Showing posts with label Teleskop. Show all posts
Showing posts with label Teleskop. Show all posts

Saturday, 30 March 2013

Jupiter melalui Orion XT4.5 (Video)

Tarikh: 29/03/12
Masa: 7.45-11.00 malam
Tempat: Kolej Matrikulasi Labuan
Cuaca: Mendung
Teleskop: Orion XT4.5

Cerapan kali ini merupakan sambungan kepada cerapan yang lepas. Kali ini saya meneruskan lagi cerapan menggunakan teleskop Dobsonian XT4.5. Teleskop ini terus mencuri hati saya dengan imej yang amat cantik dan tajam. Sekali imbas untuk seorang amaturs seperti saya, kualiti imej yang di tonjolkan tidak kurang dari Teleskop Orion XT10.

Cuaca amat mendung ketika cerapan ini dilakukan. Kedua-dua teleskop Orion XT4.5 dan Orion Apex Mak Cass 90mm menghala kearah planet Jupiter yang cerah di sebalik awan. Walaupun Jupiter telah melepasi kedudukan Istiqbal(opposition) ianya masih mudah di cerap dan cerah dilangit.

Sekali-sekali awan membuka tirai bagi membolehkan kami mengintai kearah Jupiter. Ketika itu teleskop Orion XT4.5 telah siap dengan kamera bagi membolehkan imej dirakam. Alhamdulillah video selama beberapa minit dapat saya rakam. Ini merupakan kali pertama saya mengikuti(track) planet sambil merakam video. Apa yang membolehkan saya melakukan tracking secara manual adalah saiz teleskop yang kecil dan mudah di kendalikan. Berikut adalah video cerapan Jupiter pada malam berkenaan.




Video berkenaan kemudiannya saya proses menggunakan Registax 6. Berikut adalah imej yang dihasilkan setelah diproses:

3 Jalur pada planet Jupiter jelas kelihatan (dari kiri (paling nipis) northern temperate Belt, Northern Equatorial Beln dan Southern Equatorial Belt. 

Imej mungkin boleh di tambahbaik sekiranya cerapan dilakukan ketika Istiqbal

Dengan melakukan beberapa perubahan ketika proses mengedit, imej Io jelas kelihatan disisi jupiter. Io juga dapat dilihat didalam video dengan samar-samar




Penutup

Saya berasa beruntung dapat mencuba teleskop Orion XT4.5 yang dibeli oleh kawan saya. Review yang sangat baik di internet ternyata benar. Teleskop ini amat bermanafaat digunakan oleh peminat-peminat baru dalam bidang ini.

Tambahan

Kesemua bulan Jupiter (yang empat) kelihatan ketika cerapan. Io beada hampir dengan Jupiter. Berikut adalah kedudukan bulan-bulan Jupiter ketika cerapan

Ganymede(Gan), Europa(Eur), Io, dan Callisto(Cal), imej dari perisian Jupiter2




Sekitar cerapan(Update 31/03/12)

Afocal Astrophotography dengan Orion XT4.5. Dalam berjam-jam cerapan, cuma beberapa minit video dirakam, dan beberapa minit cerapan visual dilakukan. Cuaca mendung!

Astrophotography Minimalist , Orion XT4.5 dan Nikon Coolpix L18, Imej Objek sistem suria boleh dirakam dengan kualiti yang baik menggunakan set up ini

Jelas imej Musytari sedang dirakam dengan kamera. Manual Tracking

Meneropong Objek menerusi finderscope sebelum objek boleh dicerap

Thursday, 6 October 2011

Geologi Bulan Menerusi Teleskop dan Binokular

Artikel ditulis sempena menyambut sambutan minggu angkasa sedunia dan International Observe the Moon Event. Semoga sambutan kali ini memberi manafaat kepada semua pihak khususnya rakyat Malaysia. Semoga rakyat Malaysia mengambil kesempatan untuk mengikuti aktiviti cerapan yang bakal di jalankan pada malam 8 Oktober 2011.

Artikel kali ini akan membincangkan ciri-ciri utama geologi bulan yang dapat dilihat melalui teleskop dan binokular. Bulan merupakan objek paling menarik bagi sesetengah ahli astronomi amatur. Namun bagi sesetengah yang lain, bulan merupakan objek yang bosan untuk dicerap. Dengan memahami geologi bulan, boleh menaikan minat untuk mencerap bulan. Di dalam artikel ini juga saya menggunakan gambar-gambar hasil cerapan saya pada masa lalu. Ini bagi memfokuskan artikel pada ciri-ciri geologi bulan yang telah saya lihat dengan teleskop atau binokular.

Maria(Laut-Laut)
Rajah 1: Maria jika dilihat dengan mata kasar. Gambar di lukis oleh Peter Grego.
Untuk permulaan, saya rasa adalah tepat jika saya mulakan penulisan saya dengan membincangkan struktur bulan yang paling ketara, Maria ataupun laut. Maria boleh dilihat dengan mata kasar, namun sekiranya di lihat dengan mengunnakan teleskop, banyak bentuk dan ciri-ciri maria yang berbeza dan menarik. Rajah 2 adalah gambar yang saya rakam pada 15 September 2011. Saya tandakan maria/ mare(kata tunggal bagi maria) untuk dibincangkan didalam post kali ini.
Rajah 2: Maria yang kelihatan ketika cerapan 15hb September 2011




Walaupun bahagian bertanda di panggil Laut atau Maria dalam dalam latin, ianya bukanlah laut yang mengandungi air seperti di bumi. Nama maria di beri oleh ahli astronomi silam memandangkan ianya kelihatan seakan-akan laut [1].  Ketika zaman Yunani, maria di salah anggap sebagai bayang-bayang bumi pada bulan. Maka, peta-peta dunia ketika awalnya di lukis kelihatan seperti maria di bulan. Hal ini berlaku kerana pada ketika itu mereka beranggapan bahawa bulan adalah objek yang sempurna tanpa kawah dsb.

Di dalam Rajah 2, Maria yang di tanda dengan abjad adalah seperti berikut:
a) Mare Serenitatis ( Sea of Serenity)
b) Mare Frigoris (Sea of Cold)
c) Mare Imbrium ( Sea of Showers)
d) Oceanus Procellarum (Ocean of Storms)
e) MareTranquillitatis (Sea of Tranquillity)
f) Mare Nectaris ( Sea of Nectar)
g) Mare Nubium ( Sea of Clouds)
h) Mare Humorum ( Sea of Moisture)

Maria terbentuk hasil dari limpahan lava dari teras bulan[2]. Pada masa dahulu, bulan merupakan objek yang aktif dan aktiviti volkanik bukan merupakan perkara yang asing. Sesetengah Maria di kaitkan dengan hentaman asteroid, yang kemudianya di ikuti dengan limpahan lava. Mare Imbrium,Mare Crisium(Rajah 4) dan Mare Humorum adalah di antara yang di kaitkan dengan hentaman meteorite. Ini kerana bentuknya yang lebih sekata berbanding dengan mare yang lain. Tambahan pula, kesan dari hentaman asteroid menyebabkan gunung, dan bukit terbentuk di sekeliling Mare.

