Showing posts with label Saturn. Show all posts
Showing posts with label Saturn. Show all posts

Saturday, 23 March 2013

Cerapan sempena Earth Hour 2013(review Orion XT4.5)

Objek: Bulan, Musytari(Jupiter), dan Zuhal (Saturn)
Teleskop: Orion Apex 90mm Maksutov Cassegrain, Orion SkyQuest XT4.5
Cuaca: Cerah dengan tompokan awan. Langit sebelah timur boleh dikatakan di penuhi awan.
Tarikh: 23/03/13
Masa: 9.30 malam-12 tengah malam
Lokasi: Kolej Matrikulasi Labuan

Lebih enam bulan saya tidak menulis laporan cerapan. Pos terakhir ketika sebelum ditugaskan di Labuan. Teleskop Orion XT10 saya tinggalkan di Melaka. Ada masalah untuk saya bawa ke Labuan. Namun, saya melabur dengan tripod Alt Azimuth teleskop 90mm Orion Apex (Maksutov Cassegrain) saya. Jadi cerapan dengan 90mm Apex tidak sesukar dulu (dengan tripod kamera). Tidak ada laporan cerapan selama ini kerana sudah jarang mencerap atas sebab-sebab kerja. Tambah pula XT10 di Melaka. Cerapan kecilan diadakan sekali sekala.

Laporan kali ini berkaitan 3 objek langit, bulan, Musytari(Jupiter) dan Zuhal (Saturn). Peralatan yang digunakan bukan satu teleskop tapi 2! Sudah lama mengidam nak mencuba Orion XT4.5, akhirnya tertunai apabila kawan saya beli dari StargazerOnline Shop di Bukit Jalil.

Bulan

Laporan kali ini lebih tertumpu pada cerapan melalui Orion XT4.5. Bulan 83% penuh ketika cerapan dilakukan. Banyak ciri bulan yang menarik dapat dicerap ketika ini. Antaranya, kawah Gassendi, Rupes Leibig, sistem sinar kawah Copernicus serta kawah-kawah lain. Berikut adalah gambar yang di ambil pada cerapan tadi:
Gassendi, Rupes Leibig

Copernicus Ray Systems

Copernicus Ray Systems

Plato, Valis Alpes, dan kawah-kawah di kawasan utara bulan

Mare Imbrium, Jelas kelihatan banjaran Gunung didalam Mare Imbrium

Sinus Iridum, Mare Frigoris, dan kawah J. Herschel

Mare Crisum dan sistem sinar dari kawah Proclus

Plato
Cerapan Visual Bulan melalui XT4.5 amat memuaskan hati. Imej dan ciri pada permukaan kawah bulan amat jelas dan mudah dilihat. Bahkan Rimae Gassendi yang berada di dalam kawah Gassendi amat mudah dilihat secara visual.

Musytari (Jupiter)

Jupiter semakin sukar dicerap. Waktu Istiqbal telah berlalu, Musytari semakin menjauhi bumi (bumi menjauhi Musytari). Walaubagaimana pun Musytari terus cerah dilangit barat sebelum terbenam.

Imej Musytari melalui Orion XT4.5 dengan magnifikasi 90x (10mm eyepiece) amat jelas. Jalur pada musytari amat kontra dengan kawasan cerah di awan musytari. Bulan Musytari juga kelihatan jelas dan cerah melalui Orion XT4.5. Secara relatifnya pada malam ini Orion XT4.5 memberikan imej yang lebih baik berbanding Apex 90mm Maksutov Cassegrain. Samaada bayangan ataupun betul, saya rasa saya dapat melihat barge pada permukaan Musytari. 

Kelihatan juga 2 bulan di sebelah 'atas' Musytari. Pada jam 9.30 malam cuma satu bulan kelihatan. Kemudian satu bulan lagi muncul tidak lama kemudian. Bulan itu adalah Europa dan Ganymede. Saya tidak ingat melihat bulan yang lain, barangkali sebab saya cuma tumpukan pada 2 bulan berkenaan.

Ketika cerapan saya beranggapan bahawa Europa baru keluar dari belakang Musytari. Namun melalui software Jupiter2, apa yang berlaku sebenarnya ialah Europa baru transit Planet Musytari (lalu di depan Musytari). Melalui Jupiter2 juga didapati terdapat bayang-bayang Europa di atas planet Musytari. Namun bayang-bayang tidak kelihatan ketika cerapan. 

Saya tidak berpengalaman mencerap transit. ketika Ogos 2010 dulu berkemungkinan saya menyaksikan Io transit melalui XT10. Sehingga kini masih belum saya sahkan cerapan berkenaan. Berikut adalah imej yang diambil melalui XT4.5:


 Kelihatan 2 bulan Musytari Ganymede dan Jupiter samar-samar didalam gambar diatas. Europa paling hampir dengan Musytari.


Zuhal(Saturn)


Cerapan Zuhal ringkas dan pendek. Disebabkan kepenatan, kepanasan dan dihurung nyamuk, cerapan Zuhal tidak lama.

Zuhal sedang menghampiri Istiqbal pada bulan hadapan. Ianya semakin sesuai untuk dilihat. Posisi Zuhal sekarang membolehkan Cassini Division dicerap.

