Tuesday 16 August 2011

Ulasan dan Ringkasan 'Memoir Shamsiah Fakeh dari AWAS ke Rejimen ke-10'


Mengapa saya membaca memoir ini?

Shamsiah Fakeh, kali pertama saya mendengar nama itu adalah ketika saya berada di dalam tingkatan 3. Matapelajaran sejarah di dalam bab berkaitan kemerdekaan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah. Ketika itu akses kepada maklumat di dalam internet sangat terhad, saya tidak terfikir untuk mendalami hidup Shamsiah Fakeh. Kali kedua mendengar nama ini adalah ketika di Tingkatan 5, juga di dalam bab berkaitan kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada kali kedua, kami pelajar-pelajar sering bertanya perkara yang tidak ada di dalam silibus ketika itu, siapa Shamsiah Fakeh? Kenapa beliau menyertai rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya? sehingga perbincangan kami membawa kepada suatu kabar, di mana cerita dari mulut ke mulut mengatakan Shamsiah Fakeh membunuh anaknya dengan menghentaknya ke batu untuk mengelak dari di tangkap tentera kerajaan.

Jawapan terhadap hidup Shamsiah Fakeh tidak saya dapati sepanjang hidup saya di sekolah, bahkan semakin banyak soalan bertalu-talu menyelinap di dalam minda saya. Mengapa perempuan melayu mahu masuk hutan menentang British? Bukankan pada zaman Shamsiah Fakeh perempuan kebanyakan nya menjadi suri rumah dan duduk di ceruk dapur? Apa yang menyebabkan beliau meninggalkan hidup sebagai orang biasa lalu menjadi 'pengganas' menentang British? Bagaimana orang melayu Islam boleh terlibat dengan kegiatan pengganas komunis??

Sebagai seorang murid di sekolah berasrama, adalah saya lebih sibuk mengulangkaji untuk peperiksaan, di selang seli dengan aktiviti kokurilum untuk mengayakan sijil bagi meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Tambahan pula jurusan sains sosial bukan suatu jurusan yang popular di kalangan pelajar sains tulen di sekolah menengah. Saya lupakan Shamsiah Fakeh untuk beberapa ketika sekurang-kurang nya hingga pada tahun 2008.

Oktober 2008 berita Shamsiah Fakeh meninggal dunia sampai ke perhatian saya, ketika itu saya berada di Birmingham. Akses kepada internet sangat mudah, justeru melaui internet juga saya mendapat tahu bahawa Universiti Kebangsaan Malaysia ada menerbitkan memoir Shamsiah Fakeh. Dari itu saya berhasrat untuk membeli memoir berkenaan. Hasrat itu cuma tertunai pada tahun ini, di sebabkan saya jarang melawat kedai buku di Malaysia sepanjang pengajian saya di UK. Ketika melawat kedai buku baru-baru ini, saya terjumpa dengan memoir ini, versi bahasa Inggeris, dan saya beli dengan harga RM30. Memoir ini tidak panjang, saya habiskan dalam masa tidak sampai sehari, betapa saya harap memoir ini lebih panjang dari yang sepatutnya. Namun, ia lebih baik dari tidak mendengar apa-apa dari tinta pejuang bernama Shamsiah Fakeh.

Terjawabkah persoalan tentang Shamsiah Fakeh??

Ya, dengan membaca memoir beliau, sedikit sebanyak persoalan saya terjawab. Dengan membaca memoir ini juga sedikit sebanyak menjadi ulangkaji saya terhadap apa yang saya pelajari suatu ketika dulu. Minda saya mula membahagi-bahagi maklumat yang pernah saya dapati dari buku teks sekolah, serta maklumat-maklumat baru dan juga jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul ketika belajar di sekolah menengah dulu.

Namun tidak saya nafikan, timbul persoalan-persoalan baru tentang perjuangan nasionalis berhaluan kiri. Nampaknya persoalan tidak akan berhenti dari menerjah minda saya setiap kali membaca kisah lampau negara kita.

