Showing posts with label Globular Cluster. Show all posts
Showing posts with label Globular Cluster. Show all posts

Sunday, 24 June 2012

[Cerapan] Objek Deep Sky(DSO)

Objek: Zuhal, M4, M7, M6 (butterfly cluster), Lagoon Nebula, Trifid Nebula
Tarikh: 23/06/12
Peralatan: Orion XT10, Celestron 10x50 Binokular. Untuk cerapan objek deep sky, Eyepiece yang digunakan adalah Orion Q70 32mm 2inch Eyepiece.


Semalam (23/06/12 Jam 2234) cuaca agak cerah. Bintang Antares yang berada lebih kurang langit selatan dah mula meninggi. Bahagian langit selatan di kawasan cerapan saya ditutupi dengan pokok kelapa sawit. Jadi sejak beberapa ketika memang susah nak buat cerapan kalau objek berada di bahagian selatan. Utara pula selalu berawan. 

Zuhal


Awal cerapan saya mulakan dengan cerapan planet Zuhal. Ini bagi memastikan apa yang saya cerap pada 17 Jun adalah betul. Saya dapat sahkan pada 23 Jun memang saya tidak dapat lihat Cassini Division secara visual dengan magnifikasi 160x/96x. Cerapan Zuhal mengambil masa lebih kurang 20-30minit.



Beberapa cerapan yang lalu saya ada tulis tentang kesukaran mencerap objek-objek deep sky jika tiada pengalaman. Baru-baru ini saya mula gunakan binokular untuk mengimbas langit bagi mencerap objek-objek deep sky. Berbaloi kerana binokular memang peralatan terbaik untuk latihan mengenal bintang dan membiasakan diri dengan kedudukan bintang. Omega Centauri, M4 globular cluster antara objek deep sky yang saya perhatikan melalui binokular terlebih dahulu sebelum menggunakan teleskop.



Gugusan Messier 4 


M4 saya perasan melalui bintang Antares. Antares agak mudah dicari memandangkan warnanya yang 'merah' berbanding dengan bintang lain. Antares adalah bintang dalam buruj Scorpio. Jadi saya tumpukan cerapan saya dengan bintang-bintang dalam buruj scorpio kerana berdekatan dengan bintang-bintang tersebut terdapat objek deep sky yang menarik.

Gambar 1: M4 dari teleskop amatur (Sumber : Hewholooks)
M4 melalui binokular memang kurang jelas. Namun jika diperhatikan sebaik mungkin kelihatan seakan kotoran/asap yang bercahaya dilangit. Bentuknya hampir sama dengan Omega Centauri jika dilihat dari binokular cuma, kecerahan omega centauri lebih cerah berbanding M4. Justeru, kali pertama saya menghalakan binokular ke M4 saya tidak pasti apa yang saya lihat. Saya fikir M4 yang saya lihat menerusi binokular mungkin bayangan dalam fikiran saya. Cerapan kali ini mengesahkan apa yang saya lihat terlebih dahulu. 


Melaui Orion XT10, imej M4 tidak secerah Omega Centauri. Barangkali disebabkan bintang berdekatan menyebabkan kontras imej kurang menyerlah. Dengan menggunakan Orion Q70 32mm eyepiece saya boleh muatkan M4 dan Antares dalam field of view (FOV) saya. Imej yang saya perhatikan hampir sama dengan rajah diatas cuma imej yang saya lihat hitam putih. Imej diatas dirakam dengan ccd.


Messier 7 dan Butterfly Cluster


Setelah mengesahkan apa yang saya lihat berdekatan Antares, Saya halakan binokular pada ekor scorpio. Bintang Shaula dan Lesath (berkemungkinan dari bahasa Arab) menjadi petunjuk saya kali ini.