Saya melihat 2 bulan pada Zuhal tadi melalui Orion XT4.5. 2 Pencerap termasuk saya merasakan Cassini Division dapat dilihat dalam cerapan kali ini. Memang ada laporan cerapan yang mengatakan Cassini Division dapat dilihat dengan menggunakan XT4.5. Ia sesuatu yang menarik memandangkan ada yang mengatakan bahawa untuk mencerap Cassini Division memerlukan teleskop reflektor 8inchi keatas. Berikut adalah gambar Zuhal yang dirakam. Agak banyak masa yang dibuang untuk merakam gambar berkenaan sehinggakan cerapan visual sedikit diabaikan.

Imej Zuhal yang dirakam menggunakan teknik afocal. Cerapan Visual lebih jelas dari gambar diatas.



























Kesimpulan

Ini cerapan paling lama saya lakukan semenjak mula berkhidmat di Labuan. Ini disebabkan kali ini cerapan dilakukan bersama rakan-rakan dan bukan seorang. Tambahan pula saya agak teruja untuk mencuba teleskop Orion XT4.5.

Secara keseluruhan Orion XT4.5 sememangnya mempunyai kualiti yang hebat. Sesampainya dari kedai, collimation teleskop berkenaan berada pada keaadan yang amat baik. Ini di sahkan melalui star test yang saya buat ketika cerapan. Saiz yang kecil memudahkan ianya dibawa ke mana-mana dengan mudah.

Harga XT4.5 cuma RM1450 (tidak termasuk bayaran penghantaran). Berbeza dengan Apex Maksutov cassegrain yang memerlukan tripod, binaan Dobsonian XT4.5 menyebabkan semua kos tertumpu pada kualiti optik teleskop berkenaan. Justeru ianya merupakan teleskop paling bagus dan murah untuk yang mahu memulakan hobi dalam bidang astronomi. Teleskop lain saya tak jamin. 
Khusyuk Melakukan Cerapan berama Orion Apex 90mm Mak Cass(dengan Tripod) dan Orion XT4.5( Dobsonian)

XT 4.5 tidak memerlukan apa-apa set up. OTA yang boleh dihalakan dalam pelbagai sudut membolehkan cerapan dilakukan dengan mudah. Eyepieces yang disertakan bersama adalah 25mm plossl dan 10mm plossl. Kedua-duanya berkualiti. Barlow mungkin diperlukan untuk cerapan bulan. Namun kualiti imej merosot dalam magnifikasi 180x (10mm +2x Barlow). Ini disebabkan oleh keadan atmosfera di Malaysia.

Selama ini, saya sering mencadangkan rakan-rakan saya menggunakan XT4.5. Kini setelah mencuba sendiri teleskop berkenaan saya lebih yakin untuk mencadangkan teleksop dobsonian orion kepada bakal-bakal peminat astronomi.

Sunday, 24 June 2012

[Cerapan] Objek Deep Sky(DSO)

Objek: Zuhal, M4, M7, M6 (butterfly cluster), Lagoon Nebula, Trifid Nebula
Tarikh: 23/06/12
Peralatan: Orion XT10, Celestron 10x50 Binokular. Untuk cerapan objek deep sky, Eyepiece yang digunakan adalah Orion Q70 32mm 2inch Eyepiece.


Semalam (23/06/12 Jam 2234) cuaca agak cerah. Bintang Antares yang berada lebih kurang langit selatan dah mula meninggi. Bahagian langit selatan di kawasan cerapan saya ditutupi dengan pokok kelapa sawit. Jadi sejak beberapa ketika memang susah nak buat cerapan kalau objek berada di bahagian selatan. Utara pula selalu berawan. 

Zuhal


Awal cerapan saya mulakan dengan cerapan planet Zuhal. Ini bagi memastikan apa yang saya cerap pada 17 Jun adalah betul. Saya dapat sahkan pada 23 Jun memang saya tidak dapat lihat Cassini Division secara visual dengan magnifikasi 160x/96x. Cerapan Zuhal mengambil masa lebih kurang 20-30minit.



Beberapa cerapan yang lalu saya ada tulis tentang kesukaran mencerap objek-objek deep sky jika tiada pengalaman. Baru-baru ini saya mula gunakan binokular untuk mengimbas langit bagi mencerap objek-objek deep sky. Berbaloi kerana binokular memang peralatan terbaik untuk latihan mengenal bintang dan membiasakan diri dengan kedudukan bintang. Omega Centauri, M4 globular cluster antara objek deep sky yang saya perhatikan melalui binokular terlebih dahulu sebelum menggunakan teleskop.



Gugusan Messier 4 


M4 saya perasan melalui bintang Antares. Antares agak mudah dicari memandangkan warnanya yang 'merah' berbanding dengan bintang lain. Antares adalah bintang dalam buruj Scorpio. Jadi saya tumpukan cerapan saya dengan bintang-bintang dalam buruj scorpio kerana berdekatan dengan bintang-bintang tersebut terdapat objek deep sky yang menarik.

