnya di tindih. Ia juga dapat membantu ahli geologi menentukan komposisi bulan kerana bahan yang tersebar asalnya berada di bawah permukaan bulan sebelum hentaman berlaku.Sistem sinar pada bulan akan 'pudar' seiring dengan waktu akibat terdedah dengan 'cuaca angkasa' dan dilitupi oleh kesan hentaman yang baru[8].


Rilles
Saya perlu akui, sepanjang saya terlibat dalam hobi ini (setahun lebih), saya tidak memberi tumpuan pada ciri pada bulan yang di panggil rilles (sungai kecil/alur). Saya akan tulis laporan cerapan pada masa akan datang berkenaan dengan rilles yang boleh di lihat dengan jelas menggunakan teleskop yang saya miliki.

Ada tiga jenis Rilles pada permukaan bulan, iaitu[9]
a) Sinuous Rilles (berliku), ianya berbentuk seperti sungai
b) Arcuate Rilles (melengkung), biasanya berada di sekelilinga Mare
c) Straight Rilles (lurus), terbentuk akibat pergerakan/pengecutan bulan.
Rajah 10: Salah satu contoh sinuous rille, The hadley rille. Gambar di ambil dari Apollo 15 lunar module ((NASA photograph AS15-87-11717) 
Setiap jenis Rilles terbentuk dengan cara yang berbeza. Ada yang di kaitkan dengan aktiviti volkanik dan di katakan bertindak sebagai saluran/tiub bagi pengaliran lava. Straight Rilles seperti Rupes Recta yang juga di kategorikan sebagai scarp (lereng) di katakan terbentuk akibat pengecutan pada permukaan bulan. Bulan di kata kan mengecut sebanyak 100m sepanjang ia terbentuk, dan pengecutan masih berlaku sehingga kini. Pengecutan pada permukaan bulan membentuk lereng seperti Rupes Recta[10].  Setelah meneliti gambar-gambar bulan yang saya ambil ketika cerapan dulu, saya berjaya menjumpai gambar Rupes Recta. Ianya di lihat melalui teleskop 10 inchi saya ( Sila rujuk Rajah 7 (i) ). Rupes rectar mempunyai lebar berukuran  2-3 km dan berkepanjangan 110km. Rupes rectar mempunyai kecuraman sekitar 30 ke 40 darjah.

Rilles dapat di lihat pada seluruh permukaan bulan, dan tidak hanya tertumpu pada khatulistiwa bulan. Walaupun ianya dikira sebagai ciri yang baru terbentuk, saintis mengangarkan ianya berusia dalam ratusan ke ribuan juta tahun. Selain pada permukaan bulan, rilles juga di temui di permukaan planet dan bulan-bulan lain (Utarid (Mercury) dan Marikh (Mars)). 

Ini sekaligus menafikan sesetengah pihak yang membuat kesimpulan bahawa rilles adalah bukti saintifik mukjizat Nabi Muhammad SAW membelah bulan. Kaedah saintifik perlu di lakukan sebelum membuat kesimpulan terhadap pembentukan rilles pada bulan. Kesimpulan-kesimpulan tanpa mengikuti kaedah saintifik di ikuti dengan pengetahuan sains yang cetek menyebabkan imej agama tercalar. 

Saintis yang mula-mula mengamalkan kaedah saintifik bagi membuktikan kajian dan penemuan sains adalah seorang saintis Islam (bukan saintis barat!) bernama Ibn al-Haytham. Ia di lakukan di dalam buku nya 'kitabun manazir' (book of optics)[11]. Apakah orang Islam pada masa kini mahu membuat suatu kesimpulan tanpa melakukan kajian menyeluruh terhadap sesuatu kejadian alam? Jika ya, nampaknya zaman keemasan tamadun Islam hanya akan menjadi sejarah yang bakal di lupakan.

Komen Dr Zakir Naik mengenai bukti saintifik mukjizat Nabi membelah bulan saya fikir amat baik untuk menjadi renungan umat Islam. [link]

Kesimpulan:
Dengan cuba memahami muka bentuk bulan, ianya dapat menambahkan pengetahuan di samping memberikan keseronokan di dalam aktiviti mencerap. Artikel ini saya tulis secara ringkas sebagai panduan dalam melakukan cerapan. Kebanyakan gambar di dalam artikel ini adalah gambar yang saya ambil semasa cerapan. Saya sendiri baru meneliti sesetengah gambar di dalam proses menulis artikel ini.