Penglibatan Shamsiah Fakeh di dalam politik
Shamsiah Fakeh ketika berumur 13 tahun bersama dengan ibunya Sa'amah  Nonggok dan adiknya Ramli sebelum beliau berangkat ke Sumatera untuk belajar di Sekolah Agama Rahmah Al Yunusiah


Didalam memoir beliau, beliau tuliskan latar belakang kehidupan beliau sebagai anak remaja. Jelas Shamsiah Fakeh bukan dari kalangan orang berpendidikan tinggi. Beliau tidak mempunyai kesedaran politik sehinggalah jepun meninggalkan tanah melayu. Tatkala ini orang melayu sedar bahawa Tanah Melayu perlu merdeka dari semua bentuk penjajahan.

Sebelum bergiat aktif dalam politik, beliau mengalami penceraian sebanyak dua kali. Penceraian yang di lakukan tidak mengikut lunas agama menjadikan beliau merasakan kaum wanita sering di tekan oleh kaum lelaki. Dalam perjuangan beliau dalam sayap wanita Parti Kebangsaan Melayu Malaya (kemudiannya di namakan Angkatan Wanita Sedar, AWAS), beliau sering memberi ucapan bagi menaikan semangat kaum wanita di zaman beliau. Bagi beliau, bebas dari penjajahan British merupakan titik tolak wanita bebas dari penindasan lelaki.(m/s 29)

Penglibatan beliau sebagai Ketua AWAS mendapat restu ayahanda beliau yang juga di katakan mempunyai semangat nasionalis yang tinggi. Beliau mengantikan Aishah Ghani (Tan Sri Datin Paduka Seri) yang meninggalkan AWAS bagi menyertai UMNO. (m/s13-19)

Perlu saya nyatakan di sini, sebelum beliau bergiat aktif di dalam PKMM, beliau juga banyak menghadiri perjumpaan-perjumpaan yang di anjurkan oleh UMNO(m/s 13). Betapa ketika itu semangat beliau untuk membebaskan tanah air amat tinggi. Walaupun menurut beliau, beliau tidak berpengetahuan di dalam ideologi, hanya dengan semangat nasionalis itu beliau berjaya memimpin AWAS dalam usaha memerdekakan Tanah Melayu.(m/s 25)

Bagaimana Beliau Menyertai Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya.

Sebelum 1948

Di sekita tahun 1945 dan 1946 Tanah Melayu menyaksikan kelahiran banyak parti-parti politik yang di bakar dengan semangat anti colonial yang tinggi. Antara parti politik melayu yang lahir ketika itu adalah Persatuan Kebangsaan Melayu Muda (PKMM), United Malays National Organisation (UMNO) atau singkatan melayunya PEKEMBAR, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) merupakan suatu sayap PKMM.

PKMM di kira sebagai parti berhaluan kiri. Ahlinya sering di tangkap, di penjara dan di hukum gantung oleh British, manakala UMNO pula tidak pernah di usik(m/s 15). Parti-parti berhaluan kiri melayu kemudiannya menubuhkan suatu pakatan di namakan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA).

PUTERA terdiri dari AWAS, API, GERAM (Gerakan Angkatan Muda Singapura) dan BATAS (Barisan Tani Se Malaya) dan lain-lain. Manakala bagi parti-parti bukan Melayu (kecuali PKM) yang tidak mahu saya senarikan disini menubuhkan pakatan yang di panggil All-Malaya Council for Joint Action (AMCJA).

PUTERA dan AMCJA bergabung menubuhkan pertubuhan PUTERA-AMCJA. Pemimpin AMCJA ketika itu adalah Tan Cheng Lock (kemudiannya TUN) manakala PUTERA di ketuai oleh Ishak Haji Muhammad (Pak Sako).
Keratan artikel dari Majalah Kenchana bil 12 1 November 1947 berkenaan dengan Hartal

Di pendekan cerita, PUTERA-AMCJA mengemukan perlembagaan rakyat, namun pihak British menolak perlembagaan tersebut dan hanya berkerjasama dengan UMNO dan wakil raja-raja melayu. Ketika itu parti-parti berhaluan kiri merasakan jalan diplomasi telah di tutup oleh pihak British. Mereka melancarkan mogok di seluruh tanah melayu (Hartal) pada 20 Oktober 1947. Menurut Shamsiah di dalam memoir nya, mogok itu berjalan lancar dan berjaya merencatkan Ekonomi (m/s 34). Shamsiah Fakeh juga terlibat dalam Hartal sebagai ahli PUTERA yang mana beliau mengetuai AWAS.