Gambar 1: M4 dari teleskop amatur (Sumber : Hewholooks)
M4 melalui binokular memang kurang jelas. Namun jika diperhatikan sebaik mungkin kelihatan seakan kotoran/asap yang bercahaya dilangit. Bentuknya hampir sama dengan Omega Centauri jika dilihat dari binokular cuma, kecerahan omega centauri lebih cerah berbanding M4. Justeru, kali pertama saya menghalakan binokular ke M4 saya tidak pasti apa yang saya lihat. Saya fikir M4 yang saya lihat menerusi binokular mungkin bayangan dalam fikiran saya. Cerapan kali ini mengesahkan apa yang saya lihat terlebih dahulu. 


Melaui Orion XT10, imej M4 tidak secerah Omega Centauri. Barangkali disebabkan bintang berdekatan menyebabkan kontras imej kurang menyerlah. Dengan menggunakan Orion Q70 32mm eyepiece saya boleh muatkan M4 dan Antares dalam field of view (FOV) saya. Imej yang saya perhatikan hampir sama dengan rajah diatas cuma imej yang saya lihat hitam putih. Imej diatas dirakam dengan ccd.


Messier 7 dan Butterfly Cluster


Setelah mengesahkan apa yang saya lihat berdekatan Antares, Saya halakan binokular pada ekor scorpio. Bintang Shaula dan Lesath (berkemungkinan dari bahasa Arab) menjadi petunjuk saya kali ini.

Gambar 2: M7 atau Ptolemy Cluster (sumber: Astronet)
Tidak sukar mencari M7. Halakan teleskop pada Shaula, dan kemudian tolak(dobsonian) tube teleskop ke kiri supaya pointer difinderscope bergerak lebih kurang satu jari dari bintang Shaula. Insya'Allah terus boleh jumpa M7 atau dikenali juga sebagai ptolemy cluster.

Saya boleh cari M7 dengan mudah melalui binokular. Bahkan binokular yang membantu saya mencari M7 dengan teleskop. Melalui teleskop saya, bintang-bintang kebiruan seperti dalam Gambar 2. Cuma tidaklah saya lihat bintang sebanyak dalam gambar 2 melalui visual. Dan kecerahan melalui teleskop saya kurang sedikit berbanding dengan gambar 2.

Butterfly Cluster(M6) tidak berada jauh dari M7. Melaui binokular, boleh dilihat M6 dan M7 dalam fov yang sama.  Saya boleh muatkan M6 dan M7 dalam fov eyepiece 32mm saya. Tapi kesan aberration eyepiece membuatkan imej tidak fokus dibahagian tepi fov. Lebih lama saya lihat, lebih jelas bentuk Rama-Rama M6. 

Gambar 3: M6 Butterfly cluster (sumber : APOD)
Apa yang menyebabkan saya mudah mengenali M6 bukan kerana bentuknya. Tetapi dalam gugusan M6 terdapat satu bintang berwarna merah berbeza dengan warna biru bintang lain. Jika dilihat melalui teleskop newtonian saya bintang tersebut berada di sayap kanan rama-rama. Bintang tersebut adalah BM Scorpii (HIP 86257).

Lagoon Nebula dan Trifid Nebula

Ini merupakan kali pertama saya mencerap Nebula selain dari Orion Nebula. Orion Nebula lebih mudah dicerap kerana cerah dan bentuknya yang mudah dikenali serta kedudukan yang mudah dicari didalam buruj Orion.
Gambar 4: Lagoon Nebula (Sumber Misti Mountain Observatory)
Pada asalnya saya sesat ketika mencari Butterfly Cluster. Terjumpa Lagoon Nebula, walaupun ketika itu saya tidak tahu namanya, tapi saya tahu ia adalah nebula kerana 'nebulosity' objek yang saya lihat memang jelas. Ciri yang paling menonjol secara visual adalah gap gelap ditengah-tengah nebula. Ciri itu yang buat saya kenal Lagoon Nebula. Tidak seperti Gambar 4, imej visual yang saya lihat kurang cerah dan tiada warna. Warna didalam gambar adalah kesan pemprosesan komputer (Imej diambil dengan filter RGB dan kemudian diproses). Saya tidak perasan Lagoon Nebula binokular. 

Untuk mencari Lagoon Nebula saya gunakan bintang Kaus Borealis sebagai petunjuk. Tidak jauh dari Lagoon Nebula dan bintang berkenaan boleh dilihat dengan mata kasar.

Tidak jauh dari Lagoon Nebula terdapat satu lagi nebula, yang dinamakan Trifid Nebula.

Gamabar 5 : Trifid Nebula ( Sumber: Physcohistorian)
Saya tidak nampak apa-apa ciri dan details pada trifid nebula ketika cerapan. Apa yang membuatkan saya yakin objek yang saya lihat adalah trifid nebula adalah kedudukannya yang hampir dengan Lagoon Nebula dan saya perasan ciri Nebula pada objek yang saya lihat.

Saya boleh muatkan Trifid Nebula dan Lagoon Nebula dalam satu fov (XT10). Saya halakan binokular, saya tidak nampak apa-apa ciri  menonjol nebula melalui binokular saya. Jadi saya simpulkan saya tidak lihat kedua-dua nebula melalui binokular (walaupun saya ada nampak sesuatu yang berkemungkinan 2 nebula yang hampir).

