Showing posts with label moon. Show all posts
Showing posts with label moon. Show all posts

Tuesday, 9 July 2013

Selamat Menyambut Ramadhan (Laporan Cerapan Hilal)

Tarikh: 8 Julai/ 9 Julai 2013
Tempat: Labuan (UMSKAL 8Julai, Kg Sg Lada Labuan 9 Julai)

Ramadhan 2013 kali ini saya berpeluang menyaksikan proses cerapan hilal yang dilakukan oleh Jabatan Mufti di Labuan di UMS kampus antarabangsa Labuan. 

Pada 8 Julai 2013 sebagai mana yang semua sedia maklum anak bulan tidak kelihatan walaupun cuaca cerah di Labuan. Hal yang demikian kerana umur bulan ketika cerapan lebih kurang 3 jam. Fasa bulan baru (New Moon) bermula pada Jam 3:15 petang waktu Malaysia.
Bergaya dengan surveyor ketika cerapan diatas menara pentadbiran UMSKAL
Lebih kurang 28 Jam selepas conjuction, sekali lagi saya mencari peluang untuk menyaksikan sendiri anak bulan. Kali ini bertempat di Kg Sg Lada, dikawasan tapak cadangan untuk pembinaan balaicerap di Labuan. Cerapan di anjurkan oleh Jabatan Mufti dan antara yang hadir adalah pelajar-pelajar SMA MAIWP Labuan.

Di sebabkan saya tidak berpengalaman mencerap anak bulan, saya kemas barang dan teleskop saya lebih awal kerana saya sangka bulan telah terbenam dan keadaan cuaca di ufuk berawan. Kira-kira jam 7pm hilal ramadhan kelihatan. Agak tinggi juga kedudukan nya sebelum terbenam. Saya tidak merakamkan gambar tetapi gambar hilal sempat dirakamkan oleh kawan saya dengan teknik afocal (handheld) Iphone pada eyepiece teleskop orion XT4.5.
Hilal Ramadhan yang diramkamkan menggunakan Iphone yang dipegang pada eyepiece. Gambar oleh Syed Nasir

Keadaan ufuk berawan ketika cerapan. 10x50 visionking, Maksutov Cassegrain dan Skywatcher refractor.

Gambar kabur dari binokular.

Secara peribadi saya merasakan satu kepuasan apabila melihat anak bulan melalui binokular. FOV yang luas serta keselesaan melihat dengan kedua-dua belah mata mengatasi teleskop-teleskop yang ada ketika cerapan. Tapi dari segi kemampuan mengambil gambar sudah pastilah teleskop mengatasi binokular.

Insya'Allah akan banyak lagi sesi mencerap anak bulan yang akan saya lakukan akan datang.

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan. Selamat Berpuasa!

Monday, 17 June 2013

Lunar Observation June 2013

Object: Moon
Date: 17/06/13
Time: 7:00 pm-7:30pm
Weather: Clear
Telescope: Orion XT4.5 (my friend's telescope)

Clear Sky at last. I cant remember the last time I have a clear sky like this in Labuan. I took this opportunity to do some lunar observation. No matter how busy I am, when there is a clear sky, I will definitely go out and observe the sky.

Moon was 60% full during the observation. There is a lot of interesting formation that can be observe during this phase. The obvious formation was the Apennines mountain. I saw a clear crispy image of Eratosthenes crater near the mountain using XT4.5 telescope.  Vales Alpes was still visible. Through 4.5 inch reflector, Plato looks clear and empty, like there is no secondary crater inside Plato. Of course, that is not true.. I did not take a lot of picture. The observation last about 30 minutes.

During the Observation, I tested my new green laser pointer for Astronomy. Every Astronomer should have one. It is very useful during public observation, or with family.

Below is photograph taken during the observation:





I missed ISS flyby on 4th of June 2013, The next ISS flyby (above Labuan) is on 2nd of July 2013. Let's hope for clear skies. I will write an update before the event.

Thursday, 28 March 2013

Prime Focus Astrophotography

Tarikh: 28/03/13
Masa: 7.30pm-9.15pm
Cuaca: awan nipis. Penglihatan kurang memuaskan.
Teleskop: Orion XT4.5, Orion Apex 90mm Maksutov Cassegrain
Tempat: Kolej Matrikulasi Labuan

Pos pendek malam ini berkenaan dengan cerapan ringkas yang dilakukan selepas maghrib tadi. Saya dan rakan mencuba untuk melakukan cerapan di tapak cerapan baru. Kami pilih di atas menara pentadbiran kolej matrikulasi Labuan.

Objek yang pertama di cerap adalah Musytari(jupiter). 2 bulan kelihatan jelas seakan menari mengililingi Musytari. Imej menerusi Orion XT4.5 sangat jelas. 3 atau 4 jalur awan pada permukaan Jupiter dapat di perhatikan. Saya seakan dapat melihat GRS menerusi Orion XT4.5. Cuma apabila saya cek semula pada software Jupiter 2, kedudukan GRS tidak berada ditempat yang saya lihat ketika cerapan. (akan datang akan cerap menggunakan filter berwarna).

Objek seterusnya adalah Orion Nebula. Nebulosity (awan) nebula lebih baik berbanding cerapan ketika di padang kolej. Penambah baikan ini mungkin disebabkan mata kami telah disesuaikan dengan keadaan gelap. Kami berada jauh dari lampu jalan. Namun lampu-lampu jalan sekeliling kolej serta lampu dari blok kediaman pelajar terus menjadi tirai menghalang bintang-bintang di langit menunjukan persembahannya. Secara jujur, saya telah lupa bagaimana Orion Nebula melalui XT10. Saya tidak ingat ada perbezaan dengan apa yang yang saya lihat dengan XT4.5.

Objek seterusnya adalah bulan. Bulan berada pada 98% penuh dan semakin mengecil. Imej bulan secara visual menerusi Orion Apex Mak-Cass tidak berapa cantik. Keamatan cahaya bulan menghilangkan kontrast kawah. Tiada perbezaan(sekali imbas) apabila filter berwarna digunakan dalam cerapan.

Pada malam ini juga kali pertama saya menggunakan kaedah Prime Focus untuk merakam gambar. Ini satu perkara baru kerana selama ini kaedah yang saya gunakan adalah afocal. Pada mulanya kaedah prime focus cuba digunakan dengan Orion Xt4.5. Namun kami gagal untuk mendapatkan focus pada bulan. Ini telah kami jangka dengan lebih awal.

Orion Apex 90mm Mak Cass memang saya beli kerana berangan-angan untuk melakukan prime focus photography. Tapi ianya terhenti disebabkan kos. Perlu disedari pada cerapan ini mount yang kami gunakan tidak mempunyai kemampuan untuk 'track' objek. Justeru Imej hasil cerapan kami tidak mencapai jangkaan kami. Walaubagaimana pun, focus dapat dicapai dengan teleskop Mak-Cass. Berikut adalah gambar set up prime focus (Kamera Nikon, model tak pasti) bersama teleskop Orion Apex Mak Cass.
Live View dari kamera Nikon

Orion Apex Mak-Cass 90mm dengan kamera DSLR

Prime Focus, Sambungkan kamera pada teleskop tanpa lens atau eyepiece.