Gambar 2: M7 atau Ptolemy Cluster (sumber: Astronet)
Tidak sukar mencari M7. Halakan teleskop pada Shaula, dan kemudian tolak(dobsonian) tube teleskop ke kiri supaya pointer difinderscope bergerak lebih kurang satu jari dari bintang Shaula. Insya'Allah terus boleh jumpa M7 atau dikenali juga sebagai ptolemy cluster.

Saya boleh cari M7 dengan mudah melalui binokular. Bahkan binokular yang membantu saya mencari M7 dengan teleskop. Melalui teleskop saya, bintang-bintang kebiruan seperti dalam Gambar 2. Cuma tidaklah saya lihat bintang sebanyak dalam gambar 2 melalui visual. Dan kecerahan melalui teleskop saya kurang sedikit berbanding dengan gambar 2.

Butterfly Cluster(M6) tidak berada jauh dari M7. Melaui binokular, boleh dilihat M6 dan M7 dalam fov yang sama.  Saya boleh muatkan M6 dan M7 dalam fov eyepiece 32mm saya. Tapi kesan aberration eyepiece membuatkan imej tidak fokus dibahagian tepi fov. Lebih lama saya lihat, lebih jelas bentuk Rama-Rama M6. 

Gambar 3: M6 Butterfly cluster (sumber : APOD)
Apa yang menyebabkan saya mudah mengenali M6 bukan kerana bentuknya. Tetapi dalam gugusan M6 terdapat satu bintang berwarna merah berbeza dengan warna biru bintang lain. Jika dilihat melalui teleskop newtonian saya bintang tersebut berada di sayap kanan rama-rama. Bintang tersebut adalah BM Scorpii (HIP 86257).

Lagoon Nebula dan Trifid Nebula

Ini merupakan kali pertama saya mencerap Nebula selain dari Orion Nebula. Orion Nebula lebih mudah dicerap kerana cerah dan bentuknya yang mudah dikenali serta kedudukan yang mudah dicari didalam buruj Orion.
Gambar 4: Lagoon Nebula (Sumber Misti Mountain Observatory)
Pada asalnya saya sesat ketika mencari Butterfly Cluster. Terjumpa Lagoon Nebula, walaupun ketika itu saya tidak tahu namanya, tapi saya tahu ia adalah nebula kerana 'nebulosity' objek yang saya lihat memang jelas. Ciri yang paling menonjol secara visual adalah gap gelap ditengah-tengah nebula. Ciri itu yang buat saya kenal Lagoon Nebula. Tidak seperti Gambar 4, imej visual yang saya lihat kurang cerah dan tiada warna. Warna didalam gambar adalah kesan pemprosesan komputer (Imej diambil dengan filter RGB dan kemudian diproses). Saya tidak perasan Lagoon Nebula binokular. 

Untuk mencari Lagoon Nebula saya gunakan bintang Kaus Borealis sebagai petunjuk. Tidak jauh dari Lagoon Nebula dan bintang berkenaan boleh dilihat dengan mata kasar.

Tidak jauh dari Lagoon Nebula terdapat satu lagi nebula, yang dinamakan Trifid Nebula.

Gamabar 5 : Trifid Nebula ( Sumber: Physcohistorian)
Saya tidak nampak apa-apa ciri dan details pada trifid nebula ketika cerapan. Apa yang membuatkan saya yakin objek yang saya lihat adalah trifid nebula adalah kedudukannya yang hampir dengan Lagoon Nebula dan saya perasan ciri Nebula pada objek yang saya lihat.

Saya boleh muatkan Trifid Nebula dan Lagoon Nebula dalam satu fov (XT10). Saya halakan binokular, saya tidak nampak apa-apa ciri  menonjol nebula melalui binokular saya. Jadi saya simpulkan saya tidak lihat kedua-dua nebula melalui binokular (walaupun saya ada nampak sesuatu yang berkemungkinan 2 nebula yang hampir).

