Tuesday, 16 August 2011

Ulasan dan Ringkasan 'Memoir Shamsiah Fakeh dari AWAS ke Rejimen ke-10'


Mengapa saya membaca memoir ini?

Shamsiah Fakeh, kali pertama saya mendengar nama itu adalah ketika saya berada di dalam tingkatan 3. Matapelajaran sejarah di dalam bab berkaitan kemerdekaan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah. Ketika itu akses kepada maklumat di dalam internet sangat terhad, saya tidak terfikir untuk mendalami hidup Shamsiah Fakeh. Kali kedua mendengar nama ini adalah ketika di Tingkatan 5, juga di dalam bab berkaitan kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada kali kedua, kami pelajar-pelajar sering bertanya perkara yang tidak ada di dalam silibus ketika itu, siapa Shamsiah Fakeh? Kenapa beliau menyertai rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya? sehingga perbincangan kami membawa kepada suatu kabar, di mana cerita dari mulut ke mulut mengatakan Shamsiah Fakeh membunuh anaknya dengan menghentaknya ke batu untuk mengelak dari di tangkap tentera kerajaan.

Jawapan terhadap hidup Shamsiah Fakeh tidak saya dapati sepanjang hidup saya di sekolah, bahkan semakin banyak soalan bertalu-talu menyelinap di dalam minda saya. Mengapa perempuan melayu mahu masuk hutan menentang British? Bukankan pada zaman Shamsiah Fakeh perempuan kebanyakan nya menjadi suri rumah dan duduk di ceruk dapur? Apa yang menyebabkan beliau meninggalkan hidup sebagai orang biasa lalu menjadi 'pengganas' menentang British? Bagaimana orang melayu Islam boleh terlibat dengan kegiatan pengganas komunis??

Sebagai seorang murid di sekolah berasrama, adalah saya lebih sibuk mengulangkaji untuk peperiksaan, di selang seli dengan aktiviti kokurilum untuk mengayakan sijil bagi meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Tambahan pula jurusan sains sosial bukan suatu jurusan yang popular di kalangan pelajar sains tulen di sekolah menengah. Saya lupakan Shamsiah Fakeh untuk beberapa ketika sekurang-kurang nya hingga pada tahun 2008.

Oktober 2008 berita Shamsiah Fakeh meninggal dunia sampai ke perhatian saya, ketika itu saya berada di Birmingham. Akses kepada internet sangat mudah, justeru melaui internet juga saya mendapat tahu bahawa Universiti Kebangsaan Malaysia ada menerbitkan memoir Shamsiah Fakeh. Dari itu saya berhasrat untuk membeli memoir berkenaan. Hasrat itu cuma tertunai pada tahun ini, di sebabkan saya jarang melawat kedai buku di Malaysia sepanjang pengajian saya di UK. Ketika melawat kedai buku baru-baru ini, saya terjumpa dengan memoir ini, versi bahasa Inggeris, dan saya beli dengan harga RM30. Memoir ini tidak panjang, saya habiskan dalam masa tidak sampai sehari, betapa saya harap memoir ini lebih panjang dari yang sepatutnya. Namun, ia lebih baik dari tidak mendengar apa-apa dari tinta pejuang bernama Shamsiah Fakeh.

Terjawabkah persoalan tentang Shamsiah Fakeh??

Ya, dengan membaca memoir beliau, sedikit sebanyak persoalan saya terjawab. Dengan membaca memoir ini juga sedikit sebanyak menjadi ulangkaji saya terhadap apa yang saya pelajari suatu ketika dulu. Minda saya mula membahagi-bahagi maklumat yang pernah saya dapati dari buku teks sekolah, serta maklumat-maklumat baru dan juga jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul ketika belajar di sekolah menengah dulu.

Namun tidak saya nafikan, timbul persoalan-persoalan baru tentang perjuangan nasionalis berhaluan kiri. Nampaknya persoalan tidak akan berhenti dari menerjah minda saya setiap kali membaca kisah lampau negara kita.

Penglibatan Shamsiah Fakeh di dalam politik
Shamsiah Fakeh ketika berumur 13 tahun bersama dengan ibunya Sa'amah  Nonggok dan adiknya Ramli sebelum beliau berangkat ke Sumatera untuk belajar di Sekolah Agama Rahmah Al Yunusiah


Didalam memoir beliau, beliau tuliskan latar belakang kehidupan beliau sebagai anak remaja. Jelas Shamsiah Fakeh bukan dari kalangan orang berpendidikan tinggi. Beliau tidak mempunyai kesedaran politik sehinggalah jepun meninggalkan tanah melayu. Tatkala ini orang melayu sedar bahawa Tanah Melayu perlu merdeka dari semua bentuk penjajahan.

Sebelum bergiat aktif dalam politik, beliau mengalami penceraian sebanyak dua kali. Penceraian yang di lakukan tidak mengikut lunas agama menjadikan beliau merasakan kaum wanita sering di tekan oleh kaum lelaki. Dalam perjuangan beliau dalam sayap wanita Parti Kebangsaan Melayu Malaya (kemudiannya di namakan Angkatan Wanita Sedar, AWAS), beliau sering memberi ucapan bagi menaikan semangat kaum wanita di zaman beliau. Bagi beliau, bebas dari penjajahan British merupakan titik tolak wanita bebas dari penindasan lelaki.(m/s 29)

Penglibatan beliau sebagai Ketua AWAS mendapat restu ayahanda beliau yang juga di katakan mempunyai semangat nasionalis yang tinggi. Beliau mengantikan Aishah Ghani (Tan Sri Datin Paduka Seri) yang meninggalkan AWAS bagi menyertai UMNO. (m/s13-19)

Perlu saya nyatakan di sini, sebelum beliau bergiat aktif di dalam PKMM, beliau juga banyak menghadiri perjumpaan-perjumpaan yang di anjurkan oleh UMNO(m/s 13). Betapa ketika itu semangat beliau untuk membebaskan tanah air amat tinggi. Walaupun menurut beliau, beliau tidak berpengetahuan di dalam ideologi, hanya dengan semangat nasionalis itu beliau berjaya memimpin AWAS dalam usaha memerdekakan Tanah Melayu.(m/s 25)

Bagaimana Beliau Menyertai Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya.

Sebelum 1948

Di sekita tahun 1945 dan 1946 Tanah Melayu menyaksikan kelahiran banyak parti-parti politik yang di bakar dengan semangat anti colonial yang tinggi. Antara parti politik melayu yang lahir ketika itu adalah Persatuan Kebangsaan Melayu Muda (PKMM), United Malays National Organisation (UMNO) atau singkatan melayunya PEKEMBAR, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) merupakan suatu sayap PKMM.

