Monday 20 February 2012

Mitos 2: Matahari Terbit Pada Arah Barat di Marikh

Saya menulis pos ini sempena istiqbal Marikh bulan hadapan. Saya tahu sudah ramai yang menulis berkenaan dengan 'hoax' planet Marikh. Namun saya tertarik untuk menulisnya sekali lagi. Di dalam siri mitos moden Marikh, ini saya akan membincangkan 2 mitos popular yang beredar dikalangan masyarakat kita, dengan harapan dapat memberikan fakta sebenar dan menamatkan mitos yang berlegar di kalangan masyarakat kita. 


Sambungan dari Mitos 1: Marikh Sebesar Bulan..


Kali pertama saya mendengar kisah Marikh berubah arah orbit/matahari terbit pada arah barat di Marikh ketika saya sekolah menengah . Ada seorang penceramah menyatakan bahawa seorang tokoh mengatakan bahawa matahari telah terbit dari sebelah barat di Marikh (tapi Nasa sembunyikan fakta ini :p). Saya tidak beri perhatian berkenaan dengan kisah itu, namun setelah muncul pelbagai media alternatif dan laman sosial seperti facebook dan youtube. Cerita-cerita seperti ini masih muncul dan ianya dikaitkan dengan agama.

Saya tidak dapat selidiki punca mitos ini, namun saya pernah terlihat seorang rakan berkongsi sebuah gambar di facebook. Saya pasti mitos ini wujud lama sebelum kemunculan facebook, namun kini ianya disebarkan melalui laman sosial berkenaan. Berikut adalah gambar yang saya maksudkan:
Gambar 1: Separuh palsu, separuh benar, Artikel dari keratan Akhbar yang tidak diketahui namanya. Ia tersebar di laman sosial facebook



Dan didalam sesetengah versi emel berantai (versi Malaysia), ada yang memetik seorang tokoh mendakwa planet marikh telah berubah arah orbit dan terbitnya matahari pada arah barat di Marikh. Saya cuba cari video asal kenyataan beliau, dan beliau sebenarnya  membaca(memetik) artikel dari sebuah majalah berbahasa arab. 

Penjelasan:


Artikel pada gambar 1 dan Majalah yang dipetik oleh tokoh dalam kuliahnya adalah palsu (berkenaan dengan retrograde motion). Artikel pada gambar 1 bukan sahaja menyalah tafsir pergerakan retrograde sebagai perubahan arah orbit, tetapi tidak memahami konsep terbit dan terbenamnya matahari. Matahari kelihatan terbit dan terbenam dari bumi/marikh/planet-planet lain adalah disebabkan oleh putaran planet pada paksinya. Justeru, perubahan arah orbit sesuatu planet tidak membuktikan matahari terbit di arah berlainan (sebaliknya perubahan putaran planet pada paksinya akan menyebabkan matahari terbit pada arah yang berlainan). Di sebabkan perkara ini dikaitkan dengan agama dan NASA, maka masyarakat menyebarkan emel tanpa usul periksa.


Retrograde Motion


Kedua-dua versi artikel ada menyebut tentang retrograde motion. Pergerakan Retrograde sesebuah planet menyebabkan planet kelihatan berubah arah haluan jika dilihat dari BUMI. Namun sebenarnya planet berkenaan TIDAK berubah arah haluan.


Fenomena Retrograde Motion ini sebenarnya telah disedari semenjak tamadun Yunani lagi. Perkataan Planet adalah berasal dari perkataan Yunani yang bermaksud wandering stars (bintang yang berlegar-legar). Ini kerana ahli astronomi dalam tamadun Yunani mendapati pada ketika-ketika tertentu planet akan kelihatan berubah arah haluan. 


Ketika tamadun Yunani juga manusia percaya bahawa bumi berada ditengah-tengah dan dikelilingi oleh objek-objek lain. Justeru perubahan arah dalam pergerakan planet adalah mustahil lantas Ptolemy memperkenal epicycle sebagai usaha untuk menerangkan pergerakan Retrograde planet-planet.


Tamadun Islam juga sedar tentang pergerakan retrograde


Di hujung kejatuhan Tamadun Yunani, Tamadun Islam mula melancarkan gerakan untuk menterjemah karya-karya Tamadun di seluruh dunia. Ini termasuk hasil kerja Ptolemy. Ahli Astronomi Ibn Haytham kemudiannya menulis dan mengkritik teori Ptolemy di dalam bukunya al‐Shukūk ʿalā Baṭlamyūs (Doubts Concerning Ptolemy). Haytham mendakwa model geocentric (Bumi di tengah) Ptolemy yang mengunakan epicylce dan equant untuk menerangkan pergerakan planet tidak menepati kiraan matematik. 


200 Tahun selepas Ibn Haytham menulis bukunya itu, At Tusi meneruskan usaha dalam menghasilkan model yang lebih menepati kiraan matematik. At Tusi kemudiannya memperkenalkan Tusi couple dalam menerangkan pergerakan planet di angkasa (masih lagi geocentric). Namun model berkenaan masih ada kelemahan.


Apa yang saya cuba ketengahkan disini adalah, isu pergerakan Retrograde bukan suatu fenomena yang baru diketahui. Bahkan telah menjadi perbincangan dan perdebatan dikalangan ahli sains silam. Apatah lagi ianya pernah di sentuh oleh ahli astronomi Islam dan hasil kerja ahli astronomi Islam (geocentric model) kemudianya pula di petik oleh Copernicus di dalam bukunya De revolutionibus orbium Coeslestium yang mengenegahkan model heliocentric (Matahari ditengah).


Justeru, adalah penting bagi kita masyarakat moden memahami sejarah perkembangan sains dan konsep asas sains agar tidak mudah tertipu dengan cerita bohong yang disebarkan di internet. Maklumat-maklumat dan fakta benar mudah didapati di internet termasuk wikipedia.


Kesimpulan : Video Animasi Pergerakan Retrograde.


Pergerakan retrograde lebih mudah difahami dengan animasi dan gambar rajah. Video dibawah menerangkan kedudukan planet pada orbit dan kedudukan planet jika dilihat dari bumi ketika melakukan pergerakan retrograde. Sila perhatikan pergerakan ini mengambil masa berbulan untuk diperhatikan. Perhatikan juga planet TIDAK berubah arah orbit tetapi ianya KELIHATAN berbuat demikian apabila bumi memintas planet berkenaan (planet bahagian luar ie Marikh, Jupiter, Saturn etc). Dalam kes Marikh ia berlaku lebih kurang 2 tahun sekali.

No comments:

Post a Comment