Tuesday 15 November 2011

Gerhana Bulan Penuh 10 Disember 2011


Pada 10 Disember 2011, akan berlaku peristiwa gerhana bulan penuh dan ianya dapat di saksikan di Malaysia. Gerhana bulan kali ini adalah gerhana bulan ke dua dalam tahun 2011. Sebelum ini gerhana bulan penuh berlaku berlaku pada 15 Jun 2011. Gerhana pada bulan Jun adalah gerhana bulan terpanjang di dalam masa 11 tahun.

Pada 10 Disember, bulan akan memasuki bahagian bawah bayang-bayang bumi (Umbra). Ianya berbeza dengan gerhana yang belaku pada bulan Jun di mana bulan melalui bahagian tengah. Walaupun melalui bahagian bawah bayang-bayang bumi, Gerhana pada 10 Disember ini akan berlangsung selama 51minit 08 saat. Ini lebih pendek berbanding gerhana yang berlaku pada bulan Jun yang berlangsung selama 1 Jam 40 minit 32 saat.

Berikut adalah sedikit maklumat yang dipetik dari laman web Nasa:

Rajah 1: Fasa gerhana bulan, masa serta tempoh ianya berlaku.


Rajah 1 menunjukan fasa gerhana bulan memasuki bayang-bayang bumi. Rajah 1 juga menunjukan apa yang di maksudkan dengan bulan melalui bahagian bawah bayang-bayang. Masa ianya akan berlaku pada Rajah 1 adalah menggunakan UT. Waktu Malaysia adalah UT+8, maka gerhana akan memasuki fasa U2 pada Jam 22:06:16 waktu Malaysia. Walaubagaimanapun, bagi memperlihatkan keseluruhan proses gerhana, adalah lebih balik sekiranya cerapan di jalankan seawal bulan memasuki kawasan bayang-bayang P1 iaitu pada Jam 19:33:22 lebih kurang selepas waktu Maghrib.

Gerhana kali ini boleh dilihat sepenuhnya di Asia dan Australia. Di negara-negara Eropah seperti United Kingdom, ketika bulan terbit pada tarikh berkenaan, gerhana sedang berlangsung. Rajah 2 menunjukan peta di mana gerhana boleh dilihat.
Rajah 2: Keseluruhan Proses Gerhana kelihatan di Malaysia sekiranya cuaca mengizinkan



Fenomena gerhana bulan berlaku apabila bulan melalui bayang-bayang bumi. Ini bermakna, bumi akan berada di antara bulan dan matahari. Tidak seperti gerhana matahari yang cuma boleh dilihat dikawasan tertentu, gerhana bulan penuh boleh dilihat selagi mana bulan kelihatan di kawasan tersebut. Ketika gerhana bulan, keamatan cahaya bulan akan berkurang, dan  ianya bergantung kepada kawasan bayang-bayang bumi yang dilalui oleh bulan. Sebagai contoh sekiranya bulan melalui kawasan tengah bayang-bayang, ada kemungkinan bulan akan terus tidak kelihatan akibat bayang-bayang bumi yang gelap, manakala sekiranya bulan tidak melalui kawasan tengah, warna lain mungkin kelihatan.
Rajah 3: Keamatan cahaya bulan ketika gerhana mengikut skala Danjon

Ahli astronomi Perancis Andre-Louis Danjon memperkenal skala yang di panggil skala Danjon bagi  menganggarkan keamatan cahaya bulan ketika gerhana. Skala berkenaan adalah seperti berikut.

  • Sifar, pada skala danjon, skala sifar adalah gerhana yang sangat gelap. Secara praktikalnya bulan tidak kelihatan. Ianya berlaku apabila bulan betul-betul melalui bahagian tengah Umbra.
  • Satu, Bulan kelihatan berwarna kelabu gelap atau keperangan. Ketika ini, ciri pada permukaan bulan amat sukar dilihat
  • Dua, Bulan berwarna merah gelap/ merah karat, dimana bahagian tengah bayang-bayang gelap dan bahagian luar lebih cerah
  • Tiga, Bulan berwarna merah bata, bayang-bayang bumi berwarna cerah atau kuning
  • Empat, bulan berwana jingga/merah kuprum, bayang-bayang bumi cerah dan kebiruan

Skala diatas boleh digunakan ketika cerapan dilakukan. Nasa menggalakan ahli astronomi untuk melaporkan skala yang di perhatikan ketika gerhana bulan kepada Sky and Telescope dan kepada Dr Richard Keen (richard.keen@colorado.edu).

Bagi melakukan cerapan gerhana bulan, teleskop bersaiz besar dan bermagnifikasi tinggi tidak digalakan. Teleskop bersaiz kecil serta binokular lebih sesuai digunakan kerana bulan dapat dilihat secara menyeluruh ketika gerhana berlaku. Sekiranya tiada peralatan, gerhana bulan juga amat cantik dicerap dengan mata kasar. Bagi yang terlepas mencerap gerhana bulan pada bulan Jun, diharapkan pada gerhana kali ini, langit cerah tanpa awan agar cerapan dapat dilakukan.Sekian

 Selamat menjalankan cerapan gerhana bulan penuh Disember 2011!!!

Kemaskini:
Waktu Gerhana (Malaysia), Rujuk Rajah 1.
P1:  Jam 19:33:32
U1: Jam 20:45:42
U2: Jam 22:06:16
U3 Jam 22:57:24
U4: Jam 00:17:58
P4: Jam 01:30:00

Kemaskini 2

Rujukan:

  1. Nasa Eclipse website
  2. Terence Dickinson, NightWatch, A Practical Guide to viewing the Universe 4th Edition, 2006, Firefly Book Ltd, m/s  152-153

No comments:

Post a Comment