Saturday, 23 March 2013

Cerapan sempena Earth Hour 2013(review Orion XT4.5)

Objek: Bulan, Musytari(Jupiter), dan Zuhal (Saturn)
Teleskop: Orion Apex 90mm Maksutov Cassegrain, Orion SkyQuest XT4.5
Cuaca: Cerah dengan tompokan awan. Langit sebelah timur boleh dikatakan di penuhi awan.
Tarikh: 23/03/13
Masa: 9.30 malam-12 tengah malam
Lokasi: Kolej Matrikulasi Labuan

Lebih enam bulan saya tidak menulis laporan cerapan. Pos terakhir ketika sebelum ditugaskan di Labuan. Teleskop Orion XT10 saya tinggalkan di Melaka. Ada masalah untuk saya bawa ke Labuan. Namun, saya melabur dengan tripod Alt Azimuth teleskop 90mm Orion Apex (Maksutov Cassegrain) saya. Jadi cerapan dengan 90mm Apex tidak sesukar dulu (dengan tripod kamera). Tidak ada laporan cerapan selama ini kerana sudah jarang mencerap atas sebab-sebab kerja. Tambah pula XT10 di Melaka. Cerapan kecilan diadakan sekali sekala.

Laporan kali ini berkaitan 3 objek langit, bulan, Musytari(Jupiter) dan Zuhal (Saturn). Peralatan yang digunakan bukan satu teleskop tapi 2! Sudah lama mengidam nak mencuba Orion XT4.5, akhirnya tertunai apabila kawan saya beli dari StargazerOnline Shop di Bukit Jalil.

Bulan

Laporan kali ini lebih tertumpu pada cerapan melalui Orion XT4.5. Bulan 83% penuh ketika cerapan dilakukan. Banyak ciri bulan yang menarik dapat dicerap ketika ini. Antaranya, kawah Gassendi, Rupes Leibig, sistem sinar kawah Copernicus serta kawah-kawah lain. Berikut adalah gambar yang di ambil pada cerapan tadi:
Gassendi, Rupes Leibig

Copernicus Ray Systems

Copernicus Ray Systems

Plato, Valis Alpes, dan kawah-kawah di kawasan utara bulan

Mare Imbrium, Jelas kelihatan banjaran Gunung didalam Mare Imbrium

Sinus Iridum, Mare Frigoris, dan kawah J. Herschel

Mare Crisum dan sistem sinar dari kawah Proclus

Plato
Cerapan Visual Bulan melalui XT4.5 amat memuaskan hati. Imej dan ciri pada permukaan kawah bulan amat jelas dan mudah dilihat. Bahkan Rimae Gassendi yang berada di dalam kawah Gassendi amat mudah dilihat secara visual.

Musytari (Jupiter)

Jupiter semakin sukar dicerap. Waktu Istiqbal telah berlalu, Musytari semakin menjauhi bumi (bumi menjauhi Musytari). Walaubagaimana pun Musytari terus cerah dilangit barat sebelum terbenam.

Imej Musytari melalui Orion XT4.5 dengan magnifikasi 90x (10mm eyepiece) amat jelas. Jalur pada musytari amat kontra dengan kawasan cerah di awan musytari. Bulan Musytari juga kelihatan jelas dan cerah melalui Orion XT4.5. Secara relatifnya pada malam ini Orion XT4.5 memberikan imej yang lebih baik berbanding Apex 90mm Maksutov Cassegrain. Samaada bayangan ataupun betul, saya rasa saya dapat melihat barge pada permukaan Musytari. 

Kelihatan juga 2 bulan di sebelah 'atas' Musytari. Pada jam 9.30 malam cuma satu bulan kelihatan. Kemudian satu bulan lagi muncul tidak lama kemudian. Bulan itu adalah Europa dan Ganymede. Saya tidak ingat melihat bulan yang lain, barangkali sebab saya cuma tumpukan pada 2 bulan berkenaan.

Ketika cerapan saya beranggapan bahawa Europa baru keluar dari belakang Musytari. Namun melalui software Jupiter2, apa yang berlaku sebenarnya ialah Europa baru transit Planet Musytari (lalu di depan Musytari). Melalui Jupiter2 juga didapati terdapat bayang-bayang Europa di atas planet Musytari. Namun bayang-bayang tidak kelihatan ketika cerapan. 

Saya tidak berpengalaman mencerap transit. ketika Ogos 2010 dulu berkemungkinan saya menyaksikan Io transit melalui XT10. Sehingga kini masih belum saya sahkan cerapan berkenaan. Berikut adalah imej yang diambil melalui XT4.5:


 Kelihatan 2 bulan Musytari Ganymede dan Jupiter samar-samar didalam gambar diatas. Europa paling hampir dengan Musytari.


Zuhal(Saturn)


Cerapan Zuhal ringkas dan pendek. Disebabkan kepenatan, kepanasan dan dihurung nyamuk, cerapan Zuhal tidak lama.

Zuhal sedang menghampiri Istiqbal pada bulan hadapan. Ianya semakin sesuai untuk dilihat. Posisi Zuhal sekarang membolehkan Cassini Division dicerap.

Saya melihat 2 bulan pada Zuhal tadi melalui Orion XT4.5. 2 Pencerap termasuk saya merasakan Cassini Division dapat dilihat dalam cerapan kali ini. Memang ada laporan cerapan yang mengatakan Cassini Division dapat dilihat dengan menggunakan XT4.5. Ia sesuatu yang menarik memandangkan ada yang mengatakan bahawa untuk mencerap Cassini Division memerlukan teleskop reflektor 8inchi keatas. Berikut adalah gambar Zuhal yang dirakam. Agak banyak masa yang dibuang untuk merakam gambar berkenaan sehinggakan cerapan visual sedikit diabaikan.

Imej Zuhal yang dirakam menggunakan teknik afocal. Cerapan Visual lebih jelas dari gambar diatas.



























Kesimpulan

Ini cerapan paling lama saya lakukan semenjak mula berkhidmat di Labuan. Ini disebabkan kali ini cerapan dilakukan bersama rakan-rakan dan bukan seorang. Tambahan pula saya agak teruja untuk mencuba teleskop Orion XT4.5.

Secara keseluruhan Orion XT4.5 sememangnya mempunyai kualiti yang hebat. Sesampainya dari kedai, collimation teleskop berkenaan berada pada keaadan yang amat baik. Ini di sahkan melalui star test yang saya buat ketika cerapan. Saiz yang kecil memudahkan ianya dibawa ke mana-mana dengan mudah.

Harga XT4.5 cuma RM1450 (tidak termasuk bayaran penghantaran). Berbeza dengan Apex Maksutov cassegrain yang memerlukan tripod, binaan Dobsonian XT4.5 menyebabkan semua kos tertumpu pada kualiti optik teleskop berkenaan. Justeru ianya merupakan teleskop paling bagus dan murah untuk yang mahu memulakan hobi dalam bidang astronomi. Teleskop lain saya tak jamin. 
Khusyuk Melakukan Cerapan berama Orion Apex 90mm Mak Cass(dengan Tripod) dan Orion XT4.5( Dobsonian)

XT 4.5 tidak memerlukan apa-apa set up. OTA yang boleh dihalakan dalam pelbagai sudut membolehkan cerapan dilakukan dengan mudah. Eyepieces yang disertakan bersama adalah 25mm plossl dan 10mm plossl. Kedua-duanya berkualiti. Barlow mungkin diperlukan untuk cerapan bulan. Namun kualiti imej merosot dalam magnifikasi 180x (10mm +2x Barlow). Ini disebabkan oleh keadan atmosfera di Malaysia.