Rajah 3: Pembentukan Mare dari kesan hentaman meteorite.

Mare Imbrium adalah laut yang berbentuk sekata paling besar, bersaiz 1300km diameter (anggaran). Luas Mare Imbrium adalah 863 000 km persegi ( bersamaan dengan saiz UK+Perancis). Ianya di kelilingi oleh gunung Alps, Appennine, dan Carpathians.

Oceanus Procellarum (Ocean of Storms) adalah lebih besar dari Mare Imbrium. Ianya bersaiz 2500km (utara-selatan) dan bersaiz 2.39 Juta km persegi. Walaubagaimana pun, ianya tidak terbentuk melalui hentaman meteorite seperti Mare Imbrium, sebaliknya ia terbentuk disebabkan limpahan basalt yang membanjiri kawasan dengan lava pepejal.
Rajah 4: kedudukan Mare Crisium Berasingan dengan Maria yang lain.

Hampir kesemua mare bercantum dengan mare yang lain. Mare Crisium adalah contoh mare yang terasing dari kumpulan maria. Walaupun ianya kelihatan memanjang dari utara ke selatan, diameter timur-barat Mare Crisium lebih besar dari utara-selatan iaitu 590km berbanding 490km (disebabkan oleh foreshortening effect). Kedalaman Mare Crisium adalah dalam lingkungan 4km. Ini lebih dalam dari Oceanus Procellarum yang tidak sampai 1km[3].

Gunung
Rasanya tidak lengkap artikel ini jika saya cuma menulis berkenaan laut tanpa bercakap berkenaan gunung. Sebagaimana yang saya nyatakan pada awalnya, mare Imbrium dikelilingi oleh gunung-gunung. Ada di antara gunung-gunung di bulan terbentuk hasil dari hentaman meteorite pada masa dahulu seperti yang ditunjukan di dalam rajah 3. Rajah 5 dan Rajah 6 menunjukan gunung-gunung yang boleh dilihat dengan teleskop semasa cerapan.
Rajah 5: Banjaran gunung di sekeliling Mare Imbrium
Rajah 5:
a)Alpes
b)Caucasus Mtns 
c)Archimedes Mtns
d)Apennine Mtns

Rajah 6: Gunung-Gunung yang kelihatan di tanda dengan abjad, manakala ciri bertanda nombor roman adalah kawah-kawah yang mudah dilihat dengan teleskop/binokular



















Rajah 6
a)Jura Mtns
b)Carpathian Mtns
c)Riphaeans Mtns

Banjaran gunung yang paling mudah dilihat semasa cerapan adalah Apennine Mtns. Apennine Mtns  dianggarkan berketinggian 5km dan panjangnya sejauh 600km. Nama Apennine Mtns diambil sempena banjaran gunung di Italy dengan nama yang sama[4].
                                 
Kawah ( Crater) 
Kawah merupakan antara ciri bulan yang paling jelas boleh dilihat dengan teleskop ataupun binokular. Terdapat pelbagai bentuk kawah, setiapnya memberikan cerita yang berbeza bagaimana dan bila ianya terbentuk. Tambah menarik, setiap kawah di berikan nama sempena tokoh-tokoh terkenal.

Rajah 7: Bahagian selatan bulan, kawasan yang terdapat banyak kawah.  Ciri bertanda (i) adalah Rupes Recta, rujuk Rilles untuk maklumat lanjut
Di dalam rajah 7, kawah-kawah saya tandakan dengan abjad. Kawah-kawah yang bertanda akan di jadikan contoh untuk mendalami proses pembentukan kawah di bulan. Nama-nama kawah yang bertanda adalah seperti berikut:
a) Bullialdus ( dinamakan sempena Ismael Bullialdus, seorang ahli astronomi perancis)
b) Gauricus (dinamakan sempena Luca Gaurico, ahli teologi dan astronomi Itali)
c) Tycho ( dinamakan sempena Tycho Brahae, Ahli astronomi denmark)
d) Clavius ( dinamakan sempena, Christophorus Clavius, ahli matematik german)

Perhatikan perbezaan di antara kawah- kawah di dalam rajah 7 dari segi bentuk kawah. Kawah a dan kawah c mempunyai puncak di tengah. Manakala kawah b pula rata. Kawah d berlantai rata namun terdapat kawah-kawah kecil di dalam kawah berkenaan. Apakah perbezaan ciri kawah a,b,c dan d membawa makna tertentu mengenai kisah silam kawah berkenaan?

Kawah terbentuk apabila meteorite menghentam permukaan bulan. Rajah 6 menerangkan bagaimana kawah di bulan terbentuk.
Rajah 8: Proses pembentukan kawah di bulan.(Brooks/ Cool Publishing a division of Thomson Learning, 2003)




















Rajah 8a menunjukan fasa pertama pembentukan kawah di bulan iaitu meteorite menghampiri permukaan bulan dengan kelajuan yang tinggi.

Rajah 8b pula menerangkan proses seterusnya iaitu, meteorite berkecai, dengan suhu yang panas, dan tersejat apabila mengentam permukaan bulan,

Di dalam rajah 8c letupan dan hentaman meteorite menyebabkan kawah berbentuk 'bulat' terbentuk. Ini menyebabkan bahan yang terdapat pada permukaan bulan tersebar akibat hentaman. (dan pada sesetengah kawah ianya menyebabkan 'ray system' terbentuk)

Rajah 8d pula menceritakan bagaimana diding berteres dan puncak tengah kawah terbentuk. Diding berteres terbentuk akibat 'hakisan' (yang disebab kan oleh daya hentaman) manakala pucak tengah kawah terbentuk akibat kesan lantunan dari hentaman dan juga di akibatkan oleh terlalu banyak bahan terpelanting terkeluar kesan dari letupan meteorite.  [5]

Setakat ini Rajah 8 berjaya menerangkan dari mana datang nya bentuk kawah a dan c, bagaimana pula dengan kawah-kawah seperti kawah b dan d? Mengapa puncak tengah pada b dan d tidak kelihatan?Proses terbentuknya lantai rata di dalam kawah b dan d menyerupai proses yang ditunjukan di dalam pembentukan mare dalam rajah 3. Lantai b dan d berbentuk rata berbanding dengan a dan c kerana selepas hentaman, lava memenuhi kawah dan puncak tengah kawah tidak kelihatan/kecil(dalam kes Clavius, puncak tengah kecil dan tidak kelihatan di dalam Rajah 7). 