Penutup

5 DSO dalam satu malam M4,M7,M6, Lagoon nebula, Trifid Nebula. Saya rasa saya boleh tambah lagi list malam tu, cuma dah tengah malam dan nyamuk dah banyak. 5 DSO kira satu pencapaian untuk saya.  Biasanya nak cari 1 DSO pun terkial-kial. Malam 23 Jun adalah malam cerapan yang agak serius bagi saya. Bukan sahaja saya bawa teleskop dan binokular, Laptop pun saya bawa untuk rujuk Stellarium. Itu yang membuatkan saya boleh cerap dan mengenali objek yang saya cerap. Selain dari itu saya bawa buku nota, pen, dan lampu suluh (merah). Saya tulis sedikit-sedikit apa saya buat dan lihat, akan datang saya akan cuba tulis dengan lebih banyak. 


Gambar 6: Sedikit Coretan Cerapan 
Selain daripada itu, Buruj Scorpio merupakan Buruj yang mudah dicari dan banyak DSO disekitar Buruj Berkenaan. Jadi siapa-siapa yang baru mula nak menjinakkan diri dalam mencerap DSO, mungkin Buruj Scorpio boleh dijadikan target yang baik. Sekian.

Nota: Semua gambar Objek Deep Sky didalam post ini diambil dari sumber lain. Sumber gambar dinyatakan didalam caption gambar. Cerapan hanya dibuat secara visual.


Apabila saya kata bintang/objek berwarna merah, boleh jadi Jingga, cuma saya selalu anggap merah.

Tuesday, 15 May 2012

Mencerap Deep Sky Object: Omega Centauri (Globular Cluster)

Tarikh: 15/05/12
Masa: Jam 2000-2200
Peralatan: Celestron Binokular 10x50 dan Orion XT10

Omega Centauri ( Sumber European Southern Observatory)
Langit gelap tanpa awan semalam membolehkan saya keluar meneropong ke langit menggunakan binocular saya. 10x50 Celestron. Target saya pada 15 Mei 2012 adalah deep sky object (DSO). Sedia maklum saya miliki teleskop newtonian 10 inchi yang sememangnya sesuai untuk mencerap DSO. Namun, setakat ini jumlah DSO yang pernah saya cerap menggunakan teleskop itu boleh dikira sebelah tangan. Agak membazir kalau saya tak gunakan kemampuan teleskop XT10 saya semaksimum mungkin.

Tak berpengalaman

Tidak seperti planet, DSO agak sukar dicerap jika kurang pengalaman. Kadang-kadang saya menghabiskan masa hampir setengah jam kerana 'tersesat' di langit. Masih teringat kali pertama bermain-main dengan XT10 untuk mencari Andromeda. Saya sangkakan Pleiades (bintang tujuh) sebagai pusat galaksi andromeda. Saya salahkan eyepiece bermaknifikasi besar sebagai punca saya tidak dapat melihat bentuk disk andromeda. Akhirnya saya berjaya mencerap Andromeda pada tahun 2011 dengan XT10 (Masih gagal mencari andromeda dengan binokular, andromeda boleh dilihat dengan mata kasar sekiranya kawasan cerapan betul2 gelap dan jauh dari pencemaran cahaya).

Guna Binokular

Jelas punca masalah saya dalam mencari DSO adalah disebabkan saya tidak biasa dengan langit malam. Jadi semalam saya mula gunakan binokular untuk mengimbas langit dan bintang tanpa ada sebarang target. Gagal mencari M5 (DSO), saya halakan binokular saya ke arah selatan (lebih kurang). Disitulah saya perasan satu objek yang jika dilihat melalui binokular sebesar bulan tetapi agak malap dan kelihatan seperti kapas di angkasa. Masih belum mengetahui nama objek yang dicerap, saya masuk kerumah lantas memeriksa objek berkenaan dengan Stellarium. Berdasarkan kedudukan objek berkenaan dari bintang Spica, saya tahu ianya adalah Omega Centauri. Binokular merupakan peralatan penting dalam mencerap DSO. Binokular yang sesuai untuk astronomi adalah bersaiz 8x42, 7x50, 10x50, 8x56. (8x 42 bermakna binokular mempunyai maknifikasi 8x dan bersaiz 42mm). Binokular bersaiz yang saya nyatakan boleh digunakan tanpa tripod. Binokular yang bermaknifikasi lebih dari 10x memerlukan tripod agar lebih stabil. 