PKMM di kira sebagai parti berhaluan kiri. Ahlinya sering di tangkap, di penjara dan di hukum gantung oleh British, manakala UMNO pula tidak pernah di usik(m/s 15). Parti-parti berhaluan kiri melayu kemudiannya menubuhkan suatu pakatan di namakan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA).

PUTERA terdiri dari AWAS, API, GERAM (Gerakan Angkatan Muda Singapura) dan BATAS (Barisan Tani Se Malaya) dan lain-lain. Manakala bagi parti-parti bukan Melayu (kecuali PKM) yang tidak mahu saya senarikan disini menubuhkan pakatan yang di panggil All-Malaya Council for Joint Action (AMCJA).

PUTERA dan AMCJA bergabung menubuhkan pertubuhan PUTERA-AMCJA. Pemimpin AMCJA ketika itu adalah Tan Cheng Lock (kemudiannya TUN) manakala PUTERA di ketuai oleh Ishak Haji Muhammad (Pak Sako).
Keratan artikel dari Majalah Kenchana bil 12 1 November 1947 berkenaan dengan Hartal

Di pendekan cerita, PUTERA-AMCJA mengemukan perlembagaan rakyat, namun pihak British menolak perlembagaan tersebut dan hanya berkerjasama dengan UMNO dan wakil raja-raja melayu. Ketika itu parti-parti berhaluan kiri merasakan jalan diplomasi telah di tutup oleh pihak British. Mereka melancarkan mogok di seluruh tanah melayu (Hartal) pada 20 Oktober 1947. Menurut Shamsiah di dalam memoir nya, mogok itu berjalan lancar dan berjaya merencatkan Ekonomi (m/s 34). Shamsiah Fakeh juga terlibat dalam Hartal sebagai ahli PUTERA yang mana beliau mengetuai AWAS.

Darurat 1948

Sebelum darurat di isytiharkan, parti-parti berhaluan kiri bebas bergerak menyampaikan ideologi mereka. Ini termasuk Parti Komunis Malaya (PKM). Di dalam kongres-kongres parti berhaluan kiri, wakil PKM akan memberikan ucapan. Pada Shamsiah Fakeh, tiada apa yang pelik mengenai PKM. Mereka kelihatan bersemangat  dalam menuntut kemerdekaan negara. Menurut beliau juga, ketika itu PKM tidak di gembar-gemburkan sebagai jahat dan pengganas. (m/s 39).

Pengisytiharan darurat oleh British telah mengakibatkan semua parti berhaluan kiri di haramkan. Ini termasuk semua parti-parti komponen PUTERA-AMCJA. Sejurus sebelum Darurat Di isytiharkan, Shamsiah Fakeh berpindah ke Lubuk Kawah di Pahang. Di situ lah Wahi Anwar (Ahli PKMM pusat) meyakinkan Shamsiah untuk turut serta dalam PKM. Shamsiah berasa tiada apa-apa yang pelik dengan PKM ketika itu memandangkan mereka berjuang menentang British. Malahan Shamsiah mengalu-alukan keputusan PKM untuk menerimanya sebagai ahli atas sebab yang sama.(m/s 37-39)

Walaupun pada awal penglibatannya dalam politik, Shamsiah Fakeh menghadiri banyak perjumpaan-perjumpaan UMNO, Shamsiah memilih untuk berada di dalam PKMM, parti berhaluan kiri kerana pada beliau PKMM lebih progresif dan anti colonialis.(m/s 15) Shamsiah Fakeh mendapat latihan gerila di Pahang dan pada 1949, Rejimen ke-10 PKM di tubuhkan. Rejimen ke-10 di anggotai oleh orang Melayu dalam PKM.

Menolak Dakwaan Jahat terhadap dirinya.
Potrait Shamsiah Fakeh yang di ambil pada tahun 1994. Gambar kecil, potrait yang di ambil pada tahun 1960
Sebelum beliau menulis memoir ini, banyak cerita-cerita tentang beliau menitip di dada akhbar serta dari mulut ke mulut. Di dalam prakata memoir ini beliau berharap penerangan beliau dapat menjawab beberapa tuduhan jahat terhadap dirinya.

1) Shamsiah membunuh anaknya untuk lari dari tentera kerajaan dengan:

a) menghanyutkan anaknya kesungai (tuduhan Musa Ahmad)
b) menghentak anaknya ke batu.(tuduhan Syed Alwi)

 Di katakan juga beliau berbuat demikian kerana tertekan suaminya menyerah diri kepada tentera kerajaan. Tuduhan berkenaan di lemparkan oleh ahli PKM yang menyerah diri kepada kerajaan di dalam temuramah dengan RTM.

Shamsiah menyifatkan tuduhan itu amat jahat dan di luar batasan. Menurut Shamsiah, beliau tidak membunuh anaknya. Sebaliknya beberapa ahli PKM, meyakinkan beliau untuk menyerahkan anaknya pada penduduk kampung memandangkan keadaan perang tidak membolehkan beliau bergerak dengan bayinya. Shamsiah menyerahkan bayi itu dengan rasa sedih dan berat hati. Bayi beliau tidak di serah kan kepada penduduk kampung tempatan sebaliknya dibunuh oleh 3 orang anggota PKM. Hanya selepas 3 tahun, Shamsiah mendapat berita dari ahli tertinggi Rejimen ke 10, Musa Ahmad tentang kejadian sebenar.

Lebih menyedihkan lagi, Musa Ahmad lah yang memberi tahu wartawan RTM, bahawa Shamsiah Fakeh membaling anak nya kesungai. Di dalam memoir beliau, shamsiah menceritakan bagaimana beliau menyelamatkan bayi beliau ketika di serang oleh tentera kerajaan, menolak sama sekali tuduhan bahawa beliau seorang pembunuh.(m/s 52-59)

2) Syamsiah pembunuh kejam dan mempunyai ilmu kebal.

Syamsiah berkata, tiada sebab untuk pasukan polis berdendam terhadap dirinya. Walaupun beliau dibekalkan dengan pistol dan bom tangan ketika berada dihutan, beliau tidak pernah menggunakan senjata itu untuk membunuh pasukan tentera kerajaan.  Senjata berkenaan di berikan kepadanya sebagai penghormatan terhadap beliau sebagai ketua AWAS. Sebaliknya menurut beliau, beliaulah yang di hujani peluru tentera kerajaan.

Beliau juga menolak cerita bahawa beliau mempunyai ilmu kebal.  Beliau mendakwa beliau cuma hamba Allah dan tiada apa-apa kekebalan pada beliau. Hanya Allah yang memanjangkan umur beliau sehingga beliau dapat menulis memoir ini. (m/s 116)

Hati saya berasa sayu apabila membaca bahagian yang menceritakan bagaimana beliau menyerahkan anak beliau kepada anggota PKM untuk di serahkan kepada penduduk tempatan. Sebelum perkara itu berlaku, pihak tentera memburu beliau dan beliau terpaksa melarikan diri bersama bayi beliau untuk mengelak daripada di tangkap. Sungguh cekal semangat beliau, bukan sahaja sebagai pejuang, malah sebagai seorang ibu dan wanita melayu.


Mempertahankan perjuangan di dalam hutan menentang British.

Di dalam memoir beliau, beliau banyak mempertahankan keputusan beliau masuk ke hutan menentang British. Beliau mempertahan PKM untuk mengangkat senjata menentang British. Beliau menyifatkan British adalam pengganas sebenar. Bercakap mengenai pertumpahan darah dengan askar yang terdiri dari orang Malaya, Shamsiah berkata

'' Di dalam perang, sama ada adil atau tidak, pertumpahan darah tidak dapat di elak kan. Sesiapa yang berjuang di samping penjajah, pasti menerima tentangan. Ianya salah mereka untuk berpihak kepada penjajah''  m/s 47 ............(petikan bahasa inggeris yang saya terjemahkan kedalam bahasa melayu, ada kemungkinan tidak sama dengan memoir asal Shamsiah dalam bahasa melayu) 

Di dalam memoir nya juga, Shamsiah ada memetik beberapa kali buku '25 tahun merdeka' karangan Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris seorang veteran di dalam UMNO. Tan Sri Abdul Samad Idris ada mempertahankan orang-orang melayu yang memberontak di hutan menentang British. Berikut adalah terjemahan dari petikan di dalam buku beliau:

''Jangan fikir pemberontakan oleh orang-orang melayu di Jenderam, Selangor, di Termeloh Pahang dan di tempat lain, yang mana mereka berkerjasama dengan pengganas komunis adalah kerana pemahaman mereka yang kuat terhadap ideologi komunis. Adalah sangat jelas melalui analisis sejarah bahawa mereka adalah wira nasionalis melayu. Mereka memilih jalan pemberontakan semata-mata hanya untuk mendapat kemerdekaan'' -25 Tahun Merdeka dipetik dan diterjemah dari memoir Shamsiah Fakeh m/s 49-

Shamsiah memetik lagi tulisan veteran UMNO berkenaan.

''Sebab lain yang memaksa British untuk berlembut dengan UMNO adalah pemberontakan bersenjata yang di lancarkan oleh pengganas komunis di hutan''-25 Tahun merdeka di petik dan di terjemah dari memoir Shamsiah Fakeh m/s 49-

Shamsiah sebelum itu menimbulkan persoalan kepada pembaca, adakah penjajah akan dengan mudah memberi kemerdekaan hanya melalui kompromi? Agak berat untuk hati ini menjawab ya. 

Shamsiah Fakeh juga ada memetik kata-kata Tun Dr Ismail dari buku 25 Tahun Merdeka. katanya

'' Setiap nasionalis, berhaluan kiri atau kanan,mereka telah bersama-sama menyumbang kepada perjuangan menuntut kemerdekaan yang di lakukan oleh UMNO''-25 Tahun Merdeka dipetik dan di terjemah dari memoir Shamsiah Fakeh m/s 71-

Kesimpulan

Memoir ini merakam kan suatu peristiwa sejarah dari sudut yang jarang di dengar oleh masyarakat. Apa yang saya tulis cuma ringkasan dari begitu banyak maklumat yang beliau tuliskan sebelum beliau meninggal dunia.

Shamsiah secara keseluruhan mempertahankan pemberontakan parti-parti berhaluan kiri tanpa mengecam pergerakan nasionalis UMNO secara ekstrim.  Beliau banyak memetik buku veteran UMNO Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris dalam usaha menerangkan tentang perjuangan beliau kepada pembaca.

Hal yang demikian membuatkan saya mahu mencari buku 25 Tahun merdeka hasil tulisan veteran UMNO berkenaan. Tambahan pula di dalam suatu bahagian dalam memoir Shamsiah, beliau memetik cubaan pemberontakan yang mahu di lancarkan oleh pemuda UMNO yang di panggil Barisan 33. Saya mahu mendapat maklumat lanjut berkenaan dengan Barisan 33 yang mana antara pemimpin yang terlibat adalah ayahanda kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sikap Shamsiah yang tidak mengecam perjuangan UMNO merupakan suatu perkara yang patut di puji (lihat nota 1). Beliau lebih menumpukan kepada tujuan utama perjuangan masing-masing iaitu menuntut kemerdekaan.

Hal ini berbeza dengan sesetengah golongan muda masakini yang tidak pernah merasa sepak terajang penjajah mahupun komunis. Ada yang senang lenang melabel nasionalis UMNO sebagai anjing penjajah dan ada yang senang lenang melabel perjuangan berhaluan kiri sebagai 'barua komunis' tanpa menilai fakta-fakta sejarah di sebalik perjuangan mereka.

Tidakkah nasionalis kanan dan kiri pada akhir hidup mereka menghormati perjuangan antara satu sama lain?  Adalah amat jijik bagi insan yang tidak merasai perjuangan menuntut kemerdekaan untuk melabel mana-mana pihak dengan label yang tidak baik, hanya kerana sentimen politik semasa.

Bangsa kita kadang-kadang terlalu banyak bercakap dan kurang membaca. Barangkali dengan membaca memoir nasionalis-nasionalis berhaluan kanan dan kiri dapat kita meningkatkan pemahaman terhadap perjuangan mereka. Saya sendiri masih belum banyak membaca, sedikit-sedikit saya sematkan azam sempena sambutan kemerdekaan ini untuk membaca lebih banyak buku sejarah negara kita. 

Secara keseluruhan, memoir Shamsiah Fakeh dapat menjawab beberapa persoalan saya. Ianya merupakan suatu bacaan yang baik untuk kita semua sebagai tambahan tentang matapelajaran sejarah yang kita pelajari di sekolah. Selain itu, memoir ini juga boleh di jadikan sebagai teladan kepada wanita-wanita, mahasiswi-mahasiswi, aktivis-aktivis kerana memuatkan kisah seorang wanita berjiwa cekal bernama Shamsiah Fakeh.

Saya membaca memoir ini tanpa membuat penilaian betul atau salah perjuangan beliau. Sebagai generasi yang tidak merasa perit jerih penjajahan, bukan tugas saya untuk menilai perjuangan mereka. Tetapi, sebagaimana yang di kata kan oleh Shamsiah di dalam prakata memoir beliau, 'yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan'. Dengan membaca memoir nasionalis ini, harapnya rakyat malaysia dapat menghargai kemerdekaan yang di kecapi sekarang.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan
ke-54!
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Rujukan:

The Memoirs of Shamsiah Fakeh from AWAS to 10th Regiment
ISBN: 9789839048772
Author: Shamsiah Fakeh
Publisher: SIRD
Year: 2009 


Nota

1) ketika di temuramah oleh wartawan mastika, wartawan bertanya soalan yang berbunyi:

 Apa pandangan terhadap Aishah Ghani? Aisyah pernah berkata Shamsiah terdorong masuk PKM dan tidak mengkaji hal-hal di belakang tabir(AWAS di peralat komunis)

Shamsiah Fakeh Menjawab:

 "Aisyah dengan aku bagai adik beradik, dia seorang tokoh perjuangan kemerdekaan, aku gambira dan bersyukur dengan kejayaannya! Cakap Aisyah mungkin betul separuh, tapi kalau pada masa itu aku pintar dalam memilih untuk berjuang di mana hidup aku akan senang lenang dan tiada risiko, maka aku bukan Shamsiah!"

Sumber


Saturday, 6 August 2011

Video Kapal Angkasa Juno berlepas ke Musytari 05/08/11

Semalam, kapal angkasa pertama menggunakan tenaga suria (untuk misi yang jauh dari matahari) berlepas dalam misi untuk mengkasi planet Musytari, Planet terbesar dalam sistem suria yang juga merupakan target kegemaran ahli astronomi amatur seperti saya. Kapal yang berharga 1.1 billion USD di jangka tiba di Jupiter pada Julai 2016. 

Juno di lancarkan di atas roket Atlas 5 dari Stesyen Udara Cape Caneveral tepat jam 12:25 waktu tempatan. Ini selepas beberapa minit tertangguh akibat masalah kebocoran helium di tapak pelancaran. 

Di sebabkan cahaya matahari di Musytari cuma 1/25 keamatan dari apa yang kita terima di bumi, Juno akan sentiasa menghadap cahaya matahari ketika mengorbit planet itu kelak (rujuk video 5). Gambar di bawah adalah gambar kapal angkasa Juno untuk memberi gambaran saiz kapal angkasa berkenaan.

Dilengkapi dengan sensor bagi mengkaji komposisi planet Musytari serta bagi mengesahkan geografi planet samada ianya berbatu, atau pun gas. Selain itu saintis juga mahu mengukur jumlah molekul air di dalam atmospfera Musytari sebagai petunjuk jumlah oksigen di planet itu ketika sistem suria mula-mula terbentuk.

Secara keseluruhan misi ini bertujuan untuk mengkaji asal usul  serta perubahan yang di alami oleh planet Musytari semenjak terbentuknya sistem suria. Bagi ahli astronomi amatur, dan peminat sains angkasa, kapal angkasa Juno bakal merakam gambar yang tidak pernah di rakam sebelum ini. Berkemungkinan memberi prespektif berbeza terhadap 'Great Red Spot' dan kawasan kutub di Jupiter. Semoga kapal angkasa Juno selamat sampai ke Musytari dan dapat menyelesaikan misi dengan jaya nya. Juno akan mengorbit Musytari sebanyak 32 kali sebelum memasuki atmosfera planet berkenaan untuk menamatkan misinya.

Berikut adalah video sekitar pelancaran Juno di atas roket Atlas 5 semalam:

1) Persediaan Sebelum Berlepas



2)T minus 2:22:22 liputan sebelum berlepas



3)Juno berlepas!!!!



4) Simulasi Laluan Juno ke Musytari



5)Simulasi Juno mengorbit Musytari



Sumber: NASA, BBC

Video mengenai Juno juga boleh di dapati di tab video di dalam blog ini..

Sunday, 31 July 2011

Anak bulan Ramadhan dari ISS

  1. Selamat menyambut Ramadhan pada semua rakan-rakan. Alhamdulillah hari ini kita bertemu lagi dengan bulan yang mulia ini. Semoga segala amalan kita di terima di sisi Allah
  2. Semalam sudah pastinya ramai ahli-ahli astronomi Malaysia bersama-sama jabatan mufti mencerap anak bulan bagi menentukan masuknya bulan Ramadhan. Saya tidak berkesempatan berbuat demikian, insya'Allah suatu masa akan datang akan saya lapangkan diri mencari peluang untuk mencerap anak bulan.
  3. Anak bulan pada kali ini berjaya juga di cerap oleh seorang angkasawan dari International Space Station. Saya fikir ia suatu gambar yang cantik untuk saya sisipkan dalam post saya kali ini. Akhir kata, sekali lagi, saya mengucapkan salam Ramadhan kepada teman-teman seperjuangan, sahabat handai serta keluarga tercinta.
Sumber: http://twitpic.com/5yz1r2



Sunday, 10 July 2011

Front of the Class, memori saya sebagai guru pelatih...

Untuk teman-teman seperjuangan dari St Mary's University College yang sedang taat menunggu surat panggilan dari KPM, rakan-rakan yang bakal memulakan latihan perguruan di Nottingham dan Twickenham, serta semua Guru-guru serta bakal guru yang saya kenali........


Alhamdulillah saya baru tamat membaca sebuah novel bertajuk Front of the Class, How Tourette Syndrome Made Me  the Teacher I Never Had, kisah benar seorang insan bernama Brad Cohen yang mempunyai Tourette Syndrome. Tourette syndrome merupakan 'neurological disorder' yang menyebabkan pengidap membuat bunyi atau pergerakan yang tidak dapat mereka kawal. Penyakit ini biasanya akan di sertai dengan attention deficit hyperactivity disorder (ADHD ) atau hyperactive dan Obsessive Compulsive Disorder(OCD).

Saya tidak ada pengalaman bekerja dengan pelajar ADHD/OCD mahupun tourette, namun pernah membantu kelas khas yang pelajarnya mempunyai Autism. Salah satu ciri sistem pendidikan di UK adalah berteraskan polisi 'every child matter'. Merupakan suatu tanggungjawab guru untuk mendidik pelajar untuk mencapai potensi maksimum mereka (bukan maksimum keputusan peperiksaan dsb). Oleh itu pelajar-pelajar Khas juga di berikan peluang yang sama dengan pelajar lain dengan pendekatan yang berbeza.

Front of the class mengambarkan sistem pendidikan lama yang tidak inklusif. Brad Cohen sebagai seorang pelajar sekolah, tidak di beri layanan sama rata oleh guru, bahkan bukan sahaja dipinggirkan oleh rakan-rakan, malah guru. Namun beliau mempunyai semangat yang utuh di dorong oleh sokongan ibu dan adiknya hingga beliau berjaya menjadi seorang guru yang berjaya. Kini sistem pendidikan di US tidak seperti zaman Brad Cohen sebagai seorang kanak-kanak. Sistem pendidikan di Malaysia juga tidak ketinggalan bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang yang sama dalam pendidikan. Kini KPM sedang melatih ramai guru-guru pendidikan khas bagi memastikan kanak-kanak mendapat pedidikan dengan pendekatan yang sesuai.

Brad Cohen berucap mengenai pengalaman beliau sebagai kanak-kanak khas dengan guru yang tidak bersifat  inkulsif.

Apa yang menarik mengenai Front of the class bukan sahaja mengenai motivasi hidup Brad Cohen sebagai seorang penghidap Tourrete, malah falsafah pendidikan beliau sebagai seorang guru turut menyentuh hati saya (sebagai seorang bakal guru). Beliau juga turut menulis mengenai pengalaman beliau sebagai seorang guru pelatih, sekaligus mengimbau memori saya ketika berada di St Mary's University College. 

Bercakap mengenai pengalaman nya sebagai guru pelatih, brad berkata, 

" While I absolutely love student teaching, there were some things I had not anticipated. I did not realize how tired I would get. Teachers are on their feet constantly. The level of preparation for the lessons is unbelievable. It is extremely difficult to challenge the students who are doing well and to help the one who are having trouble, all at the same time, in the same lesson plan". pg 98-99

Tatkala saya membaca perenggan di atas, kenangan menyediakan lesson plan, microteaching, H2 assignment kembali dalam minda saya. :)

Pengurusan Tingkah laku (behaviour management)

Bercakap berkenaan dengan pengurusan tingkahlaku (behaviour management) Brad berkata,

" I had not imagined the great amount of time I would have to spend on classroom management and on discipline. Even in my student teaching days, I was never quick to give a time-out or to remove a child from the class. I remembered very well what it was like to be the kid in the corner. I knew how awful that felt, so I tried very hard to understand the reasons of a child's behaviour. I believe that if I can find the true underlying cause of behaviour, I can find a way to modify it "pg 99

Sememangnya pengurusan tingkahlaku bukan suatu perkara yang mudah. Di sebuah negara di mana 'corporal punishment' merupakan polisi silam, guru bergantung kepada strategi lain dalam pengurusan tingkahlaku. Tiada rotan, dan sebatan..kini negara kita bergerak ke arah itu. Namun, sekiranya guru masih menyalahkan pelajar terhadap masalah disiplin, masa depan anak bangsa kelihatan agak kabur. OK, waktu saya praktikal di sebuah sekolah di tengah kota London dulu pun saya selalu salahkan pelajar dan ibu bapa (masalah disiplin amat teruk). Namun selepas meninggalkan sekolah itu, saya kerap membaca mengenai berbagai strategi pengurusan tingkah laku. Terasa bersalah kerana saya tidak percaya kepada mereka, tapi cuma tahu menyalahkan mereka...Staff-staff sains di sekolah berkenaan, merupakan di antara pendidik yang hebat pernah saya temui, tahap kesabaran mereka mendidik kanak-kanak memang akan saya ingati sampai bila-bila.

Sepanjang saya praktikal di London,  banyak strategi pengurusan tingkah laku yang saya pernah lihat/baca/ dan praktikan. Namun di dalam front of the class, brad cohen juga ada bercakap mengenai strategi yang beliau gunakan. 'Reward and sanction policy' adalah polisi yang biasa saya dengar di sekolah-sekolah tempat saya praktikal. Brad juga mengguna reward and sanction dalam pengurusan tingkahlaku beliau.

Reward: 

Bercakap mengenai strategi yang beliau gunakan, brad berkata,

" I dont know if I was a great teacher then or not, but my kids sure had fun. With my star chart and reach for the stars theme, the class could earn stars for good behaviour in the classroom and the school. Once they earned 100 stars, the class got celebration. The first time they reached this goal, they decided to have a sleep-out during the day under the stars, since we were learning about the planets. The kids brought  sleeping bags and we mad s'mores. I dont know who enjoy that day more, the kids or me."pg 156-157

Sanction:

Brad menambah dalam perenggan berikutnya,

'' I used flip chart with colored cards to monitor behaviour. Each child had a pocket and began the day with yellow pocket card for good behaviour. If a students misbehaved, he or she had to flip the card to another color that meant time-out. A second misbehaviour and the student flipped the card to a color that meant he or she had to miss recess, and so on until the child eventually ended up in the principal office. I tried to deal with the problem myself before it got to far........'' pg 157

bercakap mengenai disiplin kanak-kanak beliau menulis

" Kids are kids; they all need a positive and supportive learning environment, and they do best under a disiplinary program that involves self-enforcement with reasonable consequences. "pg 111-112

Membaca mengenai strategi beliau serta falsafah beliau dalam menangani masalah disiplin mengingatkan saya kepada tugasan saya ketika masih menjadi guru pelatih.Pengurusan tingkah laku merupakan suatu topik hangat di kalangan guru guru di sekolah. Saya memilih 'positive behaviour management' sebagai satu sub target saya dalam H1 assignment. Maka serba sedikit saya teliti dan berbincang mengenai strategi mengawal masalah disiplin dengan tutor dan mentor saya di sekolah. Strategi Brad menggunakan kad berwarna merupakan satu strategi yang belum pernah saya jumpa. Barangkali jika kita kurang membuang masa mengeluh mengenai masalah disiplin, dan mempelbagaikan usaha dan strategi serta pembacaan, pastinya masalah disiplin dapat di kawal tanpa konfrantasi dengan pelajar.

Di dalam buku ini juga Brad ada mendakwa, bahawa pujian (praise) merupakan suatu strategi berkesan dalam pengurusan tingkah laku. Saya fikir jika ianya berkesan bagi pelajar sekolah rendah, ianya pasti berkesan untuk pelajar matrikulasi.

Go To the Cutting Edge

Genap setahun Brad menjadi guru, beliau masih belum pasti samada beliau melakukan tugas yang baik sebagai seorang guru atau sebaliknya. Apabila beliau mengadu dengan mentor beliau, jawapan ini di berikan kepadanya.

'' IF YOU WANT TO FEEL SECURE, DO WHAT YOU ALREADY KNOW HOW TO DO. IF YOU WANT TO BE A TRUE PROFESSIONAL AND CONTINUE TO GROW......GO TO THE CUTTING EDGE OF YOUR COMPETENCE, WHICH MEAN A TEMPORARY LOSS OF SECURITY. SO WHENEVER YOU DON'T QUITE KNOW WHAT YOU'RE DOING, KNOW YOU'RE GROWING"  pg  160

kata-kata dari seorang pendidik terkenal Madeline Hunter menjadi panduan Brad hingga kini. Saya fikir, ianya boleh menjadi panduan yang baik untuk semua guru-guru muda yang bakal memulakan tugas tidak lama lagi.

Nasihat kepada Guru Baru

Di dalam suratnya ketika beliau di calonkan oleh guru besar sebagai tokoh guru, beliau menulis nasihat yang baik bagi guru-guru yang baru memulakan tugas,

'' I have had countless experiences my first year and there are many things I would pass on to beginning teachers. One thing stands out more than anything else: enjoy what you do and reflect upon your teaching style so you can improve. Each teacher has his or her own approach, and that is what makes each of us unique. I truly believe in following your heart. If I had listened to all the "well-meaning" advice given to me over the years, I would not be where I am today. Believe in yourself and remember that you can make a difference.'' pg 163- 164

Something familiar with this advice..:) reflective teaching..perkara yang selalu di bincangkan dengan tutor ketika assignment H1...Front of the class membawa kenangan ketika di St Mary's dalam ingatan saya. Brad Cohen, walaupun beliau mempunyai Tourette syndrome, tapi beliau tidak menjadikan ianya alasan untuk menjadi guru yang baik. Beliau  menerima pelbagai anugerah, juga muncul dalam rancangan Oprah. 

Buku ini bukan sahaja mengimbau kenangan saya ketika di St Mary's, malah memberi impian tentang kerjaya saya akan datang...Guru...

Akhir kata, kepada semua rakan-rakan yang di jangka memulakan tugas pada bulan hadapan, Selamat memulakan tugas anda sebagai seorang guru yang berjaya!!! Kepada rakan-rakan yang bakal menjalani latihan perguruan, semoga anda semua dapat menimba pengalaman berharga dan dapat di kongsi dengan rakan-rakan lain di masa depan.

Friday, 17 June 2011

'Tukar Kerajaan' dan 'Negara Kebajikan'

Alhamdulillah, saya telah selamat sampai di Malaysia. Tepat 16hb, saya mendarat, ada sedikit rasa asing dalam diri saya setibanya saya di Malaysia. Insya'Allah, dalam sebulan lagi akan mula menjalankan tugas sebagai penjawat awam di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Kos pelajaran dan kos sara hidup saya kebanyakan nya di bayar dengan darah dan air mata rakyat Malaysia. Tanggungjawab saya berkerja mendidik anak bangsa akan bermula tidak lama lagi. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada saya untuk menjadi pendidik yang bertanggungjawab.

Tukar Kerajaan

Bagi saya dan rakan-rakan yang mengikuti isu politik di United Kingdom, kami berkesempatan menyaksikan sesebuah negara bertukar kerajaan. Pada tahun 2010, Kerajaan Parti Buruh gagal mendapatkan majoriti mudah bagi membentuk kerajaan. Kami pelajar-pelajar di Malaysia mendapat peluang menjadi pengundi di United Kingdom. Sesuatu yang saya masih belum lakukan di Malaysia. Justeru, ketika kempen pilihanraya, kami berkesempatan mengikuti manifesto serta dasar setiap parti.

Di England, 3 parti utama ialah, parti buruh, konservative (Tory) dan liberal demokrat(lib dem). Manakala di negeri negeri lain terdapat parti yang bersifat nasionalis seperti, Scottish National Party di Scotland, Sien Fein di Ireland, dan Plaid Cymru di Wales.

Kempen
Saya bersama Chancellor of Exchequer (Menteri Kewangan) Mr George Osborne ketika beliau masih lagi pembangkang dalam kempen piliharaya 2010- Birmingham Business School 

Ketika kempen, tiada banner, mahupun poster di pamerkan. Sesetengah parti membelanjakan duit untuk mempamerkan poster mereka di papan iklan di jalan. Tiada bendera parti di kibarkan, tiada perarakan penamaan calon. Calon berinteraksi dengan pengundi terus melalui surat, menghantar wakil dari rumah ke rumah, ucapan atas jemputan penduduk kawasan, serta melalui media seperti BBC.

Kempen pilihan raya sangat tenang tanpa isu-isu kurang sihat, setiap calon sekurang-kurangnya mendapat masa yang cukup untuk berkempen selama sebulan. Berbanding Malaysia, waktu berkempen selama tujuh setengah hari (2004). Pada tahun 2010, merupakan tahun pertama UK melaksanakan debat di antara calon perdana menteri. Suatu saat yang cukup penting dalam sejarah demokrasi di UK. Lebih bermakna Universiti tempat saya belajar merupakan satu tempat di mana debat di langsungkan.

Saya fikir, banner dan bendera merupakan suatu pembaziran dalam pilihanraya. Juga menimbulkan suasana kurang selesa. Perarakan penamaan calon juga merupakan suatu budaya yang patut di hapuskan. Biasanya berita yang keluar tatkala penamaan calon adalah penyokong satu parti berkelahi dengan penyokong parti lain. Buang masa dan tenaga, merugikan rakyat.

Masih saya ingat ketika pilihanraya UK 2010, saya tidak pasti mahu mengundi parti apa. Walaupun saya tahu keputusan pilihanraya itu tidak banyak memberikan kesan kepada saya, saya masih mahu memberikan kesan kepada keputusan pilihanraya.

Semua parti-parti menabur manifesto yang cantik-cantik, dasar yang jika di baca kelihatan sangat baik untuk rakyat. Parti buruh menjanjikan bahawa tiada potongan bajet sekiranya mereka menang, mereka berjanji untuk menaikan peruntukan dalam kesihatan dan pendidikan, mengekalkan yuran universiti, menambah peruntukan untuk polis dan menurunkan defisit negara dengan menaikan bayaran National Insurance (Majikan perlu bayar NI untuk setiap pekerja dibawah mereka).

Konservatif menempelak dasar untuk menaikan bayaran NI, menurut mereka cukai berkenaan akan meningkatkan jumlah pengangur dalam negara( saya tidak mahu pergi lebih jauh dalam isu NI). Konservatif pula berjanji untuk menurunkan defisit (hutang negara) yang meningkat sejak parti buruh memerintah. Tapi caranya ialah, potongan peruntukan untuk perkhidmatan awam, pendidikan dsb. Mereka mendakwa potongan tidak akan membebankan rakyat, sebaliknya akan memulihkan ekonomi negara dengan masa yang singkat. Mereka juga berjanji sektor awam seperti polis dan hospital tidak akan terjejas terhadap potongan peruntukan.
Liberal Demokrat menjadi juara pelajar universiti ketika itu. Mereka berjanji akan berkempen untuk mengekalkan yuran universiti, menyelesaikan isu Imegresen, menentang kenaikan cukai, menentang potongan bajet. Semuanya bagus dan popular di kalangan rakyat.

Selepas Pilihanraya

Keputusan pilhanraya tidak menyebelahi mana-mana pihak, tiada parti yang dapat mendapatkan majoriti mudah. Undi Lib Dem merosot, parti buruh merosot, parti konservatif meningkat namun gagal membentuk kerajaan.

Ada ura-ura Lib Dem akan bekerjasama dengan Parti Buruh, namun akhirnya kerjasama untuk membentuk kerajaan di jalankan dengan parti konservatif. Gordon Brown meletak jawatan, David Cameron menjadi perdana menteri dan Nick Clegg (Lib Dem) sebagai Timbalan. Jawatan Chancellor of Exchequer (menteri kewangan) di sandang oleh George Osborne dari konservatif, antara jawatan terpenting dalam kabinet british.

Keputusan Sukar

Menjadi kerajaan baru tidak semudah yang di sangka. Defisit negara lebih teruk dari yang di jangka kan. Walaupun kerajaan UK dilihat agak telus, namun masih ada angka-angka yang di sembunyikan dari pengetahuan rakyat.

Ketika menjadi pembangkang, saya fikir konservatif merupakan parti yang baik, dasar mereka ketika pilihanraya bukan untuk tujuan populariti, bahkan menghampiri kepada realiti ekonomi negara. Mereka tidak menjanjikan penurunan harga petrol (bahkan harga naik sejak mereka memerintah) tidak menjanjikan penurunan yuran (menaik secara mendadak sejak mereka memerintah).
Pelajar yang kecewa dengan Lib Dem ketika demostrasi.
Kini Lib dem antara parti yang banyak memberi janji popular berada dalam kerajaan. Janji untuk mengekalkan yuran universiti tidak dapat di tunaikan, janji untuk menentang potongan peruntukan juga tidak dapat di tunaikan.

Di sebabkan mahu mengurangkan defisit, Konservatif-Liberal demokrat ( Kon- Lib )menaikan yuran yang rata-rata meningkat dari £3k kepada £9k. Peruntukan untuk setiap kawasan di potong, sebagai contoh, ketika saya berurusan dengan West Mindlands Police, mereka mendakwa Birmingham City Council terpaksa menarik balik semua kamera perangkap kelajuan di kawasan Stratford shire kerana tiada wang untuk menyelengara alat berkenaan. Di sekolah, guru kini berjimat untuk tidak selalu menggunakan mesin fotostat untuk berjimat akibat potongan bajet. VAT di naikan dari 17.5% kepada 20%.

Semua sektor kerajaan mengalami potongan peruntukan (sektor pendidikan dan kesihatan tidak terjejas seteruk sektor lain). Ekonomi negara bergerak perlahan, Ekonomi selepas musim sejuk suram, kerajaan menyalahkan salji tebal menghalang pengguna dari membeli belah. Populariti kon-lib menurun, ini di cerminkan dari pilihanraya kerajaan tempatan pada bulan lepas. Lib dem dan Konservatif hilang banyak kerusi, terutama di scotland, Wales dan Ireland. Parti Nasionalis seperti Scottish National Party menang besar di negeri mereka  (salah satu visi parti nasionalis adalah menuntut kemerdekaan dari UK. )

Negara kebajikan.

Saya mengundi Lib Dem pada 2010 dan masih mengikuti perkembangan politik di UK. Hingga sekarang saya mengikuti berita mengenai NHS (National Health Service) reform serta Welfare reform. Welfare reform pada saya merupakan suatu dasar yang penting dalam kerajaan. Negara Kebajikan (UK) terdapat banyak kelemahan, antaranya ialah kurang insentif untuk bekerja. Rakyat yang menerima wang kebajikan dari kerajaan tidak mahu bekerja. Ini kerana jika mereka berkerja, gaji yang mereka perolehi adalah lebih rendah dari bantuan bulanan kerajaan.

Ramai di kalangan rakyat di dakwa memohon duit kebajikan (Incapacity Benefit)  atas alasan tidak sihat (sakit mental, stress, obesity). Kerajaan mahu, penerima duit kebajikan di semak semula kelayakan mereka. Permohonan wang kebajikan akan di perketatkan dan suatu procedur baru akan di perkenalkan. Kerajaan juga mahu memberi insentif kepada mereka yang mula bekerja dan tidak bergantung kepada wang kebajikan.

Sistem negara kebajikan di UK terlalu kompleks. Sistem berkenaan membuatkan rakyat bergantung kepada wang kebajikan. Kerajaan cuba merubah sistem berkenaan sekaligus memberikan penjimatan dalam perbelanjaan negara.

Mana-mana parti yang mahu menggunakan manifesto negara kebajikan perlu meneliti dan merangka model negara kebajikan mereka secara terperinci. Perangkaan model negara kebajikan perlu mengambil kira dasar semua parti komponen. Ini kerana di khuatiri manifesto berkenaan bakal menghancurkan parti yang berjanji akibat gagal melaksanakan dasar negara kebajikan secara efektif.

Tidak Percaya Janji Manis Ahli Politik:

Kesan dari mengikuti isu politik di UK menjadikan saya tidak percaya kepada mana-mana janji manis ahli politik. Kiranya ahli politik mengumumkan ekonomi negara meningkat, tetapi harga barang terus menaik, tiada gunanya. Kiranya ahli politik mengkritik dasar parti lawan, tetapi dasar parti sendiri tidak di utamakan, tiada gunanya.

Mana-mana parti yang memberi janji popular tidak akan mendapat undi saya. Tambahan pula sekiranya janji tidak di perincikan perancangan nya. Apa yang saya lihat di UK, kalau tidak cukai di naikan, peruntukan akan dipotong , kalau tidak dipotong peruntukan, cukai akan di naikan. Sumber kewangan untuk melaksanakan dasar perlu jelas. Angka GDP perlu di terjemahkan dengan penurunan harga barang/ peluang pekerjaan/peningkatan subsidi/peluang biasiswa dsb.

Pada saya konservatif dan Lib Dem boleh di katakan kurang berjaya, saya juga yakin sekiranya parti buruh memenangi pilihanraya berkenaan, mereka juga akan melakukan perkara yang sama dengan kerajaan sedia ada. 

Pada saya, parti yang menang, adalah parti yang telus pada rakyat, bukan sekadar janji manis, tetapi setiap dasar yang di rangka, di perincikan untuk tatapan rakyat jelata. Tiada angka, tiada kesalahan yang di sorokan, sebaliknya ikhlas memohon maaf sekiranya melakukan kesilapan (budaya ini ada pada parti-parti di UK, nampaknya parti sekular ini lebih Islam dari parti-parti yang di anggotai oleh orang Islam).


Sumber:

Monday, 13 June 2011

Gerhana bulan penuh 2011

Artikel ini merupakan artikel gerhana bulan Jun 2011. Untuk maklumat gerhana bulan Disember 2011 sila rujuk link dibawah


Terkini:






Pada 15hb Jun 2011, gerhana bulan penuh terpanjang sejak tahun 2000 akan berlaku. Di UK, gerhana bulan penuh dapat di lihat tatkala bulan terbit, walaubagaimana pun ianya mungkin agak sukar kerana sepanjang gerhana berlaku, bulan hanya akan kelihatan di ufuk.

Di Malaysia sebaliknya gerhana bulan penuh dapat dilihat pada jam 4:14 pagi, tetapi fasa penumbra berlaku seawal jam 1:24 pagi. Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan di mana bulan akan di lindungi oleh bayang-bayang bumi. 

Berikut adalah sedikit informasi dari laman web NASA berkaitan dengan gerhana bulan. 



 Perhatikan carta menunjukan masa gerhana dalam zon waktu universal (waktu united kingdom +1hr) ie ianya berlaku pada tarikh 15hb Jun. Berikut adalah waktu fasa gerhana dalam waktu Malaysia pada 16 Jun :

P1 =  01:24:33
U1 =  02:22:55
U2 = 03:22:29
U3 = 04:02:41
U4 = 06:02:14
P4 =07:00:44

Berikut pula adalah peta dimana gerhana bulan dapat di lihat.

Aktiviti Cerapan:

Buat masa ini saya tidak berkemampuan untuk menganjurkan cerapan, namun, beberapa ahli astronomi amateur serta professional di Malaysia telah pun mewar-warkan di dalam blog mereka untuk cerapan gerhana bulan pada 2011

Dr Rowi:  Aktiviti cerapan gerhana bulan di pantai Mek Mas kelantan atau di balaicerap mini beliau, untuk maklumat lanjut lawati Dr Rowi

Planetarium Negara: Cerapan pada 16 Jun, di perkarangan luar Masjid Negara berdekatan tapak ekspo. Untuk maklumat lanjut sila lawati Planetarium Negara

Bagi yang berada di London, Baker Street Irregular Astronomers Society akan menjalankan pencerapan seperti biasa di Reagent Park. Untuk maklumat lanjut sila lawati BSIA

Di mana saya ketika gerhana bulan?

Insya'Allah di dalam pesawat Malaysia Airlines dalam perjalanan pulang ke Malaysia. BSIA telahpun menjemput saya hampir setiap kali aktiviti cerapan di jalankan. Namun saya tidak berkesempatan menghadiri cerapan ulangtahun pertama BSIA ketika gerhana bulan 2011.

Semoga saya berkesempatan menyaksikan gerhana bulan dari pesawat MAS, harap-harapnya dapat duduk di tepi tingkap dan harapnya dapat tengok kalau xlama, sekejap pun dah memadai..

Sumber:


Friday, 13 May 2011

Mikroskop Poket dan Forensic Marking

Sudah lama rasanya tidak menulis, di sebabkan urusan-urusan lain yang lebih penting. Walaupun bulan Mei banyak menjanjikan peristiwa-peristiwa penting astronomi, namun saya rasa, saya tidak berkesempatan nak menulis mengenainya. Cukup sekadar saya share beberapa artikle serta berita di facebook.
Natural History Museum Pocket Microscope

Post kali ini mengenai satu alat optik yang baru saya beli dari Amazon.co.uk. Bukan teleskop, tapi mikroskop. Baru-baru ini saya tertarik dengan microskop poket National History Museum di Amazon. Walaupun sekadar mainan, teleskop berkenaan mendapat rating yang sangat tinggi dari pengguna. Hampir 70 orang dari pembeli memberi 5 bintang dan cuma seorang dari 86 pembeli memberi satu bintang. Kebanyakan pengguna berpendapat kualiti mikroskop poket ini sangat baik berbanding dengan harganya yang cuma GBP5.00. Nilai kegunaan untuk pendidikan juga sangat tinggi terutama untuk guru-guru biologi. Mikroskop ini mudah di bawa untuk aktiviti di luar kelas di hutan, gunung, tasik dan sebagainya. Imej yang di hasilkan juga jelas jika dibandingkan dengan harganya. Berikut adalah dua imej yang sempat saya ambil menggunakan Mikroskop berkenaan:
Sel bawang, jelas kelihatan bentuk sel yang tersusun.

Dua butir gula, struktur kristal gula jelas kelihatan.
Forensic Marking

Memandangkan saya sudah mempunyai mikroskop ringkas, saya gunakan mikroskop berkenaan untuk meneliti DNA Forensic Marking yang di beri oleh pihak polis ketika saya tinggal di Birmingham dahulu. Forensic Marking digunakan untuk menanda barang-barang berharga agar dapat di kesan pemiliknya sekiranya barang tersebut di curi. 
Selecta DNA: Tiub gam Selecta DNA disertakan dengan pelekat Selecta DNA sebagai amaran kepada pencuri
Forensic marking berkenaan mengandungi bahan fluorescent yang hanya boleh kelihatan di bawah cahaya ultra ungu (UV). Gam fluorescent berkenaan juga mengandung bintik-bintik micro yang mengandungi nombor siri yang hanya boleh di lihat dengan mikroskop. Nombor siri berkenaan didaftarkan atas nama pemilik dan berada dalam simpanan pihak syarikat SELECTA DNA yang membekalkan produk berkeaan kepada pihak polis
Forensic Marking/SELECTA DNA tanpa cahaya UV. Perhatikan bintik-bintik hitam yang terkadung dalam gam berkenaan. Sekiranya di letakan dengan jumlah yang sedikit, gam fluorescent tidak akan kelihatan dengan mata kasar

SELECTA DNA bercahaya dibawah cahaya UV. 

Bintik hitam di bawah mikroskop poket Natural History Museum. Nombor siri sama dengan nombor siri pada pelekat dibekalkan serta berdaftar atas nama saya beralamat di Birmingham.
Forensic Marking atau lebih dikenali di UK dengan nama SELECTA DNA ini merupakan suatu pelaburan bagi membantu mencegah jenayah kecurian di kawasan berisiko tinggi. SELECTA DNA ini di beri secara percuma kepada penduduk yang tinggal di kawasan kes kecurian yang tinggi. Kawasan-kawasan yang di bekalkan dengan SELECTA DNA ini akan di letakan papan tanda amaran kepada pencuri-pencuri. Secara tidak langsung dapat mencegah daripada kecurian berlaku.

Kesimpulan:

post kali ini merupakan post 2 dalam 1, kesimpulan yang pertama dapat saya buat adalah mikroskop poket yang saya beli baru-baru ini sangat berkualiti jika hendak dibandingkan dengan harganya. Saya sangat menggalakan guru-guru biologi untuk membeli mikroskop berkenaan untuk aktiviti-aktiviti luar kelas.

Untuk maklumat lanjut berkenaan spesifikasi Natural History Museum Pocket Microcope, sila lawati http://www.nhmshop.co.uk/darwin/pocket-microscope/product.html. Harga di laman web National History Museum adalah 3 pound lebih mahal dari harga di Amazon.

kesimpulan yang kedua adalah berkenaan dengan forensic marking. Saya tidak dapat mengesahkan sejauh mana keberkesanan sistem SELECTA DNA berkenaan. Namun saya fikir ada baiknya kerajaan Malaysia mula  melabur untuk sistem-sistem seperti ini untuk kebaikan rakyat jelata.

Untuk Maklumat lanjut mengenai SELECTADNA sila lawati www.selectadna.co.uk.