Sunday 1 July 2012

Teknik Afocal

Post pada awal bulan Julai ini saya dedikasikan kepada teknik pengambaran yang saya gunakan dalam Astrophotografi iaitu Afocal. Saya pernah membincangkan teknik ini secara ringkas dalam beberapa post saya sebelum ini. Antaranya artikel yang berkaitan adalah tips menceburkan diri dalam hobi astronomi dan di dalam log cerapan saya.

Apa itu teknik Afocal?

Idea di sebalik teknik Afocal sangat mudah. Apabila anda meletakan lensa kamera anda pada eyepiece teleskop dan kemudiannya menekan shutter bagi merakam imej, maka itulah yang dipanggil teknik Afocal. Lensa kamera menggantikan mata manusia pada eyepiece untuk merakam imej yang dilihat melalui eyepiece. 

Objek Cerah Sahaja

Walaupun tekniknya mudah, terdapat beberapa kekangan dalam menggunakan teknik ini. Teknik Afocal tidak boleh digunakan untuk merakam objek-objek yang kurang cerah seperti nebula dan galaksi. Objek kurang cerah memerlukan 'exposure' yang cukup dan tripod yang stabil serta mampu untuk mengikuti objek berkenaan bagi menolak kesan putaran bumi pada paksinya (objek kelihatan bergerak merentasi ruang penglihatan melalui eyepiece kerana putaran bumi pada paksinya).

Justeru teknik ini hanya boleh digunakan bagi merakam objek-objek cerah seperti planet, bulan dan matahari (penapis matahari diperlukan).  Dengan mount yang manual serta sedikit pengalaman dan kaedah cuba jaya, imej bulan dan planet yang memuaskan boleh dirakan dengan teknik ini.  Cara rakaman planet dan bulan berbeza memandangkan planet lebih kecil(kelihatan melalui eyepiece) dan kurang cerah  daripada bulan.

Kestabilan

Kestabilan merupakan faktor penting dalam fotografi. Perkara yang sama juga boleh perlu dititikberatkan dengan astrofotografi menggunakan teknik afocal. Teknik Afocal tanpa adapter (kamera dipegang dengan tangan) mampu dilaksanakan untuk merakam imej bulan. Namun ada perbezaan kualiti imej dengan kamera yang dipasang pada adapter.
Gambar 1: Kamera dipegang dengan tangan pada eyepiece teleskop Sumber: A Darker View
Gambar 2: Kamera digital dipasang pada adapter 
Kualiti Imej

Pada bahagian ini saya akan menyediakan gambar untuk membezakan kualiti imej yang dirakam menggunakan kaedah pada gambar 1 dan 2

Gambar 4 (Laporan Cerapan)
Gambar 5: Bulan pada 28 Jun 2012
Gambar 4 diambil dengan kamera dipegang menggunakan tangan pada teleskop manakala gambar 5 diambil menggunakan kamera yang dipasang pada adapter. Kualiti pada gambar 5 lebih ketara dengan kesan gegaran ketika gambar diambil berjaya dikurangkan. Walaubagaimanapun, jujur perlu  saya katakan gambar 5 telah diubahsuai dengan software komputer bagi meningkatkan kualiti gambar. Namun ianya tidak akan berhasil sekiranya kamera tidak diletakan pada Adapter.

Secara teorinya, agak sukar untuk merakam imej planet tanpa meletakan kamera pada adapter. Kualiti yang dirakam jauh berbeza. Meletakkan kamera pada adapter membolehkan beberapa kaedah dilaksanakan  bagi memastikan gambar yang dirakam mempunyai kualiti yang maksimum. 
Gambar 6: Imej Musytari pertama yang saya rakam (Laporan Cerapan)
Gambar 7: Imej Musytari terbaik pernah saya rakam (Laporan Cerapan)
Gambar 6 merupakan satu satunya gambar Musytari yang saya rakam tanpa adapter (tetapi berjaya rakam awan pada Musytari). Saya anggap saya bernasib baik. Awan khatulistiwa selatan pada Musytari tidak ada dalam gambar 6. Gambar 7 pula merupakan imej musytari terbaik saya. Gambar 7 dirakamkan dengan meletakkan kamera pada adapter. Dengan kaedah tertentu yang akan saya bincangkan pada bahagian seterusnya, saya berjaya merakam bukan sahaja jalur awan, tetapi juga 'brown oval', Great Red Spot (GRS) serta bulan Musytari, Io. Selain dari adapter, Kedudukan Istiqbal Musytari serta cuaca yang baik turut menyumbang kepada kualiti gambar yang dirakam.