Orion XT10

Omega centauri memang boleh dilihat dengan mata kasar sekiranya jauh dari pencemaran cahaya. Saya kecewa, dari belakang rumah saya, saya tidak nampak omega centauri dengan mata kasar. Saya salahkan lampu jalan dihadapan rumah, memang banyak menganggu cerapan saya. Setelah tahu kedudukan Omega Centauri dengan binokular, kini saya lebih yakin untuk mencerapnya dengan Orion XT10.

Saya silap. Saya mengambil masa juga untuk mencari Omega Centauri. Akhirnya saya gunakan binokular untuk mencari kedudukannya, kemudian berdasarkan apa yang saya lihat melalui binokular, saya halakan teleskop 10inchi saya kearah yang sama. Saya tidak mengunakan finderscope yang bermaknifikasi sebaliknya saya gunakan red dot pointer. Mungkin itu yang menyukarkan saya mencari Omega Centauri. 

Untuk mencerap Omega Centauri, saya gunakan eyepiece Orion Q70 32mm. Eyepiece berkuasa rendah dan 70degree FOV  memang sesuai untuk DSO serta objek yang kurang cerah. Melalui eyepiece Q70, saya boleh lihat keseluruhan Omega Centauri dalam field of view saya. 

Omega Centauri

Omega Centauri adalah globular cluster paling cerah dilangit. Ia mempunyai magnitud ~4, ianya kelihatan sebesar bulan penuh ( SEBESAR bukan SECERAH) melalui mata kasar sekiranya kawasan cerapan jauh dari pencemaran cahaya. Terletak di langit selatan bermakna ahli falak di kawasan hemisfera utara terpaksa menunggu waktu-waktu tertentu (spring) untuk mencerap Omega Centauri. Ahli falak Malaysia beruntung kerana berkedudukan di garisan Khatulistiwa :).

Globular Cluster berbeza dengan open star cluster seperti Pleiades. Bintang di dalam Open Star Cluster agak berselerak dan terikat dengan tarikan graviti yang lemah. Open Star Cluster terletak di dalam galaksi. Ini berbeza dengan globular cluster yang berada diluar galaksi (mengorbit galaksi/ 'satellite' kepada galaksi) dan bintang yang berada didalam globular cluster di tarik kuat oleh graviti dan kekal sehingga 12 billion tahun. Tidak seperti Open Cluster yang berselerak hanya selepas ratusan juta tahun. 

Jarak Open star cluster dengan bumi adalah ratusan hingga ke ribuan tahun cahaya. Globular Cluster pula berada puluhan/belasan ribu tahun cahaya dari bumi. Omega Centauri berada kira-kira 17k-18k tahun cahaya. 

Omega Centauri mempunyai jisim sebanyak 50juta Matahari. Diameter Omega Centauri ada 230 tahun Cahaya. Dianggarkan terdapat 10 juta bintang didalam Omega Centauri.

Kesimpulan

Disebabkan kecerahan omega centauri yang cerah. Ianya mudah dilihat dan boleh dicerap dengan mata kasar jika berada jauh dari pencemaran cahaya. Melalui binokular, omega centauri kelihatan seakan kapas yang tergantung dilangit. Melalui teleskop keindahan Omega Centauri lebih terselah. Ternyata kita tidak perlu peralatan yang mahal untuk mencerap omega centauri. Binokular kecil sudah cukup untuk mencerap objek ini. 

Rujukan: