Saturday, 3 December 2011

Birdwatching : Blue-Tailed Bee-Eater

7 hari sebelum gerhana bulan penuh 10 Disember 2011. Saya kini berada di Kuala Lumpur. Cuaca di Melaka tidak cerah pada petang dan malam hari. Begitu juga di Kuala Lumpur. Seperti mana ketika belajar di Twickenham, saya seronok memerhati burung-burung di dengan binokular. Di London, kadang-kadang, beri makan burung di tepi sungai thames. Ada post sebelum ini berkisar tentang aktiviti berkenaan.

Ini dikira post kedua berkenaan birdwatching yang saya kongsikan. Walaupun cuaca mendung dan musim tengkujuh, saya masih bawa juga teleskop Orion Maksutov Cassegrain 90mm saya. Ahhh, saya dapati ada habuk pada cermin utama. saya tidak pasti bagainama habuk boleh masuk kedalam tiub optik teleskop saya. Tapi saya percaya ianya tidak perlu di bersihkan kerana tidak menganggu imej.

Kali ini saya gunakan teleskop 90mm saya untuk tujuan melihat burung. Walaupun asalnya saya hendak merakam gambar monyet, tetapi monyet kelihatan seakan-akan tahu kehadiran saya. Mereka beredar sebaik teleskop saya siap untuk merakam telatah mereka.

Jadi saya teruskan dengan hidupan liar lain. Saya bernasib baik dapat merakam gambar seekor burung. Agak sukar merakam gambar hidupan liar menggunakan teleskop memandangkan mereka berkeliaran dan tidak duduk diam. Lokasi saya mengambil gambar adalah di belakang pangsapuri tempat akak saya menginap. Jadi, dari balkoni tempat menyidai baju saya lakukan aktiviti saya. Balkoni menghadap ke arah timur, saya fikir ia bagus untuk di gunakan sekiranya langit cerah 10 Disember nanti. Berikut adalah gambar yang saya rakam. Kualiti tidak memuaskan, cahaya kurang. Saya letakan kamera kecil Nikon Coolpix saya pada teleskop.



Saya teliti gambar yang saya rakam. Saya tidak punya pengalaman dalam meneliti unggas dan hidupan liar. Namun setelah melakukan sedikit carian dengan google. Saya yakin saya dapat mengenal pasti burung yang saya lihat petang tadi.

Burung berkenaan adalah Blue-Tailed Bee-Eater atau nama saintifiknya Merops Philippinus. Spesies burung ini banyak di sekitar asia tenggara. Ianya juga berhijrah dan pada musim tertentu dilihat di semenanjung India. Ciri yang dinyatakan di wikipedia adalah berwarna hijau dan terdapat belang hitam pada mata. saya fikir ciri ini sama dengan burung yang saya lihat melalui teleskop saya. Spesies burung ini dikira sebagai tidak terancam. Seperti namanya, burung ini memakan serangga seperti kumbang dan pepatung.

Walaupun objektif untuk merakam imej monyet di sekitar belakang rumah akak saya tidak kesampaian, namun saya berjaya merakam gambar burung melalui teleskop saya. Ini kali pertama saya menggunakan teleskop saya untuk aktiviti bukan astronomi. Harapanya langit yang mendung akan cerah pada 10 Disember nanti. Sekian.

Nota: saya gagal mendapatkan nama tempatan bagi burung ini. Asalnya saya ingatkan sejenis burung raja udang. Tapi saya rasa ianya berbeza.

No comments:

Post a Comment