Lantai yang rata juga memberi makna bahawa kawah tersebut terbentuk lebih awal dari kawah-kawah yang mempunyai pucak di tengah. Ini kerana proses limpahan lava memakan masa yang lama. Ia juga bermakna hentaman meteorite berlaku ketika aktiviti volkanik bulan masih aktif [6]. Kawah Gauricus sebagai contohnya berusia diantara 3.92 hingga 4.55 billion tahun, berbeza dengan kawah muda Tycho yang hanya berusia lebih kurang 108 juta tahun. Begitu juga kawah Clavius, yang dipenuhi dengan kawah-kawah sekunder menunjukkan usianya yang lebih tua. Puncak tengah yang kecil pada kawah Clavius juga memberi makna lantai yang rata cuma terbentuk selepas beberapa lama hentaman berlaku. Clavius di jangkakan berusia 4 billion tahun.

Ciri-ciri yang sama juga dapat dilihat pada kawah di dalam Rajah 6 i,iii dan iv. i merupakan kawah Copernicus, iaitu kawah yang paling mudah dilihat ketika membuat cerapan. Kawah iv mempunyai persamaan dengan kawah b dan d iaitu lantai rata. Kawah ii pula ialah kepler, ciri kawah tidak jelas di dalam rajah 6. Diding kawah Kepler agak berciri teres dan terdapat puncak kecil ditengah-tengah kawah. Ini mungkin disebabkan oleh saiz meteorite yang menghasilkan kawah kecil dan mempunyai tenaga yang kurang berbanding kawah seperti Copernicus (i). Kepler dan Copernicus di kategorikan sebagai kawah muda di mana Copernicus dianggarkan berusia 800juta tahun manakala kepler di angarkan berusia lebih muda dari itu Copernicus tetapi lebih tua dari Tycho(108juta tahun).[7]

Sistem Sinar ( Ray System)
Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, apabila meteorite menghentam permukaan bulan, banyak debu-debu dan bahan-bahan di atas permukaan tersebar akibat hentaman yang berlaku. Suatu lagi kesan yang jelas kelihatan akibat hentaman adalah sinar kawah.

Ketika bulan penuh/ hampir penuh, kita dapat melihat sistem sinar bulan paling jelas. Tetapi sistem sinar tidak akan kelihatan sekiranya keamatan cahaya tidak tinggi. Sebagai contohnya, sila rujuk rajah 7 (c), kawah Tycho. Tycho mempunyai sistem sinar yang sangat jelas dan ianya menjangkaui 1500km, namun pada rajah 7 (c) sistem sinar tidak kelihatan. Ini berbeza dengan Rajah 9 (iii), sistem sinar pada kawah Tycho sangat jelas kerana bulan hampir penuh dan banyak cahaya yang dipantulkan oleh bulan.

Di dalam rajah 9, terdapat 4 sinar kawah yang di label kan. Nama kawah-kawah tersebut adalah seperti berikut:
i) Copernicus
ii) Kepler
iii)Tycho
iv) Byrgius

Rajah 9: Sistem kawah pada bulan yang di cerap pada 15hb Sept 2011 di tandakan dengan nombor roman. Ciri bertanda a dan b adalah banjaran gunung, masing-masing adalah Caucasus Mtns dan Appennine Mtns

Sistem sinar membantu ahli geologi bulan dalam mengangarkan umur relatif kawah yang mempunyai sistem sinar. Ini kerana apabila sinar kawah 'menindih' sinar kawah yang lain, kawah tersebut lebih muda dari kawah yang sistem sinarnya di tindih. Ia juga dapat membantu ahli geologi menentukan komposisi bulan kerana bahan yang tersebar asalnya berada di bawah permukaan bulan sebelum hentaman berlaku.Sistem sinar pada bulan akan 'pudar' seiring dengan waktu akibat terdedah dengan 'cuaca angkasa' dan dilitupi oleh kesan hentaman yang baru[8].


Rilles
Saya perlu akui, sepanjang saya terlibat dalam hobi ini (setahun lebih), saya tidak memberi tumpuan pada ciri pada bulan yang di panggil rilles (sungai kecil/alur). Saya akan tulis laporan cerapan pada masa akan datang berkenaan dengan rilles yang boleh di lihat dengan jelas menggunakan teleskop yang saya miliki.

Ada tiga jenis Rilles pada permukaan bulan, iaitu[9]
a) Sinuous Rilles (berliku), ianya berbentuk seperti sungai
b) Arcuate Rilles (melengkung), biasanya berada di sekelilinga Mare
c) Straight Rilles (lurus), terbentuk akibat pergerakan/pengecutan bulan.
Rajah 10: Salah satu contoh sinuous rille, The hadley rille. Gambar di ambil dari Apollo 15 lunar module ((NASA photograph AS15-87-11717) 
Setiap jenis Rilles terbentuk dengan cara yang berbeza. Ada yang di kaitkan dengan aktiviti volkanik dan di katakan bertindak sebagai saluran/tiub bagi pengaliran lava. Straight Rilles seperti Rupes Recta yang juga di kategorikan sebagai scarp (lereng) di katakan terbentuk akibat pengecutan pada permukaan bulan. Bulan di kata kan mengecut sebanyak 100m sepanjang ia terbentuk, dan pengecutan masih berlaku sehingga kini. Pengecutan pada permukaan bulan membentuk lereng seperti Rupes Recta[10].  Setelah meneliti gambar-gambar bulan yang saya ambil ketika cerapan dulu, saya berjaya menjumpai gambar Rupes Recta. Ianya di lihat melalui teleskop 10 inchi saya ( Sila rujuk Rajah 7 (i) ). Rupes rectar mempunyai lebar berukuran  2-3 km dan berkepanjangan 110km. Rupes rectar mempunyai kecuraman sekitar 30 ke 40 darjah.

Rilles dapat di lihat pada seluruh permukaan bulan, dan tidak hanya tertumpu pada khatulistiwa bulan. Walaupun ianya dikira sebagai ciri yang baru terbentuk, saintis mengangarkan ianya berusia dalam ratusan ke ribuan juta tahun. Selain pada permukaan bulan, rilles juga di temui di permukaan planet dan bulan-bulan lain (Utarid (Mercury) dan Marikh (Mars)). 

Ini sekaligus menafikan sesetengah pihak yang membuat kesimpulan bahawa rilles adalah bukti saintifik mukjizat Nabi Muhammad SAW membelah bulan. Kaedah saintifik perlu di lakukan sebelum membuat kesimpulan terhadap pembentukan rilles pada bulan. Kesimpulan-kesimpulan tanpa mengikuti kaedah saintifik di ikuti dengan pengetahuan sains yang cetek menyebabkan imej agama tercalar. 

Saintis yang mula-mula mengamalkan kaedah saintifik bagi membuktikan kajian dan penemuan sains adalah seorang saintis Islam (bukan saintis barat!) bernama Ibn al-Haytham. Ia di lakukan di dalam buku nya 'kitabun manazir' (book of optics)[11]. Apakah orang Islam pada masa kini mahu membuat suatu kesimpulan tanpa melakukan kajian menyeluruh terhadap sesuatu kejadian alam? Jika ya, nampaknya zaman keemasan tamadun Islam hanya akan menjadi sejarah yang bakal di lupakan.

Komen Dr Zakir Naik mengenai bukti saintifik mukjizat Nabi membelah bulan saya fikir amat baik untuk menjadi renungan umat Islam. [link]

Kesimpulan:
Dengan cuba memahami muka bentuk bulan, ianya dapat menambahkan pengetahuan di samping memberikan keseronokan di dalam aktiviti mencerap. Artikel ini saya tulis secara ringkas sebagai panduan dalam melakukan cerapan. Kebanyakan gambar di dalam artikel ini adalah gambar yang saya ambil semasa cerapan. Saya sendiri baru meneliti sesetengah gambar di dalam proses menulis artikel ini.


Saya cuba sebaik mungkin untuk menyatakan sumber fakta yang saya ambil untuk di muatkan di dalam artikel ini. Artikel ini juga di tulis di dalam bahasa melayu, mungkin ada sesetengah istilah yang tidak mengambarkan maksud asal istilah di dalam bahasa Inggeris. Kemampuan bahasa saya amat terhad. Sekiranya ada kesilapan pada mana-mana bahagian harap di perbetulkan.


5 ciri (Maria, Banjaran Gunung, Kawah, Sistem Sinar dan rilles) pada bulan saya pilih untuk di papar secara ringkas pada artikel ini.Masih ada lagi ciri-ciri yang saya tidak ulas. Mungkin akan cuba di ulas pada masa akan datang sekiranya ada keperluan. 



Rujukan:
[1] Patrick Moore and Robin Rees, Patrick Moore's Data Book of Astronomy,2011, Cambridge University Press, p 29.
[2] Terence Dickinson, Night watch: A Practical Guide to Viewing the Universe 4th Edition, 2006, Firefly Book Ltd, p 138. 
[3]Patrick Moore and Robin Rees, Patrick Moore's Data Book of Astronomy,2011, Cambridge University Press, p 29.
[4] Wikipedia, Apennine Motns, August 2011, retrieved 30 September 2011,http://en.wikipedia.org/wiki/Montes_Apenninus,
[5] Dr Emily Baldwin, Lunar Geology: About the Impact,  2008, retrieved 23 September 2011, http://www.popastro.com/moonwatch/moon_guide/geology7.php
[6] Patrick Moore and Robin Rees, Patrick Moore's Data Book of Astronomy,2011, Cambridge University Press, p 31-32.
[7] Lu Yang Xiao Xi, Correlation Between Iron Abundances and Lunar Surface Feature: Crater Kepler Area, Stenberg State Astronomical Institute, Moscow University, 2010.
[8] Dr Emily Baldwin, Lunar Geology: Ray Craters  2008, retrieved 23 September 2011, http://www.popastro.com/moonwatch/moon_guide/geology7a.php
[9] Dr Emily Baldwin, Lunar Geology: Rilles,  2008, retrieved 23 September 2011, http://www.popastro.com/moonwatch/moon_guide/geology9.php.
[10]Patrick Moore and Robin Rees, Patrick Moore's Data Book of Astronomy,2011, Cambridge University Press, p 30.
[11] BBC Science and Islam Documentary, BBC, 2009, Episode 2

Kebanyakan nama-nama kawah, maria, rilles di rujuk melalui Virtual Moon Atlas 5.1.

SELAMAT MELAKUKAN CERAPAN, DAN SELAMAT MENYAMBUT INTERNATIONAL OBSERVE THE MOON EVENT!



Saturday, 1 October 2011

Tips Untuk Menceburkan Diri Dalam Hobi Astronomi

Untuk artikel kali ini saya akan kongsikan tips untuk orang mahu dan baru menceburkan diri dalam hobi astronomi. Saya tulis tips ini berdasarkan pengalaman saya yang sedikit dalam hobi ini. Bermulanya saya dalam hobi astronomi adalah ketika rancangan Wonders of the Solar System berkumandang di kaca telivision di UK pada tahun 2010. Sejak itu saya mula menceburkan diri dalam hobi ini secara serius. Berikut adalah sedikit sebanyak tips yang dapat membantu anda yang meminati astronomi, namun tidak tahu mahu bermula di mana.

1) Sertai forum-forum astronomi/langgan majalah berkaitan astronomi/ikuti laman web astronomi

Perkara pertama yang patut dibuat oleh peminat bidang astronomi adalah menyertai forum-forum astronomi di Internet. Selain itu majalah-majalah astronomi akan memberikan banyak pengetahuan dan informasi baru berkenaan hobi berkenaan. Walaubagaimanapun, saya dapati majalah astronomi agak sukar di dapati di Malaysia, jadi alternatif kepada majalah astronomi adalah laman web astronomi. Forum merupakan tempat ahli astronomi amatur bertukar-tukar info serta tips astronomi. Forum juga boleh di jadikan tempat untuk bertanya, serta mencari review teleskop serta peralatan astronomi yang lain. Saya menyertai forum astronomi selama enam bulan lebih awal sebelum membeli teleskop pertama saya. Antara forum-forum yang boleh di sertai ialah:


Astronomy forum.net adalah forum untuk semua peminat astronomi dari seluruh dunia. Cloudynight pula terkenal di UK, serta terkenal dengan review teleskop yang pelbagai. Manakala falak online merupakan forum astronomi Malaysia yang sering mengiklankan aktiviti-aktiviti astronomi di Malaysia. Untuk individu yang baru menceburkan diri dalam hobi ini, Astronomy forum.net merupakan forum yang terbaik.