Selama ini, saya sering mencadangkan rakan-rakan saya menggunakan XT4.5. Kini setelah mencuba sendiri teleskop berkenaan saya lebih yakin untuk mencadangkan teleksop dobsonian orion kepada bakal-bakal peminat astronomi.

Sunday, 27 May 2012

[Cerapan] Rimae Ariadaeus

Objek: Bulan
Teleskop: Orion XT10
Tarikh: 27/05/12
Masa : Jam 2015-2135
Cuaca: Cerah, awan tidak menutup bulan tapi penglihatan tidak berapa baik.

Cerapan bulan kali ini ada penambah baikan dari yang sebelum nya. Buat kali pertama kali ni bawa pen dan list serta peta bulan waktu cerapan (lampu suluh cahaya merah sekali). Dalam erti kata lain, kali ni bukan main tengok dan ambil gambar sahaja, tapi ada target dan betul-betul mencatat cerapan (walaupun tak terperinci sangat).

Senarai target saya ambil dari senarai Lunar100 ( Charles A. Wood 2004). Saya cuba cerap #82,#89 Linne dan Valentine Dome. Disebabkan kedua-dua ciri ni dah berada hampir diakhir senarai, jadi ianya sukar dicerap. Saya rasa, saya nampak apa yang dimaksudkan dengan Valentine dome pada cerapan kali ini. Tapi boleh jadi juga apa yang saya nampak bukan Valentine dome. Tak pasti samada Valentine Dome boleh dicerap dengan magnifikasi 160x. 

Imej yang saya rakam tidak memuaskan. Tiada penambahbaikan dari segi peralatan sebaliknya saya nak gunakan apa yang ada semaksimum mungkin. Hari ini ciri seperti Rupes Altai saya dapat lihat dengan jelas. Pernah saya tulis laporan cerapan Rupes Altai. Rupes Altai berada pada #7 dalam senarai.  Ianya merupakan ciri lereng pada bulan yang besar dan mudah dilihat.
Rupes Altai, lereng berliku dalam gambar diatas. Dihujungnya ada kawah Piccolomini

Ciri lain yang mudah dilihat pada cerapan kali ini adalah Rima Ariadaeus(#29)(Rille). Ianya salah satu contoh rille lurus pada bulan. Tidak jauh dari Rima Ariadaeus terdapat 2 kawah yang kelihatan serupa. Sabine dan Ritter. Kedua-dua kawah ini mudah dicerap. Rimae Ariadaeus tidak jelas dengan magnifikasi 96x. Saya hanya dapat lihat dengan mag 160x. Kedua-dua Sabine dan Ritter saya selesa cerap dengan magnifikasi 96x. Sabine dan Ritter berada pada #38 dalam lunar100.
Garisan A adalah Rimae Ariadaeus, B Cayley Plains C Sabine dan Ritter dan D(sebelah kiri) kawah Dionysius

Cayley plains adalah ciri pada bulan yang rata tanpa kawah. Kedudukannya pada bahagian timur kawah Cayley (Rajah). Namun dalan cerapan saya bahagaian barat laut kawah Cayley juga kelihatan rata. Mungkin perlu magnifikasi lebih tinggi untuk cerap Cayley plains (dataran). Cayley plains berada pada #50 dalam lunar 100.

Dionysius merupakan kawah yang tidak jauh dari kawah Sabine dan Ritter. Dionysius dikatakan mempunyai sinar kawah (#93 Lunar 100). Namun saya tidak lihat apa-apa sinaran yang keluar dari kawah Dionysius pada cerapan kali ini.

Nota: 4 Jun 2012, Gerhana bulan separuh. Lebih kurang lepas Maghrib. Jangan lepaskan peluang untuk saksikan gerhana bulan pertama tahun 2012.

Sunday, 1 April 2012

Sekitar Copernicus dan Lembah Alpine

Objek: Bulan
Tarikh: 01/04/12
Masa: Jam 2000- 2100
Cuaca: Baik, cerah dengan sedikit tompokan awan nipis. 
Teleskop : Orion XT10

1 April 2012, Bulan baru beberapa hari selepas fasa suku pertama. Waktu ini masa terbaik untuk mencerap Copernicus. Saya perhatikan setiap kali saya mencerap bulan, terlalu banyak rasanya yang saya nak tulis berkenaan dengan cerapan saya. Jadi pos kali ini saya tumpukan pada beberapa ciri sahaja.

Copernicus

Copernicus merupakan kawah besar yang boleh dilihat dari bumi dengan cuma peralatan seperti binokular. Di bahagian utara dan barat laut copernicus terdapat banyak gunung, makala disekelilingnya terdapat kawah-kawah sekunder. Berikut adalah imej Copernicus yang berjaya saya rakamkan.

Copernicus, kawah paling besar dalam gambar





Gambar berlabel: Bulatan kuning menunjukan Ghost Crater Stadius. Kawah yang telah ditegelamkan oleh lava dan hampir tidak kelihatan. Namun samar-samar nampak bentuk bulatan yang tinggal.
Dua kawah di bahagian selatan(barat daya) copernicus adalah kawah Reinhold (besar) dan Reinhold B (kecil). Tidak jauh dari Copernicus dibahagian timur laut terdapat kawah Eratosthenes. kawah kecil dibahagian utara Copernicus adalah kawah Gay-Lussac. Perhatikan garisan pada arah barat daya Gay-Lussac. Itu merupakan Rimae Gay-Lussac. Salah satu dari contoh rille lurus pada bulan selain rupes recta (lereng lurus). Menurut Virtual Moon Atlas, perisian percuma yang saya gunakan, peralatan minimum untuk mencerap Rimae Gay-Lussac adalah teleskop reflector 300mm. Saya gunakan teleskop 254mm. Bukan sahaja dapat mencerap, bahkan saya dapat merakam ciri tersebut. Kawah yang kelihatan seperti lubang kunci pada bahagian selatan adalah Fauth dan Fauth A. Kedua-dua kawah tersebut mempunyai nama gelaran ''hole of lock''.

Alpine Valley (Vallis Alpes)

Vallis Alpes, Garisan besar disebelah kanan kawah (Plato)










Mare Imbrium Berlabel: A Montes Recti, B Montes Teneriffe C Mons Pico dan D Mons Spiztbergen. ABCD adalah kesan tinggalan Inner ring Mare Imbrium. Perhatikan garitan kuning membentuk suku bulatan. E adalah Mons Piton. (Mons/Montes= Gunung dalam bahasa latin)
Gambar diatas merupakan imej berhampiran kawah Plato dah sebahagian (bhg utara) dari Mare Imbrium. Vallis Alpes merupakan garisan disebelah kanan kawah besar (plato). Ini merupakan Lembah ke 3 yang saya cerap selepas Vallis Rheita dan Vallis Schroter. Pada ketika ini Vallis Alpes tidak kelihatan jelas. Mungkin imej yang jelas dan cerapan yang baik boleh dilakukan sekiranya saya mencerap bulan sehari lebih awal. Vallis Alpes merupakan ciri yang mudah dicerap.

