Friday 3 February 2012

Planet Marikh mendekati bumi Mac ini!

Peristiwa                                                                             : Istiqbal Marikh
Tarikh                                                                                  : 3 Mac 2012
Jarak Dari Bumi ketika Istiqbal                                        : 0.674 AU / 62.6 Juta Batu
Tarikh Paling Hampir dengan Bumi                                 : 5 Mac 2012
Jarak dari Bumi ketika berada di kedudukan paling  
hampir                                                                                 : 0.673 AU
Kecerahan                                                                          : -1.23 mag

Saya menulis berkaitan peristiwa Istiqbal (opposition) Marikh lebih awal kali ini memandangkan persitiwa ini cuma berlaku sekali dalam masa 2 tahun. Planet Marikh sememangnya sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan terdapat pelbagai mitos modern berkaitan planet ini. 

Antara mitos yang selalu kedengaran adalah Marikh akan kelihatan sebesar bulan dan orbit Marikh berubah arah haluan. Ternyata kedua-dua mitos ini timbul kerana salah faham fakta sains dikalangan masyarakat. Apa yang membimbangkan mitos ini dikaitkan dengan agama Islam lantas memberi imej tidak baik terhadap agama.

Saya sendiri harus mengakui, planet pertama yang saya ingin cerap selepas membeli teleskop adalah planet Marikh. Hanya selepas itu saya sedar planet Marikh tidak boleh di cerap selalu seperti planet Musytari dan Zuhal. Dalam post kali ini saya akan membincangkan serba sedikit berkenaan fenomena Istiqbal Marikh  pada 3 Mac 2012 serta tips untuk mencerap planet berkenaan.

2 tahun sekali
Fenomena Istibal Marikh cuma berlaku 2 tahun sekali ( lebih tepat 2tahun 50 hari) (Courtney Seligman, 2010). Tidak seperti Istiqbal Musytari dan Zuhal yang berlaku hampir setiap tahun. Hal ini di sebabkan oleh tempoh masa Marikh untuk mengorbit Matahari cuma 686.971 hari (hari bumi). Ini berbeza dengan planet Musytari dan Zuhal yang bukan sahaja lebih jauh dari bumi tapi mengambil masa yang lama untuk mengorbit matahari. Di sebabkan tempoh masa Marikh mengorbit matahari cuma lebih kurang 2x tempoh masa bumi mengorbit matahari, Marikh dan Bumi kelihatan seolah-olah berkejar-kejaran  untuk mencapai posisi Istiqbal (rujuk video animasi di bawah)

Video animasi di atas menunjukan bagaimana Marikh dan Bumi mengorbit matahari. Pada kedudukan Istiqbal pergerakan kedua-dua planet di perlahankan.

Kes Marikh: Istiqbal tidak bermakna paling hampir?
Di dalam post fenoma Istiqbal Musytari sebelum ini, saya menyamakan perkataan Istiqbal dengan Opposition. Opposition berlaku apabila bumi berada diantara planet dan matahari, manakala perkataan Istiqbal pula bermaksud perbuatan menghampiri sesuatu. Di dalam kes Istiqbal(Opposition) Musytari, Musytari berada paling hampir dengan bumi ketika fenomena Istiqbal(Opposition) berlaku. 

Berlainan pula dengan kes Marikh. Marikh berada pada titik paling hampir dalam tempoh +/- 2minggu dari tarikh Istiqbal(Opposition). Perkara ini berlaku disebabkan oleh orbit Marikh yang bujur berbanding orbit bumi( rujuk animasi dan rajah 1). (Jeffery D.Beish, 2011)
Orbit Planet Marikh dan Bumi serta tarikh Istiqbal berlaku. Istiqbal paling hampir berlaku pada Ogos 2003 ketika Marikh hampir berada pada kedudukan perihelion. (Gambar di petik dari http://cseligman.com/text/planets/marsoppositions.htm)


Di sebabkan bentuk bujur orbit marikh ini juga, jarak ketika Istiqbal boleh berbeza diantara 34.6 Juta batu hingga 62.6 Juta batu dari bumi. Istiqbal pada kali ini berlaku ketika Marikh berada hampir dengan posisi aphelion. Ini akan menyebabkan saiz Marikh pada 3 Mac ini kelihatan lebih kecil berbanding Istiqbal pada tahun 2003. 

Peralatan yang di perlukan.

