Saturday 30 March 2013

Jupiter melalui Orion XT4.5 (Video)

Tarikh: 29/03/12
Masa: 7.45-11.00 malam
Tempat: Kolej Matrikulasi Labuan
Cuaca: Mendung
Teleskop: Orion XT4.5

Cerapan kali ini merupakan sambungan kepada cerapan yang lepas. Kali ini saya meneruskan lagi cerapan menggunakan teleskop Dobsonian XT4.5. Teleskop ini terus mencuri hati saya dengan imej yang amat cantik dan tajam. Sekali imbas untuk seorang amaturs seperti saya, kualiti imej yang di tonjolkan tidak kurang dari Teleskop Orion XT10.

Cuaca amat mendung ketika cerapan ini dilakukan. Kedua-dua teleskop Orion XT4.5 dan Orion Apex Mak Cass 90mm menghala kearah planet Jupiter yang cerah di sebalik awan. Walaupun Jupiter telah melepasi kedudukan Istiqbal(opposition) ianya masih mudah di cerap dan cerah dilangit.

Sekali-sekali awan membuka tirai bagi membolehkan kami mengintai kearah Jupiter. Ketika itu teleskop Orion XT4.5 telah siap dengan kamera bagi membolehkan imej dirakam. Alhamdulillah video selama beberapa minit dapat saya rakam. Ini merupakan kali pertama saya mengikuti(track) planet sambil merakam video. Apa yang membolehkan saya melakukan tracking secara manual adalah saiz teleskop yang kecil dan mudah di kendalikan. Berikut adalah video cerapan Jupiter pada malam berkenaan.




Video berkenaan kemudiannya saya proses menggunakan Registax 6. Berikut adalah imej yang dihasilkan setelah diproses:

3 Jalur pada planet Jupiter jelas kelihatan (dari kiri (paling nipis) northern temperate Belt, Northern Equatorial Beln dan Southern Equatorial Belt. 

Imej mungkin boleh di tambahbaik sekiranya cerapan dilakukan ketika Istiqbal

Dengan melakukan beberapa perubahan ketika proses mengedit, imej Io jelas kelihatan disisi jupiter. Io juga dapat dilihat didalam video dengan samar-samar




Penutup

Saya berasa beruntung dapat mencuba teleskop Orion XT4.5 yang dibeli oleh kawan saya. Review yang sangat baik di internet ternyata benar. Teleskop ini amat bermanafaat digunakan oleh peminat-peminat baru dalam bidang ini.

Tambahan

Kesemua bulan Jupiter (yang empat) kelihatan ketika cerapan. Io beada hampir dengan Jupiter. Berikut adalah kedudukan bulan-bulan Jupiter ketika cerapan

Ganymede(Gan), Europa(Eur), Io, dan Callisto(Cal), imej dari perisian Jupiter2




Sekitar cerapan(Update 31/03/12)

Afocal Astrophotography dengan Orion XT4.5. Dalam berjam-jam cerapan, cuma beberapa minit video dirakam, dan beberapa minit cerapan visual dilakukan. Cuaca mendung!

Astrophotography Minimalist , Orion XT4.5 dan Nikon Coolpix L18, Imej Objek sistem suria boleh dirakam dengan kualiti yang baik menggunakan set up ini

Jelas imej Musytari sedang dirakam dengan kamera. Manual Tracking

Meneropong Objek menerusi finderscope sebelum objek boleh dicerap

Thursday 28 March 2013

Prime Focus Astrophotography

Tarikh: 28/03/13
Masa: 7.30pm-9.15pm
Cuaca: awan nipis. Penglihatan kurang memuaskan.
Teleskop: Orion XT4.5, Orion Apex 90mm Maksutov Cassegrain
Tempat: Kolej Matrikulasi Labuan

Pos pendek malam ini berkenaan dengan cerapan ringkas yang dilakukan selepas maghrib tadi. Saya dan rakan mencuba untuk melakukan cerapan di tapak cerapan baru. Kami pilih di atas menara pentadbiran kolej matrikulasi Labuan.

Objek yang pertama di cerap adalah Musytari(jupiter). 2 bulan kelihatan jelas seakan menari mengililingi Musytari. Imej menerusi Orion XT4.5 sangat jelas. 3 atau 4 jalur awan pada permukaan Jupiter dapat di perhatikan. Saya seakan dapat melihat GRS menerusi Orion XT4.5. Cuma apabila saya cek semula pada software Jupiter 2, kedudukan GRS tidak berada ditempat yang saya lihat ketika cerapan. (akan datang akan cerap menggunakan filter berwarna).

Objek seterusnya adalah Orion Nebula. Nebulosity (awan) nebula lebih baik berbanding cerapan ketika di padang kolej. Penambah baikan ini mungkin disebabkan mata kami telah disesuaikan dengan keadaan gelap. Kami berada jauh dari lampu jalan. Namun lampu-lampu jalan sekeliling kolej serta lampu dari blok kediaman pelajar terus menjadi tirai menghalang bintang-bintang di langit menunjukan persembahannya. Secara jujur, saya telah lupa bagaimana Orion Nebula melalui XT10. Saya tidak ingat ada perbezaan dengan apa yang yang saya lihat dengan XT4.5.