Tips-Tips teknik Afocal
  • Adapter: Adapter merupakan aksesori penting dalam menggunakan kaedah afocal dalam fotografi. Harga adapter (atau dipanggil juga digiscoping bracket) jenama Orion adalah £40 di UK atau RM260 di pengedar Orion Malaysia (US lebih murah). 
  • Merakam Bulan: Eksperimen dengan semua setting yang ada pada kamera kompact anda. Jangan guna setting Auto. Pastikan pilih setting yang menawarkan kelajuan shutter yang laju memandangkan bulan objek yang cerah (setting seperti dusk, sunset sesuai). Gambar 5 saya rakam dengan setting copy. Sekiranya anda menggunakan kamera DSLR, gunakan setting manual agar anda boleh menentukan kelajuan shutter dan tempoh exposure. 
  • Merakam Bulan: (dengan adapter), Pastikan jangan terus menekan shutter, sebaliknya gunakan timer supaya kamera boleh berada dalam keadaan stabil ketika gambar dirakam. Sekiranya kamera tidak boleh fokus, gunakan focuser teleskop untuk menfokus gambar (tekan shutter separuh dan ubah focuser teleskop). 
  • Planet: Gunakan fungsi video pada kamera compact anda untuk merakam imej planet. Ini kerana planet lebih kecil (dalam eyepiece) dan kurang cerah berbanding bulan. 
  • Planet: Sekiranya teleskop tidak mempunyai fungsi untuk mengekori pergerakan planet, jangan cuba untuk mengikuti planet secara manual (dengan tangan). Sebaliknya rakam video planet dan biarkan planet bergerak melintasi 'field of view'. 
  • Planet: Setelah video dirakam, imej planet boleh dihasilkan dengan menggunakan perisian percuma seperti Registax. Gambar 7 merupakan imej yang dihasilkan dengan kaedah yang sama. Video asal gambar 7 boleh didapati di link youtube disebelah kanan blog ini.
Selain daripada itu, imej yang dirakam perlulah di ubahsuai menggunakan perisian komputer bagi menaikan ciri pada planet dan bulan. 

Selain Astrofotografi

Selain astrofotografi, teknik afocal juga boleh digunakan bagi merakam objek-objek di darat pada waktu siang. Kamera boleh diletakan pada eyepiece teleskop yang sesuai untuk aktiviti mengintai flora dan fauna. Walaupun teleskop reflector (pemantul) tidak sesuai digunakan untuk melihat burung. Namun saya pernah menggunakan nya untuk aktiviti berkenaan.
Gambar 8 : Blue Tailed Bee Eater menerusi teleskop Mak-Cass 90mm dirakam dengan teknik afocal (Laporan Aktiviti)


Gambar 8 menunjukan imej burung Blue Tailed Bee Eater yang saya rakamkan di kawasan ampang dengan menggunakan teknik afocal. Selain itu saya juga mempunyai mikroskop poket dan beberapa imej menerusi mikroskop juga boleh dirakam dengan teknik afocal. Berikut adalah imej yang saya maksudkan
Gambar 9: Sel Bawang
Gambar 10:  Dua butir gula dibawah mikroskop poket saya (Laporan Aktiviti 9 dan 10)
Penutup

Teknik afocal menawarkan kaedah murah bagi peminat astronomi yang mempunyai bajet yang kecil. Walaupun mempunyai kekangan (tidak dapat merakam objek malap seperti nebula dan bintang) namun kemampuan teknik afocal merakam imej bulan serta planet sudah cukup memberikan kepuasan kepada peminat astronomi. Teknik afocal juga boleh digunakan untuk aktiviti bukan astronomi seperti memerhati unggas dan fauna di Malaysia yang sememangnya kaya habitat hidupan liar. Dengan kesabaran, dan kaedah yang betul, teknik afocal menjanjikan pulangan yang tidak ternilai dari segi ekonomi dan kepuasan kepada peminat astronomi. Sekian

No comments:

Post a Comment