Sekiranya anda mempunyai akaun twitter, adalah di galakan untuk mengikuti tweet berkaitan dengan astronomi.

2) Peralatan astronomi terbaik adalah peralatan yang selalu di gunakan

Sesudah mengikuti forum-forum, serta laman web berkaitan astronomi, anda pasti mahu memiliki peralatan sendiri. Sesetengah forum menjadi ruang untuk ahli mempamerkan kemampuan peralatan astronomi mereka, ada yang canggih, harga ribuan ringgit, ratusan pound, ratusan dollar. Namun, sekiranya ini kali pertama anda mahu membeli peralatan untuk mencerap, ada baiknya anda abaikan alatan canggih-canggih dan bersaiz besar serta mahal.

Peralatan astronomi terbaik untuk permulaan adalah peralatan yang selalu digunakan. Saya mencadangkan teleskop newtonian bersaiz 90mm ke atas. Sekiranya anda tidak mampu untuk membeli teleskop bersaiz 90mm ke atas, saya cadangkan anda gunakan binokular sebagai permulaan. Binokular bersaiz 10x50 (50mm) merupakan binokular popular dikalangan ahli astronomi amatur.
Mencerap mengunakan Binokular juga memberikan kepuasan, Gugusan bintang, mudah di lihat serta berpeluang melihat satellite merentasi langit. (laporan cerapan lama)

Saya juga kurang menggalakan teleskop yang menggunakan mount automatik. Lebih baik duit itu di salur kepada saiz optik dari di salurkan kepada mount automatik yang barangkali boleh rosak, masalah software dan sebagainya. Pilihlah teleskop manual, ia lebih mudah di kendali. 

Orion XT4.5, Saiznya lebih kecil dari yang di sangkakan, mudah dibawa, namun diameter 4.5inch memberikan kepuasan maksimum untuk permulaan dalam hobi ini

Teleskop pilihan saya adalah dari jenis dobsonian, manual, mudah di kendali, murah dan imej nya baik. Sekiranya berkemampuan belilah dobsonian bersaiz diameter 8inchi. Namun teleskop Dobsonian Orion XT4.5 (4.5inch) bersaiz kecil dan mudah dibawa kemana-mana, menjadikan ianya boleh selalu digunakan. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan teleskop, Cloudynights forum menghidangkan review yang panjang dan berinfomasi untuk dibaca. Selain itu laman scoperiviews juga amat boleh dipercayai dan menghidangkan ratusan jenis teleskop.

Sekali lagi, lebih mudah digunakan, lebih selalu digunakan, lebih baik teleskop/peralatan tersebut.

3) Jangan terburu-buru untuk melakukan fotografi.

Astrofotografi merupakan suatu cabang dalam hobi ini yang memerlukan masa untuk di pelajari. Bagi yang baru menceburi hobi ini, astrofotografi boleh menjadi pembunuh kepada hobi astronomi. Untuk menghasilkan imej yang baik, peralatan yang berkualiti diperlukan. Ini bermakna peralatan yang mahal. Imej galaksi, gugusan bintang, nebula, boleh di ambil tetapi memerlukan exposure yang tinggi. Ini bermakna anda memerlukan mount  berkemampuan untuk Autotracking, pastinya perlu stabil, camera mahal, ccd yang mahal etc.  Jadi kos yang tinggi melumpuhkan semangat untuk menceburi bidang ini.

Tanpa kemampuan mengambil gambar berkualiti, tidak bermakna kita tidak boleh merasa seronok dengan hobi ini. Namun, sekiranya anda masih mahu melakukan astrofotografi, tetapi mempunyai bajet yang rendah maka di sini saya akan kongsikan cara peminat astronomi 'miskin' menikmati hobi astronomi ini.

a)Lukiskan cerapan anda.(Pencil Imager)

Di dalam forum astronomi, saya berjumpa dengan insan-insan yang pandai melukis. Jadi mereka lukiskan apa yang mereka lihat dari teleskop mereka. Ahli astronomi seperti Sir Patrick More juga melakukan perkara yang sama. Kos, sangat minimum, cuma skecth pad dan pencil! 

Lukisan kawah bulan yang dilukis oleh Paul Hill, seorang ahli astronomi amatur dari London UK

Tidak pandai Melukis??

b) Kamera Kecil (Compact Camera)

Kamera kecil boleh digunakan untuk merakam, cuma letakan lensa kamera anda pada eyepiece dan tekan shutter. Ianya mudah digunakan untuk merakam gambar bulan. Namun sekiranya mahu merakam imej planet ,anda mungkin perlu menggunakan 'digiscoping bracket'. Ia adalah adapter yang boleh memegang camera anda pada eyepiece untuk tujuan fotografi. Video planet dapat dirakam menggunakan teknik afocal. Untuk maklumat lanjut, bagaimana boleh menggunakan camera kecil untuk astrofotografi, lawati forum-forum astronomi seperti astronomi.net. Sekiranya anda telah mempunyai camera kecil, jadi kos tidak menjadi masalah. Mungkin anda cuma perlu mengeluarkan wang untuk adapter. Kos nya lebih murah (separuh lebih murah) dari camera astronomi (untuk planet) berjenama seperti celestron dan orion. Kualiti imej hampir sama dengan camera astronomi berjenama yang saya sebutkan tadi. Imej dan video yang saya rakam adalah menggunakan teknik ini, sila rujuk log cerapan saya serta galeri gambar di sebelah atas blog.
Teknik afocal dalam merakam gambar objek cerapan
Adapter membolehkan video bulan dan planet di rakam dengan lebih stabil

c) Web Cam

Ya, Web cam, sekiranya anda menyertai forum astronomi, biasanya akan ada bahagian untuk ahli astronomi yang menggunakan web cam berkongsi imej mereka. Cara mengubahsuai webcam juga ada di bicangkan. Imej yang dihasilkan sama seperti camera orion/celestron(untuk planet) yang berharga jauh lebih mahal (80-120pound sterling).
Web cam yang di ubah suai untuk astrophotografi. Kos yang minimum. Lawati astronomy forum.net untuk maklumat lanjut.

Sekali lagi, forum boleh dijadikan medium untuk belajar teknik fotografi berbajet rendah. Kita juga dapat berkongsi dengan rakan-rakan yang menggunakan teknik yang sama. Saya merancang untuk mengubah suai web cam untuk fotografi. Bahan-bahan sedang di kumpulkan dan saya masih belum mempunyai masa untuk berbuat demikian.