Penutup

5 DSO dalam satu malam M4,M7,M6, Lagoon nebula, Trifid Nebula. Saya rasa saya boleh tambah lagi list malam tu, cuma dah tengah malam dan nyamuk dah banyak. 5 DSO kira satu pencapaian untuk saya.  Biasanya nak cari 1 DSO pun terkial-kial. Malam 23 Jun adalah malam cerapan yang agak serius bagi saya. Bukan sahaja saya bawa teleskop dan binokular, Laptop pun saya bawa untuk rujuk Stellarium. Itu yang membuatkan saya boleh cerap dan mengenali objek yang saya cerap. Selain dari itu saya bawa buku nota, pen, dan lampu suluh (merah). Saya tulis sedikit-sedikit apa saya buat dan lihat, akan datang saya akan cuba tulis dengan lebih banyak. 


Gambar 6: Sedikit Coretan Cerapan 
Selain daripada itu, Buruj Scorpio merupakan Buruj yang mudah dicari dan banyak DSO disekitar Buruj Berkenaan. Jadi siapa-siapa yang baru mula nak menjinakkan diri dalam mencerap DSO, mungkin Buruj Scorpio boleh dijadikan target yang baik. Sekian.

Nota: Semua gambar Objek Deep Sky didalam post ini diambil dari sumber lain. Sumber gambar dinyatakan didalam caption gambar. Cerapan hanya dibuat secara visual.


Apabila saya kata bintang/objek berwarna merah, boleh jadi Jingga, cuma saya selalu anggap merah.

Thursday, 21 June 2012

Apa yang saya fikir pasal Zuhal? (Jun 2012)

Dalam bulan Jun-Julai Zuhal masih lagi boleh dicerap dan kecantikan gelang Zuhal memang tak dapat dinafikan. Walaubagaimanapun dengan set up yang saya ada sekarang, saya dah nampak perbezaan cerapan Zuhal ketika hampir dengan tarikh Istiqbal(opposition) dan apa yang saya cerap sekarang. 

Saya tak dapat perhatikan Cassini Division ketika cerapan baru-baru ni.  Mungkin ada beberapa sebab. Antaranya kedudukan Zuhal semakin jauh, atau mungkin seeing tak berapa baik pada tarikh saya lakukan cerapan. Pada asalnya saya jangkakan collimation teleskop dah lari, tapi lepas periksa teleskop, nampak tiada masalah. Saya akan buat star test pada masa akan datang.

Teleskop Newtonian

Teleskop jenis newtonian walaupun murah ada beberapa kelemahan. Antaranya pengguna perlu periksa collimation teleskop. Asalnya sebelum saya beli teleskop XT10 memang saya ambil kira perkara ini dan saya  dapati collimation tidak sukar dilakukan. 

Teleskop Newtonian bersaiz kecil (3-8inch) tidak memerlukan collimation yang kerap. Teleskop 10 inch berkemungkinan memerlukan collimation setiap kali ianya dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain (travel jauh).Tapi sepanjang saya guna, walaupun teleskop xt10 saya pernah travel dari birmingham ke Malaysia, kedudukan cermin dalam OTA tidak memerlukan collimation yang serius. Link untuk collimate teleskop boleh didapati di bahagian tepi blog saya. 

Imej Zuhal 

Walaupun gunakan teleskop Dobsonian (manual) saya tak terlepas dari ambil gambar. Teleskop Dobsonian tak sesuai untuk astrophotografi. Sepanjang tahun 2012, saya dah cuba ambil gambar Zuhal beberapa kali. Gunakan Dobsonian dan Orion Apex 90mm saya. Kedua-duanya tidak mempunyai sistem auto tracking. Sejak kebelakngan ini saya selalu lakukan cerapan dengan XT10.  Berikut beberapa Imej yang saya dapati dalam tahun 2012.
Gambar 1

Gambar 2

Gambar 3

Gambar 4









Gambar 2 dan Gambar 3 diambil pada tarikh yang sama. Gambar 3 kelihatan secara tidak jelas titik berhampiran Zuhal. Perisian astronomi meyakinkan saya titik berkenaan adalah Titan, bulan Zuhal yang paling besar.

Terdapat perbezaan dari segi kualiti ke empat-empat gambar yang saya ambil. Perbezaan tersebut boleh disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah teknik yang saya gunakan untuk merakam gambar berkenaan. Saya menggunakan teknik Afocal, manual tracking. Jadi kadangkala imej yang dihasilkan memang akan berbeza hanya kerana cara saya letakan lens kamera compact saya pada eyepiece berbeza. 

Kedua, mungkin disebabkan oleh cara saya edit gambar berkenaan. Kadangkala baik dan kadangkala kurang baik. Perhatikan perbezaan Gambar 1,2,3 dengan Gambar 4. Cassini Division hampir/langsung tidak kelihatan pada gambar 4. Secara visual pada tarik 17/06/2012 saya tidak dapat perhatikan Cassini Division. 

Gambar 1 diambil ~sebulan sebelum tarikh opposition manakala gambar 2 dan 3 diambil lebih kurang 2 minggu selepas tarikh opposition. Cassini division dapat dilihat dibahagian tepi gelang kiri dan kanan. Secara visual ia lebih jelas. Berhampiran dengan tarikh opposition saya dapat rakamkan titan. 

