Sunday, 24 June 2012

[Cerapan] Objek Deep Sky(DSO)

Objek: Zuhal, M4, M7, M6 (butterfly cluster), Lagoon Nebula, Trifid Nebula
Tarikh: 23/06/12
Peralatan: Orion XT10, Celestron 10x50 Binokular. Untuk cerapan objek deep sky, Eyepiece yang digunakan adalah Orion Q70 32mm 2inch Eyepiece.


Semalam (23/06/12 Jam 2234) cuaca agak cerah. Bintang Antares yang berada lebih kurang langit selatan dah mula meninggi. Bahagian langit selatan di kawasan cerapan saya ditutupi dengan pokok kelapa sawit. Jadi sejak beberapa ketika memang susah nak buat cerapan kalau objek berada di bahagian selatan. Utara pula selalu berawan. 

Zuhal


Awal cerapan saya mulakan dengan cerapan planet Zuhal. Ini bagi memastikan apa yang saya cerap pada 17 Jun adalah betul. Saya dapat sahkan pada 23 Jun memang saya tidak dapat lihat Cassini Division secara visual dengan magnifikasi 160x/96x. Cerapan Zuhal mengambil masa lebih kurang 20-30minit.



Beberapa cerapan yang lalu saya ada tulis tentang kesukaran mencerap objek-objek deep sky jika tiada pengalaman. Baru-baru ini saya mula gunakan binokular untuk mengimbas langit bagi mencerap objek-objek deep sky. Berbaloi kerana binokular memang peralatan terbaik untuk latihan mengenal bintang dan membiasakan diri dengan kedudukan bintang. Omega Centauri, M4 globular cluster antara objek deep sky yang saya perhatikan melalui binokular terlebih dahulu sebelum menggunakan teleskop.



Gugusan Messier 4 


M4 saya perasan melalui bintang Antares. Antares agak mudah dicari memandangkan warnanya yang 'merah' berbanding dengan bintang lain. Antares adalah bintang dalam buruj Scorpio. Jadi saya tumpukan cerapan saya dengan bintang-bintang dalam buruj scorpio kerana berdekatan dengan bintang-bintang tersebut terdapat objek deep sky yang menarik.

Gambar 1: M4 dari teleskop amatur (Sumber : Hewholooks)
M4 melalui binokular memang kurang jelas. Namun jika diperhatikan sebaik mungkin kelihatan seakan kotoran/asap yang bercahaya dilangit. Bentuknya hampir sama dengan Omega Centauri jika dilihat dari binokular cuma, kecerahan omega centauri lebih cerah berbanding M4. Justeru, kali pertama saya menghalakan binokular ke M4 saya tidak pasti apa yang saya lihat. Saya fikir M4 yang saya lihat menerusi binokular mungkin bayangan dalam fikiran saya. Cerapan kali ini mengesahkan apa yang saya lihat terlebih dahulu. 


Melaui Orion XT10, imej M4 tidak secerah Omega Centauri. Barangkali disebabkan bintang berdekatan menyebabkan kontras imej kurang menyerlah. Dengan menggunakan Orion Q70 32mm eyepiece saya boleh muatkan M4 dan Antares dalam field of view (FOV) saya. Imej yang saya perhatikan hampir sama dengan rajah diatas cuma imej yang saya lihat hitam putih. Imej diatas dirakam dengan ccd.


Messier 7 dan Butterfly Cluster


Setelah mengesahkan apa yang saya lihat berdekatan Antares, Saya halakan binokular pada ekor scorpio. Bintang Shaula dan Lesath (berkemungkinan dari bahasa Arab) menjadi petunjuk saya kali ini.

Gambar 2: M7 atau Ptolemy Cluster (sumber: Astronet)
Tidak sukar mencari M7. Halakan teleskop pada Shaula, dan kemudian tolak(dobsonian) tube teleskop ke kiri supaya pointer difinderscope bergerak lebih kurang satu jari dari bintang Shaula. Insya'Allah terus boleh jumpa M7 atau dikenali juga sebagai ptolemy cluster.

Saya boleh cari M7 dengan mudah melalui binokular. Bahkan binokular yang membantu saya mencari M7 dengan teleskop. Melalui teleskop saya, bintang-bintang kebiruan seperti dalam Gambar 2. Cuma tidaklah saya lihat bintang sebanyak dalam gambar 2 melalui visual. Dan kecerahan melalui teleskop saya kurang sedikit berbanding dengan gambar 2.

Butterfly Cluster(M6) tidak berada jauh dari M7. Melaui binokular, boleh dilihat M6 dan M7 dalam fov yang sama.  Saya boleh muatkan M6 dan M7 dalam fov eyepiece 32mm saya. Tapi kesan aberration eyepiece membuatkan imej tidak fokus dibahagian tepi fov. Lebih lama saya lihat, lebih jelas bentuk Rama-Rama M6. 

Gambar 3: M6 Butterfly cluster (sumber : APOD)
Apa yang menyebabkan saya mudah mengenali M6 bukan kerana bentuknya. Tetapi dalam gugusan M6 terdapat satu bintang berwarna merah berbeza dengan warna biru bintang lain. Jika dilihat melalui teleskop newtonian saya bintang tersebut berada di sayap kanan rama-rama. Bintang tersebut adalah BM Scorpii (HIP 86257).

Lagoon Nebula dan Trifid Nebula

Ini merupakan kali pertama saya mencerap Nebula selain dari Orion Nebula. Orion Nebula lebih mudah dicerap kerana cerah dan bentuknya yang mudah dikenali serta kedudukan yang mudah dicari didalam buruj Orion.
Gambar 4: Lagoon Nebula (Sumber Misti Mountain Observatory)
Pada asalnya saya sesat ketika mencari Butterfly Cluster. Terjumpa Lagoon Nebula, walaupun ketika itu saya tidak tahu namanya, tapi saya tahu ia adalah nebula kerana 'nebulosity' objek yang saya lihat memang jelas. Ciri yang paling menonjol secara visual adalah gap gelap ditengah-tengah nebula. Ciri itu yang buat saya kenal Lagoon Nebula. Tidak seperti Gambar 4, imej visual yang saya lihat kurang cerah dan tiada warna. Warna didalam gambar adalah kesan pemprosesan komputer (Imej diambil dengan filter RGB dan kemudian diproses). Saya tidak perasan Lagoon Nebula binokular. 

Untuk mencari Lagoon Nebula saya gunakan bintang Kaus Borealis sebagai petunjuk. Tidak jauh dari Lagoon Nebula dan bintang berkenaan boleh dilihat dengan mata kasar.

Tidak jauh dari Lagoon Nebula terdapat satu lagi nebula, yang dinamakan Trifid Nebula.

Gamabar 5 : Trifid Nebula ( Sumber: Physcohistorian)
Saya tidak nampak apa-apa ciri dan details pada trifid nebula ketika cerapan. Apa yang membuatkan saya yakin objek yang saya lihat adalah trifid nebula adalah kedudukannya yang hampir dengan Lagoon Nebula dan saya perasan ciri Nebula pada objek yang saya lihat.

Saya boleh muatkan Trifid Nebula dan Lagoon Nebula dalam satu fov (XT10). Saya halakan binokular, saya tidak nampak apa-apa ciri  menonjol nebula melalui binokular saya. Jadi saya simpulkan saya tidak lihat kedua-dua nebula melalui binokular (walaupun saya ada nampak sesuatu yang berkemungkinan 2 nebula yang hampir).

Penutup

5 DSO dalam satu malam M4,M7,M6, Lagoon nebula, Trifid Nebula. Saya rasa saya boleh tambah lagi list malam tu, cuma dah tengah malam dan nyamuk dah banyak. 5 DSO kira satu pencapaian untuk saya.  Biasanya nak cari 1 DSO pun terkial-kial. Malam 23 Jun adalah malam cerapan yang agak serius bagi saya. Bukan sahaja saya bawa teleskop dan binokular, Laptop pun saya bawa untuk rujuk Stellarium. Itu yang membuatkan saya boleh cerap dan mengenali objek yang saya cerap. Selain dari itu saya bawa buku nota, pen, dan lampu suluh (merah). Saya tulis sedikit-sedikit apa saya buat dan lihat, akan datang saya akan cuba tulis dengan lebih banyak. 


Gambar 6: Sedikit Coretan Cerapan 
Selain daripada itu, Buruj Scorpio merupakan Buruj yang mudah dicari dan banyak DSO disekitar Buruj Berkenaan. Jadi siapa-siapa yang baru mula nak menjinakkan diri dalam mencerap DSO, mungkin Buruj Scorpio boleh dijadikan target yang baik. Sekian.

Nota: Semua gambar Objek Deep Sky didalam post ini diambil dari sumber lain. Sumber gambar dinyatakan didalam caption gambar. Cerapan hanya dibuat secara visual.


Apabila saya kata bintang/objek berwarna merah, boleh jadi Jingga, cuma saya selalu anggap merah.

Thursday, 21 June 2012

Apa yang saya fikir pasal Zuhal? (Jun 2012)

Dalam bulan Jun-Julai Zuhal masih lagi boleh dicerap dan kecantikan gelang Zuhal memang tak dapat dinafikan. Walaubagaimanapun dengan set up yang saya ada sekarang, saya dah nampak perbezaan cerapan Zuhal ketika hampir dengan tarikh Istiqbal(opposition) dan apa yang saya cerap sekarang. 

Saya tak dapat perhatikan Cassini Division ketika cerapan baru-baru ni.  Mungkin ada beberapa sebab. Antaranya kedudukan Zuhal semakin jauh, atau mungkin seeing tak berapa baik pada tarikh saya lakukan cerapan. Pada asalnya saya jangkakan collimation teleskop dah lari, tapi lepas periksa teleskop, nampak tiada masalah. Saya akan buat star test pada masa akan datang.

Teleskop Newtonian

Teleskop jenis newtonian walaupun murah ada beberapa kelemahan. Antaranya pengguna perlu periksa collimation teleskop. Asalnya sebelum saya beli teleskop XT10 memang saya ambil kira perkara ini dan saya  dapati collimation tidak sukar dilakukan. 

Teleskop Newtonian bersaiz kecil (3-8inch) tidak memerlukan collimation yang kerap. Teleskop 10 inch berkemungkinan memerlukan collimation setiap kali ianya dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain (travel jauh).Tapi sepanjang saya guna, walaupun teleskop xt10 saya pernah travel dari birmingham ke Malaysia, kedudukan cermin dalam OTA tidak memerlukan collimation yang serius. Link untuk collimate teleskop boleh didapati di bahagian tepi blog saya. 

Imej Zuhal 

Walaupun gunakan teleskop Dobsonian (manual) saya tak terlepas dari ambil gambar. Teleskop Dobsonian tak sesuai untuk astrophotografi. Sepanjang tahun 2012, saya dah cuba ambil gambar Zuhal beberapa kali. Gunakan Dobsonian dan Orion Apex 90mm saya. Kedua-duanya tidak mempunyai sistem auto tracking. Sejak kebelakngan ini saya selalu lakukan cerapan dengan XT10.  Berikut beberapa Imej yang saya dapati dalam tahun 2012.
Gambar 1

Gambar 2

Gambar 3

Gambar 4









Gambar 2 dan Gambar 3 diambil pada tarikh yang sama. Gambar 3 kelihatan secara tidak jelas titik berhampiran Zuhal. Perisian astronomi meyakinkan saya titik berkenaan adalah Titan, bulan Zuhal yang paling besar.

Terdapat perbezaan dari segi kualiti ke empat-empat gambar yang saya ambil. Perbezaan tersebut boleh disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah teknik yang saya gunakan untuk merakam gambar berkenaan. Saya menggunakan teknik Afocal, manual tracking. Jadi kadangkala imej yang dihasilkan memang akan berbeza hanya kerana cara saya letakan lens kamera compact saya pada eyepiece berbeza. 

Kedua, mungkin disebabkan oleh cara saya edit gambar berkenaan. Kadangkala baik dan kadangkala kurang baik. Perhatikan perbezaan Gambar 1,2,3 dengan Gambar 4. Cassini Division hampir/langsung tidak kelihatan pada gambar 4. Secara visual pada tarik 17/06/2012 saya tidak dapat perhatikan Cassini Division. 

Gambar 1 diambil ~sebulan sebelum tarikh opposition manakala gambar 2 dan 3 diambil lebih kurang 2 minggu selepas tarikh opposition. Cassini division dapat dilihat dibahagian tepi gelang kiri dan kanan. Secara visual ia lebih jelas. Berhampiran dengan tarikh opposition saya dapat rakamkan titan. 

Seperti mana saya katakan sebelum ni, mungkin disebabkan cuaca, dan berkemungkinan besar disebabkan Zuhal dah semakin jauh dari bumi (saya rasa sebab kedua). Saya tak dapat lakukan cerapan selepas tarikh 17/06/2012 atas sebab cuaca.  Secara visual Titan masih kelihatan pada kali terakhir cerapan saya (dan memang sentiasa kelihatan sepanjang tahun). 

Encke Division

Saya ada baca secara teori teleskop 8inchi (ada yang kata 7inchi) berkualiti dapat digunakan untuk cerap Encke Division sekiranya keadaan cuaca yang sangat baik. Encke division berada paling luar dalam gelang Zuhal. Lebarnya lebih kecil dari Cassini Division (325km< 4800km).

Walaupun saya ada teleskop 10inchi yang berkualiti, saya tidak rasa saya dapat cerap Encke Division atas beberapa sebab. Antaranya, cuaca yang baik sukar didapati dan eyepiece yang saya ada tak cukup untuk cerap Encke Division. Saya perlukan eyepiece bermaknifikasi tinggi. Selain daripada itu, Encke division kecil dan memerlukan Zuhal untuk senget secara maksimum supaya dapat dilihat. 

Selain daripada tu saya ada juga perhatikan imej yang diambil oleh DrRowi dari blog beliau tahun ini. Saya perhatikan Imej Zuhal yang beliau rakam tidak kelihatan Encke Division. Tiada laporan pemerhatian Encke Division secara visual oleh beliau (setahu saya). Peralatan yang Dr Rowi gunakan JAUH lebih hebat dari apa yang saya ada. Saya tak periksa laporan cerapan/imej En Shahrin berkenaan Zuhal. 

Walaubagaimanapun saya lihat di FB page Damian Peach, imej Zuhal yang beliau rakam ada kelihatan Encke Division. (Kalau tak silap saya beliau ada rakam ribut di Zuhal juga). Damian Peach guna teleskop 14inchi dengan kamera/ccd yang canggih(dan mahal). 

Nota: Division (Encke/Cassini) adalah kawasan kosong antara gelang-gelang Zuhal. Sebagai contoh Cassini Division memisahkan gelang A dan B planet Zuhal.

Musim

Jun-Julai bulan akhir untuk saya cerap Zuhal. Ini disebabkan Zuhal semakin menjauh. Musim cerapan Zuhal untuk saya dah hampir tamat.  Lagipuun sejak transit venus baru-baru ini peminat astronomi dah mengalihkan pandangan kepada peristiwa berkenaan. 

Musytari(Jupiter) pula dah mula terbit disebelah timur waktu subuh. Masih jauh dari tarikh opposition tapi gambar yang di kirim oleh Damian Peach baru-baru ni menunjukan sesuatu yang menarik berlaku pada Musytari. Jalur awan utara( Northen Equatorial Belt) Musytari kelihatan bergolak. Komen pada gambar Damian Peach mencadangkan perkara itu jarang berlaku dan tidak berlaku hampir 50tahun sebelum ini.

Sistem cuaca Musytari agak misteri dan menjadi tumpuan Ahli Astronomi professional dan Amatur. Jalur selatan(Southern Equatorial Belt) Musytari sebagai contoh kadang-kadang hilang hampir 2 tahun dan boleh muncul semula. Pada tahun 2010 saya cerap Musytari, SEB tidak ada. Ketika itu saya gunakan magnifikasi 48x sahaja (rendah). Imej saya rakam dengan kamera (handheld) menunjukan ketiadaan SEB. Hanya beberapa bulan selepas saya cerap, SEB muncul semula setelah 2 tahun menghilang. Yang menarik, Saintis tidak faham mengapa ia berlaku. 

Penutup:

Saya gembira dengan teleskop yang saya ada. Cuma saya perlu akui saya perlu invest sedikit lagi untuk lengkapkan peralatan saya. Saya perlukan mount sesuai untuk Orion Apex 90mm, Eyepiece berkuasa tinggi (mungkin 10mm), dan finderscope baru (EZ finderscope yang dibuat dari plastic dah takbetul sangat). Buat masa ni saya kalau rosak teruk saya gunakan finderscope Orion Apex 90mm saya. 

Berkenaan dengan Zuhal: kali pertama saya cerap Zuhal dengan XT10 adalah bulan Jun 2010. Hanya dengan magnifikasi 48x saya rasa saya nampak Cassini Division. Kawan yang hadir ketika cerapan sifatkan ciri yang kami nampak sebagai garisan hitam. dengan magnifikasi 48 sukar untuk saya sahkan apa yang kami lihat. Kini saya rasa itu bukan Cassini Division sebaliknya jalur pada permukaan Zuhal ataupun ruang antara gelang dengan planet. Namun pada cerapan saya tahun ini dengan magnifikasi 160x, saya boleh sahkan saya lihat cassini division dengan teleskop saya. Dan saya rakam imej planet berkenaan dengan lebih baik. 

Tahun lepas saya sahkan saya boleh cerap GRS pada Musytari. Saya juga berjaya rakam gambar Musytari dengan GRS. Tahun ini saya berharap dapat cerap transit bulan planet Musytari. Kali terakhir cerap adalah Transit Io pada 2010. Itupun magnifikasi rendah jadi tak dapat saya nak pastikan. Kali ini harapnya berjaya.

Selain daripada itu, sekarang saya mula berjinak-jinak dengan DSO (Deep Sky Object). Selain Andromeda, Orion Nebula,Omega Centauri, dan Pleiades tak ada DSO lain yang saya cerap dengan Teleskop. Baru-baru ni saya scan langit dengan Bino, dan guna Stellarium untuk belajar kedudukan bintang dan DSO. Saya dapati Antares adalah bintang yang baik untuk saya jadikan rujukan untuk cerap DSO. Lagipun M4 berdekatan dengan Antares dan saya percaya saya perhatikan M4 dari bino 10x50 saya. 

Tuesday, 5 June 2012

Cerapan Transit Zuhrah 2012

Objek: Zuhrah/Matahari
Tarikh: 6 Jun 2012
Masa : 9:45-10:15pagi/ 12:00-12:30tengahari
Peralatan: Binokular Celestron 10x50
Cuaca: Mendung


Walaupun cuaca mendung dapat juga saya mengintai ke matahari melihat Zuhrah melintasi disk matahari. Mula-mula saya cerap guna eclipse shade. Tengok secara terus. Titik hitam nampak jelas (kalau rabun, pakai cermin mata, kemudia guna eclipse shade). Permandangan yang sangat menarik.

Kemudian saya bawa keluar binokular yang dah siap diikat pada tripod. Imej matahari saya pancarkan pada skrin (kertas A4 putih yang dilekatkan pada fail keras).  Imej Zuhrah sangat jelas dan mudah di kenal pasti. Titik hitam yang bulat nampak berbeza dengan sunspot pada matahari. Cuaca mendung sepanjang cerapan, tapi Alhamdulillah dapat rakam beberapa ketika apabila awan tidak tutup matahari.

Berikut adalah beberapa gambar yang saya ambil:








4 gambar diatas berserta masa. Perhatikan pada 1222 Zuhrah sudah hampir 'keluar' dari disk matahari. Untuk mengakhiri post kali ini saya sertakan video yang saya rakamkan ketika transit zuhrah 2012. Walaupun pada zaman moden ni banyak video berada kat internet dan semua orang boleh tonton tanpa terlepas peristiwa unik ini. Saya gembira dapat melakukan cerapan sendiri walaupun dengan cara yang mudah dan simple. Sekian.


Nota Tambahan:

Saya sediakan link ke website serta blog lain yang buat coverage transit zuhrah 2012:

Dr Rowi melakukan cerapan di Kelantan dan dapat merakam gambar unik transit venus+kapal terbang
http://drrowi.blogspot.com/2012/06/double-transit-di-pantai-mek-mas.html

Gambar-gambar transit seluruh dunia dari website BBC
http://www.bbc.co.uk/news/science-environment-18336544

Begitu juga Robi Ale Romero yang bangun seawal pagi untuk mencerap transit dari paris. Berikut adalah gambar yang beliau rakam: )



















Tak cukup gambar-gambar yang diambil dari bumi, Solar Dynamics Observatory ada merakam gambar sempena transit Zuhrah 2012. Berikut adalah Youtube video yang di buat berdasarkan gambar yang diambil:)