Sunday, 29 January 2012

Mencerap Bulan

Objek : Bulan
Masa: 1950-2110 
Tarikh: 29/01/2012
Tempat: Jasin Melaka, Malaysia

Sudah lama saya nantikan langit cerah ketika bulan tidak penuh. Ini kerana banyak kawah dan ciri bulan dapat dilihat berbanding ketika bulan penuh. Bulan pada malam cerapan dilakukan adalah 35% penuh. Jadi banyak bentuk permukaan bulan yang dapat saya lihat ketika ini.

Walaupun eyepiece berkuasa tinggi memberikan magnifikasi yang hebat dan memberikan kepuasan dalam mencerap ciri bulan secara dekat. Kadang-kadang, eyepiece berkuasa sederhana memberikan kepuasan kerana seluruh permukaan bulan dapat dilihat. Perhatikan imej yang dirakam menggunakan eyepiece 25mm.
Rajah 1: Bulan dan kegelapan malam. Lebih banyak kawah yang boleh dilihat ketika ini. Terutamanya di kawasan sempadan gelap dan cerah di bulan.

Berikut adalah gambar berlabel yang menujukan maria yang boleh dilihat di dalam rajah 1.
Rajah 2: Maria yang dapat dilihat dari rajah 1. Kebanyakan Maria ini juga boleh dilihat dengan mata kasar. Kawah Thophilus, Cyrillus, dan Catharina menjadi kawah yang paling menonjol dalam cerapan kali ini.





 Mare Serenitatis dan Mare Tranquillitatis (Sea of Serenity dan Sea of Tranquillity)

Imej yang seterusnya adalah imej yang di zoom kepada Sea of Serenity dan Tranquility. Walaupun imej yang saya post kan ini tidak sebaik imej yang dilihat melalui teleskop (dengan mata), ada beberapa ciri pada rajah 3 yang boleh dibincangkan.
Rajah 3: A) Mare Serinitatis B) Mare Tranquillitatis a)Posidonius b) Dorsa Smirnov c)Mons Argaeus d)Dawes e)Plinius f)Ross g)Lamont h)Torricelli i) Sinus Asperitatis j) Theophilus X) Apollo 17 Y) Apollo 11

Perkara yang pertama menarik perhatian saya semasa saya mula menghalakan teleskop ke arah Mare Serinitatis dan Mare Tranquillitatis adalah kedutan (wrinkle) pada permukaan bulan. Ini pada rajah 3 saya labelkan dengan label b). Terdapat juga ciri b pada Mare Tranquillitatis, namun saya gagal melabelkan nya. Dorsa Smirnov adalah rabung (bukit/gunung) yang kelihatan berkedut pada permukaan bulan. Ketika dilihat dengan mata melalui teleskop, ianya amat jelas, lebih jelas dari rajah 3. Ciri ini merupakan ciri utama yang boleh dilihat pada Mare Serinitatis. Ianya boleh dicerap 5 hari selepas bulan baru (anak bulan) atau 4 hari selepas bulan penuh. 

Selain itu kawah (dataran berdiding) yang saya label sebagai a) turut menarik perhatian saya. Ia adalah Posidonius. Kelihatan jelas lantai kawah yang rata dan dipenuhi dengan kawah-kawah sekunder. Di kawasan sempadan antara Mare Serenitatis dan Mare Tranquillitatis, ciri bertanda c) adalah gunung yang bernama Mons Argaeus. Mons Argaeus dianggarkan berketinggian 7600 kaki, lebih kurang separuh dari ketinggian Gunung Kinabalu (Sabah) yang berketinggian 13435 kaki.

Beralih kepada Mare Tranquillitatis, terdapat 3 kawah yang saya tandakan sebagai d) e) dan f). Kawah-kawah berkenaan adalah Dawes, Plinius dan Ross. Terdapat juga kawah-kawah yang lebih kecil tetapi tidak saya labelkan. Saya ingin memberi tumpuan kepada ciri bertanda g) yang bernama Lamont. Barangkali melalui gambar tidak pasti apakah yang saya tandakan sebagai g). Lamont ada bentuk bulat yang agak kabur (ghost formation) disebelah kiri tanda g).  Lamont merupakan kawah yang agak tua, di bahagian atas/tepi Lamont (dalam gambar), kelihatan rabung seperti yang dilihat di dalam Mare Serenitatis. Rabung(bukit) yang berbentuk bulat membentuk ciri Lamont. Lamont hanya boleh dicerap ketika bulan tidak penuh dan apabila ianya berada di kawasan sempadan gelap dan siang. Ia sebenarnya terbentuk dari 2 bulatan (concentric), yang tidak lengkap.  Namun didalam rajah 3, ianya kelihatan seakan mempunyai 1 bulatan.

Bahagian bertanda h) dan i) pula merupakan sempadan di antara Mare Tranquillitatis dan Mare Nectaris. Sinus Asperitatis adalah kawasan yang dipanggil 'bay' pada bulan memisahkan ke dua-dua mare. Ianya kawasan yang kasar dan di bahagian atas Sinus Asperitatis terdapat kawah Toricelli.Kawah Toricelli pula dapat membantu saya menerangkan ciri kawah Lamont. Kawah Toricelli berada di tengah kawah Toricelli R. Toricelli R adalah ciri yang sama dengan Lamont iaitu 'Ghost Crater'. Kedua-dua ciri Lamont dan Toricelli R dinamakan ghost crater kerana kebanyakan bahagian kawah telah ditimbuni dengan bahan lain seperti lava dan debu dari hentaman meteorite. Apa yang boleh dilihat mungkin puncak tengah dan bentuk bulat kawah yang tidak lengkap.

Rajah 3 merupakan gabungan 2 Mare yang penting dalam misi ekplorasi manusia ke angkasa. Tidak lengkap juga jika saya tidak melabelkan ciri X dan Y. X adalah tapak pendaratan Apollo 17 manaka Y adalah tapak pendaratan Apollo 11. Apollo 11 merupakan misi yang pertama membawa manusia di bulan manakala buat masa ini, Apollo 17 adalah misi terakhir yang membawa manusia di bulan.

Mare Nectaris


Beralih pula kepada ciri yang berada berdekatan dengan mare nectaris. Rajah 4 menunjukan kawasan Mare Nectaris dan label beberapa ciri permukaan bulan yang menarik.
Rajah 4: a) Theophilus b)Cyrillus c) Catharina d) Catharina P e)Rupes Altai f) Piccolomini

3 kawah yang menarik perhatian bukan sahaja melalui teleskop besar bahkan binokular kecil adalah a) Theophilus b) Cyrillus dan c) Catharina. Secara kasarnya sudah pasti kita dapat menjangka bahawa kawah Cyrillus lebih tua dari kawah Theophilus. Di dalam pos Geologi bulan yang lepas saya ada bincangkan perkara ini. Ini kerana kawah Theophilus menindih kawah Cyrillus. Kedua-dua Theophilus dan Cyrillus mempunyai puncak tengah manakala kawah Catharina tidak. Di dalam Catharina kita boleh lihat kawah sekunder yang besar iaitu Catharina P.  

Garisan e adalah Rupes Altai. Rupes Altai adalah ciri yang dipanggil cerun di permukaan bulan. Rupes Altai seakan menghubungkan kawah Catena Albufeda (dalam kawasan gelap) dengan kawah Piccolomini (f). Rupes Altai agak tidak sekata tidak seperti Rupes Recta yang pernah dibicangkan sebelum ini. (rupes recta lurus)

Lembah

Rajah 5: Bahagian bawah bulan yang dipenuhi dengan kawah

Selain dari ciri yang biasa saya lihat dan terangkan diatas. Ciri pada rajah 5 adalah ciri yang belum saya sentuh. Valis Rheita adala lembah pada bulan. Ianya kelihatan memanjang dari tenggara ke barat laut. Ianya terbentuk hasil dari pertindihan beberapa kawah. Saya tidak perasan ciri ini ketika cerapan. Cuma perasan ketika meneliti imej yang dirakam. Agak terburu-buru hendak tamatkan cerapan kali ini. Jadi saya cuma ambil beberapa gambar untuk dikongsikan.

Lain-lain

Rajah 6: Bahagian utara bulan pada 29/01/12. Dua kawah di bahagian atas gambar adalah Atlas (atas) dan Hercules (bawah).






Ciri pada rajah 6 ada pada Rajah 3. Cuma, rajah 6 menghala kearah utara bulan sedikit. Ini memberikan imej kawah Hercules dan Atlas. Perhatikan juga perbezaan dari segi bilangan kawah dalam rajah 5 dan 6.  Kawah pada selatan bulan lebih banyak berbanding di bahagian utara dalam rajah 6.

Kesimpulan

Alhamdulillah cuaca mengizinkan saya untuk mencerap dan berkesempatan untuk menulis log cerapan ini. Saya fikir ini log cerapan yang paling banyak saya tulis menyatakan ciri bulan yang berbeza-beza. Gambar yang menunjukan tapak Apollo 17 dan 11 juga bagi saya antara yang baik pernah saya ambil dengan teknik afocal. Ramai orang bertanya bolehkah kita melihat tapak pendaratan Apollo. Sudah tentu boleh, namun bekas tinggalan dari misi Apollo hanya boleh dirakan dengan satellite di bulan. Post kali ini merupakan penutup untuk bulan Januari. Dalam bulan Januari saya ada menulis cerapan zuhal dan bulan. Walaupun ada fenomena menarik seperti ribut geomagnetik, saya tidak berkesempatan menulis berkenaan fenomena itu. Bulan depan akan saya lebih tumpukan dengan planet Marikh. Saya agak teruja menjelang istiqbal Marikh 2012. Harapnya cuaca cerah dan menyebelahi ahli falak seluruh Malaysia!.

Rujukan:

Virtual Moon Atlas 

No comments:

Post a Comment