Showing posts with label Afocal. Show all posts
Showing posts with label Afocal. Show all posts

Saturday, 30 March 2013

Jupiter melalui Orion XT4.5 (Video)

Tarikh: 29/03/12
Masa: 7.45-11.00 malam
Tempat: Kolej Matrikulasi Labuan
Cuaca: Mendung
Teleskop: Orion XT4.5

Cerapan kali ini merupakan sambungan kepada cerapan yang lepas. Kali ini saya meneruskan lagi cerapan menggunakan teleskop Dobsonian XT4.5. Teleskop ini terus mencuri hati saya dengan imej yang amat cantik dan tajam. Sekali imbas untuk seorang amaturs seperti saya, kualiti imej yang di tonjolkan tidak kurang dari Teleskop Orion XT10.

Cuaca amat mendung ketika cerapan ini dilakukan. Kedua-dua teleskop Orion XT4.5 dan Orion Apex Mak Cass 90mm menghala kearah planet Jupiter yang cerah di sebalik awan. Walaupun Jupiter telah melepasi kedudukan Istiqbal(opposition) ianya masih mudah di cerap dan cerah dilangit.

Sekali-sekali awan membuka tirai bagi membolehkan kami mengintai kearah Jupiter. Ketika itu teleskop Orion XT4.5 telah siap dengan kamera bagi membolehkan imej dirakam. Alhamdulillah video selama beberapa minit dapat saya rakam. Ini merupakan kali pertama saya mengikuti(track) planet sambil merakam video. Apa yang membolehkan saya melakukan tracking secara manual adalah saiz teleskop yang kecil dan mudah di kendalikan. Berikut adalah video cerapan Jupiter pada malam berkenaan.




Video berkenaan kemudiannya saya proses menggunakan Registax 6. Berikut adalah imej yang dihasilkan setelah diproses:

3 Jalur pada planet Jupiter jelas kelihatan (dari kiri (paling nipis) northern temperate Belt, Northern Equatorial Beln dan Southern Equatorial Belt. 

Imej mungkin boleh di tambahbaik sekiranya cerapan dilakukan ketika Istiqbal

Dengan melakukan beberapa perubahan ketika proses mengedit, imej Io jelas kelihatan disisi jupiter. Io juga dapat dilihat didalam video dengan samar-samar




Penutup

Saya berasa beruntung dapat mencuba teleskop Orion XT4.5 yang dibeli oleh kawan saya. Review yang sangat baik di internet ternyata benar. Teleskop ini amat bermanafaat digunakan oleh peminat-peminat baru dalam bidang ini.

Tambahan

Kesemua bulan Jupiter (yang empat) kelihatan ketika cerapan. Io beada hampir dengan Jupiter. Berikut adalah kedudukan bulan-bulan Jupiter ketika cerapan

Ganymede(Gan), Europa(Eur), Io, dan Callisto(Cal), imej dari perisian Jupiter2




Sekitar cerapan(Update 31/03/12)

Afocal Astrophotography dengan Orion XT4.5. Dalam berjam-jam cerapan, cuma beberapa minit video dirakam, dan beberapa minit cerapan visual dilakukan. Cuaca mendung!

Astrophotography Minimalist , Orion XT4.5 dan Nikon Coolpix L18, Imej Objek sistem suria boleh dirakam dengan kualiti yang baik menggunakan set up ini

Jelas imej Musytari sedang dirakam dengan kamera. Manual Tracking

Meneropong Objek menerusi finderscope sebelum objek boleh dicerap

Sunday, 1 July 2012

Teknik Afocal

Post pada awal bulan Julai ini saya dedikasikan kepada teknik pengambaran yang saya gunakan dalam Astrophotografi iaitu Afocal. Saya pernah membincangkan teknik ini secara ringkas dalam beberapa post saya sebelum ini. Antaranya artikel yang berkaitan adalah tips menceburkan diri dalam hobi astronomi dan di dalam log cerapan saya.

Apa itu teknik Afocal?

