Showing posts with label Hoax. Show all posts
Showing posts with label Hoax. Show all posts

Monday, 20 February 2012

Mitos 2: Matahari Terbit Pada Arah Barat di Marikh

Saya menulis pos ini sempena istiqbal Marikh bulan hadapan. Saya tahu sudah ramai yang menulis berkenaan dengan 'hoax' planet Marikh. Namun saya tertarik untuk menulisnya sekali lagi. Di dalam siri mitos moden Marikh, ini saya akan membincangkan 2 mitos popular yang beredar dikalangan masyarakat kita, dengan harapan dapat memberikan fakta sebenar dan menamatkan mitos yang berlegar di kalangan masyarakat kita. 


Sambungan dari Mitos 1: Marikh Sebesar Bulan..


Kali pertama saya mendengar kisah Marikh berubah arah orbit/matahari terbit pada arah barat di Marikh ketika saya sekolah menengah . Ada seorang penceramah menyatakan bahawa seorang tokoh mengatakan bahawa matahari telah terbit dari sebelah barat di Marikh (tapi Nasa sembunyikan fakta ini :p). Saya tidak beri perhatian berkenaan dengan kisah itu, namun setelah muncul pelbagai media alternatif dan laman sosial seperti facebook dan youtube. Cerita-cerita seperti ini masih muncul dan ianya dikaitkan dengan agama.

Saya tidak dapat selidiki punca mitos ini, namun saya pernah terlihat seorang rakan berkongsi sebuah gambar di facebook. Saya pasti mitos ini wujud lama sebelum kemunculan facebook, namun kini ianya disebarkan melalui laman sosial berkenaan. Berikut adalah gambar yang saya maksudkan:
Gambar 1: Separuh palsu, separuh benar, Artikel dari keratan Akhbar yang tidak diketahui namanya. Ia tersebar di laman sosial facebook



Dan didalam sesetengah versi emel berantai (versi Malaysia), ada yang memetik seorang tokoh mendakwa planet marikh telah berubah arah orbit dan terbitnya matahari pada arah barat di Marikh. Saya cuba cari video asal kenyataan beliau, dan beliau sebenarnya  membaca(memetik) artikel dari sebuah majalah berbahasa arab. 

Penjelasan:


Artikel pada gambar 1 dan Majalah yang dipetik oleh tokoh dalam kuliahnya adalah palsu (berkenaan dengan retrograde motion). Artikel pada gambar 1 bukan sahaja menyalah tafsir pergerakan retrograde sebagai perubahan arah orbit, tetapi tidak memahami konsep terbit dan terbenamnya matahari. Matahari kelihatan terbit dan terbenam dari bumi/marikh/planet-planet lain adalah disebabkan oleh putaran planet pada paksinya. Justeru, perubahan arah orbit sesuatu planet tidak membuktikan matahari terbit di arah berlainan (sebaliknya perubahan putaran planet pada paksinya akan menyebabkan matahari terbit pada arah yang berlainan). Di sebabkan perkara ini dikaitkan dengan agama dan NASA, maka masyarakat menyebarkan emel tanpa usul periksa.


Retrograde Motion


Kedua-dua versi artikel ada menyebut tentang retrograde motion. Pergerakan Retrograde sesebuah planet menyebabkan planet kelihatan berubah arah haluan jika dilihat dari BUMI. Namun sebenarnya planet berkenaan TIDAK berubah arah haluan.


Fenomena Retrograde Motion ini sebenarnya telah disedari semenjak tamadun Yunani lagi. Perkataan Planet adalah berasal dari perkataan Yunani yang bermaksud wandering stars (bintang yang berlegar-legar). Ini kerana ahli astronomi dalam tamadun Yunani mendapati pada ketika-ketika tertentu planet akan kelihatan berubah arah haluan. 


Ketika tamadun Yunani juga manusia percaya bahawa bumi berada ditengah-tengah dan dikelilingi oleh objek-objek lain. Justeru perubahan arah dalam pergerakan planet adalah mustahil lantas Ptolemy memperkenal epicycle sebagai usaha untuk menerangkan pergerakan Retrograde planet-planet.


Tamadun Islam juga sedar tentang pergerakan retrograde


Di hujung kejatuhan Tamadun Yunani, Tamadun Islam mula melancarkan gerakan untuk menterjemah karya-karya Tamadun di seluruh dunia. Ini termasuk hasil kerja Ptolemy. Ahli Astronomi Ibn Haytham kemudiannya menulis dan mengkritik teori Ptolemy di dalam bukunya al‐Shukūk ʿalā Baṭlamyūs (Doubts Concerning Ptolemy). Haytham mendakwa model geocentric (Bumi di tengah) Ptolemy yang mengunakan epicylce dan equant untuk menerangkan pergerakan planet tidak menepati kiraan matematik. 