Saya cuba sebaik mungkin untuk menyatakan sumber fakta yang saya ambil untuk di muatkan di dalam artikel ini. Artikel ini juga di tulis di dalam bahasa melayu, mungkin ada sesetengah istilah yang tidak mengambarkan maksud asal istilah di dalam bahasa Inggeris. Kemampuan bahasa saya amat terhad. Sekiranya ada kesilapan pada mana-mana bahagian harap di perbetulkan.


5 ciri (Maria, Banjaran Gunung, Kawah, Sistem Sinar dan rilles) pada bulan saya pilih untuk di papar secara ringkas pada artikel ini.Masih ada lagi ciri-ciri yang saya tidak ulas. Mungkin akan cuba di ulas pada masa akan datang sekiranya ada keperluan. 



Rujukan:
[1] Patrick Moore and Robin Rees, Patrick Moore's Data Book of Astronomy,2011, Cambridge University Press, p 29.
[2] Terence Dickinson, Night watch: A Practical Guide to Viewing the Universe 4th Edition, 2006, Firefly Book Ltd, p 138. 
[3]Patrick Moore and Robin Rees, Patrick Moore's Data Book of Astronomy,2011, Cambridge University Press, p 29.
[4] Wikipedia, Apennine Motns, August 2011, retrieved 30 September 2011,http://en.wikipedia.org/wiki/Montes_Apenninus,
[5] Dr Emily Baldwin, Lunar Geology: About the Impact,  2008, retrieved 23 September 2011, http://www.popastro.com/moonwatch/moon_guide/geology7.php
[6] Patrick Moore and Robin Rees, Patrick Moore's Data Book of Astronomy,2011, Cambridge University Press, p 31-32.
[7] Lu Yang Xiao Xi, Correlation Between Iron Abundances and Lunar Surface Feature: Crater Kepler Area, Stenberg State Astronomical Institute, Moscow University, 2010.
[8] Dr Emily Baldwin, Lunar Geology: Ray Craters  2008, retrieved 23 September 2011, http://www.popastro.com/moonwatch/moon_guide/geology7a.php
[9] Dr Emily Baldwin, Lunar Geology: Rilles,  2008, retrieved 23 September 2011, http://www.popastro.com/moonwatch/moon_guide/geology9.php.
[10]Patrick Moore and Robin Rees, Patrick Moore's Data Book of Astronomy,2011, Cambridge University Press, p 30.
[11] BBC Science and Islam Documentary, BBC, 2009, Episode 2

Kebanyakan nama-nama kawah, maria, rilles di rujuk melalui Virtual Moon Atlas 5.1.

SELAMAT MELAKUKAN CERAPAN, DAN SELAMAT MENYAMBUT INTERNATIONAL OBSERVE THE MOON EVENT!



Saturday 1 October 2011

Tips Untuk Menceburkan Diri Dalam Hobi Astronomi

Untuk artikel kali ini saya akan kongsikan tips untuk orang mahu dan baru menceburkan diri dalam hobi astronomi. Saya tulis tips ini berdasarkan pengalaman saya yang sedikit dalam hobi ini. Bermulanya saya dalam hobi astronomi adalah ketika rancangan Wonders of the Solar System berkumandang di kaca telivision di UK pada tahun 2010. Sejak itu saya mula menceburkan diri dalam hobi ini secara serius. Berikut adalah sedikit sebanyak tips yang dapat membantu anda yang meminati astronomi, namun tidak tahu mahu bermula di mana.

1) Sertai forum-forum astronomi/langgan majalah berkaitan astronomi/ikuti laman web astronomi

Perkara pertama yang patut dibuat oleh peminat bidang astronomi adalah menyertai forum-forum astronomi di Internet. Selain itu majalah-majalah astronomi akan memberikan banyak pengetahuan dan informasi baru berkenaan hobi berkenaan. Walaubagaimanapun, saya dapati majalah astronomi agak sukar di dapati di Malaysia, jadi alternatif kepada majalah astronomi adalah laman web astronomi. Forum merupakan tempat ahli astronomi amatur bertukar-tukar info serta tips astronomi. Forum juga boleh di jadikan tempat untuk bertanya, serta mencari review teleskop serta peralatan astronomi yang lain. Saya menyertai forum astronomi selama enam bulan lebih awal sebelum membeli teleskop pertama saya. Antara forum-forum yang boleh di sertai ialah:


Astronomy forum.net adalah forum untuk semua peminat astronomi dari seluruh dunia. Cloudynight pula terkenal di UK, serta terkenal dengan review teleskop yang pelbagai. Manakala falak online merupakan forum astronomi Malaysia yang sering mengiklankan aktiviti-aktiviti astronomi di Malaysia. Untuk individu yang baru menceburkan diri dalam hobi ini, Astronomy forum.net merupakan forum yang terbaik.

Sekiranya anda mempunyai akaun twitter, adalah di galakan untuk mengikuti tweet berkaitan dengan astronomi.

2) Peralatan astronomi terbaik adalah peralatan yang selalu di gunakan

Sesudah mengikuti forum-forum, serta laman web berkaitan astronomi, anda pasti mahu memiliki peralatan sendiri. Sesetengah forum menjadi ruang untuk ahli mempamerkan kemampuan peralatan astronomi mereka, ada yang canggih, harga ribuan ringgit, ratusan pound, ratusan dollar. Namun, sekiranya ini kali pertama anda mahu membeli peralatan untuk mencerap, ada baiknya anda abaikan alatan canggih-canggih dan bersaiz besar serta mahal.

Peralatan astronomi terbaik untuk permulaan adalah peralatan yang selalu digunakan. Saya mencadangkan teleskop newtonian bersaiz 90mm ke atas. Sekiranya anda tidak mampu untuk membeli teleskop bersaiz 90mm ke atas, saya cadangkan anda gunakan binokular sebagai permulaan. Binokular bersaiz 10x50 (50mm) merupakan binokular popular dikalangan ahli astronomi amatur.
Mencerap mengunakan Binokular juga memberikan kepuasan, Gugusan bintang, mudah di lihat serta berpeluang melihat satellite merentasi langit. (laporan cerapan lama)

Saya juga kurang menggalakan teleskop yang menggunakan mount automatik. Lebih baik duit itu di salur kepada saiz optik dari di salurkan kepada mount automatik yang barangkali boleh rosak, masalah software dan sebagainya. Pilihlah teleskop manual, ia lebih mudah di kendali. 

Orion XT4.5, Saiznya lebih kecil dari yang di sangkakan, mudah dibawa, namun diameter 4.5inch memberikan kepuasan maksimum untuk permulaan dalam hobi ini

Teleskop pilihan saya adalah dari jenis dobsonian, manual, mudah di kendali, murah dan imej nya baik. Sekiranya berkemampuan belilah dobsonian bersaiz diameter 8inchi. Namun teleskop Dobsonian Orion XT4.5 (4.5inch) bersaiz kecil dan mudah dibawa kemana-mana, menjadikan ianya boleh selalu digunakan. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan teleskop, Cloudynights forum menghidangkan review yang panjang dan berinfomasi untuk dibaca. Selain itu laman scoperiviews juga amat boleh dipercayai dan menghidangkan ratusan jenis teleskop.

Sekali lagi, lebih mudah digunakan, lebih selalu digunakan, lebih baik teleskop/peralatan tersebut.

3) Jangan terburu-buru untuk melakukan fotografi.

Astrofotografi merupakan suatu cabang dalam hobi ini yang memerlukan masa untuk di pelajari. Bagi yang baru menceburi hobi ini, astrofotografi boleh menjadi pembunuh kepada hobi astronomi. Untuk menghasilkan imej yang baik, peralatan yang berkualiti diperlukan. Ini bermakna peralatan yang mahal. Imej galaksi, gugusan bintang, nebula, boleh di ambil tetapi memerlukan exposure yang tinggi. Ini bermakna anda memerlukan mount  berkemampuan untuk Autotracking, pastinya perlu stabil, camera mahal, ccd yang mahal etc.  Jadi kos yang tinggi melumpuhkan semangat untuk menceburi bidang ini.