Kawah plato di dalam gambar rajah kelihatan mempunyai permukaan lantai yang rata. Namun sebenarnya terdapat kawah-kawah kecil di dalam kawah Plato. Saya gagal mencerap kawah-kawah kecil berkenaan. Barangkali ianya dapat dicerap jika cerapan dilakukan sehari lebih awal.

Perhatikan banjaran Gunung dibahagian selatan Plato. Ia sebenarnya diding Mare Imbrium yang telah di tengelamkan oleh limpahan lava. Boleh dilihat banjaran gunung itu seakan membentuk Bulatan. Paling kiri adalah Montes Recti, tengah adalah Montes Teneriffe  dan kiri (dibawah plato) adalah Montes Pico. Akan datang saya akan cuba rakamkan gambar penuh Mare Imbrium yang memperlihatkan kesemua puncak gunung (Montes Spitzbergen tidak ada dalam gambar).

Ciri lain

Ciri lain yang saya cerap semalam adalah kawah Clavius, Tycho, Rupes Recta Mere Frigoris, Mons Appeninnus dll.

Lunar 100

Bulan lepas saya lawati forum-forum astronomi yang telah lama saya tinggalkan. Dalam satu forum bulan, ahli forum ada membincangkan lunar 100. Lunar 100 adalah senarai ciri bulan untuk dicerap. Senarai ini di tulis oleh Charles A Wood dalam majalah Sky and Telescope pada April 2004. Saya cuba untuk mencerap kesemua 100 ciri yang dicadangkan. Akan datang barangkali saya akan set up page untuk senarai Lunar 100 yang telah saya cerap.  Dalam Cerapan 1 April saya berjaya mencerap ciri no, 3,5,6,9,15,19,23,26. Senarai ini disusun mengikut kesukaran untuk mencerap. Barangkali mengambil masa beberapa tahun untuk saya lengkapkan senarai ini. 

Kemaskini:


Gambarajah berlabel

Tuesday, 6 March 2012

Cerapan 5 Mac: Lembah Schroter (Vallis Schroter)

Tarikh: 05.03.12
Masa: ~Jam 2100
Tempat: Asahan Melaka
Objek: Bulan
Teleskop: Orion XT10

Cuaca 5hb pada siangnya mendung. Saya tak menjangka akan cerah pada malamnya. Alhamdulillah, walaupun sedikit berawan saya sempat melakukan cerapan bulan dan Marikh (tiada gambar Marikh dirakam).

Marikh pada kuasa pembesaran 160x cukup untuk membolehkan saya melihat ciri pada permukaan planet berkenaan. Walaupun keadaan atmosfera menyebabkan imej tidak stabil. Saya nampak 2 ciri utama iaitu maria dan juga kutub ais pada Marikh. Walaupun tak dapat merakam gambar, saya puas dengan cerapan Marikh pertama saya.

Bulan hampir purnama pada 5hb. Kawah Copernicus, dan Kepler semakin sukar dicerap. Ini disebabkan cahaya yang dipantulkan dari kawah itu terlalu terang. Sukar untuk lihat details pada kawah berkenaan. Namun disebabkan bulan belum penuh, saya berjaya melawat kembali kawah-kawah yang saya pernah lawati dulu. 

Gassendi memang mudah dilihat pada malam itu.Saya juga boleh lihat Rupes Liebig dengan jelas. Tidak ketinggalan Rimae Mersenius di bahagian atas sedikit dari Rupes Liebig. Banyak perkara yang menyebabkan saya suka mencerap ciri yang dipanggil rilles ini. Kali pertama saya mencerap Rupes Liebig adalah pada 7 November 2011. Ketika itu saya tidak perasan Rimae Mersenius, barangkali kerana cahaya bulan atau cuaca berawan.
Gassendi (kawah besar paling kanan) dan Rupes Liebig(garisan pada disebelah Gassendi). Rimae Mersenius dibahagian atas tapi samar-samar. Lebih jelas dengan mata.

Bulan merupakan objek menarik. Begitu banyak ciri pada bulan sehingga pada waktu ini, masih ada ciri yang saya belum teliti. Ciri yang baru saya lawati pada 5hb 3 adalah lembah Schroter (Latin: Vallis Schroter). Dalam cerapan 29 Januari 2012, saya ada mencerap lembah Rheita( Vallis Rheita), berbeza dengan lembah Rheita yang terbentuk hasil hentaman dan pertindihan meteoroid, Lembah Schroter terbentuk hasil aktiviti volkanik jutaan (ribuan juta/billion) tahun lalu. Lembah Schroter merupakan contoh terbaik Sinous Rilles (rilles yang berliku seperti sungai) yang pernah saya bincangkan dalam post Geologi Bulan.

Vallis Schroter kelihatan seakan sungai pada bulan

Lembah Schroter merupakan Sinuous Rilles terbesar pada bulan. Ianya seakan bermula 25km dari arah barat laut kawah Herodotus (sebenarnya bermula dari kawah herodotus H yang berdiameter hanya 6km) dan berliku-liku dari kawah berkenaan. Berdekatan dengan Lembah Schroter merupakan kawah Aristarchus. Lembah Schroter merupakan tapak cadangan pendaratan Apollo 18 yang dibatalkan. Mempunyai diameter maksimum 168km, tidak dapat disangkal Lembah Schroter merupakan satu ciri bulan yang menarik dan akan saya cerap pada masa akan datang.(wikipedia)

Sunday, 29 January 2012

Mencerap Bulan

Objek : Bulan
Masa: 1950-2110 
Tarikh: 29/01/2012
Tempat: Jasin Melaka, Malaysia

Sudah lama saya nantikan langit cerah ketika bulan tidak penuh. Ini kerana banyak kawah dan ciri bulan dapat dilihat berbanding ketika bulan penuh. Bulan pada malam cerapan dilakukan adalah 35% penuh. Jadi banyak bentuk permukaan bulan yang dapat saya lihat ketika ini.

Walaupun eyepiece berkuasa tinggi memberikan magnifikasi yang hebat dan memberikan kepuasan dalam mencerap ciri bulan secara dekat. Kadang-kadang, eyepiece berkuasa sederhana memberikan kepuasan kerana seluruh permukaan bulan dapat dilihat. Perhatikan imej yang dirakam menggunakan eyepiece 25mm.
Rajah 1: Bulan dan kegelapan malam. Lebih banyak kawah yang boleh dilihat ketika ini. Terutamanya di kawasan sempadan gelap dan cerah di bulan.

Berikut adalah gambar berlabel yang menujukan maria yang boleh dilihat di dalam rajah 1.
Rajah 2: Maria yang dapat dilihat dari rajah 1. Kebanyakan Maria ini juga boleh dilihat dengan mata kasar. Kawah Thophilus, Cyrillus, dan Catharina menjadi kawah yang paling menonjol dalam cerapan kali ini.





