Showing posts with label Zuhrah. Show all posts
Showing posts with label Zuhrah. Show all posts

Tuesday, 5 June 2012

Cerapan Transit Zuhrah 2012

Objek: Zuhrah/Matahari
Tarikh: 6 Jun 2012
Masa : 9:45-10:15pagi/ 12:00-12:30tengahari
Peralatan: Binokular Celestron 10x50
Cuaca: Mendung


Walaupun cuaca mendung dapat juga saya mengintai ke matahari melihat Zuhrah melintasi disk matahari. Mula-mula saya cerap guna eclipse shade. Tengok secara terus. Titik hitam nampak jelas (kalau rabun, pakai cermin mata, kemudia guna eclipse shade). Permandangan yang sangat menarik.

Kemudian saya bawa keluar binokular yang dah siap diikat pada tripod. Imej matahari saya pancarkan pada skrin (kertas A4 putih yang dilekatkan pada fail keras).  Imej Zuhrah sangat jelas dan mudah di kenal pasti. Titik hitam yang bulat nampak berbeza dengan sunspot pada matahari. Cuaca mendung sepanjang cerapan, tapi Alhamdulillah dapat rakam beberapa ketika apabila awan tidak tutup matahari.

Berikut adalah beberapa gambar yang saya ambil:








4 gambar diatas berserta masa. Perhatikan pada 1222 Zuhrah sudah hampir 'keluar' dari disk matahari. Untuk mengakhiri post kali ini saya sertakan video yang saya rakamkan ketika transit zuhrah 2012. Walaupun pada zaman moden ni banyak video berada kat internet dan semua orang boleh tonton tanpa terlepas peristiwa unik ini. Saya gembira dapat melakukan cerapan sendiri walaupun dengan cara yang mudah dan simple. Sekian.


Nota Tambahan:

Saya sediakan link ke website serta blog lain yang buat coverage transit zuhrah 2012:

Dr Rowi melakukan cerapan di Kelantan dan dapat merakam gambar unik transit venus+kapal terbang
http://drrowi.blogspot.com/2012/06/double-transit-di-pantai-mek-mas.html

Gambar-gambar transit seluruh dunia dari website BBC
http://www.bbc.co.uk/news/science-environment-18336544

Begitu juga Robi Ale Romero yang bangun seawal pagi untuk mencerap transit dari paris. Berikut adalah gambar yang beliau rakam: )



















Tak cukup gambar-gambar yang diambil dari bumi, Solar Dynamics Observatory ada merakam gambar sempena transit Zuhrah 2012. Berikut adalah Youtube video yang di buat berdasarkan gambar yang diambil:)




Saturday, 26 May 2012

3 Cara Murah dan Selamat Cerap Transit Zuhrah!

Apa itu transit Zuhrah?

Transit Zuhrah adalah fenomena dimana Planet Zuhrah berada betul-betul di antara Matahari dan Bumi. Dari Bumi, Zuhrah akan kelihatan seperti bulatan hitam yang kecil bergerak melintasi Matahari. Pada masa dahulu data transit Zuhrah digunakan untuk menentukan jarak antara matahari dan bumi serta jarak bumi dengan planet lain. Kajian moden terkini termasuk menggunakan data dari transit Zuhrah (kecerah matahari etc) untuk mencari planet diluar sistem Suria (exoplanet). 

Bila Transit Zuhrah berlaku?

Transit Zuhrah sebelum tahun 2012 berlaku pada tahun 2004. Pada tahun ini, transit Zuhrah akan berlaku pada 6 June 2012 (Malaysia). Ini mungkin transit terakhir yang akan kita lalui memandangkan transit seterusnya akan berlaku pada tahun 2117 dan 2125. Dua transit Zuhrah dipisahkan dalam masa 8 tahun yang kemudiannya diikuti dengan jarak masa antara 121 tahun setengah dan 105 tahun setengah untuk transit yang seterusnya berlaku. Rajah dibawah menunjukan pola masa berlakunya transit Zuhrah.