Tanpa kemampuan mengambil gambar berkualiti, tidak bermakna kita tidak boleh merasa seronok dengan hobi ini. Namun, sekiranya anda masih mahu melakukan astrofotografi, tetapi mempunyai bajet yang rendah maka di sini saya akan kongsikan cara peminat astronomi 'miskin' menikmati hobi astronomi ini.

a)Lukiskan cerapan anda.(Pencil Imager)

Di dalam forum astronomi, saya berjumpa dengan insan-insan yang pandai melukis. Jadi mereka lukiskan apa yang mereka lihat dari teleskop mereka. Ahli astronomi seperti Sir Patrick More juga melakukan perkara yang sama. Kos, sangat minimum, cuma skecth pad dan pencil! 

Lukisan kawah bulan yang dilukis oleh Paul Hill, seorang ahli astronomi amatur dari London UK

Tidak pandai Melukis??

b) Kamera Kecil (Compact Camera)

Kamera kecil boleh digunakan untuk merakam, cuma letakan lensa kamera anda pada eyepiece dan tekan shutter. Ianya mudah digunakan untuk merakam gambar bulan. Namun sekiranya mahu merakam imej planet ,anda mungkin perlu menggunakan 'digiscoping bracket'. Ia adalah adapter yang boleh memegang camera anda pada eyepiece untuk tujuan fotografi. Video planet dapat dirakam menggunakan teknik afocal. Untuk maklumat lanjut, bagaimana boleh menggunakan camera kecil untuk astrofotografi, lawati forum-forum astronomi seperti astronomi.net. Sekiranya anda telah mempunyai camera kecil, jadi kos tidak menjadi masalah. Mungkin anda cuma perlu mengeluarkan wang untuk adapter. Kos nya lebih murah (separuh lebih murah) dari camera astronomi (untuk planet) berjenama seperti celestron dan orion. Kualiti imej hampir sama dengan camera astronomi berjenama yang saya sebutkan tadi. Imej dan video yang saya rakam adalah menggunakan teknik ini, sila rujuk log cerapan saya serta galeri gambar di sebelah atas blog.
Teknik afocal dalam merakam gambar objek cerapan
Adapter membolehkan video bulan dan planet di rakam dengan lebih stabil

c) Web Cam

Ya, Web cam, sekiranya anda menyertai forum astronomi, biasanya akan ada bahagian untuk ahli astronomi yang menggunakan web cam berkongsi imej mereka. Cara mengubahsuai webcam juga ada di bicangkan. Imej yang dihasilkan sama seperti camera orion/celestron(untuk planet) yang berharga jauh lebih mahal (80-120pound sterling).
Web cam yang di ubah suai untuk astrophotografi. Kos yang minimum. Lawati astronomy forum.net untuk maklumat lanjut.

Sekali lagi, forum boleh dijadikan medium untuk belajar teknik fotografi berbajet rendah. Kita juga dapat berkongsi dengan rakan-rakan yang menggunakan teknik yang sama. Saya merancang untuk mengubah suai web cam untuk fotografi. Bahan-bahan sedang di kumpulkan dan saya masih belum mempunyai masa untuk berbuat demikian.

4) Tulis Log cerapan

Dan nasihat sayayang terakhir, untuk meneruskan hobi ini, adalah digalakan untuk anda menulis log cerapan. Ada boleh menulisnya dalam buku nota kecil, apa yang anda lihat, tarikh, waktu,keadaan cuaca, perlatan dsb. Tambahkan maklumat dengan menamakan objek/kawah(sekiranya bulan) yang anda lihat. Lakarkan apa yang anda lihat di dalam log cerapan.
Contoh log cerapan ringkas mengenai planet musytari yang ditulis oleh Tim Jones dari Nottingham UK. 
Selain dari pada buku nota, anda juga boleh berkongsi log cerapan di dalam blog. Lakaran, imej yang di ambil juga boleh di kongsikan. Dengan ini hobi astronomi tidak terhenti sekadar mendongak kelangit, tanpa memikirkan kejadian-kejadian yang di lihat. 

Sekali lagi, forum juga boleh di jadikan tempat untuk berkongsi log cerapan. Ianya lebih menarik jika dapat berkongsi dengan rakan-rakan di fb/twitter/google+ dan sebagainya. Dengan itu hobi astronomi ini akan ada faedah yang signifikan untuk diri sendiri dan rakan-rakan. Sekian

Selamat Menceburkan Diri Dalam Hobi Astronomi!!!!