Idea di sebalik teknik Afocal sangat mudah. Apabila anda meletakan lensa kamera anda pada eyepiece teleskop dan kemudiannya menekan shutter bagi merakam imej, maka itulah yang dipanggil teknik Afocal. Lensa kamera menggantikan mata manusia pada eyepiece untuk merakam imej yang dilihat melalui eyepiece. 

Objek Cerah Sahaja

Walaupun tekniknya mudah, terdapat beberapa kekangan dalam menggunakan teknik ini. Teknik Afocal tidak boleh digunakan untuk merakam objek-objek yang kurang cerah seperti nebula dan galaksi. Objek kurang cerah memerlukan 'exposure' yang cukup dan tripod yang stabil serta mampu untuk mengikuti objek berkenaan bagi menolak kesan putaran bumi pada paksinya (objek kelihatan bergerak merentasi ruang penglihatan melalui eyepiece kerana putaran bumi pada paksinya).

Justeru teknik ini hanya boleh digunakan bagi merakam objek-objek cerah seperti planet, bulan dan matahari (penapis matahari diperlukan).  Dengan mount yang manual serta sedikit pengalaman dan kaedah cuba jaya, imej bulan dan planet yang memuaskan boleh dirakan dengan teknik ini.  Cara rakaman planet dan bulan berbeza memandangkan planet lebih kecil(kelihatan melalui eyepiece) dan kurang cerah  daripada bulan.

Kestabilan

Kestabilan merupakan faktor penting dalam fotografi. Perkara yang sama juga boleh perlu dititikberatkan dengan astrofotografi menggunakan teknik afocal. Teknik Afocal tanpa adapter (kamera dipegang dengan tangan) mampu dilaksanakan untuk merakam imej bulan. Namun ada perbezaan kualiti imej dengan kamera yang dipasang pada adapter.
Gambar 1: Kamera dipegang dengan tangan pada eyepiece teleskop Sumber: A Darker View
Gambar 2: Kamera digital dipasang pada adapter 
Kualiti Imej

Pada bahagian ini saya akan menyediakan gambar untuk membezakan kualiti imej yang dirakam menggunakan kaedah pada gambar 1 dan 2

Gambar 4 (Laporan Cerapan)
Gambar 5: Bulan pada 28 Jun 2012
Gambar 4 diambil dengan kamera dipegang menggunakan tangan pada teleskop manakala gambar 5 diambil menggunakan kamera yang dipasang pada adapter. Kualiti pada gambar 5 lebih ketara dengan kesan gegaran ketika gambar diambil berjaya dikurangkan. Walaubagaimanapun, jujur perlu  saya katakan gambar 5 telah diubahsuai dengan software komputer bagi meningkatkan kualiti gambar. Namun ianya tidak akan berhasil sekiranya kamera tidak diletakan pada Adapter.

Secara teorinya, agak sukar untuk merakam imej planet tanpa meletakan kamera pada adapter. Kualiti yang dirakam jauh berbeza. Meletakkan kamera pada adapter membolehkan beberapa kaedah dilaksanakan  bagi memastikan gambar yang dirakam mempunyai kualiti yang maksimum. 
Gambar 6: Imej Musytari pertama yang saya rakam (Laporan Cerapan)
Gambar 7: Imej Musytari terbaik pernah saya rakam (Laporan Cerapan)
Gambar 6 merupakan satu satunya gambar Musytari yang saya rakam tanpa adapter (tetapi berjaya rakam awan pada Musytari). Saya anggap saya bernasib baik. Awan khatulistiwa selatan pada Musytari tidak ada dalam gambar 6. Gambar 7 pula merupakan imej musytari terbaik saya. Gambar 7 dirakamkan dengan meletakkan kamera pada adapter. Dengan kaedah tertentu yang akan saya bincangkan pada bahagian seterusnya, saya berjaya merakam bukan sahaja jalur awan, tetapi juga 'brown oval', Great Red Spot (GRS) serta bulan Musytari, Io. Selain dari adapter, Kedudukan Istiqbal Musytari serta cuaca yang baik turut menyumbang kepada kualiti gambar yang dirakam.