Untuk mencerap Marikh pada 3 Mac ini, anda sekurang-kurangnya perlu mempunyai teleskop pembias (refractor) bersaiz 75mm atau teleskop pemantul (reflector) sekurang-kurangnya berdiameter 4 inchi (sesetengah mengatakan perlu lebih 150mm). Untuk melihat Marikh dengan lebih besar, eyepiece berkuasa tinggi ataupun sederhana dengan barlow lens diperlukan. Filter berwarna jingga #21 atau #23A dapat membantu menaikan kontrast manaka filter berwarna biru #80A atau #82A dapat menaikan ciri awan permukaan Marikh. (Imaginova Publishing, 2007)

Apa yang boleh di cerap?

Ciri Permukaan:
Sudah pasti apabila ingin mencerap kita akan tertanya-tanya tentang apakah yang boleh dilihat. Seringkali orang yang cuba menjinakan diri dengan hobi astronomi kecewa dengan imej yang tidak sama dilihat di dalam buku atau television mahupun internet. 

Ciri permukaan Marikh yang boleh dilihat dari teleskop di bumi adalah permukaan cerah dan gelap. Permukaan gelap merupakan tanah tinggi di Marikh manakala permukaan cerah adalah tanah rendah yang diselaputi pasir/debu. Kebanyakan kawasan gelap tertumpu pada bahagian selatan Marikh. Rajah 2 menunjukan peta permukaan planet marikh yang dilihat melalui teleskop newtonian.
Rajah 2: Permukaan berlabel planet Marikh melalui teleskop newtonian. (bahagian atas gambar adalah kawasan selatan planet) (Gambar di petik dari Mars Guide 2007)




Atmosfera dan Kutub
Selain dari kawasan gelap dan cerah pada permukaan Marikh, awan berwarna kuning dan awan sirus berwarna putih juga boleh dilihat melalui teleskop. Filter berwarna merah dan kuning boleh digunakan untuk menaikan contrast awan kuning manakala filter berwarna biru menyerlahkan awan sirus putih. Selain itu bahagian kutub pada planet marikh juga boleh kelihatan melalui teleskop amatur (S.R Parkinson, 2003). Gambar dibawah adalah keadaan planet Marikh pada 3 Mac 2012 Jam 00:00 UTC. Untuk nama kawasan pada permukaan Marikh, dengan lebih tepat dan terperinci,Google Mars Lab membolehkan pengguna meneliti permukaan Marikh termasuk ciri seperti gunung, kawah dan dataran pada planet berkenaan.
Imej dihasilkan melalui Nasa JPL solar system simulator.

Kesimpulan

Fenomena Istiqbal Marikh cuma berlaku 2 tahun sekali. Tidak seperti Planet Musytari dan Zuhal, yang boleh dilihat dan di cerap dengan mudah, planet Marikh di antara planet yang agak mencabar dan tidak boleh di cerap setiap tahun. Justeru pada 3 Mac 2012 ini, merupakan peluang terbaik untuk mencerap dan merakam planet Marikh.

Ketika cerapan adalah sangat baik sekiranya log cerapan diambil dengan teliti. Maklumat seperti masa,tarikh,tempat mencerap, cuaca perlu di tulis bagi memastikan cerapan Marikh lebih bermakna. Ketika Istiqbal ini juga ahli astronomi amatur boleh merakam imej Marikh. Saya tidak tahu apa yang boleh saya capai dalam Istiqbal Marikh kali ini. Ini boleh dikatakan cerapan Marikh pertama saya sejak menceburkan diri dalam hobi astronomi. Insya'Allah jika cuaca mengizinkan saya akan cuba mencerap 2-3 minggu sebelum dan selepas tarikh Istiqbal. Justeru  selepas ini akan ada log cerapan Marikh saya post kan. Sekian

Rujukan:

1) Courtney Seligman, Mars Opposition, 2010, <http://cseligman.com/text/planets/marsoppositions.htm>, 28 January 2012.
2) Imaginova Publishing, Mars Guide, 2007, <http://www.starrynighteducation.com/sntimes/2007/12/wwwgfx_cur/MarsGuide2007.pdf>, 28 January 2012
3) Jeffery D.Beish, The 2011-2012 Aphelic Apparition of Mars, 12 August 2011, <http://www.alpo-astronomy.org/jbeish/2012_MARS.htm>
4) S.R Parkinson, Obeserving The Planet Mars, 2003, <http://www.skyguide.org.uk/downloads/pdfs/Mars.pdf>, 28 January 2011

Links:



No comments:

Post a Comment