Monday 30 January 2012

Planet Zuhrah Menerusi Teleskop

Objek : Zuhrah (Venus)
Masa : 20:00-20:30
Tarikh: 30/01/12
Tempat: Jasin Melaka Malaysia
Cuaca: Sedikit berawan, Zuhrah berada lebih kurang (anggaran) 30-40 darjah dari ufuk.
Teleskop: Orion XT10, 15mm eyepiece +2x Barlow.. (160x Magnification) +zoom kamera nikon coolpix L18

Baru siang tadi rasanya saya menulis log cerapan yang saya sifatkan sebagai terakhir dalam bulan Januari. Namun malam ini saya berkesempatan meneropong ke planet Zuhrah dalam cerapan pendek saya yang kurang dari setengah jam.

Ini kerana faktor awan dan kepanasan malam menyebabkan saya memendekkan cerapan. Zuhrah cuma dapat saya lihat dalam setengah jam. Kemudian awan menutupi planet Zuhrah dan menyebabkan cerapan terpaksa dihentikan.

Sebelum ini seringkali saya pos gambar planet Zuhrah. Ini termasuk ijtimak planet Zuhrah dengan bulan dan dengan planet Utarid. Namun ini merupakan pos pertama saya mengenai planet Zuhrah menerusi teleskop. 

Planet Zuhrah boleh dilihat ketika/selepas matahari terbenam. Ia mempunyai kecerahan yang membolehkan ianya dilihat dengan mata kasar. Sering di panggil evening star dan kadang-kadang bintang kejora. Berikut adalah gambar venus,bulan dan musytari yang dirakam lebih kurang waktu yang sama pada 29/01/12.

Zuhrah (bawah), bulan (tengah) dan Musytari(atas) selepas matahari terbenam. 

Seperti di dalam gambar di atas, Zuhrah dan Musytari mudah dilihat dengan mata kasar sekiranya langit cerah tidak berawan. Semalam saya menumpukan cerapan pada bulan. Jadi tidak sempat saya halakan pada Zuhrah. Berikut adalah gambar Zuhrah melalui teleskop:

Imej Zuhrah yang diproses melalui Registax. Zuhrah terlalu cerah dan memerlukan filter untuk mengurangkan kecerahan. 






Imej diatas adalah imej Zuhrah yang diproses dengan menggunakan registax. Saya tidak berkesempatan untuk menggunakan filter untuk melihat perbezaan imej dengan mata kasar. Namun saya sempat merakam video dan memproses video berkenaan dan hasilnya tidak mengecewakan.

Pemerhatian: 

Di sekeliling planet Zuhrah kelihatan warna merah dan biru seperti dari pelangi. Ini mungkin disebabkan oleh serakan cahaya oleh atmosfera bumi ataupun kesan dari lensa kamera. Selain itu sebelum diproses imej yang dilihat dengan mata kasar amat cerah dan berkilauan (flare). Jadi secara ringkasnya saya tidak melihat apa-apa ciri atmosfera Zuhrah. Atmosfera bumi menyebabkan imej yang dilihat melalui teleskop tidak stabil. Ini membuatkan cerapan atmosfera Zuhrah agak mustahil dan sukar.

Walau bagaimanapun, perhatikan bentuk Zuhrah yang dirakam. Bulat?? tidak!! saya pasti sekiranya saya tidak melabelkan gambar tersebut sebagai Zuhrah, barangkali ada yang menyangka ianya bulan. Disebabkan  Zuhrah merupakan 'inner planet', maka ia mempunyai fasa seperti bulan (sabit/separa/ penuh etc). Anggaran saya dalam cerapan kali ini Zuhrah berada pada 70% penuh.

Berikut adalah video pendek yang saya rakam dan dimuatkan di laman youtube saya. 



Kesimpulan:

Mencerap Zuhrah melalui teleskop merupakan sesuatu yang baru bagi saya. Dalam cerapan pertama ini saya sudah amat berpuas hati berjaya menyaksikan fasa planet Zuhrah. Akan datang saya akan cuba menggunakan filter untuk mengurangkan silau dari planet berkenaan.

Nota: Malam ini juga planet Musytari berada berdekatan dengan bulan. Saya tidak rakamkan gambar berkenaan. Saya pasti ramai yang merakamnya. Kini cuaca sudah mendung. Saya menunggu gambar dari sahabat-sahabat di internet. !

No comments:

Post a Comment