 Mare Serenitatis dan Mare Tranquillitatis (Sea of Serenity dan Sea of Tranquillity)

Imej yang seterusnya adalah imej yang di zoom kepada Sea of Serenity dan Tranquility. Walaupun imej yang saya post kan ini tidak sebaik imej yang dilihat melalui teleskop (dengan mata), ada beberapa ciri pada rajah 3 yang boleh dibincangkan.
Rajah 3: A) Mare Serinitatis B) Mare Tranquillitatis a)Posidonius b) Dorsa Smirnov c)Mons Argaeus d)Dawes e)Plinius f)Ross g)Lamont h)Torricelli i) Sinus Asperitatis j) Theophilus X) Apollo 17 Y) Apollo 11

Perkara yang pertama menarik perhatian saya semasa saya mula menghalakan teleskop ke arah Mare Serinitatis dan Mare Tranquillitatis adalah kedutan (wrinkle) pada permukaan bulan. Ini pada rajah 3 saya labelkan dengan label b). Terdapat juga ciri b pada Mare Tranquillitatis, namun saya gagal melabelkan nya. Dorsa Smirnov adalah rabung (bukit/gunung) yang kelihatan berkedut pada permukaan bulan. Ketika dilihat dengan mata melalui teleskop, ianya amat jelas, lebih jelas dari rajah 3. Ciri ini merupakan ciri utama yang boleh dilihat pada Mare Serinitatis. Ianya boleh dicerap 5 hari selepas bulan baru (anak bulan) atau 4 hari selepas bulan penuh. 

Selain itu kawah (dataran berdiding) yang saya label sebagai a) turut menarik perhatian saya. Ia adalah Posidonius. Kelihatan jelas lantai kawah yang rata dan dipenuhi dengan kawah-kawah sekunder. Di kawasan sempadan antara Mare Serenitatis dan Mare Tranquillitatis, ciri bertanda c) adalah gunung yang bernama Mons Argaeus. Mons Argaeus dianggarkan berketinggian 7600 kaki, lebih kurang separuh dari ketinggian Gunung Kinabalu (Sabah) yang berketinggian 13435 kaki.

Beralih kepada Mare Tranquillitatis, terdapat 3 kawah yang saya tandakan sebagai d) e) dan f). Kawah-kawah berkenaan adalah Dawes, Plinius dan Ross. Terdapat juga kawah-kawah yang lebih kecil tetapi tidak saya labelkan. Saya ingin memberi tumpuan kepada ciri bertanda g) yang bernama Lamont. Barangkali melalui gambar tidak pasti apakah yang saya tandakan sebagai g). Lamont ada bentuk bulat yang agak kabur (ghost formation) disebelah kiri tanda g).  Lamont merupakan kawah yang agak tua, di bahagian atas/tepi Lamont (dalam gambar), kelihatan rabung seperti yang dilihat di dalam Mare Serenitatis. Rabung(bukit) yang berbentuk bulat membentuk ciri Lamont. Lamont hanya boleh dicerap ketika bulan tidak penuh dan apabila ianya berada di kawasan sempadan gelap dan siang. Ia sebenarnya terbentuk dari 2 bulatan (concentric), yang tidak lengkap.  Namun didalam rajah 3, ianya kelihatan seakan mempunyai 1 bulatan.

Bahagian bertanda h) dan i) pula merupakan sempadan di antara Mare Tranquillitatis dan Mare Nectaris. Sinus Asperitatis adalah kawasan yang dipanggil 'bay' pada bulan memisahkan ke dua-dua mare. Ianya kawasan yang kasar dan di bahagian atas Sinus Asperitatis terdapat kawah Toricelli.Kawah Toricelli pula dapat membantu saya menerangkan ciri kawah Lamont. Kawah Toricelli berada di tengah kawah Toricelli R. Toricelli R adalah ciri yang sama dengan Lamont iaitu 'Ghost Crater'. Kedua-dua ciri Lamont dan Toricelli R dinamakan ghost crater kerana kebanyakan bahagian kawah telah ditimbuni dengan bahan lain seperti lava dan debu dari hentaman meteorite. Apa yang boleh dilihat mungkin puncak tengah dan bentuk bulat kawah yang tidak lengkap.

Rajah 3 merupakan gabungan 2 Mare yang penting dalam misi ekplorasi manusia ke angkasa. Tidak lengkap juga jika saya tidak melabelkan ciri X dan Y. X adalah tapak pendaratan Apollo 17 manaka Y adalah tapak pendaratan Apollo 11. Apollo 11 merupakan misi yang pertama membawa manusia di bulan manakala buat masa ini, Apollo 17 adalah misi terakhir yang membawa manusia di bulan.

Mare Nectaris


Beralih pula kepada ciri yang berada berdekatan dengan mare nectaris. Rajah 4 menunjukan kawasan Mare Nectaris dan label beberapa ciri permukaan bulan yang menarik.
Rajah 4: a) Theophilus b)Cyrillus c) Catharina d) Catharina P e)Rupes Altai f) Piccolomini

3 kawah yang menarik perhatian bukan sahaja melalui teleskop besar bahkan binokular kecil adalah a) Theophilus b) Cyrillus dan c) Catharina. Secara kasarnya sudah pasti kita dapat menjangka bahawa kawah Cyrillus lebih tua dari kawah Theophilus. Di dalam pos Geologi bulan yang lepas saya ada bincangkan perkara ini. Ini kerana kawah Theophilus menindih kawah Cyrillus. Kedua-dua Theophilus dan Cyrillus mempunyai puncak tengah manakala kawah Catharina tidak. Di dalam Catharina kita boleh lihat kawah sekunder yang besar iaitu Catharina P.  

Garisan e adalah Rupes Altai. Rupes Altai adalah ciri yang dipanggil cerun di permukaan bulan. Rupes Altai seakan menghubungkan kawah Catena Albufeda (dalam kawasan gelap) dengan kawah Piccolomini (f). Rupes Altai agak tidak sekata tidak seperti Rupes Recta yang pernah dibicangkan sebelum ini. (rupes recta lurus)

Lembah

Rajah 5: Bahagian bawah bulan yang dipenuhi dengan kawah

Selain dari ciri yang biasa saya lihat dan terangkan diatas. Ciri pada rajah 5 adalah ciri yang belum saya sentuh. Valis Rheita adala lembah pada bulan. Ianya kelihatan memanjang dari tenggara ke barat laut. Ianya terbentuk hasil dari pertindihan beberapa kawah. Saya tidak perasan ciri ini ketika cerapan. Cuma perasan ketika meneliti imej yang dirakam. Agak terburu-buru hendak tamatkan cerapan kali ini. Jadi saya cuma ambil beberapa gambar untuk dikongsikan.

Lain-lain

Rajah 6: Bahagian utara bulan pada 29/01/12. Dua kawah di bahagian atas gambar adalah Atlas (atas) dan Hercules (bawah).






Ciri pada rajah 6 ada pada Rajah 3. Cuma, rajah 6 menghala kearah utara bulan sedikit. Ini memberikan imej kawah Hercules dan Atlas. Perhatikan juga perbezaan dari segi bilangan kawah dalam rajah 5 dan 6.  Kawah pada selatan bulan lebih banyak berbanding di bahagian utara dalam rajah 6.