Objek seterusnya adalah bulan. Bulan berada pada 98% penuh dan semakin mengecil. Imej bulan secara visual menerusi Orion Apex Mak-Cass tidak berapa cantik. Keamatan cahaya bulan menghilangkan kontrast kawah. Tiada perbezaan(sekali imbas) apabila filter berwarna digunakan dalam cerapan.

Pada malam ini juga kali pertama saya menggunakan kaedah Prime Focus untuk merakam gambar. Ini satu perkara baru kerana selama ini kaedah yang saya gunakan adalah afocal. Pada mulanya kaedah prime focus cuba digunakan dengan Orion Xt4.5. Namun kami gagal untuk mendapatkan focus pada bulan. Ini telah kami jangka dengan lebih awal.

Orion Apex 90mm Mak Cass memang saya beli kerana berangan-angan untuk melakukan prime focus photography. Tapi ianya terhenti disebabkan kos. Perlu disedari pada cerapan ini mount yang kami gunakan tidak mempunyai kemampuan untuk 'track' objek. Justeru Imej hasil cerapan kami tidak mencapai jangkaan kami. Walaubagaimana pun, focus dapat dicapai dengan teleskop Mak-Cass. Berikut adalah gambar set up prime focus (Kamera Nikon, model tak pasti) bersama teleskop Orion Apex Mak Cass.
Live View dari kamera Nikon

Orion Apex Mak-Cass 90mm dengan kamera DSLR

Prime Focus, Sambungkan kamera pada teleskop tanpa lens atau eyepiece.

Saturday 23 March 2013

Cerapan sempena Earth Hour 2013(review Orion XT4.5)

Objek: Bulan, Musytari(Jupiter), dan Zuhal (Saturn)
Teleskop: Orion Apex 90mm Maksutov Cassegrain, Orion SkyQuest XT4.5
Cuaca: Cerah dengan tompokan awan. Langit sebelah timur boleh dikatakan di penuhi awan.
Tarikh: 23/03/13
Masa: 9.30 malam-12 tengah malam
Lokasi: Kolej Matrikulasi Labuan

Lebih enam bulan saya tidak menulis laporan cerapan. Pos terakhir ketika sebelum ditugaskan di Labuan. Teleskop Orion XT10 saya tinggalkan di Melaka. Ada masalah untuk saya bawa ke Labuan. Namun, saya melabur dengan tripod Alt Azimuth teleskop 90mm Orion Apex (Maksutov Cassegrain) saya. Jadi cerapan dengan 90mm Apex tidak sesukar dulu (dengan tripod kamera). Tidak ada laporan cerapan selama ini kerana sudah jarang mencerap atas sebab-sebab kerja. Tambah pula XT10 di Melaka. Cerapan kecilan diadakan sekali sekala.

Laporan kali ini berkaitan 3 objek langit, bulan, Musytari(Jupiter) dan Zuhal (Saturn). Peralatan yang digunakan bukan satu teleskop tapi 2! Sudah lama mengidam nak mencuba Orion XT4.5, akhirnya tertunai apabila kawan saya beli dari StargazerOnline Shop di Bukit Jalil.

Bulan

Laporan kali ini lebih tertumpu pada cerapan melalui Orion XT4.5. Bulan 83% penuh ketika cerapan dilakukan. Banyak ciri bulan yang menarik dapat dicerap ketika ini. Antaranya, kawah Gassendi, Rupes Leibig, sistem sinar kawah Copernicus serta kawah-kawah lain. Berikut adalah gambar yang di ambil pada cerapan tadi:
Gassendi, Rupes Leibig

Copernicus Ray Systems

Copernicus Ray Systems

Plato, Valis Alpes, dan kawah-kawah di kawasan utara bulan

Mare Imbrium, Jelas kelihatan banjaran Gunung didalam Mare Imbrium

Sinus Iridum, Mare Frigoris, dan kawah J. Herschel

Mare Crisum dan sistem sinar dari kawah Proclus

Plato
Cerapan Visual Bulan melalui XT4.5 amat memuaskan hati. Imej dan ciri pada permukaan kawah bulan amat jelas dan mudah dilihat. Bahkan Rimae Gassendi yang berada di dalam kawah Gassendi amat mudah dilihat secara visual.

Musytari (Jupiter)

Jupiter semakin sukar dicerap. Waktu Istiqbal telah berlalu, Musytari semakin menjauhi bumi (bumi menjauhi Musytari). Walaubagaimana pun Musytari terus cerah dilangit barat sebelum terbenam.