Tips-Tips teknik Afocal
  • Adapter: Adapter merupakan aksesori penting dalam menggunakan kaedah afocal dalam fotografi. Harga adapter (atau dipanggil juga digiscoping bracket) jenama Orion adalah £40 di UK atau RM260 di pengedar Orion Malaysia (US lebih murah). 
  • Merakam Bulan: Eksperimen dengan semua setting yang ada pada kamera kompact anda. Jangan guna setting Auto. Pastikan pilih setting yang menawarkan kelajuan shutter yang laju memandangkan bulan objek yang cerah (setting seperti dusk, sunset sesuai). Gambar 5 saya rakam dengan setting copy. Sekiranya anda menggunakan kamera DSLR, gunakan setting manual agar anda boleh menentukan kelajuan shutter dan tempoh exposure. 
  • Merakam Bulan: (dengan adapter), Pastikan jangan terus menekan shutter, sebaliknya gunakan timer supaya kamera boleh berada dalam keadaan stabil ketika gambar dirakam. Sekiranya kamera tidak boleh fokus, gunakan focuser teleskop untuk menfokus gambar (tekan shutter separuh dan ubah focuser teleskop). 
  • Planet: Gunakan fungsi video pada kamera compact anda untuk merakam imej planet. Ini kerana planet lebih kecil (dalam eyepiece) dan kurang cerah berbanding bulan. 
  • Planet: Sekiranya teleskop tidak mempunyai fungsi untuk mengekori pergerakan planet, jangan cuba untuk mengikuti planet secara manual (dengan tangan). Sebaliknya rakam video planet dan biarkan planet bergerak melintasi 'field of view'. 
  • Planet: Setelah video dirakam, imej planet boleh dihasilkan dengan menggunakan perisian percuma seperti Registax. Gambar 7 merupakan imej yang dihasilkan dengan kaedah yang sama. Video asal gambar 7 boleh didapati di link youtube disebelah kanan blog ini.
Selain daripada itu, imej yang dirakam perlulah di ubahsuai menggunakan perisian komputer bagi menaikan ciri pada planet dan bulan. 

Selain Astrofotografi

Selain astrofotografi, teknik afocal juga boleh digunakan bagi merakam objek-objek di darat pada waktu siang. Kamera boleh diletakan pada eyepiece teleskop yang sesuai untuk aktiviti mengintai flora dan fauna. Walaupun teleskop reflector (pemantul) tidak sesuai digunakan untuk melihat burung. Namun saya pernah menggunakan nya untuk aktiviti berkenaan.
Gambar 8 : Blue Tailed Bee Eater menerusi teleskop Mak-Cass 90mm dirakam dengan teknik afocal (Laporan Aktiviti)


Gambar 8 menunjukan imej burung Blue Tailed Bee Eater yang saya rakamkan di kawasan ampang dengan menggunakan teknik afocal. Selain itu saya juga mempunyai mikroskop poket dan beberapa imej menerusi mikroskop juga boleh dirakam dengan teknik afocal. Berikut adalah imej yang saya maksudkan
Gambar 9: Sel Bawang
Gambar 10:  Dua butir gula dibawah mikroskop poket saya (Laporan Aktiviti 9 dan 10)
Penutup

Teknik afocal menawarkan kaedah murah bagi peminat astronomi yang mempunyai bajet yang kecil. Walaupun mempunyai kekangan (tidak dapat merakam objek malap seperti nebula dan bintang) namun kemampuan teknik afocal merakam imej bulan serta planet sudah cukup memberikan kepuasan kepada peminat astronomi. Teknik afocal juga boleh digunakan untuk aktiviti bukan astronomi seperti memerhati unggas dan fauna di Malaysia yang sememangnya kaya habitat hidupan liar. Dengan kesabaran, dan kaedah yang betul, teknik afocal menjanjikan pulangan yang tidak ternilai dari segi ekonomi dan kepuasan kepada peminat astronomi. Sekian