Kesimpulan

Alhamdulillah cuaca mengizinkan saya untuk mencerap dan berkesempatan untuk menulis log cerapan ini. Saya fikir ini log cerapan yang paling banyak saya tulis menyatakan ciri bulan yang berbeza-beza. Gambar yang menunjukan tapak Apollo 17 dan 11 juga bagi saya antara yang baik pernah saya ambil dengan teknik afocal. Ramai orang bertanya bolehkah kita melihat tapak pendaratan Apollo. Sudah tentu boleh, namun bekas tinggalan dari misi Apollo hanya boleh dirakan dengan satellite di bulan. Post kali ini merupakan penutup untuk bulan Januari. Dalam bulan Januari saya ada menulis cerapan zuhal dan bulan. Walaupun ada fenomena menarik seperti ribut geomagnetik, saya tidak berkesempatan menulis berkenaan fenomena itu. Bulan depan akan saya lebih tumpukan dengan planet Marikh. Saya agak teruja menjelang istiqbal Marikh 2012. Harapnya cuaca cerah dan menyebelahi ahli falak seluruh Malaysia!.

Rujukan:

Virtual Moon Atlas 

Tuesday, 3 January 2012

Mencerap Zuhal & Bulan

Objek: Zuhal
Teleskop: Orion Mak Cass 90mm
Tarikh: 030112
Masa: ~4 a.m (Malaysia)

Zuhal

Dalam post ucapan awal tahun saya ada mention yang cuaca kat Malaysia mendung dan lembab. Ramalan manusia memang tak tentu. Allah dah izinkan langit cerah, 2 malam sudah. Pagi lepas pukul 12 awan menghilang membiarkan bintang di langit jelas kelihatan. Tingkap bilik menghadap timur, jadi saya tidak keluar rumah untuk mencerap. Cuma dari tingkap bilik sahaja.

Sudah memang menjadi impian sejak dulu lagi membeli teleskop untuk mencerap planet marikh. Rasanya planet marikh sinonim dengan rakyat Malaysia kerana ada mitos-mitos moden berkenaan dengan planet itu. Tapi sejak saya beli telekop 2 tahun lalu masih belum mencerap planet marikh. Hari untuk Istiqbal Marikh semakin hampir. Hari ini saya cuba halakan teleskop ke arah marikh. Masih tidak kelihatan apa-apa detail pada planet berkenaan. Apatah lagi saya cuma guna telekop kecil dan eyepiece 25mm.

Tapi Zuhal berbeza, kecil tapi gelang zuhal masih kelihatan jelas. Zuhal berada jauh dari bumi. Menjelang Istiqbal Zuhal nanti pastinya imej Zuhal melalui teleskop lebih baik. Saya masih ingat dalam tahun lepas ada saya tulis laporan cerapan Zuhal. Saya boleh lihat Titan  ketika itu. Dalam cerapan kali ini bulan zuhal tidak kelihatan. Saya akan pastikan sekali lagi malam ini jika langit cerah. Saya rasa mungkin sebab jarak Zuhal dengan bumi sekarang kira-kira 9 AU. Berikut adalah gambar dan video yang saya rakamkan.
Keunikan gelang Zuhal membolehkan peminat astronomi menghabiskan masa berjam-jam untuk mencerapnya planet ciptaan Allah ini. 


Zuhal kelihatan amat kecil dari teleskop 90mm saya.
Namun Gelangnya jelas kelihatan. Galileo adalah orang pertama mencerap Zuhal dengan Teleskop, namun di sebabkan kualiti optik ketika itu agak rendah, Galileo menyangka Zuhal mempunyai telinga!..

Bulan Jam 6 petang.

Langit 6 petang agak cerah. Saya ambil beberapa gambar bulan. Rindu rasanya lama tidak mencerap bulan. Berikut adalah gambar yang saya rakamkan.
Langit masih biru, bulan juga kelihatan biru.  Gambar saya edit dan menjadikan kawah-kawah jelas kelihatan.

Dalam banyak post saya ada menyebut saya gunakan teknik afocal. Jadi dalam post kali ini saya akan tunjukan set up amatur yang saya gunakan. Berikut adalah gambar ketika merakam imej bulan.
Imej bulan yang di rakam oleh kamera melalui eyepiece.

Kamera di tempatkan di eyepiece teleskop menggunakan camera adapter.
Tamat saya menulis post ini, langit kembali mendung. Semoga akan datang langit bertambah cerah terutamanya menjelang Istiqbal Marikh nanti. Sekian

Saturday, 10 December 2011

Fenomena Librasi Bulan (bulan ''bergoyang'')

Post ini merupakan laporan dengan cerapan bulan yang saya lakukan pada 07 November 2011 yang lalu. Saya mempunyai suatu habit yang kurang baik dalam melakukan cerapan. Ini dimana apabila saya tidak menulis apa-apa pemerhatian cerapan ketika cerapan dilakukan, sebaliknya sibuk melakukan rakaman dan menulis laporan setelah tamat cerapan. Pada 07 November lalu, saya sebenarnya melakukan cerapan bulan, namun saya tidak menulis dan meneliti apa-apa dari cerapan 7 November sehinggalah pada penghujung bulan November. Di dalam post ini saya akan mengulas berkenaan cerapan, dan berkenaan dengan fenomena Librasi Bulan ( Lunar Libration)

Laporan 7 November 2011

Objek: Bulan
Cuaca: Berawan
Masa : Jam 2015
Teleskop: Orion XT10

Ada beberapa sebab yang mendorong saya untuk menulis laporan cerapan ini agak lewat. Hal yang demikian kerana cerapan pada 7 November merupakan satu cerapan pendek dan saya tidak berjaya merakam gambar yang berkualiti untuk laporan. Jadi saya rasa itu tidak baik dan saya teliti kembali semua gambar cerapan 7 November pada tarikh 23 November lepas. Sebenarnya saya dapati ada beberapa perkara menarik yang berjaya saya cerap. 

Rupes Liebig

Rajah 1:Mare Humorum dengan ciri lereng, diding bulat dan kawah.




Rajah 2:Gambar berlabel yang menunjukan Rupes Liebig
Di dalam artikle Geologi Bulan melalui teleskop dan binokular saya ada bercakap berkenaan dengan ciri yang di panggil sebagai scarp (lereng). Saya beri contoh Rupes Recta di dalam artikle itu. Pada cerapan kali ini, saya lihat sekali lagi ciri yang sama, kali ini di kawasan mare humorum. Rupes Liebig adalah lereng di bahagian barat mare Humorum. Ianya menjadi seakan sempadan di bahagian barat Mare. Ia berkepanjangan 180km dari utara ke selatan. Peralatan minimum yang boleh digunakan untuk memerhatikan ciri Rupes Liebig adalah teleskop 50mm. Nama Liebig diambil sempena nama Justus Von Liebig ahli kimia pada kurun ke 19 yang bertanggungjawab mencipta kaedah 'silvering method' dalam pembuatan cermin teleskop untuk astronomi( Virtual Moon Atlas).

Selain itu, ciri seperti Gassendi juga dapat dilihat. Ia merupakan diding berbentuk bulat dan ditengahnya terdapat puncak kawah, tetapi berlantai rata. Di dalam nya terdapat jaringan rilles yang di panggil Rimae Gassendi. (S.M Chong, Albert Lim dan P.S Ang, 2002)


Zon Librasi (Libration Zone)


Pada cerapan 7 November 2011 juga saya dapati saya berjaya merakam beberapa Mare yang berada di Zon Librasi, atau lebih mudah di katakan mare yang berada di bahagian belakang bulan (Far Side of the Moon). Di dalam laporan ini saya akan terangkan apakah itu Librasi dan bagaimana ia boleh berlaku. Berikut adalah gambar bulan pada 7 November 2011.