4) Tulis Log cerapan

Dan nasihat sayayang terakhir, untuk meneruskan hobi ini, adalah digalakan untuk anda menulis log cerapan. Ada boleh menulisnya dalam buku nota kecil, apa yang anda lihat, tarikh, waktu,keadaan cuaca, perlatan dsb. Tambahkan maklumat dengan menamakan objek/kawah(sekiranya bulan) yang anda lihat. Lakarkan apa yang anda lihat di dalam log cerapan.
Contoh log cerapan ringkas mengenai planet musytari yang ditulis oleh Tim Jones dari Nottingham UK. 
Selain dari pada buku nota, anda juga boleh berkongsi log cerapan di dalam blog. Lakaran, imej yang di ambil juga boleh di kongsikan. Dengan ini hobi astronomi tidak terhenti sekadar mendongak kelangit, tanpa memikirkan kejadian-kejadian yang di lihat. 

Sekali lagi, forum juga boleh di jadikan tempat untuk berkongsi log cerapan. Ianya lebih menarik jika dapat berkongsi dengan rakan-rakan di fb/twitter/google+ dan sebagainya. Dengan itu hobi astronomi ini akan ada faedah yang signifikan untuk diri sendiri dan rakan-rakan. Sekian

Selamat Menceburkan Diri Dalam Hobi Astronomi!!!!

Monday, 11 April 2011

50 tahun ulangtahun manusia di angkasa: Sejauh mana penglibatan Malaysia dalam bidang sains angkasa dan Astronomi?

Yuri Gagarin dan Vostok 1 ( Gambar di ambil dari news Hawker
12 April 2011 genap 50 tahun manusia menakluk angkasa. 12 April 1961, Mejar Yuri Gagarin menjadi wira Russia menjadi manusia pertama mengorbit bumi dengan menaiki kapal angkasa Vostok 1.  Esok youtube bakal menayangkan filem ''first orbit'' arahan Chris Riley, sebagai memperingati ulangtahun berlepasnya Yuri Gagarin ke angkasa. Skrin-skrin besar BBC sekitar London akan menayangkan filem berkenaan pada 12 April ini. Tidak  cukup dengan tayangan filem, pada 14 July 2011 ini, tugu memperingati Yuri Gagarin akan di tegakan di London. Semangat dan keberanian Yuri Gagarin bukan sahaja menjadi motivasi kepada masyarakat Russia, bahkan masyarakat Eropah keseluruhanya. Berikut adalah trailer filem 1st orbit yang bakal muncul pada 12 April ini di Youtube:



Penglibatan Malaysia dalam bidang sains angkasa

Malaysia bukanlah gergasi dalam bidang angkasa, tidak seperti China, India dan Jepun yang kian menceburkan diri dalam bidang ini, jauh sekali di bandingkan dengan Russia dan United States. Namun, selepas merdeka, tidak kurang juga usaha-usaha yang kita lakukan dalam bidang sains angkasa. Kita punyai beberapa satellite yang berada di angkasa. Kita punyai 'Malaysian National Space Agency'. Kita juga punyai Angkasawan yang pernah melawat International Space Station (ISS.
Barangkali kita tidak memperingati Angkasawan pertama seperti dunia memperingati Yuri Gagarin, Buzz Aldrin, Neil Amstrong dan lain-lain. Namun, apa jua pandangan kita terhadap program angkasawan negara, perlu kita tanamkan semangat dalam diri kita, untuk menyokong Malaysia, terlibat secara langsung dalam bidang sains angkasa. Saya  diantara rakyat Malaysia yang kurang memahami tujuan program angkasawan negara, tetapi saya fikir, biar program ini menjadi suatu permulaan dan titik pembaharuan dalam bidang sains angkasa di Malaysia. Semoga program angkasawan akan datang lebih baik dari program angkasawan yang sedia ada.
Angkasawan Pertama Malaysia (sumber: The Star)

Malaysian National Space Agency(ANGKASA):
Secara jujur, saya lebih berbangga dengan penubuhan ANGKASA. Kiranya Malaysia tidak menghantar rakyatnya ke angkasa sekalipun, penubuhan ANGKASA sudah cukup membuatkan saya bangga. Ini kerana agensi angkasa merupakan suatu titik penting dalam penglibatan Malaysia secara serius dalam bidang angkasa.

ANGKASA terlibat dalam program angkasawan, program satellite Malaysia, kerjasama dengan Jaxa dalam berberapa program, serta terlibat dalam penyelidikan MARS 500 dalam bidang perubatan angkasa. Ramai di antara kita yang kurang tahu berkenaan aktiviti serta fungsi ANGKASA di Malaysia. Media kurang memberi liputan berkaitan sains angkasa serta penglibatan Malaysia dalam sains angkasa. Penerangan-penerangan kepada orang awam amat kurang. Bukan itu sahaja, silibus dalam pendidikan sains angkasa dan astronomi juga tidak di laksanakan di Malaysia (sepanjang pengetahuan saya).
Program MARS 500, eksperimen bagi mengkaji sejauh mana manusia boleh  membiasakan diri dalam perjalanan 500hari ke Marikh
Program dan rancangan ANGKASA sudah cukup bagus, namun orang awam perlu mempunyai sedikit pengetahuan mengenai astronomi dan sains angkasa. Dengan ini, bukan sahaja kita berjaya menjalankan program yang baik, bahkan mendapat sokongan dari rakyat Malaysia.

Walaupun liputan media tidak meluas, ANGKASA giat menjalankan program mendekati masyarakat Malaysia. Program-program seperti syarahan umum astronomi, bengkel-bengkel astronomi, serta aktiviti cerapant giat di adakan bagi membuka mata rakyat Malaysia dalam bidang Astronomi dan sains angkasa. Saya sendiri tidak pernah melawat mana-mana balai cerap di Malaysia, apatahlagi aktiviti-aktiviti anjuran ANGKASA. Namun insya'Allah jika ada kesempatan di masa akan datang.

Kelab Astronomi dan Balaicerap Malaysia.

Barangkali kita tidak mampu untuk ke angkasa, namun kita masih boleh meneropong keindahan angkasa tanpa meninggalkan bumi. Di Malaysia, kelab astronomi amateur tidak banyak. Namun aktiviti yang di jalan kan sesetengah kelab astronomi di Malaysia sangat memberangsangkan. Sebagai contoh kelab falak online seringkali mengadakan cerapan di sekitar selangor serta kelantan. Cerapan hujan meteor menjadi  aturcara tahunan kelab berkenaan. Bukan sahaja ramai ahli astronomi amateur yang bepengalaman, tiada apa-apa bayaran di kenakan bagi menyertai aktiviti kelab berkenaan.
Langkawi National Observatory (sumber:my dark sky)
Selain kelab astronomi, Balai cerap-balai cerap negeri juga selalu melakukan cerapan untuk orang awam dan pelajar sekolah. Balai Cerap Selangor dan Balai cerap Al khawarizmi di Melaka di antara balai cerap yang masyarakat Malaysia sudah sedia maklum. Alatan-alatan astrophotography menjadikan balaicerap-balaicerap berkenaan mampu menghasilkan imej objek angkasa yang menakjubkan. Selain itu Balai cerap negara di Langkawi juga boleh di akses dengan hanya menggunakan internet (dengan prosedur tertentu). Teleskop di Balaicerap langkawi mengunakan teknologi robotik sama seperti Faulkes teleskop milik United kingdom yang berpangkalan di Hawaii dan Australia.

Tidak cukup dengan Balai cerap milik kerajaan, terdapat juga di kalangan masyarakat Malaysia yang mempunyai balai cerap persendirian. Yang saya maksudkan adalah Balai cerap mini Dr Rowi di Kelantan. Dr Rowi kerap menulis log cerapan di blog beliau serta terlibat dengan kelab falak online serta menjemput pelajar-pelajar sekolah menggunakan alatan astronomi beliau.
Balai cerap mini Dr Rowi (sumber: blog)
Ternyata Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang angkasa. Semua rakyat Malaysia patut memberikan sokongan terhadap penglibatan Malaysia dalam bidang sains angkasa dan astronomi. Sokongan sahaja mungkin tidak cukup, barangkali balai cerap kalau di bina sebesar mana sekalipun, namun rakyat Malaysia tidak menggunakan nya dengan sebaik mungkin, akan menyebabkan kita ketinggalan dalam bidang astronomi. Justeru penglibatan secara serius mahupun sebagai hobi adalah amat penting dalam menjana masa depan yang cerah dalam bidang ini


Saya?

Tidaklah saya memiliki alatan astronomi bernilai ribuan ringgit, jauh sekali balai cerap persendirian. Namun, berbekal kan teleskop dobsonian 10 inch, Teleskop Maksutov Cass 90 mm serta binocular 10x50, saya berharap dapat saya dekatkan pelajar saya dalam bidang astronomi dan sains angkasa. Ya, memang saya ada berangan-angan memiliki balai cerap sendiri, namun apa gunanya jika saya tidak gunakan alatan yang ada sepenuhnya dahulu. Balai cerap di Malaysia pun masih belum saya lawati.

Pulangnya saya ke Malaysia nanti bermula segala rancangan saya. Akan saya gunakan segala kemudahan astronomi yang telah di sediakan untuk rakyat malaysia sebaik mungkin....Saya berharap rakan-rakan guru serta rakyat Malaysia yang lain juga dapat menggunakan kemudahan ini dengan sebaik mungkin.

Selamat Menyambut Ulangtahun ke 50, manusia ke angkasa!!!!!!!!

Saturday, 2 April 2011

Log Cerapan: Saturn dua hari sebelum opposition

Object: Saturn
Equipment: Orion Apex 90mm Maksutov Cassegrain 
Date:01/04/11
Time: 2100-2300
Saturn menerusi Orion Apex 90mm, gambar di ambil dari video yang dirakam menggunakan Nikon Coolpix Camera

Kedudukan  bulan Saturn pada Jam 2256 01/04/11, Hanya Titan yang kelihatan menerusi Orion Apex 90mm (gambar dihasilkan dari website WWU Planetarium).
  1. Langit cerah seperti yang diramalkan, saya menunggu sehingga pukul 9 untuk mencari saturn yang sepatutnya sudah terbit seawal selepas matahari terbenam
  2. Ini merupakkan pertama kali saya menggunakan Teleskop Orion Apex 90mm Mak-Cass. Kiranya Saturn merupakan 1st light saya untuk telescope ini.
  3. Secara keseluruhan setup agak mudah cuma pada awalnya saya agak struggle untuk biasakan diri dengan tripod. Memandangkan saya guna tripod camera biasa, agak sukar untuk halakan arah teleskop secara tepat.
  4. Tidak sukar untuk saya cari saturn, saya jadikan buruj biduk sebagai reference. 
  5. Imej: Imej yang saya lihat dengan menggunakan eyepiece 25mm adalah sangat jelas. Saturn ring juga jelas kelihatan walaupun ianya kelihatan sangat kecil. 
  6. pada mulanya saya tidak nampak mana2 bulan saturn. Tapi lama kelamaan, selepas mata saya telah adapt dengan suasana gelap, saya mula nampak Titan. Satu2  nya bulan saturn yang saya nampak dengan menggunakan telescope ini. 
  7. Saiz teleskop ini sngt kecil dibandingkan dengan Orion XT10, namun Orion tidak pernah mengecewakan saya, Imej yang saya perhatikan sangat jelas dan cantik walaupun diameter cermin cuma 90mm. Gambar diatas merupkan gambar yang saya ambil dengan menggunakan camera digital biasa. Titan tidak kelihatan dalam gambar, namun kedudukan Titan seolah2 berada di bawah Saturn.
  8. Berikut adalah video yang sempat saya rakamkan malam semalam:


Semoga langit cerah sepanjang cuti spring yang bakal menjelang. Bercadang untuk mencuba teleskop Orion XT4.5 milik kawan di Birmingham. Sekian

Tuesday, 29 March 2011

Orion Apex 90mm Maksutov-Cassegrain compact telescope

  1. Bulan March sudah hampir berakhir. Saya tidak sempat menulis mengenai geografi bulan pada bulan ini, walaupun telah saya rancang sejak bulan Febuari lepas. Semoga ada kesempatan di bulan mendatang. ( Its end of March already, I did not have opportunity to write about the geography of the moon this month even though I plan to write it since last February. Hopefully I've got time to do it next month)
  2. Sebagaimana sedia maklum, alatan astronomi saya yang pertama merupakan teleskop orion XT10 newtonian (dobsonian Mount). Kualiti imej teleskop ini sangat tinggi dan mudah di gunakan.Tak sabar rasanya nak balik ke Malaysia untuk observation menggunakan XT10. ( As you might already know, my current telescope is Orion XT10 Newtonian with dobsonian mount. The image quality from this telescope is very high and it is very easy to use.I can't wait to use it when I go back to Malaysia.)
  3. Walaubagaimana pun, satu perkara yang menjadi kekurangan XT10 adalah saiznya yang besar menyebabkan ianya sukar di bawa ke tempat-tempat lain. ( The down side of Orion XT10 is its size. It is so big (for me) and not really portable)
  4. Jadi saya memperkenalkan teleskop ke dua saya:  Orion Apex 90mm Maksutov Cassegrain Compact Telescope. (Hence, I would like to introduce you to my second telescope: Orion Apex 90mm Maksutov Cassegrain Compact Telescope)
Cantik Teleskop Apex 90mm boleh di gunakan dengan hanya dipasang pada Tripod biasa
(Orion Apex 90mm is can be use with ordinary camera tripod)

Barangkali gambar pertama nampak besar, Ini saiz sebenar Apex 90mm. Compact dan Mudah dibawa kemana-mana
(Orion Apex is so small and portable)

Teleskop jenis maksutov cassegrain agak berbeza sedikit dengan newtonian, Namum konsep nya menggunakan cermin masih sama
(Maksutov Cassegrain Telescope is a bit different from Newtonian Telescope, However, both of them is a reflector)

Teleskop di sertai dengan padded  bag memudahkan ianya di bawa ke mana-mana sahaja. Set teleskop ini tidak termasuk tripod, eyepiece 25mm serta correct image finderscope di sertakan. Cuma satu perkara yang saya kurang puas hati dengan teleskop ini. Finder bracket( pemegang findersope) di perbuat dari plastik dan nampak tidak kukuh. Harap-harapnya semua ok:p

Malam ni langit mendung dan esok pula kena pergi sekolah. Semoga langit cerah keesokan harinya!!!!

( Orion Apex come with padded bag, 25mm eyepiece,as well as correct image finder scope. There is only one thing that I'm not really satisfied with this scope; The finder bracket is made from plastic and doesn't seems durable. I hope everything is going to be fine with this scope.
It's cloudy tonight, and I've got to go to school tomorrow. Hopefully, we got a clear sky tomorrow !!)

Monday, 13 September 2010

Happy Birthday JOHN L DOBSON



14 september 2010 merupakan ulangtahun kelahiran John L Dobson yang ke 95..emmm...nama macam familiar, siapa dia dan apa kene mengena John L Dobson dengan saya???

Hint.....My lovely "little Hubble" Orion XT10 Classic DOBSONian telescope.. John L Dobson adalah orang yang bertanggungjawab mencipta model teleskop jenis dobsonian. Di katakan bahawa separuh dari teleskop di dunia adalah jenis dobsonian.

DOBSONIAN=AK47???

Saya suka nak menganalogi telescope dobsonian ini sebagai AK47, di dalam dunia perang dan revolusi AK47 memainkan peranan yang penting dalam peperangan dan revolusi serta jatuh bangun nya sesebuah kerajaan.. Mengapa??? AK47 murah, mudah di hasilkan dan mudah di Gunakan..

Dalam dunia amatur astronomy pula, Dobsonian teleskop bertanggungjawab dalam perkembangan astronomy amatur di seluruh dunia.. Bagai mana?? John L Dobson mencipta teleskop ini dengan menggunakan barang murah dan ringkas, tetapi mempunyai aperture yang besar. Sehingga sekarang ada kumpulan-kumpulan yang membuat telescope jenis ini sendiri tanpa di beli dari mana-mana pengedar!!!!! tetapi tentulah memerlukan masa dan Komitmen..

Kebaikan dan kelemahan teleskop jenis dobsonian

Kebaikan

1)Murah, contohnya XT10 10'' diameter cuma berharga GBP450. Jika nak di bandingkan telescope jenis refractor yang menghasilkan imej yang sama, harganya mungkin berkali ganda. Begitu juga dengan teleskop jenis maktsukov atau Schmidth Cassegrain.

2) Mudah. Mudah dipasang Orion XT10 Saya cuma mengambil masa 20minit untuk dipadang. Dan kini setiap kali nak guna..angkat je.. Tidak seperti Equatorial Mount ataupun mana-mana teleskop jenis GOto yang kadang-kadang menyukarkan Beginner seperti saya

3)Light Bucket. BErkemampuan tinggi untuk mencerap Deep Sky Object dengan details.

Kelemahan

1) Dobsonian tidak ada auto tracker. tidak seperti EQ mount yang boleh dipasang DC motor padanya, pengguna dobsonian perlu menggerakn dobsonian secara manual

2) Secara langsung menidakan fungsinya untuk astrophotography

3) dobsonian bersaiz 10" keatas sukar untuk di bawa kemana-mana

4)Tidak bagus untuk kawasan yang mempunyai light pollution yang tinggi. Maklumlah Dobsonian ni Light Bucket

Terima KAsih John L Dobson

Apa-apapun saya amat mengkagumi peranan yang di mainkan oleh teleskop dobsonian dalam dunia astronomy. Saya ramai mengenali Amatur astronomer yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, teleskop dobsonian pasti ada dalam senarai alatan mereka. Hatta, ED, yang merupakan penulis Website Scopereviewer juga mengakui dobsonian merupakan suatu teleskop yang hebat. Tidak semestinya besar, teleskop 4.5" Orion US pun mendapat review yang baik oleh beliau.

Barangkali sesiapa yang berminat mungkin boleh mendapatkan teleskop orion xt4.5 ini sebelum orion menamatkan pengeluarannya.



Tuesday, 22 June 2010

1st Post: detail descriptions about this blog

Akhirnya ada juga isu yang boleh di tulis secara berterusan. Astronomy!!!!! Baru saja memiliki sebuah telescope jenis newtonian reflector yang di beli dari website scsastro. Harga semua sekali termasuk aksesori GBP514. Terpaksalah membuat pemotongan belanjawan untuk membolehkan saya memiliki telescope ni. Kesannya, x travel keluar UK lah cuti Summer ni.



LEpas beli telescope hampir sebulan, saya bercadang nak start entry berkaitan dengan object yang saya observe( observing report). Rasa tak berbaloi pula observe sorang2 then tak dapat nak cerita kat sape2.

Dalam blog ni juga saya akan bincangkan pengalaman, alatan, software serta current event yang berlaku kat langit sana. Take note yang saya merupakan seorang amatur, banyak perkara yang perlu di pelajari. Dalam blog ni juga saya akan sertakan link-link berfaedah berkaitan astronomy.

Selain daripada Astronomy, blog ini juga akan membincangkan isu2 semasa yang saya rasa saya nak tulis, such as, politik, ekonomi, etc. HArapnya blog ni akan kekal sebagai blog saya memandangkan beberapa percubaan menulis blog sebelum ini gagal kerana xda benda nak tulis..muahahahaa...