200 Tahun selepas Ibn Haytham menulis bukunya itu, At Tusi meneruskan usaha dalam menghasilkan model yang lebih menepati kiraan matematik. At Tusi kemudiannya memperkenalkan Tusi couple dalam menerangkan pergerakan planet di angkasa (masih lagi geocentric). Namun model berkenaan masih ada kelemahan.


Apa yang saya cuba ketengahkan disini adalah, isu pergerakan Retrograde bukan suatu fenomena yang baru diketahui. Bahkan telah menjadi perbincangan dan perdebatan dikalangan ahli sains silam. Apatah lagi ianya pernah di sentuh oleh ahli astronomi Islam dan hasil kerja ahli astronomi Islam (geocentric model) kemudianya pula di petik oleh Copernicus di dalam bukunya De revolutionibus orbium Coeslestium yang mengenegahkan model heliocentric (Matahari ditengah).


Justeru, adalah penting bagi kita masyarakat moden memahami sejarah perkembangan sains dan konsep asas sains agar tidak mudah tertipu dengan cerita bohong yang disebarkan di internet. Maklumat-maklumat dan fakta benar mudah didapati di internet termasuk wikipedia.


Kesimpulan : Video Animasi Pergerakan Retrograde.


Pergerakan retrograde lebih mudah difahami dengan animasi dan gambar rajah. Video dibawah menerangkan kedudukan planet pada orbit dan kedudukan planet jika dilihat dari bumi ketika melakukan pergerakan retrograde. Sila perhatikan pergerakan ini mengambil masa berbulan untuk diperhatikan. Perhatikan juga planet TIDAK berubah arah orbit tetapi ianya KELIHATAN berbuat demikian apabila bumi memintas planet berkenaan (planet bahagian luar ie Marikh, Jupiter, Saturn etc). Dalam kes Marikh ia berlaku lebih kurang 2 tahun sekali.

Friday, 17 February 2012

Mitos 1: Marikh Sebesar Bulan

Saya menulis pos ini sempena istiqbal Marikh bulan hadapan. Saya tahu sudah ramai yang menulis berkenaan dengan 'hoax' planet Marikh. Namun saya tertarik untuk menulisnya sekali lagi. Di dalam siri mitos moden Marikh, ini saya akan membincangkan 2 mitos popular yang beredar dikalangan masyarakat kita, dengan harapan dapat memberikan fakta sebenar dan menamatkan mitos yang berlegar di kalangan masyarakat kita. 

Mitos 1: Marikh sebesar Bulan

Kali pertama saya mendengar marikh sebesar bulan adalah ketika saya belajar di sekolah menengah (tingkatan 3). Tahun itu tahun 2003 di mana Istiqbal Marikh paling hampir dalam tempoh 59 619 tahun akan berlaku. Sekolah menjemput seorang penceramah yang bercerita berkenaan fenomena itu, saya ingat dia dari balaicerap berdekatan. Saya ingat dia menggunakan software seperti celestia (mungkin celestia) untuk menerangkan fenomena berkenaan. Saya ingat dia kata fenomena Istiqbal Marikh berlaku 2 tahun sekali (dengan menggunakan Celestia untuk menerangkannya). Saya tidak pasti samaada ianya datang dari penceramah berkenaan atau tidak, tapi yang pastinya, selepas ceramah itu, ramai yang berkata Marikh akan kelihatan sebesar bulan pada malam itu. Saya lihat kelangit senja arah timur (nampak Gunung Ledang dari sekolah), langit mendung, dan saya fikir, saya telah terlepas suatu yang menarik yang tidak pernah berlaku dalam tempoh ribuan tahun. Kemudian saya lupakan peristiwa itu.

Ternyata cerita Marikh sebesar bulan memang bermula pada tahun 2003 dan ternyata ianya ada kaitan dengan Istiqbal tahun 2003. Emel berkenaan Istiqbal Marikh pada Ogos 2003 ada mengatakan: 

"At a modest 75-power magnification Mars will look as large as the full moon to the naked eye"

Ini bermakna, dengan menggunakan teleskop yang mempunyai kuasa pembesaran sebanyak 75x, Marikh akan kelihatan sama besar dengan bulan yang dilihat dengan mata kasar.

Walaubagaimanapun, selepas itu, muncul emel-emel lain yang berbunyi:

"It will look as large as full moon to the naked eye"

Ini sekaligus mengenepikan fakta bahawa marikh hanya boleh dilihat sebesar bulan dengan menggunakan teleskop yang mempunyai kuasa pembesaran 75x. Tambah mengelirukan, emel berangkai ini disebarkan setiap tahun pada bulan Ogos sedangkan istiqbal Marikh cuma berlaku 2 tahun sekali dan tidak semestinya pada bulan Ogos (Istiqbal 2012 pada 3 Mac).