Rajah 3: Bulan pada 7 November. Perhatikan bahagian bawah gambar, terdapat 3 mare yang kelihatan di horizon (timur bulan).



Rajah 4: a) Mare Australe b) Mare Smythii c) Mare Marginis
Rajah 3 dan 4 masing-masing memperlihatkan 3 Mare yang berada pada zon librasi bulan. Mare ini cuma akan kelihatan pada masa-masa tertentu sahaja. Ini kerana ianya berada pada bahagian belakang bulan. Sila lihat Rajah 5 yang di ambil pada 9 April 2011 dimana kedudukan bulan pada orbit tidak membolehkan Maria ini kelihatan.
Rajah 5: Ke tiga tiga maria tidak kelihatan di sebelah kanan (timur) rajah 5 

Justeru, saya merasakan cerapan pada 7 November merupakan suatu perkara yang baru bagi saya. Selain dari Maria di zon librasi, dalam rajah 3, sinar kawah dari tycho dan copernicus amat jelas. kebanyakan kawah pada bulan tidak kelihatan (atau samar-samar) kerana bulan terang pada waktu berkenaan. Ini menyebabkan kontras pada kawah tidak dapat dilihat dan kawah seperti trio dalam rajah 5 tidak kelihatan dalam rajah 3.

Apa itu Librasi?

Librasi datangnya dari perkataan bahasa Inggeris Libration yang di Melayukan/di Indonesiakan. Namun Libration sendiri bukan asalnya perkataan Inggeris tetapi bahasa latin Libra (neraca). Neraca (seperti lambang Parti Barisan Nasional di Malaysia), boleh berayun (atas, bawah, depan dan belakang) pada titik pemegangnya (titik keseimbangan neraca). Justeru, perkataan Libration/Librasi menunjukan sifat bulan yang kelihatan berayun pada titik keseimbangannya apabila dilihat dari Bumi( David P Stern, 2003).

Umum mengetahui permukaan bulan yang menghadap bumi adalah sama setiap masa. Ini kerana tempoh putaran bulan pada paksinya sama dengan tempoh bulan mengorbit Bumi. Walaubagaimana pun mungkin ramai yang menyangka kita cuma boleh melihat 50% dari permukaan bulan. Librasi bulan membolehkan orang di Bumi melihat 59% permukaan Bulan dan cuma 41% sahaja yang tidak dapat di lihat.(Alexander Vandenbohede, 2005) Video di bawah merupakan simulasi librasi bulan yang berlaku sepanjang tahun 2011. 


Video: Simulasi Librasi Bulan sepanjang tahun 2011. Bulan kelihatan 'menari' setempat.(NASA)

Jenis-Jenis Librasi

Terdapat empat jenis librasi yang menyebabkan bulan kelihatan berayun dalam keadaan yang berbeza. Jenis-jenis librasi adalah seperti berikut. ( Alexander Vadenbohede, 2005)

1) Librasi Longitud (Libration in Longitude)

Librasi pada longitud adalah ayunan sisi bulan (seakan menggeleng kepala ke kiri dan ke kanan). Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, tempoh putaran bulan pada paksinya sama dengan temph masa bulan mengorbit bumi (seterusnya menyebabkan permukaan yang sama menghadap bumi).

Walaubagaimana pun, orbit bulan pada bumi bukan nya bulat, tetapi bujur. Justeru, kelajuan bulan mengorbit bumi tidak tetap, kadangkala perlahan dan laju.
Rajah 6: Lakaran orbit bulan serta kedudukan nya pada Apogee dan Perigee


Rajah 7: Kedua-dua kawasan gelap mempunyai luas yang sama. Masa yang di ambil untuk bulan/planet untuk melalui 1-2 dan 3-4 adalah sama.




Menurut hukum kepler ke 2, masa yang diambil oleh planet, untuk melalui kawasan yang sama luas (orbit membujur), adalah sama. Seperti dalam rajah 7, masa yang di ambil oleh planet untuk melalui 1-2 (Luas A) adalah sama dengan masa yang di ambil untuk planet melalui 3-4 (Luas A). Ini akan membuatkan kelajuan (speed) pada 1-2 lebih perlahan daripada kelajuan pada 3-4. (Zelik dan Gregory: 1998).

Ini bermakna, kelajuan bulan adalah lebih perlahan ketika di kedudukan Apogee, dan lebih laju ketika di kedudukan Perigee. Justeru, bahagian timur bulan akan lebih kelihatan ketika Perigee, dan bahagian barat bulan akan 'terpusing' jauh sedikit dari bumi.(Alexander Vadenbohede,2005)

2) Librasi Latitud (Libration in Latitud)


Jikalau librasi pada longitud adalah pergerakan sisi seakan menggeleng, librasi pada latitud pula pergerakan ke atas dan ke bawah seakan mengangguk. Ini bermakna, librasi pada latitud membolehkan pemerhati di bumi memerhati kawasan melepasi kutub utara dan selatan bulan.

Rajah 8: Lakaran kecondongan orbit bulan daripada ecliptic.



Librasi pada latitud di sebabkan oleh orbit bulan condong sebanyak 5 darjah daripada ecliptic. Selain itu, paksi putaran bulan juga condong sebanyak 1.5 darjah daripada orbitnya. Justeru, pada titik tertentu, kita boleh melihat lebih sebanyak 6 darjah melepasi kutub utara dan seterusnya pada titik yang lain, kita boleh melihat lebih daripada kutub selatan seperti lakaran dalam rajah 8.(Alexander Vadenbohede,2005)


3) Librasi Harian (Diurnal Libration)

Librasi ini di sebabkan oleh kesan paralaks. Ianya dipanggil berlaku setiap hari bergantung pada kedudukan pemerhati di Bumi. Librasi ini membolehkan pemerhati melihat lebih sedikit daripada bahagian timur bulan ketika bulan terbit, dan lebih sedikit daripada bahagian barat bulan ketika bulan tenggelam (rajah 9). Librasi jenis ini cuma memberikan kesan sebanyak 1 darjah sahaja kepada permukaan bulan yang boleh dilihat.(Alexander Vadenbohede,2005)
Rajah 9: Lakaran kasar bagi menerangkan librasi harian.
4) Librasi Fizikal (Physical Libration)


Librasi yang disebabkan oleh bentuk fizikal bulan adalah librasi yang tidak dapat dikesan oleh pemerhati di Bumi. Ini kerana librasi fizikal di sebabkan oleh bentuk bulan yang sedikit membonjol ke arah Bumi. Ini menyebabkan putaran bulan pada paksinya sedikit tidak sekata. Namun librasi fizikal amat kecil cuma 0.5'' sahaja dan ianya tidak akan dapat di kesan oleh pemerhati.(Alexander Vadenbohede,2005)

Kesimpulan

Mengapa kita perlu memerhati zon librasi pada bulan, sedangkan permukaan bulan telah dirakam dengan penuh detail oleh Lunar Reconnaissance Orbiter. Persoalan yang sama di ajukan oleh Alexander Vadenbohede di dalam e book nya, Observing the Lunar Libration Zones (yang juga merupakan rujukan utama saya dalam post kali ini). Antara sebab yang di beri adalah tidak ramai yang memerhati kawasan librasi ini, jadi untuk menjadi segelintir di antara peminat hobi astronomi adalah satu kepuasan. Selain itu beliau juga menekan kan beberapa ciri geologi yang menarik berada pada zon librasi.