Darurat 1948

Sebelum darurat di isytiharkan, parti-parti berhaluan kiri bebas bergerak menyampaikan ideologi mereka. Ini termasuk Parti Komunis Malaya (PKM). Di dalam kongres-kongres parti berhaluan kiri, wakil PKM akan memberikan ucapan. Pada Shamsiah Fakeh, tiada apa yang pelik mengenai PKM. Mereka kelihatan bersemangat  dalam menuntut kemerdekaan negara. Menurut beliau juga, ketika itu PKM tidak di gembar-gemburkan sebagai jahat dan pengganas. (m/s 39).

Pengisytiharan darurat oleh British telah mengakibatkan semua parti berhaluan kiri di haramkan. Ini termasuk semua parti-parti komponen PUTERA-AMCJA. Sejurus sebelum Darurat Di isytiharkan, Shamsiah Fakeh berpindah ke Lubuk Kawah di Pahang. Di situ lah Wahi Anwar (Ahli PKMM pusat) meyakinkan Shamsiah untuk turut serta dalam PKM. Shamsiah berasa tiada apa-apa yang pelik dengan PKM ketika itu memandangkan mereka berjuang menentang British. Malahan Shamsiah mengalu-alukan keputusan PKM untuk menerimanya sebagai ahli atas sebab yang sama.(m/s 37-39)

Walaupun pada awal penglibatannya dalam politik, Shamsiah Fakeh menghadiri banyak perjumpaan-perjumpaan UMNO, Shamsiah memilih untuk berada di dalam PKMM, parti berhaluan kiri kerana pada beliau PKMM lebih progresif dan anti colonialis.(m/s 15) Shamsiah Fakeh mendapat latihan gerila di Pahang dan pada 1949, Rejimen ke-10 PKM di tubuhkan. Rejimen ke-10 di anggotai oleh orang Melayu dalam PKM.

Menolak Dakwaan Jahat terhadap dirinya.
Potrait Shamsiah Fakeh yang di ambil pada tahun 1994. Gambar kecil, potrait yang di ambil pada tahun 1960
Sebelum beliau menulis memoir ini, banyak cerita-cerita tentang beliau menitip di dada akhbar serta dari mulut ke mulut. Di dalam prakata memoir ini beliau berharap penerangan beliau dapat menjawab beberapa tuduhan jahat terhadap dirinya.

1) Shamsiah membunuh anaknya untuk lari dari tentera kerajaan dengan:

a) menghanyutkan anaknya kesungai (tuduhan Musa Ahmad)
b) menghentak anaknya ke batu.(tuduhan Syed Alwi)

 Di katakan juga beliau berbuat demikian kerana tertekan suaminya menyerah diri kepada tentera kerajaan. Tuduhan berkenaan di lemparkan oleh ahli PKM yang menyerah diri kepada kerajaan di dalam temuramah dengan RTM.

Shamsiah menyifatkan tuduhan itu amat jahat dan di luar batasan. Menurut Shamsiah, beliau tidak membunuh anaknya. Sebaliknya beberapa ahli PKM, meyakinkan beliau untuk menyerahkan anaknya pada penduduk kampung memandangkan keadaan perang tidak membolehkan beliau bergerak dengan bayinya. Shamsiah menyerahkan bayi itu dengan rasa sedih dan berat hati. Bayi beliau tidak di serah kan kepada penduduk kampung tempatan sebaliknya dibunuh oleh 3 orang anggota PKM. Hanya selepas 3 tahun, Shamsiah mendapat berita dari ahli tertinggi Rejimen ke 10, Musa Ahmad tentang kejadian sebenar.

Lebih menyedihkan lagi, Musa Ahmad lah yang memberi tahu wartawan RTM, bahawa Shamsiah Fakeh membaling anak nya kesungai. Di dalam memoir beliau, shamsiah menceritakan bagaimana beliau menyelamatkan bayi beliau ketika di serang oleh tentera kerajaan, menolak sama sekali tuduhan bahawa beliau seorang pembunuh.(m/s 52-59)

2) Syamsiah pembunuh kejam dan mempunyai ilmu kebal.