Seperti mana saya katakan sebelum ni, mungkin disebabkan cuaca, dan berkemungkinan besar disebabkan Zuhal dah semakin jauh dari bumi (saya rasa sebab kedua). Saya tak dapat lakukan cerapan selepas tarikh 17/06/2012 atas sebab cuaca.  Secara visual Titan masih kelihatan pada kali terakhir cerapan saya (dan memang sentiasa kelihatan sepanjang tahun). 

Encke Division

Saya ada baca secara teori teleskop 8inchi (ada yang kata 7inchi) berkualiti dapat digunakan untuk cerap Encke Division sekiranya keadaan cuaca yang sangat baik. Encke division berada paling luar dalam gelang Zuhal. Lebarnya lebih kecil dari Cassini Division (325km< 4800km).

Walaupun saya ada teleskop 10inchi yang berkualiti, saya tidak rasa saya dapat cerap Encke Division atas beberapa sebab. Antaranya, cuaca yang baik sukar didapati dan eyepiece yang saya ada tak cukup untuk cerap Encke Division. Saya perlukan eyepiece bermaknifikasi tinggi. Selain daripada itu, Encke division kecil dan memerlukan Zuhal untuk senget secara maksimum supaya dapat dilihat. 

Selain daripada tu saya ada juga perhatikan imej yang diambil oleh DrRowi dari blog beliau tahun ini. Saya perhatikan Imej Zuhal yang beliau rakam tidak kelihatan Encke Division. Tiada laporan pemerhatian Encke Division secara visual oleh beliau (setahu saya). Peralatan yang Dr Rowi gunakan JAUH lebih hebat dari apa yang saya ada. Saya tak periksa laporan cerapan/imej En Shahrin berkenaan Zuhal. 

Walaubagaimanapun saya lihat di FB page Damian Peach, imej Zuhal yang beliau rakam ada kelihatan Encke Division. (Kalau tak silap saya beliau ada rakam ribut di Zuhal juga). Damian Peach guna teleskop 14inchi dengan kamera/ccd yang canggih(dan mahal). 

Nota: Division (Encke/Cassini) adalah kawasan kosong antara gelang-gelang Zuhal. Sebagai contoh Cassini Division memisahkan gelang A dan B planet Zuhal.

Musim

Jun-Julai bulan akhir untuk saya cerap Zuhal. Ini disebabkan Zuhal semakin menjauh. Musim cerapan Zuhal untuk saya dah hampir tamat.  Lagipuun sejak transit venus baru-baru ini peminat astronomi dah mengalihkan pandangan kepada peristiwa berkenaan. 

Musytari(Jupiter) pula dah mula terbit disebelah timur waktu subuh. Masih jauh dari tarikh opposition tapi gambar yang di kirim oleh Damian Peach baru-baru ni menunjukan sesuatu yang menarik berlaku pada Musytari. Jalur awan utara( Northen Equatorial Belt) Musytari kelihatan bergolak. Komen pada gambar Damian Peach mencadangkan perkara itu jarang berlaku dan tidak berlaku hampir 50tahun sebelum ini.

Sistem cuaca Musytari agak misteri dan menjadi tumpuan Ahli Astronomi professional dan Amatur. Jalur selatan(Southern Equatorial Belt) Musytari sebagai contoh kadang-kadang hilang hampir 2 tahun dan boleh muncul semula. Pada tahun 2010 saya cerap Musytari, SEB tidak ada. Ketika itu saya gunakan magnifikasi 48x sahaja (rendah). Imej saya rakam dengan kamera (handheld) menunjukan ketiadaan SEB. Hanya beberapa bulan selepas saya cerap, SEB muncul semula setelah 2 tahun menghilang. Yang menarik, Saintis tidak faham mengapa ia berlaku. 

Penutup:

Saya gembira dengan teleskop yang saya ada. Cuma saya perlu akui saya perlu invest sedikit lagi untuk lengkapkan peralatan saya. Saya perlukan mount sesuai untuk Orion Apex 90mm, Eyepiece berkuasa tinggi (mungkin 10mm), dan finderscope baru (EZ finderscope yang dibuat dari plastic dah takbetul sangat). Buat masa ni saya kalau rosak teruk saya gunakan finderscope Orion Apex 90mm saya. 

Berkenaan dengan Zuhal: kali pertama saya cerap Zuhal dengan XT10 adalah bulan Jun 2010. Hanya dengan magnifikasi 48x saya rasa saya nampak Cassini Division. Kawan yang hadir ketika cerapan sifatkan ciri yang kami nampak sebagai garisan hitam. dengan magnifikasi 48 sukar untuk saya sahkan apa yang kami lihat. Kini saya rasa itu bukan Cassini Division sebaliknya jalur pada permukaan Zuhal ataupun ruang antara gelang dengan planet. Namun pada cerapan saya tahun ini dengan magnifikasi 160x, saya boleh sahkan saya lihat cassini division dengan teleskop saya. Dan saya rakam imej planet berkenaan dengan lebih baik. 

Tahun lepas saya sahkan saya boleh cerap GRS pada Musytari. Saya juga berjaya rakam gambar Musytari dengan GRS. Tahun ini saya berharap dapat cerap transit bulan planet Musytari. Kali terakhir cerap adalah Transit Io pada 2010. Itupun magnifikasi rendah jadi tak dapat saya nak pastikan. Kali ini harapnya berjaya.

Selain daripada itu, sekarang saya mula berjinak-jinak dengan DSO (Deep Sky Object). Selain Andromeda, Orion Nebula,Omega Centauri, dan Pleiades tak ada DSO lain yang saya cerap dengan Teleskop. Baru-baru ni saya scan langit dengan Bino, dan guna Stellarium untuk belajar kedudukan bintang dan DSO. Saya dapati Antares adalah bintang yang baik untuk saya jadikan rujukan untuk cerap DSO. Lagipun M4 berdekatan dengan Antares dan saya percaya saya perhatikan M4 dari bino 10x50 saya. 

Friday, 27 April 2012

Titan

Tarikh: 27/04/12
Masa : Jam 2030-2135
Object : Zuhal
Teleskop: orion XT10
Kali terakhir mencerap 1 April. Maknanya 25 hari cuaca mendung dan hujan waktu malam dalam bulan April.  Hampir 2 minggu lepas berlakunya Opposition Zuhal, Zuhal masih berada pada kedudukan yang baik untuk di cerap. Selain dari Zuhal, td sempat juga cerap bulan dan Zuhrah. Zuhrah berbentuk sabit hampir sama dengan fasa bulan hari ni. Tiada gambar Zuhrah atau bulan saya rakam.

Saya tumpukan pada Zuhal. Pada Magnifikasi 48x saya boleh lihat sau bulan Zuhal iaitu Titan. Pada Magnifikasi 96x saya lihat 4 bulan Zuhal termasuk Titan. Pada magnifikasi 160x saya cuma lihat Titan. Selain dari pada bulan-bulan Zuhal ada juga bintang bermagnitud ~10 berhampiran Zuhal. Saya hampir ingat ianya bulan. Titan bermagnitud 8. 

Berikut adalah gambar yang saya rakamkan untuk cerapan kali ini.
Zuhal dan salah satu bulan nya Titan (kabur2 tapi telah saya labelkan).
Sengaja saya tak naikan kontras gambar diatas untuk melihatkan kedudukan Titan pada cerapan kali ini. Titan adalah bulan Zuhal yang paling besar. Pada cerapan bulan lepas (22/3 dan 17/3) saya tidak rakamkan mana-mana bulan Zuhal . Nampaknya kali ini berjaya saya rakamkan buat kali pertamanya. Saya tidak pasti sama ada Jarak Zuhal ada kaitan atau tidak, atau mungkin keadaan cuaca, atau mungkin kali ini kedudukan Titan membolehkan saya merakamnya.  Yang pasti, Jarak antara Zuhal dan bumi pada cerapan ini, lebih hampir dari cerapan 22/3 dan 17/3(Stellarium). 

Ciri pada Zuhal kelihatan sama seperti cerapan lalu. Cassini Division jelas dan jalur pada planet Zuhal juga kelihatan.

Sekian

Update:

Gambar Zuhal yang dirakam pada malam cerapan.. Titan tiada dalam gambar..


Friday, 23 March 2012

Zuhal berlabel

Objek: Zuhal
Tarikh: 22/03/12
Masa: 2300-2330
Teleskop: Orion XT10

Post ni untuk tulis sikit pasal cerapan zuhal semalam. Semalam cuaca kira ok, tapi tahu kenapa tak nampak banyak bintang. Pernah sekali cerah sampai nampak bima sakti(milky way). Waktu tu ijtimak Zuhrah dan Bulan.

Semalam Zuhal melalui magnifikasi 48x hanya menampakkan 3 bulan nya. Pelik.. mungkin saya tidak pandang betul-betul. Saya nampak Dione , Titan dan Rhea. Tethys tidak kelihatan padahal magnitud kecerahan hampir sama dengan Dione. Mungkin sebab berada 'dekat' dengan Zuhal. Jadi saya tak perasan. Hari ni nampaknya penglihatan tak berapa baik, mungkin ada awan, atau Zuhal tak cukup meninggi lagi ke?? Saya terpaksa tunggu zuhal terbit meninggi atas beberapa sebab, 1) supaya kesan atmosfera kurang, 2) kawasan saya mencerap ada pokok kelapa. Jadi saya kena tunggu Zuhal ada atas pokok kelapa dulu:p.

Dibawah adalah gambar Zuhal. Mungkin gambar tak berbeza dengan cerapan 17/03 lalu. Saya rasa sampai bulan depan (waktu Istiqbal) pun mungkin perbezaan tak kan ketara sangat. Lagipun saya gunakan teleskop dobsonian, dan rakam gambar guna teknik afocal (letak kamera kat eyepiece).

Zuhal; Cassini Division jelas kelihatan di atas gelang zuhal.
Apa yang saya nak tambah dalam post kali ini adalah gambar berlabel. Saya cuba labelkan gambar di atas bagi menunjukkan apa yang saya lihat.

Gambar berlabel cerapan 22/03/12


Walaupun samar-samar, saya pasti yang saya lihat cassini Division. Disebabkan Cassini Division memisahkan Gelang A (A ring) dan Gelang B ( B ring), jadi saya boleh labelkan A dan B dalam gambar di atas. Cuma C ring saya tak pasti. Saya tak lihat waktu cerapan. Cuma bayang saya?? Bayang-bayang Zuhal masih di situ dan awan zuhal juga kelihatan.

Itu saja untuk laporan cerapan kali ni. Walapupun saya rasa cerapan akan datang tak banyak perbezaan, tapi saya masih berharap ada benda baru yang saya rakamkan akan datang. Sekian.

Saturday, 17 March 2012

Zuhal sebulan sebelum Istiqbal

Objek: Zuhal
Masa: Jam 0030-0105
Tempat: Asahan Jasin Melaka
Teleskop: Orion XT10
Cuaca: Cerah, awan nipis kelihatan

Semalam dan pagi 17/03/12 cuaca cerah setelah beberapa hari hujan dan mendung. Belajar dari perubahan cuaca, saya tak dapat halang diri untuk cerap zuhal. Kali terakhir cerap zuhal melalui teleskop orion xt10 adalah hampir 2 tahun lepas. Itu ketika kali pertama saya gunakan teleskop. Zuhal memang amat menarik. Gelang Zuhal menyebabkan peminat astronomi boleh menghabiskan masa berjam-jam mencerap Zuhal. 2 tahun lepas saya gunakan eyepiece 25mm. Jadi magnification cuma 48x. Kali ini saya gunakan eyepiece 15mm dengan 2x Barlow menjadikan magnification sebanyak 160.

Puas hati saya dapat pastikan bahawa melalui Orion XT10 saya dapat melihat Cassini division. 4 bulan Zuhal juga kelihatan( Orion Apex cuma boleh nampak 1 bulan(Titan) sahaja, itu ketika Istiqbal 2011). Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan Imej yang saya lihat menerusi teleskop saya. 

Berikut adalah saturn dan kedudukan bulan-bulan yang saya lihat ketika cerapan:

Kedudukan bulan Zuhal dihasilkan dari Stellarium. R: Rhea E: Enceladus D: Dione Ti: Titan
Keempat-empat bulan ini boleh dilihat dengan magnifikasi rendah. Titan adalah bulan Zuhal yang paling besar. Enceladus pula dipercayai menyemburkan ais yang membentuk gelang Zuhal. Berikut adalah imej yang saya rakamkan semalam:

Melalui cerapan visual, imej lebih jelas, dan Cassini division boleh dilihat.











Gambar di atas merupakan imej Zuhal terbaik saya buat masa ini. Saya gembira memiliki Orion XT10. Sudah banyak Imej bulan dan planet yang saya rakamkan walaupun dengan teknik afocal. Lihat kembali gelang Zuhal, saya boleh cerap planet ini berjam-jam. Sangat hebat ciptaan Allah.  Dalam Documentary Wonders of the Solar System ada menceritakan keindahan Zuhal.  Itu yang mempengaruhi saya menyertai hobi ini.

Berikut pula adalah video cerapan semalam. Video saya stack dengan Registax dan Imej diatas dapat dihasilkan :) 


Istiqbal Zuhal bulan depan. Saya tidak pasti tarikh tepat di Malaysia, tapi menurut website dari US ianya pada 14hb April. Ini bermakna Zuhal akan berada berhampiran dengan bumi pada tarikh itu. Jika berkesempatan saya akan cuba rakamkan imej pada Istiqbal Zuhal bulan depan. Harapnya cuaca cerah dah meingizinkan.

Kemaskini:

Saya nak perincikan sedikit apa yang saya maksudkan dengan saya nampak Cassini division. Gelang pada Zuhal sebenarnya terbahagi kepada beberapa gelang. Diantara gelang terdapat kekosongan (gap). Cassini division sekiranya dilihat dari teleskop bumi, ianya menjadi pemisah antara gelang A dan gelang B zuhal. (ada banyak gelang dan agak complex). Kekosongan pada gelang sebenarnya disebabkan oleh kesan graviti bulan zuhal pada gelang. Dalam kes Cassini division, bulan Mimas yang bertanggungjawab  membentuk Cassini division. Sebenarnya dalam Cassini division tu ada gelang2 juga, Voyager rakam gambar Cassini division secara dekat. 

Jika dilihat betul2 dari gambar saya yang kabur-kabur dibawah (serta kat atas), memang nampak ada bahagian hitam pada gelang Zuhal. Itu adalah Cassini division. Dengan mata, melalui teleskop, lebih jelas lagi.

Gambar yang ke2 saya edit. bahagian belakar Zuhal nampak bahagian gelang yang ditutupi bayang-bayang planet

Berikut pula adalah cassini division yang diambil dari satellite Cassini yang mengorbit Zuhal:

Perhatikan didalam Cassini division terdapat gelang-gelang lain (Gambar diambil dari website wikipedia)







Tuesday, 3 January 2012

Mencerap Zuhal & Bulan

Objek: Zuhal
Teleskop: Orion Mak Cass 90mm
Tarikh: 030112
Masa: ~4 a.m (Malaysia)

Zuhal

Dalam post ucapan awal tahun saya ada mention yang cuaca kat Malaysia mendung dan lembab. Ramalan manusia memang tak tentu. Allah dah izinkan langit cerah, 2 malam sudah. Pagi lepas pukul 12 awan menghilang membiarkan bintang di langit jelas kelihatan. Tingkap bilik menghadap timur, jadi saya tidak keluar rumah untuk mencerap. Cuma dari tingkap bilik sahaja.

Sudah memang menjadi impian sejak dulu lagi membeli teleskop untuk mencerap planet marikh. Rasanya planet marikh sinonim dengan rakyat Malaysia kerana ada mitos-mitos moden berkenaan dengan planet itu. Tapi sejak saya beli telekop 2 tahun lalu masih belum mencerap planet marikh. Hari untuk Istiqbal Marikh semakin hampir. Hari ini saya cuba halakan teleskop ke arah marikh. Masih tidak kelihatan apa-apa detail pada planet berkenaan. Apatah lagi saya cuma guna telekop kecil dan eyepiece 25mm.

Tapi Zuhal berbeza, kecil tapi gelang zuhal masih kelihatan jelas. Zuhal berada jauh dari bumi. Menjelang Istiqbal Zuhal nanti pastinya imej Zuhal melalui teleskop lebih baik. Saya masih ingat dalam tahun lepas ada saya tulis laporan cerapan Zuhal. Saya boleh lihat Titan  ketika itu. Dalam cerapan kali ini bulan zuhal tidak kelihatan. Saya akan pastikan sekali lagi malam ini jika langit cerah. Saya rasa mungkin sebab jarak Zuhal dengan bumi sekarang kira-kira 9 AU. Berikut adalah gambar dan video yang saya rakamkan.
Keunikan gelang Zuhal membolehkan peminat astronomi menghabiskan masa berjam-jam untuk mencerapnya planet ciptaan Allah ini. 


Zuhal kelihatan amat kecil dari teleskop 90mm saya.
Namun Gelangnya jelas kelihatan. Galileo adalah orang pertama mencerap Zuhal dengan Teleskop, namun di sebabkan kualiti optik ketika itu agak rendah, Galileo menyangka Zuhal mempunyai telinga!..

Bulan Jam 6 petang.

Langit 6 petang agak cerah. Saya ambil beberapa gambar bulan. Rindu rasanya lama tidak mencerap bulan. Berikut adalah gambar yang saya rakamkan.
Langit masih biru, bulan juga kelihatan biru.  Gambar saya edit dan menjadikan kawah-kawah jelas kelihatan.

Dalam banyak post saya ada menyebut saya gunakan teknik afocal. Jadi dalam post kali ini saya akan tunjukan set up amatur yang saya gunakan. Berikut adalah gambar ketika merakam imej bulan.
Imej bulan yang di rakam oleh kamera melalui eyepiece.

Kamera di tempatkan di eyepiece teleskop menggunakan camera adapter.
Tamat saya menulis post ini, langit kembali mendung. Semoga akan datang langit bertambah cerah terutamanya menjelang Istiqbal Marikh nanti. Sekian

Saturday, 2 April 2011

Log Cerapan: Saturn dua hari sebelum opposition

Object: Saturn
Equipment: Orion Apex 90mm Maksutov Cassegrain 
Date:01/04/11
Time: 2100-2300
Saturn menerusi Orion Apex 90mm, gambar di ambil dari video yang dirakam menggunakan Nikon Coolpix Camera

Kedudukan  bulan Saturn pada Jam 2256 01/04/11, Hanya Titan yang kelihatan menerusi Orion Apex 90mm (gambar dihasilkan dari website WWU Planetarium).
  1. Langit cerah seperti yang diramalkan, saya menunggu sehingga pukul 9 untuk mencari saturn yang sepatutnya sudah terbit seawal selepas matahari terbenam
  2. Ini merupakkan pertama kali saya menggunakan Teleskop Orion Apex 90mm Mak-Cass. Kiranya Saturn merupakan 1st light saya untuk telescope ini.
  3. Secara keseluruhan setup agak mudah cuma pada awalnya saya agak struggle untuk biasakan diri dengan tripod. Memandangkan saya guna tripod camera biasa, agak sukar untuk halakan arah teleskop secara tepat.
  4. Tidak sukar untuk saya cari saturn, saya jadikan buruj biduk sebagai reference. 
  5. Imej: Imej yang saya lihat dengan menggunakan eyepiece 25mm adalah sangat jelas. Saturn ring juga jelas kelihatan walaupun ianya kelihatan sangat kecil. 
  6. pada mulanya saya tidak nampak mana2 bulan saturn. Tapi lama kelamaan, selepas mata saya telah adapt dengan suasana gelap, saya mula nampak Titan. Satu2  nya bulan saturn yang saya nampak dengan menggunakan telescope ini. 
  7. Saiz teleskop ini sngt kecil dibandingkan dengan Orion XT10, namun Orion tidak pernah mengecewakan saya, Imej yang saya perhatikan sangat jelas dan cantik walaupun diameter cermin cuma 90mm. Gambar diatas merupkan gambar yang saya ambil dengan menggunakan camera digital biasa. Titan tidak kelihatan dalam gambar, namun kedudukan Titan seolah2 berada di bawah Saturn.
  8. Berikut adalah video yang sempat saya rakamkan malam semalam:


Semoga langit cerah sepanjang cuti spring yang bakal menjelang. Bercadang untuk mencuba teleskop Orion XT4.5 milik kawan di Birmingham. Sekian