Di awal e book nya juga, beliau ada memetik kata-kata Harold Hill, '' Many Look, Few Observe''. Ramai yang melihat bulan, sedikit kat memerhatikan bulan. Pada 7 November, saya tidak mencerap/memerhati bulan, tetapi sekadar melihat dan mengambil beberapa gambar. Akan datang saya perlu menjadi pemerhati yang baik.

Rujukan:

1) Alexander Vadenbohede, Observing the Lunar Libration Zones, 2005, m/s1-3, available at <http://users.telenet.be/lunar/jpeg/libratieboek.pdf>, 26 November 2011
2) Dr David P Stern, 4.b Libration of the Moon, 8 September 2003. <http://www-istp.gsfc.nasa.gov/stargaze/Smoon4.htm>, 26 November 2011
3) Michael Zelilik dan Stephen A. Gregory, Introductory Astronomy & Astrophysics 4th Edition, 1998, Thomson Learning, Inc, m/s 7-8
4)S.M Chong, Albert Lim dan P.S Ang, Photographic Atlas of the Moon, 2002, Cambridge University Press, m/s 52
5) Virtual Moon Atlas 5.1


Tuesday, 15 November 2011

Gerhana Bulan Penuh 10 Disember 2011


Pada 10 Disember 2011, akan berlaku peristiwa gerhana bulan penuh dan ianya dapat di saksikan di Malaysia. Gerhana bulan kali ini adalah gerhana bulan ke dua dalam tahun 2011. Sebelum ini gerhana bulan penuh berlaku berlaku pada 15 Jun 2011. Gerhana pada bulan Jun adalah gerhana bulan terpanjang di dalam masa 11 tahun.

Pada 10 Disember, bulan akan memasuki bahagian bawah bayang-bayang bumi (Umbra). Ianya berbeza dengan gerhana yang belaku pada bulan Jun di mana bulan melalui bahagian tengah. Walaupun melalui bahagian bawah bayang-bayang bumi, Gerhana pada 10 Disember ini akan berlangsung selama 51minit 08 saat. Ini lebih pendek berbanding gerhana yang berlaku pada bulan Jun yang berlangsung selama 1 Jam 40 minit 32 saat.

Berikut adalah sedikit maklumat yang dipetik dari laman web Nasa:

Rajah 1: Fasa gerhana bulan, masa serta tempoh ianya berlaku.


Rajah 1 menunjukan fasa gerhana bulan memasuki bayang-bayang bumi. Rajah 1 juga menunjukan apa yang di maksudkan dengan bulan melalui bahagian bawah bayang-bayang. Masa ianya akan berlaku pada Rajah 1 adalah menggunakan UT. Waktu Malaysia adalah UT+8, maka gerhana akan memasuki fasa U2 pada Jam 22:06:16 waktu Malaysia. Walaubagaimanapun, bagi memperlihatkan keseluruhan proses gerhana, adalah lebih balik sekiranya cerapan di jalankan seawal bulan memasuki kawasan bayang-bayang P1 iaitu pada Jam 19:33:22 lebih kurang selepas waktu Maghrib.

Gerhana kali ini boleh dilihat sepenuhnya di Asia dan Australia. Di negara-negara Eropah seperti United Kingdom, ketika bulan terbit pada tarikh berkenaan, gerhana sedang berlangsung. Rajah 2 menunjukan peta di mana gerhana boleh dilihat.
Rajah 2: Keseluruhan Proses Gerhana kelihatan di Malaysia sekiranya cuaca mengizinkan



Fenomena gerhana bulan berlaku apabila bulan melalui bayang-bayang bumi. Ini bermakna, bumi akan berada di antara bulan dan matahari. Tidak seperti gerhana matahari yang cuma boleh dilihat dikawasan tertentu, gerhana bulan penuh boleh dilihat selagi mana bulan kelihatan di kawasan tersebut. Ketika gerhana bulan, keamatan cahaya bulan akan berkurang, dan  ianya bergantung kepada kawasan bayang-bayang bumi yang dilalui oleh bulan. Sebagai contoh sekiranya bulan melalui kawasan tengah bayang-bayang, ada kemungkinan bulan akan terus tidak kelihatan akibat bayang-bayang bumi yang gelap, manakala sekiranya bulan tidak melalui kawasan tengah, warna lain mungkin kelihatan.
Rajah 3: Keamatan cahaya bulan ketika gerhana mengikut skala Danjon

Ahli astronomi Perancis Andre-Louis Danjon memperkenal skala yang di panggil skala Danjon bagi  menganggarkan keamatan cahaya bulan ketika gerhana. Skala berkenaan adalah seperti berikut.

  • Sifar, pada skala danjon, skala sifar adalah gerhana yang sangat gelap. Secara praktikalnya bulan tidak kelihatan. Ianya berlaku apabila bulan betul-betul melalui bahagian tengah Umbra.
  • Satu, Bulan kelihatan berwarna kelabu gelap atau keperangan. Ketika ini, ciri pada permukaan bulan amat sukar dilihat
  • Dua, Bulan berwarna merah gelap/ merah karat, dimana bahagian tengah bayang-bayang gelap dan bahagian luar lebih cerah
  • Tiga, Bulan berwarna merah bata, bayang-bayang bumi berwarna cerah atau kuning
  • Empat, bulan berwana jingga/merah kuprum, bayang-bayang bumi cerah dan kebiruan

Skala diatas boleh digunakan ketika cerapan dilakukan. Nasa menggalakan ahli astronomi untuk melaporkan skala yang di perhatikan ketika gerhana bulan kepada Sky and Telescope dan kepada Dr Richard Keen (richard.keen@colorado.edu).

Bagi melakukan cerapan gerhana bulan, teleskop bersaiz besar dan bermagnifikasi tinggi tidak digalakan. Teleskop bersaiz kecil serta binokular lebih sesuai digunakan kerana bulan dapat dilihat secara menyeluruh ketika gerhana berlaku. Sekiranya tiada peralatan, gerhana bulan juga amat cantik dicerap dengan mata kasar. Bagi yang terlepas mencerap gerhana bulan pada bulan Jun, diharapkan pada gerhana kali ini, langit cerah tanpa awan agar cerapan dapat dilakukan.Sekian

 Selamat menjalankan cerapan gerhana bulan penuh Disember 2011!!!

Kemaskini:
Waktu Gerhana (Malaysia), Rujuk Rajah 1.
P1:  Jam 19:33:32
U1: Jam 20:45:42
U2: Jam 22:06:16
U3 Jam 22:57:24
U4: Jam 00:17:58
P4: Jam 01:30:00

Kemaskini 2

Rujukan:

  1. Nasa Eclipse website
  2. Terence Dickinson, NightWatch, A Practical Guide to viewing the Universe 4th Edition, 2006, Firefly Book Ltd, m/s  152-153