Punca penyebaran emel barangkali kerana emel berkenaan menggunakan ayat-ayat yang menarik perhatian seperti " The red planet is about to be spectacular" atau " No one alive today will ever see this again". Jadi masyarakat jadi teruja dan cepat-cepat menyebarkannya tanpa usul periksa. Punca utama adalah salah faham maksud ayat asal emel berkenaan Istiqbal dan tidak biasa dengan isu-isu sains. Ini kerana emel yang disebarkan mengenepikan separuh dari ayat sebenar serta tidak menilai kesan sekiranya Marikh betul-betul boleh dilihat sebesar bulan dengan mata kasar (bumi huru hara disebabkan kesan graviti). 

Nota Astronomi:

Apakah yang dimaksudkan dengan teleskop mempunyai kuasa pembesaran (Magnification) 75x?

Formula magnification (mudah) adalah seperti berikut:

Magnification =  Telescope focal length/ Eyepiece focal length.

Teleskop XT10 saya mempunyai focal length 1200mm dan ianya disertai dengan eyepiece 25 mm .Justeru, gabungan kedua-dua nya membolehkan saya mencerap dengan magnification sebanyak 48x. Untuk melihat marikh dengan kuasa pembesaran 75 kali saya memerlukan eyepiece bersaiz 16mm. 


Sumber:

Friday, 11 February 2011

Near Earth Objects(NEO)..Planet Nibiru menghampiri bumi??

Kisah planet nibiru menghampiri bumi sudah lama dicanangkan di laman-laman web serta facebook. Ramai yang suka mengaitkannya dengan kemusanahan bumi serta lebih berat di kaitkan dengan sebuah hadis yang tidak sahih. Ada juga yang berkongsi video tanpa usul periksa dengan tujuan kononnya mengajak orang bertaubat, dan berbuat kebaikan. Sedangkan saya fikir ianya memberikan kesan negatif terhadap agama Islam.


Kadangkala saya hairan dengan kegagalan segelintir masyarakat untuk mengesan berita yang sudah terang palsu. Planet nibiru sebagai contoh di dakwa mampu memusnahkan 1/3 bumi, dan akan menghentam bumi pada tahun 2012. Tidakah ini bermakna sepatutnya ketika ini planet ini sudah pasti dapat di lihat dengan mata kasar. Planet Jupiter umpamanya, kini berada 838 juta km jaraknya dari bumi mampu kita lihat dengan mata kasar setiap malam. Juga planet venus yang berada 140 juta km jaraknya dari bumi mampu kita lihat dengan begitu jelas. Berapakah jarak planet nibiru untuk melanggar bumi pada tahun 2012? apakah kelajuan planet nibiru yang membuatkan ianya mampu melanggar bumi pada tahun 2012 tanpa boleh di kesan dengan mata kasar mahupun teleskop?? sedangkan cahaya mengambil masa lebih kurang 47 minit untuk bergerak dari planet jupiter ke bumi..apatah lagi planet yang mampu memusnahkan sebahagian besar bumi.


Gambar Planet Venus kelihatan berdekatan dengan bulan secara relatif dari bumi. Gambar ini saya ambil pada syawal lepas
Planet Jupiter(bintang cerah sebelah atas bumbung rumah) boleh dilihat dengan mata kasar. Gambar di ambil ketika opposition tahun 2010

Justeru, suka untuk saya kongsikan video berkaitan dengan NEO pada post kali ini. Barangkali ianya tidak berkait secara terus dengan planet nibiru, namun saya yakin ianya serba sedikit memberi maklumat mengenai object berdekatan dengan planet bumi(NEO). Barangkali selepas berita planet nibiru reda, timbul pula berita-berita mengenai object lain. 

Sukarelawan NEO dan Pertahanan Planet(Planetary defense) telah menghasilkan video berkaitan isu terkini dalam pertahan planet kita daripada asteroid dan komet. 


Saintis dan Ahli Astronomi telah lama khuatir terhadap kebarangkalian kemusnahan planet bumi akibat hentaman object dari angkasa. Di dalam dokumentari ini, pakar antarabangsa memberi pandangan berkenaan perancangan dalam mempertahankan planet kita dari hentaman asteroid dan object angkasa serta mengulas tentang kebarangkalian hentaman yang memusnahkan bumi berlaku.

PART 1 Apakah itu NEO? Bagaimana ianya boleh menghentam bumi?



PART 2 Apakah langkah-langkah yang telah dirancang untuk mempertahankan bumi dari NEO?


PART 3 Patutkah kita khuatir mengenai NEO?


PART 4 Mungkinkah ada misi untuk melawat NEO?


Saya berharap video diatas dapat membantu kita berfikir mengenai sesuatu berita sebelum kita canangkan kepada orang ramai dan membantu kita menjawab beberapa kekhuatiran serta kekusutan akibat berita palsu yang disebarkan melalui internet. Sekian....