Rajah 1 pola masa transit Zuhrah (tahun) (Sumber: www.transitofvenus.org)
Rajah 2: Lokasi transit Zuhrah boleh dicerap (Sumber Nasa)
Rajah 3: Masa berlakunya transit Zuhrah (Bawah kanan). Masa didalam Universal Time.(Sumber:Nasa)

Masa dalam waktu Malaysia (6 Jun 2012) adalah seperti dibawah:
I = 06:09:38
II = 06:27:34
Greatest= 09:29:36
III = 12:31:39
IV = 12:49:35

Cara Murah dan Selamat Cerap Transit Zuhrah

1) Pinhole projector

Tanpa menggunakan sebarang peralatan optik, transit Zuhrah boleh di cerap dengan menggunakan pinhole camera. Ini membolehkan transit dicerap beramai-ramai dengan selamat dan murah. Walaubagaimanapun imej yang dipancarkan melalui pinhole agak malap dan tidak jelas. Untuk memastikan Zuhrah boleh dilihat, lubang kamera perlulah kecil dan jarak diantara lubang dan skrin perlulah jauh. (lebih kecil lubang, lebih malap imej yang dipancarkan). 

Dr Hugh Hunt mereka pinhole projector yang boleh dan telah digunakan untuk mencerap transit Zuhrah pada Tahun 2004. Beliau mengunakan cermin mengantikan skrin yang kemudiannya imej yang pada cermin dipantulkan pada skrin yang berada didalam bilik gelap berjarak 30m dari projector. Maklumat terperinci mengenai rekabentuk serta imej cerapan boleh dilihat pada laporan beliau.

Selain daripada itu, rekabentuk pinhole projector biasa boleh didapati didalam laman web Explotorium.

2) Cermin Mata Gerhana (Eclipse Shades)

Transit Zuhrah boleh dilihat dengan mata asalkan kita menggunakan filter yang sesuai. Walaupun kecil, saiz Zuhrah boleh dilihat oleh kebanyakan orang tanpa menggunakan peralatan optik. Dibandingkan dengan saiz matahari jika dillihat oleh manusia, saiz Zuhrah adalah 32 kali lebih kecil. Cermin mata gerhana matahari ataupun cermin keselamatan yang digunakan untuk pengimpal #14 boleh digunakan untuk mencerap planet Zuhrah. Cermin mata gerhana matahari boleh di beli di StargazerOnlineStore dengan harga hanya RM6 seunit.

3)Guna Binokular untuk pancarkan imej Matahari

Binokular merupakan peralatan optik yang biasa ada di dalam setiap rumah, ataupun mudah didapati. Dengan menggunakan binokular lama ataupun yang murah dan kurang berkualiti, imej matahari dapat di pancarkan ke atas skrin dan transit Zuhrah dapat dicerap dengan mudah. Cara ini selamat dan imej yang dihasilkan amat jelas. Walaubagaimana pun, beberapa langkah keselamatan perlu diambil. Jangan lihat secara terus dengan mata melalui binokular( tanpa filter matahari), dan pastikan binokular tidak terlalu lama didedahkan dengan matahari. Gunakan sebelah bahagian binokular sahaja. Video dibawah menerangkan teknik ini secara ringkas:

Video dibawah pula menunjukan cerapan transit Zuhrah 2004 dengan menggunakan teknik yang sama


 


Mendung?

Sekiranya cuaca di kawasan anda mendung pada 6 Jun 2012 pada masa yang sayan nyatakan diatas. Tayangan venus transit secara live khas dibawakan oleh Nasa dari puncak Mauna Kea Hawaii. [LINK]

Selamat Mencerap Transit Zuhrah 2012!

Link

Friday, 16 March 2012

[Foto] Ijtimak Musytari dan Zuhrah

Sekarang giliran saya pula untuk post gambar Musytari dan Zuhrah (Jupiter and Venus Conjunction). Sudah berhari-hari hujan, dan mendung, lebat pula tu. Malam 16 Mac 2012, Alhamdulillah cerah. Allah taala bg rezeki untuk saya menikmati ciptaan nya. Berikut adalah beberapa gambar yang saya rakam ketika ijtimak Musytari dan Zuhrah kali ini : )

Musytari Zuhrah dan Jalur Gemilang

Musytari dan Zuhrah ketika selepas matahari terbenam

Disebalik daun pokok delima

Zuhrah lebih cerah dari Musytari

Masih tinggi di langit sebelum terbenam

Musytari dan Zuhrah dilangit Asahan Melaka

Akhir sekali saya dan kedua-dua planet:)
Melepas geram hujan berhari-hari. Alhamdulillah walaupun tak pakai kamera canggih-canggih, dapat juga rakam kan ijtimak Musytari dan Zuhrah baru-baru ni. Zuhrah dan semakin nak 'menghampiri' matahari untuk transit Zuhrah Jun 2012. Lepas Jun 2012 kena tunggu 100 tahun lebih baru dapat tengok transit Zuhrah.

Selepas ni saya target untuk cerap Zuhal yang terbit semakin awal. Semoga malam-malam akan datang lebih cerah pada malam ini. Malam 16 Mac, langit timur berawan : ( 

Wednesday, 22 February 2012

Nota cerapan planet 22/02/12

  1. Semalam mencerap planet dalam pukul 8 malam. Cuaca cerah dan baik. Planet Zuhrah dan Musytari menghiasi langit barat. Tak lama selepas itu planet Marikh terbit. 
  2. Nampak jelas kemerahan planet Marikh. Saya tak rakamkan gambar Zuhrah. Gagal rakamkan planet Marikh. 
  3. Namun dari cerapan nampak sedikit ciri-ciri pada permukaan Marikh. Nampak warna hitam pada permukaan dan nampak juga polar cap yang berwarna putih. Dengan magnification 160x, marikh kelihatan sangat kecil. Saya tak rasa saya boleh nampak apa-apa dengan teleskop 90mm saya.
  4. Zuhrah kelihatan macam bulan separuh penuh.. cerah lebih cerah dari Musytari.
  5. Musytari tak secerah ketika Istiqbal, namun mudah dicerap. 4bulan kelihatan. Ini masa-masa terakhir nak cerap planet Musytari..akan datang kena tunggu sehingga bulan 9/10.
  6. Berikut adalah gambar Musytari yang saya rakam:
Musytari 22/02/12 ~jam 8.30 malam


  7. Berikut pula adalah imej Marikh. Walaupun tidak jelas, saya boleh lihat polar caps pada marikh            (dengan    mata kasar lebih jelas.  ) Ini adalah imej Marikh pertama saya rakamkan!!

Agak sukar merakam imej marikh dengan teknik afocal. Magnification pula tak cukup.

Monday, 30 January 2012

Planet Zuhrah Menerusi Teleskop

Objek : Zuhrah (Venus)
Masa : 20:00-20:30
Tarikh: 30/01/12
Tempat: Jasin Melaka Malaysia
Cuaca: Sedikit berawan, Zuhrah berada lebih kurang (anggaran) 30-40 darjah dari ufuk.
Teleskop: Orion XT10, 15mm eyepiece +2x Barlow.. (160x Magnification) +zoom kamera nikon coolpix L18

Baru siang tadi rasanya saya menulis log cerapan yang saya sifatkan sebagai terakhir dalam bulan Januari. Namun malam ini saya berkesempatan meneropong ke planet Zuhrah dalam cerapan pendek saya yang kurang dari setengah jam.

Ini kerana faktor awan dan kepanasan malam menyebabkan saya memendekkan cerapan. Zuhrah cuma dapat saya lihat dalam setengah jam. Kemudian awan menutupi planet Zuhrah dan menyebabkan cerapan terpaksa dihentikan.

Sebelum ini seringkali saya pos gambar planet Zuhrah. Ini termasuk ijtimak planet Zuhrah dengan bulan dan dengan planet Utarid. Namun ini merupakan pos pertama saya mengenai planet Zuhrah menerusi teleskop. 

Planet Zuhrah boleh dilihat ketika/selepas matahari terbenam. Ia mempunyai kecerahan yang membolehkan ianya dilihat dengan mata kasar. Sering di panggil evening star dan kadang-kadang bintang kejora. Berikut adalah gambar venus,bulan dan musytari yang dirakam lebih kurang waktu yang sama pada 29/01/12.

Zuhrah (bawah), bulan (tengah) dan Musytari(atas) selepas matahari terbenam. 

Seperti di dalam gambar di atas, Zuhrah dan Musytari mudah dilihat dengan mata kasar sekiranya langit cerah tidak berawan. Semalam saya menumpukan cerapan pada bulan. Jadi tidak sempat saya halakan pada Zuhrah. Berikut adalah gambar Zuhrah melalui teleskop:

Imej Zuhrah yang diproses melalui Registax. Zuhrah terlalu cerah dan memerlukan filter untuk mengurangkan kecerahan. 






Imej diatas adalah imej Zuhrah yang diproses dengan menggunakan registax. Saya tidak berkesempatan untuk menggunakan filter untuk melihat perbezaan imej dengan mata kasar. Namun saya sempat merakam video dan memproses video berkenaan dan hasilnya tidak mengecewakan.

Pemerhatian: 

Di sekeliling planet Zuhrah kelihatan warna merah dan biru seperti dari pelangi. Ini mungkin disebabkan oleh serakan cahaya oleh atmosfera bumi ataupun kesan dari lensa kamera. Selain itu sebelum diproses imej yang dilihat dengan mata kasar amat cerah dan berkilauan (flare). Jadi secara ringkasnya saya tidak melihat apa-apa ciri atmosfera Zuhrah. Atmosfera bumi menyebabkan imej yang dilihat melalui teleskop tidak stabil. Ini membuatkan cerapan atmosfera Zuhrah agak mustahil dan sukar.

Walau bagaimanapun, perhatikan bentuk Zuhrah yang dirakam. Bulat?? tidak!! saya pasti sekiranya saya tidak melabelkan gambar tersebut sebagai Zuhrah, barangkali ada yang menyangka ianya bulan. Disebabkan  Zuhrah merupakan 'inner planet', maka ia mempunyai fasa seperti bulan (sabit/separa/ penuh etc). Anggaran saya dalam cerapan kali ini Zuhrah berada pada 70% penuh.

Berikut adalah video pendek yang saya rakam dan dimuatkan di laman youtube saya. 



Kesimpulan:

Mencerap Zuhrah melalui teleskop merupakan sesuatu yang baru bagi saya. Dalam cerapan pertama ini saya sudah amat berpuas hati berjaya menyaksikan fasa planet Zuhrah. Akan datang saya akan cuba menggunakan filter untuk mengurangkan silau dari planet berkenaan.

Nota: Malam ini juga planet Musytari berada berdekatan dengan bulan. Saya tidak rakamkan gambar berkenaan. Saya pasti ramai yang merakamnya. Kini cuaca sudah mendung. Saya menunggu gambar dari sahabat-sahabat di internet. !

Tuesday, 22 November 2011

Cuaca dan Astronomi

Hobi Astronomi ni perlukan kesabaran. Terutama sekali sebab ianya berkait dengan keadaan cuaca. Sebab tu lah kadang-kadang teleskop yang mahal, kalau susah nak set up, pun tak guna juga. Baik teleskop murah dan mudah set up, asal cuaca cerah je, boleh observe. Tak perlu makan masa, kalau teleskop yang susah set up, besar pula, ambil masa, dan kadang-kadang cuaca tak menyebelahi.

Kat UK, musim sejuk jarang-jarang cerah, musim panas pula asik hujan. Kat Malaysia sekarang pula memang musim hujan. Kadang-kadang je rajin nak keluar tengah-tengah malam, dan nasib-nasib cerah. Itu pun bukan keseluruhan langit.

Jam 1912 tadi keluar buang sampah. Langit berawan, tapi sebelah timur dan barat masing-masing ada bintang cerah. Sebelah timur Musytari (Jupiter) sebelah Barat Zuhrah (Venus). Lepas masuk rumah, after solat (Jam 1930), keluar sekejap ingat kan nak ambil gambar (sekaligus menilai cuaca cukup baik atau tidak untuk cerapan). Planet Zuhrah dah kena tutup dengan awan. Bukan calang-calang awan, siap kilat sambar menyambar. 

Jadi memang tak menjadilah nak mencerap Orion nebula malam nnt. Sekarang separuh langit ditutupi awan. Jupiter nampak, cuma rasanya tak lama lagi ditutup awan lah tu. Jadi memang lah kena bersabar dengan hobi ni. Tapi bila dapat cerap sekali dua, memang perasaan teruja tak terhingga. Jadi dalam post ni nak share sikit gambar-gambar yang di ambil dari kamera kecil Nikon Coolpix dari siang tadi, hinggalah malam.
Cuaca pada Jam 1500 hari ini. Jalur Gemilang berlatarkan awan di langit

Mengintai Musytari di celahan pohon kelapa

Musytari betul-betul berada di celah daun kelapa

Langit barat, Awan hitam berarak menutup Zuhrah









Bukan calang-calang awan, sekali dengan petir dan guruh. Cuaca di Malaysia bumi tercinta.

Wednesday, 9 November 2011

Zuhrah dan Utarid sejurus selepas matahari tenggelam

Tarikh: 09/11/11
Masa : 1930
Objek: Zuhrah
Peralatan: Kamera Nikon Coolpix 8Mpixel, Teleskop Orion 10inch
Cuaca : Berawan

Selepas Matahari terbenam, saya sudah bercadang lebih awal untuk menjenguk ke langit  barat. Saya sudah lihat satu 'bintang' cerah di sebelah barat (lebih kurang). Saya pasti itu venus (zuhrah). Saya tidak berharap untuk lihat venus dari teleskop. Tapi, saya bawa keluar juga teleskop saya. Apa yang saya lihat, kelihatan seakan bintang biasa (warna putih) yang cerah bersinar.

Tidak jauh, dari venus, ada 'bintang' yang sedikit kurang cerahnya berbanding venus. Namun cukup untuk saya lihat dengan mata kasar walaupun cahaya mentari yang tenggelam masih ada diufuk. Saya rakamkam gambar menggunakan kamera compact Nikon saya. Berikut adalah gambar berkenaan.

Zuhrah, sebelah kanan, dan Utarid di sebelah kiri. Gambar diambil dengan kamera nikon coolpix 8Mpixel dengan mood Night Landscape. Lokasi gambar diambil; Asahan Melaka


Tamat cerapan singkat saya, saya masuk ke rumah, dan meneliti stellarium bagi mengenal pasti objek yang saya lihat. Zuhrah kelihatan sejurus selepas matahari tenggelam, ianya berada lebih kurang 20 darjah dari arah barat (ke kiri). Tidak jauh dari Zuhrah adalah planet Utarid, kini ianya kelihatan hampir dengan Zuhrah. Zuhrah mempunyai magnitude -3.8 manakala Utarid pula -0.21 (Stellarium).

Saya tamatkan cerapan awal kerana cuaca berawan. Bulan dan Musytari main sorok-sorok disebalik awan. Jadi saya tidak bercadang untuk duduk lama diluar. Pada hari ini, bulan kelihatan hampir dengan Musytari. Saya tidak bepeluang untuk rakamkan nya. Tapi, Zuhrah dan Utarid menjadi pengganti cerapan saya pada hari ini. Sekian.




Monday, 13 September 2010

Observing Report:Conjuction of Moon and Venus

Gambar di bawah di ambil dengan kamera digital samsung ES56. Saya fikir bukan semua rakyat Malaysia berpeluang menikmati keindahan dan kecantikan ciptaan Allah ini. Kebanyakan orang Jasin Melaka dapatmelihat fenomena ini. Saya sendiri sempat observe dengan mengunakan binocular 7x50.


Gambar venus dan bulan dalam lingkungan 8:40malam waktu Malaysia
Bulan dan venus mula kelihatan sekitar pukul 7:00 malam waktu Malaysia. Kelihatan venus sangat terang sehinggakan boleh dilihat dengan mata kasar sebelum matahari terbenam. Kenalan di Astronomyforum.net yang tinggal di United Kingdom juga berjaya melihat venus pada waktu siang. Lebih menarik beliau mendakwa melihat venus dalam lingkungan pukul 4 petang waktu United Kingdom.


Gambar yang diambil sebelum matahari terbenam

Setakat ini seorang kenalan di falak online juga berjaya merakam fenomena ini. Cuma beliau tinggal tidak jauh dengan kawasan gambar diatas di ambil. Venus yang juga di panggil dengan nama "morning/evening star" biasanya dapat di lihat dengan cerah pada waktu pagi dan malam beberapa minit selepas matahari terbenam. Namun pada 11 september lepas venus mempunyai magnitud kecerahan dalam lingkungan -4. Ini membolehkan venus kelihatan sebelum matahari terbenam.

Saya bersyukur dapat menyaksikan fenomena ini..