Syamsiah berkata, tiada sebab untuk pasukan polis berdendam terhadap dirinya. Walaupun beliau dibekalkan dengan pistol dan bom tangan ketika berada dihutan, beliau tidak pernah menggunakan senjata itu untuk membunuh pasukan tentera kerajaan.  Senjata berkenaan di berikan kepadanya sebagai penghormatan terhadap beliau sebagai ketua AWAS. Sebaliknya menurut beliau, beliaulah yang di hujani peluru tentera kerajaan.

Beliau juga menolak cerita bahawa beliau mempunyai ilmu kebal.  Beliau mendakwa beliau cuma hamba Allah dan tiada apa-apa kekebalan pada beliau. Hanya Allah yang memanjangkan umur beliau sehingga beliau dapat menulis memoir ini. (m/s 116)

Hati saya berasa sayu apabila membaca bahagian yang menceritakan bagaimana beliau menyerahkan anak beliau kepada anggota PKM untuk di serahkan kepada penduduk tempatan. Sebelum perkara itu berlaku, pihak tentera memburu beliau dan beliau terpaksa melarikan diri bersama bayi beliau untuk mengelak daripada di tangkap. Sungguh cekal semangat beliau, bukan sahaja sebagai pejuang, malah sebagai seorang ibu dan wanita melayu.


Mempertahankan perjuangan di dalam hutan menentang British.

Di dalam memoir beliau, beliau banyak mempertahankan keputusan beliau masuk ke hutan menentang British. Beliau mempertahan PKM untuk mengangkat senjata menentang British. Beliau menyifatkan British adalam pengganas sebenar. Bercakap mengenai pertumpahan darah dengan askar yang terdiri dari orang Malaya, Shamsiah berkata

'' Di dalam perang, sama ada adil atau tidak, pertumpahan darah tidak dapat di elak kan. Sesiapa yang berjuang di samping penjajah, pasti menerima tentangan. Ianya salah mereka untuk berpihak kepada penjajah''  m/s 47 ............(petikan bahasa inggeris yang saya terjemahkan kedalam bahasa melayu, ada kemungkinan tidak sama dengan memoir asal Shamsiah dalam bahasa melayu) 

Di dalam memoir nya juga, Shamsiah ada memetik beberapa kali buku '25 tahun merdeka' karangan Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris seorang veteran di dalam UMNO. Tan Sri Abdul Samad Idris ada mempertahankan orang-orang melayu yang memberontak di hutan menentang British. Berikut adalah terjemahan dari petikan di dalam buku beliau:

''Jangan fikir pemberontakan oleh orang-orang melayu di Jenderam, Selangor, di Termeloh Pahang dan di tempat lain, yang mana mereka berkerjasama dengan pengganas komunis adalah kerana pemahaman mereka yang kuat terhadap ideologi komunis. Adalah sangat jelas melalui analisis sejarah bahawa mereka adalah wira nasionalis melayu. Mereka memilih jalan pemberontakan semata-mata hanya untuk mendapat kemerdekaan'' -25 Tahun Merdeka dipetik dan diterjemah dari memoir Shamsiah Fakeh m/s 49-

Shamsiah memetik lagi tulisan veteran UMNO berkenaan.

''Sebab lain yang memaksa British untuk berlembut dengan UMNO adalah pemberontakan bersenjata yang di lancarkan oleh pengganas komunis di hutan''-25 Tahun merdeka di petik dan di terjemah dari memoir Shamsiah Fakeh m/s 49-

Shamsiah sebelum itu menimbulkan persoalan kepada pembaca, adakah penjajah akan dengan mudah memberi kemerdekaan hanya melalui kompromi? Agak berat untuk hati ini menjawab ya. 

Shamsiah Fakeh juga ada memetik kata-kata Tun Dr Ismail dari buku 25 Tahun Merdeka. katanya

'' Setiap nasionalis, berhaluan kiri atau kanan,mereka telah bersama-sama menyumbang kepada perjuangan menuntut kemerdekaan yang di lakukan oleh UMNO''-25 Tahun Merdeka dipetik dan di terjemah dari memoir Shamsiah Fakeh m/s 71-

Kesimpulan

Memoir ini merakam kan suatu peristiwa sejarah dari sudut yang jarang di dengar oleh masyarakat. Apa yang saya tulis cuma ringkasan dari begitu banyak maklumat yang beliau tuliskan sebelum beliau meninggal dunia.