Imej Musytari melalui Orion XT4.5 dengan magnifikasi 90x (10mm eyepiece) amat jelas. Jalur pada musytari amat kontra dengan kawasan cerah di awan musytari. Bulan Musytari juga kelihatan jelas dan cerah melalui Orion XT4.5. Secara relatifnya pada malam ini Orion XT4.5 memberikan imej yang lebih baik berbanding Apex 90mm Maksutov Cassegrain. Samaada bayangan ataupun betul, saya rasa saya dapat melihat barge pada permukaan Musytari. 

Kelihatan juga 2 bulan di sebelah 'atas' Musytari. Pada jam 9.30 malam cuma satu bulan kelihatan. Kemudian satu bulan lagi muncul tidak lama kemudian. Bulan itu adalah Europa dan Ganymede. Saya tidak ingat melihat bulan yang lain, barangkali sebab saya cuma tumpukan pada 2 bulan berkenaan.

Ketika cerapan saya beranggapan bahawa Europa baru keluar dari belakang Musytari. Namun melalui software Jupiter2, apa yang berlaku sebenarnya ialah Europa baru transit Planet Musytari (lalu di depan Musytari). Melalui Jupiter2 juga didapati terdapat bayang-bayang Europa di atas planet Musytari. Namun bayang-bayang tidak kelihatan ketika cerapan. 

Saya tidak berpengalaman mencerap transit. ketika Ogos 2010 dulu berkemungkinan saya menyaksikan Io transit melalui XT10. Sehingga kini masih belum saya sahkan cerapan berkenaan. Berikut adalah imej yang diambil melalui XT4.5:


 Kelihatan 2 bulan Musytari Ganymede dan Jupiter samar-samar didalam gambar diatas. Europa paling hampir dengan Musytari.


Zuhal(Saturn)


Cerapan Zuhal ringkas dan pendek. Disebabkan kepenatan, kepanasan dan dihurung nyamuk, cerapan Zuhal tidak lama.

Zuhal sedang menghampiri Istiqbal pada bulan hadapan. Ianya semakin sesuai untuk dilihat. Posisi Zuhal sekarang membolehkan Cassini Division dicerap.

Saya melihat 2 bulan pada Zuhal tadi melalui Orion XT4.5. 2 Pencerap termasuk saya merasakan Cassini Division dapat dilihat dalam cerapan kali ini. Memang ada laporan cerapan yang mengatakan Cassini Division dapat dilihat dengan menggunakan XT4.5. Ia sesuatu yang menarik memandangkan ada yang mengatakan bahawa untuk mencerap Cassini Division memerlukan teleskop reflektor 8inchi keatas. Berikut adalah gambar Zuhal yang dirakam. Agak banyak masa yang dibuang untuk merakam gambar berkenaan sehinggakan cerapan visual sedikit diabaikan.

Imej Zuhal yang dirakam menggunakan teknik afocal. Cerapan Visual lebih jelas dari gambar diatas.



























Kesimpulan

Ini cerapan paling lama saya lakukan semenjak mula berkhidmat di Labuan. Ini disebabkan kali ini cerapan dilakukan bersama rakan-rakan dan bukan seorang. Tambahan pula saya agak teruja untuk mencuba teleskop Orion XT4.5.

Secara keseluruhan Orion XT4.5 sememangnya mempunyai kualiti yang hebat. Sesampainya dari kedai, collimation teleskop berkenaan berada pada keaadan yang amat baik. Ini di sahkan melalui star test yang saya buat ketika cerapan. Saiz yang kecil memudahkan ianya dibawa ke mana-mana dengan mudah.

Harga XT4.5 cuma RM1450 (tidak termasuk bayaran penghantaran). Berbeza dengan Apex Maksutov cassegrain yang memerlukan tripod, binaan Dobsonian XT4.5 menyebabkan semua kos tertumpu pada kualiti optik teleskop berkenaan. Justeru ianya merupakan teleskop paling bagus dan murah untuk yang mahu memulakan hobi dalam bidang astronomi. Teleskop lain saya tak jamin. 
Khusyuk Melakukan Cerapan berama Orion Apex 90mm Mak Cass(dengan Tripod) dan Orion XT4.5( Dobsonian)

XT 4.5 tidak memerlukan apa-apa set up. OTA yang boleh dihalakan dalam pelbagai sudut membolehkan cerapan dilakukan dengan mudah. Eyepieces yang disertakan bersama adalah 25mm plossl dan 10mm plossl. Kedua-duanya berkualiti. Barlow mungkin diperlukan untuk cerapan bulan. Namun kualiti imej merosot dalam magnifikasi 180x (10mm +2x Barlow). Ini disebabkan oleh keadan atmosfera di Malaysia.

Selama ini, saya sering mencadangkan rakan-rakan saya menggunakan XT4.5. Kini setelah mencuba sendiri teleskop berkenaan saya lebih yakin untuk mencadangkan teleksop dobsonian orion kepada bakal-bakal peminat astronomi.