Shamsiah secara keseluruhan mempertahankan pemberontakan parti-parti berhaluan kiri tanpa mengecam pergerakan nasionalis UMNO secara ekstrim.  Beliau banyak memetik buku veteran UMNO Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris dalam usaha menerangkan tentang perjuangan beliau kepada pembaca.

Hal yang demikian membuatkan saya mahu mencari buku 25 Tahun merdeka hasil tulisan veteran UMNO berkenaan. Tambahan pula di dalam suatu bahagian dalam memoir Shamsiah, beliau memetik cubaan pemberontakan yang mahu di lancarkan oleh pemuda UMNO yang di panggil Barisan 33. Saya mahu mendapat maklumat lanjut berkenaan dengan Barisan 33 yang mana antara pemimpin yang terlibat adalah ayahanda kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sikap Shamsiah yang tidak mengecam perjuangan UMNO merupakan suatu perkara yang patut di puji (lihat nota 1). Beliau lebih menumpukan kepada tujuan utama perjuangan masing-masing iaitu menuntut kemerdekaan.

Hal ini berbeza dengan sesetengah golongan muda masakini yang tidak pernah merasa sepak terajang penjajah mahupun komunis. Ada yang senang lenang melabel nasionalis UMNO sebagai anjing penjajah dan ada yang senang lenang melabel perjuangan berhaluan kiri sebagai 'barua komunis' tanpa menilai fakta-fakta sejarah di sebalik perjuangan mereka.

Tidakkah nasionalis kanan dan kiri pada akhir hidup mereka menghormati perjuangan antara satu sama lain?  Adalah amat jijik bagi insan yang tidak merasai perjuangan menuntut kemerdekaan untuk melabel mana-mana pihak dengan label yang tidak baik, hanya kerana sentimen politik semasa.

Bangsa kita kadang-kadang terlalu banyak bercakap dan kurang membaca. Barangkali dengan membaca memoir nasionalis-nasionalis berhaluan kanan dan kiri dapat kita meningkatkan pemahaman terhadap perjuangan mereka. Saya sendiri masih belum banyak membaca, sedikit-sedikit saya sematkan azam sempena sambutan kemerdekaan ini untuk membaca lebih banyak buku sejarah negara kita. 

Secara keseluruhan, memoir Shamsiah Fakeh dapat menjawab beberapa persoalan saya. Ianya merupakan suatu bacaan yang baik untuk kita semua sebagai tambahan tentang matapelajaran sejarah yang kita pelajari di sekolah. Selain itu, memoir ini juga boleh di jadikan sebagai teladan kepada wanita-wanita, mahasiswi-mahasiswi, aktivis-aktivis kerana memuatkan kisah seorang wanita berjiwa cekal bernama Shamsiah Fakeh.

Saya membaca memoir ini tanpa membuat penilaian betul atau salah perjuangan beliau. Sebagai generasi yang tidak merasa perit jerih penjajahan, bukan tugas saya untuk menilai perjuangan mereka. Tetapi, sebagaimana yang di kata kan oleh Shamsiah di dalam prakata memoir beliau, 'yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan'. Dengan membaca memoir nasionalis ini, harapnya rakyat malaysia dapat menghargai kemerdekaan yang di kecapi sekarang.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan
ke-54!
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Rujukan:

The Memoirs of Shamsiah Fakeh from AWAS to 10th Regiment
ISBN: 9789839048772
Author: Shamsiah Fakeh
Publisher: SIRD
Year: 2009 


Nota

1) ketika di temuramah oleh wartawan mastika, wartawan bertanya soalan yang berbunyi:

 Apa pandangan terhadap Aishah Ghani? Aisyah pernah berkata Shamsiah terdorong masuk PKM dan tidak mengkaji hal-hal di belakang tabir(AWAS di peralat komunis)

Shamsiah Fakeh Menjawab:

 "Aisyah dengan aku bagai adik beradik, dia seorang tokoh perjuangan kemerdekaan, aku gambira dan bersyukur dengan kejayaannya! Cakap Aisyah mungkin betul separuh, tapi kalau pada masa itu aku pintar dalam memilih untuk berjuang di mana hidup aku akan senang lenang dan tiada risiko, maka aku bukan Shamsiah!"

Sumber


No comments:

Post a Comment