Thursday, 15 September 2011

Bulan dan Musytari (Jupiter) Menari-nari di langit

Tarikh: 15/09/2011
Masa: 2230-2353
Objek: Bulan, Musytari (Jupiter)
Cuaca: Sedikit berawan
Peralatan: Orion Apex 90mm Mak Cass, Nikon 8MP compact camera

Mungkin tajuk entry tidak mengambarkan suasana sebenar cerapan semalam. Tapi, itulah ayat yang dapat saya garapkan untuk mengambarkan keindahan alam ciptaan tuhan. Semalam (15hb Sept 2011) pada jam 2230 saya keluar untuk mencerap bulan. Gambar bulan amat mudah untuk saya tangkap. Beberapa minit selepas itu planet Musytari mula 'terbit' dari pucuk pokok di kejauhan.

Selepas saya puas mengambil gambar bulan, saya halakan teleskop saya ke arah Musytari. Kali ini saya gunakan eyepice 15mm, tidak seperti sebelum ini saya gunakan 25mm. Eyepiece berkenaan saya beli murah, jadi kualitinya tidak berapa baik. Tapi magnification lebih besar menyebabkan imej Musytari dapat saya ambil. Imej kali ini lebih baik dari imej yang saya ambil pada 4hb Sept 2011. Saya masih tidak dapat melihat Io. Cuma Calisto, Ganymede dan Europa sahaja kelihatan. Saya akan beri tumpuan pada detail cerapan selepas ini, memandangkan cuaca agak berawan jadi saya terburu-buru untuk mendapatkan imej Musytari.
Gambar 1: Inilah yang saya maksudkan dengan Bulan dan Musytari menari bersama
Tidak susah untuk mencerap planet. Lihat sahaja gambar di atas, sekali imbas Musytari sudah dapat di kenalpasti. Musytari terbit beberapa minit selepas bulan terbit. Semalam kedudukannya tidak jauh dari bulan. Musytari juga dapat dikenalpasti kerana kecerahannya yang lebih cerah dari objek-objek lain. Pada laporan cerapan menggunakan binokular dalam post yang lepas, saya berjaya mengesan bulan-bulan planet zuhal (saturn). Saya pasti bulan planet Musytari juga mudah di kesan dengan menggunakan binokular. Akan datang saya akan mencerap Musytari dengan menggunakan binokular.
Gambar 2: Bulan pada 15Sept. Cuba namakan kawah-kawah yang kelihatan! 4 'rays system' juga jelas dalam imej kali ini
Gambar 2 pula merupakan gambar bulan yang saya ambil semalam. Ray system dari Tycho  kepler, Copernicus, Byrgius jelas kelihatan (lihat gambar 3). Appennine Mts juga kelihatan jelas dan cantik semalam. Walaupun awan nipis mengganggu cerapan namun, bulan yang terang membolehkan gambar yang baik di ambil.
Gambar 3: Gambar bulan seperti gambar 2 tetapi dengan label 'ray system' dan gunung pada bulan.
Ray system di sebelah bawah adalah dari kawah Byrgius A. Ray system menjangkau jarak 400km. Manakala ray system dari kawah Tycho pula menjangkau 1500km panjang. Ray system digunakan oleh ahli geologi bulan untuk menentukan umur kawah. Selain itu arah ray system dapat menceritakan bagaimana hentaman berlaku.

Gambar 4: Musytari (Jupiter) dengan tali pinggang utara dan selatan (Jupiter's Belts)
Sebagaimana yang saya katakan tadi, cuaca sedikit berawan. Jadi saya tidak dapat mencerap Musytari dengan lama. Saya dapat rakamkan video musytari dan kemudianya video itu saya proses dengan Registax. Registax adalah software percuma (lihat bahagian kanan blog di ruangan free astronomy software untuk dimuat turun) yang biasa digunakan oleh ahli astronomi amatur untuk memproses imej. Di dalam video imej tali pinggang samar-samar, namun dengan registax saya berjaya menaikan imej berkenaan sehingga jelas kelihatan.

Kesimpulan:

15hb Sept merupakan hari yang produktif dalam penglibatan saya dengan hobi astonomi. Pada siang hari saya menggunakan 'projection technique' untuk mengesan tompok matahari (sun spot) dan pada malamnya saya dapat mencerap bulan dan Musytari. Tambah menggembirakan, saya dapat merakam gambar dan video untuk di tulis dalam log cerapan. Saya berharap dapat mencerap dengan lebih kerap di masa akan datang!!!


Wednesday, 14 September 2011

Spotting Sun-Spot

AMARAN: 


JANGAN LIHAT MATAHARI DENGAN MATA KASAR, GUNAKAN BAYANG-BANYANG UNTUK MENCARI KEDUDUKAN MATAHARI.


JANGAN BIARKAN BINOKULAR DIHALAKAN KEPADA MATAHARI TERLALU LAMA. INI AKAN MEROSAKAN BINOKULAR ANDA.


Tarikh: 15/09/2011
Waktu: 10:00-11:00 pagi
Objek : Matahari (sun-spot)
Peralatan: binocular lama tidak berjenama, celestron upclose 10x50, kertas A4 putih sebagai skrin,tripod,

Cuaca di Melaka pada malam hari biasa nya mendung. Ini menyebabkan aktiviti astronomi saya semakin suram. Namun di siang hari, panas terik dan tiada awan. Semalam saya secara tiba-tiba membawa keluar binokular dan kertas A4 putih ke luar, dengan harapan dapat melihat sun spot. Ternyata tidak mengecewakan, namun tiada rekod dapat saya ambil, cuaca bertukar mendung dan hujan.

Bahagian 1:

Jadi pagi 15/09/11, saya bawa keluar binokular dan kali ini diikat pada tripod menggunakan getah (di ambil dari tube basikal). Sepatutnya anda memerlukan tripod adapter untuk binokular, tetapi saya tidak ada adapter berkenaan. Getah dari tube basikal memberikan kestabilan memuaskan untuk binokular. Berikut adalah gambar-gambar set up yang saya buat.
Gambar 1:Binokular lama yang di ikat pada tripod.
 Di bawah adalah imej yang terhasil dari binokular pada gambar 1. Imej sunspot kabur dan sukar dilihat walaupun dengan menggunakan mata kasar. Ini mungkin disebabkan oleh kualiti binokular yang rendah. Saya menggunakan binokular lama kerana kaedah ini akan menyebabkan haba terkumpul pada binokular jika digunakan terlalu lama. Sekiranya anda menggunakan binokular yang ada sayangi, pastikan jangan di dedahkan pada matahari terlalu lama. Ia akan merosakan binokular anda.
Gambar 2:Imej Matahari yang terbentuk melalui binokular lama. Sun spot berada di kawasan bertanda merah.
 Gambar dibawah pula menunjukan set up daripada pandangan atas. Pastikan anda menutup kanta binokular yang tidak digunakan. Guna cuma satu bahagian binocular sahaja.
Gambar 3: Set up daripada pandangan atas. Payung digunakan untuk  memastikan imej terbentuk  di kawasan bayang-bayang.
 Di sebabkan saya gagal mengambil gambar yang baik dari binokular lama. Jadi saya lakarkan imej yang terbentuk pada skrin. Sunspot bertanda ? mudah dilihat dengan mata kasar. Saya berjaya melihat 3 sunspot pada matahari. Sunspot di bahagian atas gambar 4 kabur-kabur dan sukar di lihat.
Gambar 4: Lakaran sun spot berserta tarikh dan waktu di atas skrin.
Bahagian 2:

Di sebabkan saya tidak berpuas hati dengan imej yang terhasil melalui binokular lama. Saya gunakan juga binokular celestron saya. Saya ikatkan binokular pada tripod seperti saya lakukan pada binokular lama. Imej lebih jelas dan terang. Saya berjaya merakamkan gambar sunpot melalui binocular celestron saya. Berikut adalah gambar berkenaan:
Sun Spot besar berjaya saya rakamkan dengan kamera nikon saya.  
Sunspot yang berjaya saya rakam kan amat besar dan jelas. Mungkin bersaiz sebesar 2x atau 3x bumi. Berikut pula adalah video ketika sunspot di ambil. Gambar kurang jelas dan tidak fokus. Namun Sunspot kelihatan secara samar-samar dalam video.

 

Kesimpulan 

Saya melakukan cerapan 2 kali dengan binokular berbeza untuk memastikan bahawa imej yang saya lihat pada binokular pertama adalah imej sunspot. Cerapan kali pertama berjaya menampakan imej yang baik sepadan dengan kualiti binokular yang rendah. Binokular celestron menghasilkan imej yang lebih tajam dan membolehkan saya merakamkan gambar.

Kaedah mencerap matahari ini boleh digunakan ketika gerhana matahari dan ketika planet zuhrah merentas matahari (venus transit). Namun saya menjangkakan mungkin imej yang dihasilkan sukar dirakam memandangkan diameter binokular saya cuma 50mm. Sais venus pula lebih kurang sama dengan saiz bumi.  Namun saya akan cuba juga kaedah yang sama ketika transit planet zuhrah pada tahun hadapan.

Sekian :)

Saturday, 10 September 2011

Nyanyian Sang Mitra

Sedang saya kemas buku-buku lama/majalah untuk di kitar, terjumpa buku Sajak-Sajak Pahlawan karangan Noor S.M yang merupakan anak jati masjid tanah, tempat saya belajar ketika di Kolej Matrikulasi Melaka dahulu. Saya dapati sajak-sajaknya seronok untuk di baca dan di deklamasikan. Ketika saya belajar di sekolah menengah dulu, saya tidak aktif dalam bidang sukan, namun saya dapati diri saya seronok mendengar orang mendeklamasi sajak, dan kadang-kadang saya deklamasi kan sajak di dalam kelas, dan ketika bulan kemerdekaan. Saya tidak berapa bagus mendeklamasikan sajak, namun, siapa kata kita perlu bagus dalam sesuatu aktiviti untuk kita rasa seronok melakukan aktiviti itu?Nyanyian Sang Mitra adalah satu sajak di dalam buku Sajak-Sajak padang pahlawan yang mahu saya kongsikan di blog ini, untuk pedoman rakan-rakan sekalian.


Nyanyian Sang Mitra


Noor S.M


i.i


Aku bukan sejarawan
yang duduk mencatat peristiwa
dan tanggal kemerdekaan
yang kemudiannya
dengan mudah dilupakan
setelah kemerdekaan itu sendiri
memberi sebuah kedudukan
atau sebuah jawatan
yang lumayan, tapi
aku adalah seorang pengingat setia
setiap kejadian, kepahitan bangsanya
yang terhimpit, terjepit
antara dua pembangunan
yang direncanakan
tanpa kembali
ke akar-umbi peribadi


Aku adalah pengamat waktu
detik pertama kebangkitan bangsanya
yang wujud
dan pernah bermula
ditebing perkasa sungai negerinya
aku adalah pengamat waktu
detik pertama kejatuhan bangsa
yang di hancurkan ferringi
di halaman istana raja negerinya


Aku adalah saksinya sebuah generasi
yang melihat bendera negaranya bekibar
melambai-lambai
bagai tangan bayi
yang merindui ibunya
pada jam tengah malam
aku adalah saksinya sebuah generasi
yang melihat union jack itu digulung
dan diterbangkan kembali
ke negeri asalnya


Aku adalah lelaki sederhana
yang mendengar suara
tangis pertama seorang bayi dilahirkan
pada malam kemerdekaan negaranya
dalam gema pekikan
yang gemuruh


i.ii


dan bayi itu sekarang, anak muda
di antara beribu anak muda
yang lalu-lalang
dan singgah bermain
disebuah padang
ataukah anak muda
di antara beribu anak muda
yang tunggang langgang
dan rebah mengerang
di lorong belakang
ataukah bayi itu sekarang, anak muda
yang sedang meratah buah kemerdekaan
hadiah terbaik
yang dihulurkan kepadanya


ataukah bayi itu sekarang, anak muda
yang sedang menolak perahunya
ke laut, menentang gelombang
ataukah bayi itu sekarang, anak muda
yang memotong lalang menjadi ladang
ataukah bayi itu sekarang, anak muda
yang mengatur bata jadi kota jadi rumah pangsa
ataukah bayi itu sebenarnya
telah lama tiada, pergi
sebelum sempat ia mereguk susu kemerdekaan
yang diperah dua tangan ayah bondanya


i.iii


dan bayi itulah sekarang, anak muda
di antara beribu anak muda
yang selalu ingin kutemui
untuk melihat orangnya
cara berpakaiannya
cara berbahasanya
cara bergeraknya
cara bertindaknya
dan bagaimana
cara berfikirnya
kerana semua itu adalah bayangan isi kemerdekaan
yang dikunyahnya
dan menjadi ia anak muda
pembawa bendera kemerdekaan, berkibar
di tiang waktu masa depannya
ataukah sebaliknya ia sendiri
yang jatuh tertumbuk
dengan parahnya
di dinding waktu
yang di bayangkan
dan kemerdekaan itu perlahan-lahan hilang
dari tanganya
sebab lupa


ii


aku bukan nya dosen
yang mengajarkan segala macam peristiwa masalalu
dan menyebut-nyebut tanggal kemerdekaan
di hadapan para siswanya
atau bukanya siswa itu sendiri
yang menghafal-hafal peristiwa
dan tanggal kemerdekaan
yang kemudianya
lalu saja dilupakan
setelah kemerdekaan itu mengangkatnya
ke atas,ke tempat paling istemewa
dan tinggi, tapi
aku adalah rakyat biasa
yang mengungkap kata sebaris dua
dalam bahasa ibunya
mengingatkan pemimpin pilihan hatinya
tentang adanya kejanggalan-kejanggalan
dan suara-suara sumbang
yang mengadu dombakan sesama sendiri
yang biasa menghancurkan kebaikan-kebaikan
dan rasa cinta sesama kita


iii


aku bukan seorang perancang
yang merancang
sungai itu perlu diputuskan
laut itu perlu ditimbun
bukit itu harus diruntuhkan
hutan itu mesti dimusnahkan
dan kemudian didirikan rumah-rumah
tanpa serambi
tanpa tiang seri,tapi
aku adalah seorang pendengar suara
bunyi pertama mesin itu bekerja
dan kemundiannya menerapkan kembali
ke dalam bahasa hatiku
tanpa lupa
mengingatkan seorang pemimpin pilihan hati
sedang tersandar lelah
di tekan oleh pelbagai masalah


iv


aku bukannya di pegawai negeri
yang menghintung angka-angka
dan kemudian meninggalkannya
di meja kantor kerja
aku bukannya ahli politik
yang memikirkan sejumlah undi
untuk sebuah kerusi
yang kemudiannya lupa janji,lupakan diri, tapi
aku adalah manusia kecil, rakyat kecil
yang berdiri
di hutan nostalgia
sambil menggariskan sebaris dua kata
berlapis makna
dan kemudian membacakannya
di hadapan saudara-saudaranya
di hadapan pemimpin pilhan hatinya
dan bukan sekadar kenangan kosong, tapi
kebenaran-kebenaran masa lampau
yang seharusnya dibangkitkan kembali
menjadi inti pemikiran masakini
dan masadatang


aku adalah manusia kecil, rakyat kecil
yang terus mengembara
mencari padang utopia


11 September 1983
Selamat Menyambut Hari Malaysia
Ke-48, 16 September 2011
Sumber


Sajak-Sajak Padang Pahlawan
Noor S.M
ISBN 967-948-049-6
Associated Educational Distributors


nota:


ada siapa-siapa tahu maksud 'mitra'??

Saturday, 3 September 2011

Mencerap Musytari buat kali pertama di Malaysia

Tarikh Cerapan: 04/09/10
Waktu                : 0030-0200
Objek                 : Musytari (Jupiter)
Peralatan          : Orion Apex 90mm Mak Cass
Fotografi           : Afocal menggunakan kamera compact Nikon coolpix 8Megapixel
  1. Beberapa minit sebelum saya menulis post ini, saya berjaya mencerap Musytari buat kali pertama dengan orion 90mm Mak-Cass.
  2. Sudah pasti imej ada perbezaan dengan orion xt10 dobsonian saya.
  3. Saya dapat melihat 2 equatorial belt dengan sedikit samar2. Ini berbeza dengan teleskop besar. Saya juga cuma dapat melihat 3 bulan Jupiter berbanding 4 dengan teleskop besar saya. Bulan berkenaan adalah Ganymede, Europa, dan Calisto. Io tidak kelihatan.
  4. Saya gagal merakam imej yang baik untuk di kongsikan. Saya akan cuba edit video yang saya rakamkan semasa pencerapan.
  5. Cuaca di Malaysia pula panas dan lembab, tidak seperti yang saya jangkakan, ianya kurang selesa. Jika dulu di UK, cuaca dibawah paras beku menjadi cabaran untuk mencerap, kini cuaca panas, dan lembab menjadi saya rasa kurang selesa. Namun ianya tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencerap selama lebih dari sejam.
  6. Tambah menyulitkan, nyamuk di kaki Gunung Ledang ini memang buas. :)... Satu lagi list untuk mencerap di Malaysia adalah Ubat Nyamuk!!!...
  7. Kesimpulanya, saya berpuas hati dengan imej Musytari yang saya lihat. Walaupun pada mulanya imej sukar untuk fokus di sebabkan Musytari berada hampir dengan ufuk, beberapa minit selepas itu Imej bertambah baik apabila Musytari mula ''meninggi di langit''...
  8. Insya'Allah dengan teleskop 10inch mungkin saya akan mendapat imej untuk di kongsi di dalam laporan saya. Teleskop kecil, dengan hanya menggunakan camera tripod + teknik fotografi amatur (afocal) menyebabkan saya tidak mampu merakam imej yang baik. Saya akan cuba insya'Allah kalau di izinkan untuk mengubahsuai web cam untuk planetary photography...
  9. Sekian..Selamat Menyambut Aidilfitri...
Kemaskini:

Berikut adalah imej dan video Musytari yang berjaya saya rakamkan dengan kamera nikon coolpix saya. Bulan Musytari tidak kelihatan. Bulan depan merupakan Jupiter's opposition.. jd jupiter akan kelihatan lebih cerah dari biasa kerana ia berada berdekatan dengan bumi. Saya akan tulis laporan cerapan ketika opposition nanti!!


Thursday, 1 September 2011

Bumi dari jauh..Tak nampak apa-apa!

Kalaulah ada makhluk asing melihat bumi dan bulan dari jarak 9.5 juta km, mungkin dia kata ''tak nampak apa-apa pun!''..Sudah tentu, Bumi dan bulan kelihatan sama seperti objek lain di angkasa. ''Tiada apa-apa''....Baru-baru ini saya ada upload gambar bumi dan bulan yang di ambil dari JUNO 9.5 juta km di laman Facebook saya.

 Berikut adalah gambar dari JUNO:

Gambar Bumi dan bulan 9.5 juta km dari Bumi..
 Dan sempena hari raya saya mendapat balasan reaksi yang agak menarik dari seorang sahabat saya. Saya harap dia tidak kisah saya menulisnya tentang nya di sini.. Yang menariknya dia tidak memberi apa-apa komen dari gambar yang diambilnya dari juno, sebaliknya beliau MELUKIS(saya rasa) gambar baru untuk diupload di dalam album barunya ''astro..hehehehe''..hahahahahaha...kemudian saya di tag pada gambar berkenaan..
Kepada sahabat saya. terima kasih, your reaction is precious!!!you made my day!
Gambar bertajuk ''kapal terbang mas menuju bintang kejora''
Ini reaksi saya pada gambar berkenaan di facebook..
Saya               : Apakah ko dah bosan dengan hidup ko??hahahaha (saya tahu ia ada kene mengena dengan       gambar y saya pos sebelum ini)
Sahabat saya: hahaha...ak tgk gmbr ko tu xnmpk pape..tu yg ak tlg lukiskn tu....
Saya               : sebab xnampak apa-apalah gambar tu precious...


Saya setuju dengan kawan saya, gambar dari JUNO mmg xnampak apa-apa..sahabat saya secara semulajadi sedar, bahawa bumi, dari 9.5 juta km ''tiada kelihatan apa-apa''.. komen beliau terhadap gambar berkenaan amat berharga..

dari 9.5 juta km, bumi cumalah titik yang kecil, bulan lebih kecil.. imej bumi pada gambar berkenaan tidak sampai 1% dari keseluruhan gambar...

pada titik kecil itulah, manusia bermusuhan antara satu sama lain. Pada titik kecil itulah manusia berbunuh-bunuhan untuk menguasai ''sebahagian kecil'' dari pada titik kecil yang tidak apa apa2..pada titik kecil itulah ahli politik memaki hamun lawan masing2, menipu, rasuah,memfitnah..hanya kerana mahu menang ''sebahagian kecil dari sebahagian kecil dari sebahagian kecil'' titik kecil itu.....(berapa banyak kecil lah...)

pada titik kecil itulah kita hidup, mencari rahmat Yang Esa.....

Sebelum JUNO mengambil gambar bumi dari 9.5 Juta km, Voyager 1 telah berjaya merakam gambar bumi kira2 6billion km dari bumi..sya pernah kongsikan gambar berkenaan di dalam blog ini.. berikut adalah gambar berkenaan...
bumi dari Voyager 1 kira-kira 6billion km dari bumi
Ahli astronomi Carl Sagan di dalam bukunya ''Pale Blue Dot: A vision of the human future in space'' menulis berkenaan gambar yang di ambil oleh Voyager.




''Consider again that dot.That's here. That's home. That's us. On it everyone you love, everyone you know, everyone you ever heard of,every human being who ever was, lived out their lives. The aggregate of our joy and suffering, thousands of confident religions,ideologies, and economic doctrines, every hunter and forager, every hero and coward,every creator and destroyer of civilization, every king and peasant, every young couple in love, every mother and father hopeful child,inventor and explorer, every teacher of morals, every corrupt politician, every "superstar",.every "supreme leader",every saint and sinner in the history of our species lived there on a mote of dust suspended in a sunbeam The Earth is a very small stage in a vast cosmic arena. Think of the rivers of blood spilled by all those generals and emperors so that, in glory and triumph, they could become the momentary masters.... of a fraction of a dot. Think of the endless cruelties visited by the inhabitants of one corner of this pixel on the scarcely distinguishable inhabitants of some other corner, how frequent their misunderstandings, how eager they are to kill one another, how fervent their hatreds.Our posturings, our imagined self-importance,the delusion that we have some privileged position in the Universe:,are challenged by this point of pale light. Our planet is a lonely speck in the great enveloping cosmic dan our obscurity, in all this vastness,  there is no hint that help will come from elsewhere to save us 
from ourselves. ''

Agak panjang, namun tulisan nya membawa seribu makna kepada kita.betapa kecilnya kita di dunia ini!!!


Saya Akhiri post ini dengan video yang saya fikir menarik dan berkaitan dengan mesej yang cuba di sampaikan kali ini..

Tuesday, 16 August 2011

Ulasan dan Ringkasan 'Memoir Shamsiah Fakeh dari AWAS ke Rejimen ke-10'


Mengapa saya membaca memoir ini?

Shamsiah Fakeh, kali pertama saya mendengar nama itu adalah ketika saya berada di dalam tingkatan 3. Matapelajaran sejarah di dalam bab berkaitan kemerdekaan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah. Ketika itu akses kepada maklumat di dalam internet sangat terhad, saya tidak terfikir untuk mendalami hidup Shamsiah Fakeh. Kali kedua mendengar nama ini adalah ketika di Tingkatan 5, juga di dalam bab berkaitan kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada kali kedua, kami pelajar-pelajar sering bertanya perkara yang tidak ada di dalam silibus ketika itu, siapa Shamsiah Fakeh? Kenapa beliau menyertai rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya? sehingga perbincangan kami membawa kepada suatu kabar, di mana cerita dari mulut ke mulut mengatakan Shamsiah Fakeh membunuh anaknya dengan menghentaknya ke batu untuk mengelak dari di tangkap tentera kerajaan.

Jawapan terhadap hidup Shamsiah Fakeh tidak saya dapati sepanjang hidup saya di sekolah, bahkan semakin banyak soalan bertalu-talu menyelinap di dalam minda saya. Mengapa perempuan melayu mahu masuk hutan menentang British? Bukankan pada zaman Shamsiah Fakeh perempuan kebanyakan nya menjadi suri rumah dan duduk di ceruk dapur? Apa yang menyebabkan beliau meninggalkan hidup sebagai orang biasa lalu menjadi 'pengganas' menentang British? Bagaimana orang melayu Islam boleh terlibat dengan kegiatan pengganas komunis??

Sebagai seorang murid di sekolah berasrama, adalah saya lebih sibuk mengulangkaji untuk peperiksaan, di selang seli dengan aktiviti kokurilum untuk mengayakan sijil bagi meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Tambahan pula jurusan sains sosial bukan suatu jurusan yang popular di kalangan pelajar sains tulen di sekolah menengah. Saya lupakan Shamsiah Fakeh untuk beberapa ketika sekurang-kurang nya hingga pada tahun 2008.

Oktober 2008 berita Shamsiah Fakeh meninggal dunia sampai ke perhatian saya, ketika itu saya berada di Birmingham. Akses kepada internet sangat mudah, justeru melaui internet juga saya mendapat tahu bahawa Universiti Kebangsaan Malaysia ada menerbitkan memoir Shamsiah Fakeh. Dari itu saya berhasrat untuk membeli memoir berkenaan. Hasrat itu cuma tertunai pada tahun ini, di sebabkan saya jarang melawat kedai buku di Malaysia sepanjang pengajian saya di UK. Ketika melawat kedai buku baru-baru ini, saya terjumpa dengan memoir ini, versi bahasa Inggeris, dan saya beli dengan harga RM30. Memoir ini tidak panjang, saya habiskan dalam masa tidak sampai sehari, betapa saya harap memoir ini lebih panjang dari yang sepatutnya. Namun, ia lebih baik dari tidak mendengar apa-apa dari tinta pejuang bernama Shamsiah Fakeh.

Terjawabkah persoalan tentang Shamsiah Fakeh??

Ya, dengan membaca memoir beliau, sedikit sebanyak persoalan saya terjawab. Dengan membaca memoir ini juga sedikit sebanyak menjadi ulangkaji saya terhadap apa yang saya pelajari suatu ketika dulu. Minda saya mula membahagi-bahagi maklumat yang pernah saya dapati dari buku teks sekolah, serta maklumat-maklumat baru dan juga jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul ketika belajar di sekolah menengah dulu.

Namun tidak saya nafikan, timbul persoalan-persoalan baru tentang perjuangan nasionalis berhaluan kiri. Nampaknya persoalan tidak akan berhenti dari menerjah minda saya setiap kali membaca kisah lampau negara kita.

Penglibatan Shamsiah Fakeh di dalam politik
Shamsiah Fakeh ketika berumur 13 tahun bersama dengan ibunya Sa'amah  Nonggok dan adiknya Ramli sebelum beliau berangkat ke Sumatera untuk belajar di Sekolah Agama Rahmah Al Yunusiah


Didalam memoir beliau, beliau tuliskan latar belakang kehidupan beliau sebagai anak remaja. Jelas Shamsiah Fakeh bukan dari kalangan orang berpendidikan tinggi. Beliau tidak mempunyai kesedaran politik sehinggalah jepun meninggalkan tanah melayu. Tatkala ini orang melayu sedar bahawa Tanah Melayu perlu merdeka dari semua bentuk penjajahan.

Sebelum bergiat aktif dalam politik, beliau mengalami penceraian sebanyak dua kali. Penceraian yang di lakukan tidak mengikut lunas agama menjadikan beliau merasakan kaum wanita sering di tekan oleh kaum lelaki. Dalam perjuangan beliau dalam sayap wanita Parti Kebangsaan Melayu Malaya (kemudiannya di namakan Angkatan Wanita Sedar, AWAS), beliau sering memberi ucapan bagi menaikan semangat kaum wanita di zaman beliau. Bagi beliau, bebas dari penjajahan British merupakan titik tolak wanita bebas dari penindasan lelaki.(m/s 29)

Penglibatan beliau sebagai Ketua AWAS mendapat restu ayahanda beliau yang juga di katakan mempunyai semangat nasionalis yang tinggi. Beliau mengantikan Aishah Ghani (Tan Sri Datin Paduka Seri) yang meninggalkan AWAS bagi menyertai UMNO. (m/s13-19)

Perlu saya nyatakan di sini, sebelum beliau bergiat aktif di dalam PKMM, beliau juga banyak menghadiri perjumpaan-perjumpaan yang di anjurkan oleh UMNO(m/s 13). Betapa ketika itu semangat beliau untuk membebaskan tanah air amat tinggi. Walaupun menurut beliau, beliau tidak berpengetahuan di dalam ideologi, hanya dengan semangat nasionalis itu beliau berjaya memimpin AWAS dalam usaha memerdekakan Tanah Melayu.(m/s 25)

Bagaimana Beliau Menyertai Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya.

Sebelum 1948

Di sekita tahun 1945 dan 1946 Tanah Melayu menyaksikan kelahiran banyak parti-parti politik yang di bakar dengan semangat anti colonial yang tinggi. Antara parti politik melayu yang lahir ketika itu adalah Persatuan Kebangsaan Melayu Muda (PKMM), United Malays National Organisation (UMNO) atau singkatan melayunya PEKEMBAR, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) merupakan suatu sayap PKMM.

PKMM di kira sebagai parti berhaluan kiri. Ahlinya sering di tangkap, di penjara dan di hukum gantung oleh British, manakala UMNO pula tidak pernah di usik(m/s 15). Parti-parti berhaluan kiri melayu kemudiannya menubuhkan suatu pakatan di namakan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA).

PUTERA terdiri dari AWAS, API, GERAM (Gerakan Angkatan Muda Singapura) dan BATAS (Barisan Tani Se Malaya) dan lain-lain. Manakala bagi parti-parti bukan Melayu (kecuali PKM) yang tidak mahu saya senarikan disini menubuhkan pakatan yang di panggil All-Malaya Council for Joint Action (AMCJA).

PUTERA dan AMCJA bergabung menubuhkan pertubuhan PUTERA-AMCJA. Pemimpin AMCJA ketika itu adalah Tan Cheng Lock (kemudiannya TUN) manakala PUTERA di ketuai oleh Ishak Haji Muhammad (Pak Sako).
Keratan artikel dari Majalah Kenchana bil 12 1 November 1947 berkenaan dengan Hartal

Di pendekan cerita, PUTERA-AMCJA mengemukan perlembagaan rakyat, namun pihak British menolak perlembagaan tersebut dan hanya berkerjasama dengan UMNO dan wakil raja-raja melayu. Ketika itu parti-parti berhaluan kiri merasakan jalan diplomasi telah di tutup oleh pihak British. Mereka melancarkan mogok di seluruh tanah melayu (Hartal) pada 20 Oktober 1947. Menurut Shamsiah di dalam memoir nya, mogok itu berjalan lancar dan berjaya merencatkan Ekonomi (m/s 34). Shamsiah Fakeh juga terlibat dalam Hartal sebagai ahli PUTERA yang mana beliau mengetuai AWAS.

Darurat 1948

Sebelum darurat di isytiharkan, parti-parti berhaluan kiri bebas bergerak menyampaikan ideologi mereka. Ini termasuk Parti Komunis Malaya (PKM). Di dalam kongres-kongres parti berhaluan kiri, wakil PKM akan memberikan ucapan. Pada Shamsiah Fakeh, tiada apa yang pelik mengenai PKM. Mereka kelihatan bersemangat  dalam menuntut kemerdekaan negara. Menurut beliau juga, ketika itu PKM tidak di gembar-gemburkan sebagai jahat dan pengganas. (m/s 39).

Pengisytiharan darurat oleh British telah mengakibatkan semua parti berhaluan kiri di haramkan. Ini termasuk semua parti-parti komponen PUTERA-AMCJA. Sejurus sebelum Darurat Di isytiharkan, Shamsiah Fakeh berpindah ke Lubuk Kawah di Pahang. Di situ lah Wahi Anwar (Ahli PKMM pusat) meyakinkan Shamsiah untuk turut serta dalam PKM. Shamsiah berasa tiada apa-apa yang pelik dengan PKM ketika itu memandangkan mereka berjuang menentang British. Malahan Shamsiah mengalu-alukan keputusan PKM untuk menerimanya sebagai ahli atas sebab yang sama.(m/s 37-39)

Walaupun pada awal penglibatannya dalam politik, Shamsiah Fakeh menghadiri banyak perjumpaan-perjumpaan UMNO, Shamsiah memilih untuk berada di dalam PKMM, parti berhaluan kiri kerana pada beliau PKMM lebih progresif dan anti colonialis.(m/s 15) Shamsiah Fakeh mendapat latihan gerila di Pahang dan pada 1949, Rejimen ke-10 PKM di tubuhkan. Rejimen ke-10 di anggotai oleh orang Melayu dalam PKM.

Menolak Dakwaan Jahat terhadap dirinya.
Potrait Shamsiah Fakeh yang di ambil pada tahun 1994. Gambar kecil, potrait yang di ambil pada tahun 1960
Sebelum beliau menulis memoir ini, banyak cerita-cerita tentang beliau menitip di dada akhbar serta dari mulut ke mulut. Di dalam prakata memoir ini beliau berharap penerangan beliau dapat menjawab beberapa tuduhan jahat terhadap dirinya.

1) Shamsiah membunuh anaknya untuk lari dari tentera kerajaan dengan:

a) menghanyutkan anaknya kesungai (tuduhan Musa Ahmad)
b) menghentak anaknya ke batu.(tuduhan Syed Alwi)

 Di katakan juga beliau berbuat demikian kerana tertekan suaminya menyerah diri kepada tentera kerajaan. Tuduhan berkenaan di lemparkan oleh ahli PKM yang menyerah diri kepada kerajaan di dalam temuramah dengan RTM.

Shamsiah menyifatkan tuduhan itu amat jahat dan di luar batasan. Menurut Shamsiah, beliau tidak membunuh anaknya. Sebaliknya beberapa ahli PKM, meyakinkan beliau untuk menyerahkan anaknya pada penduduk kampung memandangkan keadaan perang tidak membolehkan beliau bergerak dengan bayinya. Shamsiah menyerahkan bayi itu dengan rasa sedih dan berat hati. Bayi beliau tidak di serah kan kepada penduduk kampung tempatan sebaliknya dibunuh oleh 3 orang anggota PKM. Hanya selepas 3 tahun, Shamsiah mendapat berita dari ahli tertinggi Rejimen ke 10, Musa Ahmad tentang kejadian sebenar.

Lebih menyedihkan lagi, Musa Ahmad lah yang memberi tahu wartawan RTM, bahawa Shamsiah Fakeh membaling anak nya kesungai. Di dalam memoir beliau, shamsiah menceritakan bagaimana beliau menyelamatkan bayi beliau ketika di serang oleh tentera kerajaan, menolak sama sekali tuduhan bahawa beliau seorang pembunuh.(m/s 52-59)

2) Syamsiah pembunuh kejam dan mempunyai ilmu kebal.

Syamsiah berkata, tiada sebab untuk pasukan polis berdendam terhadap dirinya. Walaupun beliau dibekalkan dengan pistol dan bom tangan ketika berada dihutan, beliau tidak pernah menggunakan senjata itu untuk membunuh pasukan tentera kerajaan.  Senjata berkenaan di berikan kepadanya sebagai penghormatan terhadap beliau sebagai ketua AWAS. Sebaliknya menurut beliau, beliaulah yang di hujani peluru tentera kerajaan.

Beliau juga menolak cerita bahawa beliau mempunyai ilmu kebal.  Beliau mendakwa beliau cuma hamba Allah dan tiada apa-apa kekebalan pada beliau. Hanya Allah yang memanjangkan umur beliau sehingga beliau dapat menulis memoir ini. (m/s 116)

Hati saya berasa sayu apabila membaca bahagian yang menceritakan bagaimana beliau menyerahkan anak beliau kepada anggota PKM untuk di serahkan kepada penduduk tempatan. Sebelum perkara itu berlaku, pihak tentera memburu beliau dan beliau terpaksa melarikan diri bersama bayi beliau untuk mengelak daripada di tangkap. Sungguh cekal semangat beliau, bukan sahaja sebagai pejuang, malah sebagai seorang ibu dan wanita melayu.


Mempertahankan perjuangan di dalam hutan menentang British.

Di dalam memoir beliau, beliau banyak mempertahankan keputusan beliau masuk ke hutan menentang British. Beliau mempertahan PKM untuk mengangkat senjata menentang British. Beliau menyifatkan British adalam pengganas sebenar. Bercakap mengenai pertumpahan darah dengan askar yang terdiri dari orang Malaya, Shamsiah berkata

'' Di dalam perang, sama ada adil atau tidak, pertumpahan darah tidak dapat di elak kan. Sesiapa yang berjuang di samping penjajah, pasti menerima tentangan. Ianya salah mereka untuk berpihak kepada penjajah''  m/s 47 ............(petikan bahasa inggeris yang saya terjemahkan kedalam bahasa melayu, ada kemungkinan tidak sama dengan memoir asal Shamsiah dalam bahasa melayu) 

Di dalam memoir nya juga, Shamsiah ada memetik beberapa kali buku '25 tahun merdeka' karangan Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris seorang veteran di dalam UMNO. Tan Sri Abdul Samad Idris ada mempertahankan orang-orang melayu yang memberontak di hutan menentang British. Berikut adalah terjemahan dari petikan di dalam buku beliau:

''Jangan fikir pemberontakan oleh orang-orang melayu di Jenderam, Selangor, di Termeloh Pahang dan di tempat lain, yang mana mereka berkerjasama dengan pengganas komunis adalah kerana pemahaman mereka yang kuat terhadap ideologi komunis. Adalah sangat jelas melalui analisis sejarah bahawa mereka adalah wira nasionalis melayu. Mereka memilih jalan pemberontakan semata-mata hanya untuk mendapat kemerdekaan'' -25 Tahun Merdeka dipetik dan diterjemah dari memoir Shamsiah Fakeh m/s 49-

Shamsiah memetik lagi tulisan veteran UMNO berkenaan.

''Sebab lain yang memaksa British untuk berlembut dengan UMNO adalah pemberontakan bersenjata yang di lancarkan oleh pengganas komunis di hutan''-25 Tahun merdeka di petik dan di terjemah dari memoir Shamsiah Fakeh m/s 49-

Shamsiah sebelum itu menimbulkan persoalan kepada pembaca, adakah penjajah akan dengan mudah memberi kemerdekaan hanya melalui kompromi? Agak berat untuk hati ini menjawab ya. 

Shamsiah Fakeh juga ada memetik kata-kata Tun Dr Ismail dari buku 25 Tahun Merdeka. katanya

'' Setiap nasionalis, berhaluan kiri atau kanan,mereka telah bersama-sama menyumbang kepada perjuangan menuntut kemerdekaan yang di lakukan oleh UMNO''-25 Tahun Merdeka dipetik dan di terjemah dari memoir Shamsiah Fakeh m/s 71-

Kesimpulan

Memoir ini merakam kan suatu peristiwa sejarah dari sudut yang jarang di dengar oleh masyarakat. Apa yang saya tulis cuma ringkasan dari begitu banyak maklumat yang beliau tuliskan sebelum beliau meninggal dunia.

Shamsiah secara keseluruhan mempertahankan pemberontakan parti-parti berhaluan kiri tanpa mengecam pergerakan nasionalis UMNO secara ekstrim.  Beliau banyak memetik buku veteran UMNO Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris dalam usaha menerangkan tentang perjuangan beliau kepada pembaca.

Hal yang demikian membuatkan saya mahu mencari buku 25 Tahun merdeka hasil tulisan veteran UMNO berkenaan. Tambahan pula di dalam suatu bahagian dalam memoir Shamsiah, beliau memetik cubaan pemberontakan yang mahu di lancarkan oleh pemuda UMNO yang di panggil Barisan 33. Saya mahu mendapat maklumat lanjut berkenaan dengan Barisan 33 yang mana antara pemimpin yang terlibat adalah ayahanda kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sikap Shamsiah yang tidak mengecam perjuangan UMNO merupakan suatu perkara yang patut di puji (lihat nota 1). Beliau lebih menumpukan kepada tujuan utama perjuangan masing-masing iaitu menuntut kemerdekaan.

Hal ini berbeza dengan sesetengah golongan muda masakini yang tidak pernah merasa sepak terajang penjajah mahupun komunis. Ada yang senang lenang melabel nasionalis UMNO sebagai anjing penjajah dan ada yang senang lenang melabel perjuangan berhaluan kiri sebagai 'barua komunis' tanpa menilai fakta-fakta sejarah di sebalik perjuangan mereka.

Tidakkah nasionalis kanan dan kiri pada akhir hidup mereka menghormati perjuangan antara satu sama lain?  Adalah amat jijik bagi insan yang tidak merasai perjuangan menuntut kemerdekaan untuk melabel mana-mana pihak dengan label yang tidak baik, hanya kerana sentimen politik semasa.

Bangsa kita kadang-kadang terlalu banyak bercakap dan kurang membaca. Barangkali dengan membaca memoir nasionalis-nasionalis berhaluan kanan dan kiri dapat kita meningkatkan pemahaman terhadap perjuangan mereka. Saya sendiri masih belum banyak membaca, sedikit-sedikit saya sematkan azam sempena sambutan kemerdekaan ini untuk membaca lebih banyak buku sejarah negara kita. 

Secara keseluruhan, memoir Shamsiah Fakeh dapat menjawab beberapa persoalan saya. Ianya merupakan suatu bacaan yang baik untuk kita semua sebagai tambahan tentang matapelajaran sejarah yang kita pelajari di sekolah. Selain itu, memoir ini juga boleh di jadikan sebagai teladan kepada wanita-wanita, mahasiswi-mahasiswi, aktivis-aktivis kerana memuatkan kisah seorang wanita berjiwa cekal bernama Shamsiah Fakeh.

Saya membaca memoir ini tanpa membuat penilaian betul atau salah perjuangan beliau. Sebagai generasi yang tidak merasa perit jerih penjajahan, bukan tugas saya untuk menilai perjuangan mereka. Tetapi, sebagaimana yang di kata kan oleh Shamsiah di dalam prakata memoir beliau, 'yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan'. Dengan membaca memoir nasionalis ini, harapnya rakyat malaysia dapat menghargai kemerdekaan yang di kecapi sekarang.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan
ke-54!
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Rujukan:

The Memoirs of Shamsiah Fakeh from AWAS to 10th Regiment
ISBN: 9789839048772
Author: Shamsiah Fakeh
Publisher: SIRD
Year: 2009 


Nota

1) ketika di temuramah oleh wartawan mastika, wartawan bertanya soalan yang berbunyi:

 Apa pandangan terhadap Aishah Ghani? Aisyah pernah berkata Shamsiah terdorong masuk PKM dan tidak mengkaji hal-hal di belakang tabir(AWAS di peralat komunis)

Shamsiah Fakeh Menjawab:

 "Aisyah dengan aku bagai adik beradik, dia seorang tokoh perjuangan kemerdekaan, aku gambira dan bersyukur dengan kejayaannya! Cakap Aisyah mungkin betul separuh, tapi kalau pada masa itu aku pintar dalam memilih untuk berjuang di mana hidup aku akan senang lenang dan tiada risiko, maka aku bukan Shamsiah!"

Sumber


Saturday, 6 August 2011

Video Kapal Angkasa Juno berlepas ke Musytari 05/08/11

Semalam, kapal angkasa pertama menggunakan tenaga suria (untuk misi yang jauh dari matahari) berlepas dalam misi untuk mengkasi planet Musytari, Planet terbesar dalam sistem suria yang juga merupakan target kegemaran ahli astronomi amatur seperti saya. Kapal yang berharga 1.1 billion USD di jangka tiba di Jupiter pada Julai 2016. 

Juno di lancarkan di atas roket Atlas 5 dari Stesyen Udara Cape Caneveral tepat jam 12:25 waktu tempatan. Ini selepas beberapa minit tertangguh akibat masalah kebocoran helium di tapak pelancaran. 

Di sebabkan cahaya matahari di Musytari cuma 1/25 keamatan dari apa yang kita terima di bumi, Juno akan sentiasa menghadap cahaya matahari ketika mengorbit planet itu kelak (rujuk video 5). Gambar di bawah adalah gambar kapal angkasa Juno untuk memberi gambaran saiz kapal angkasa berkenaan.

Dilengkapi dengan sensor bagi mengkaji komposisi planet Musytari serta bagi mengesahkan geografi planet samada ianya berbatu, atau pun gas. Selain itu saintis juga mahu mengukur jumlah molekul air di dalam atmospfera Musytari sebagai petunjuk jumlah oksigen di planet itu ketika sistem suria mula-mula terbentuk.

Secara keseluruhan misi ini bertujuan untuk mengkaji asal usul  serta perubahan yang di alami oleh planet Musytari semenjak terbentuknya sistem suria. Bagi ahli astronomi amatur, dan peminat sains angkasa, kapal angkasa Juno bakal merakam gambar yang tidak pernah di rakam sebelum ini. Berkemungkinan memberi prespektif berbeza terhadap 'Great Red Spot' dan kawasan kutub di Jupiter. Semoga kapal angkasa Juno selamat sampai ke Musytari dan dapat menyelesaikan misi dengan jaya nya. Juno akan mengorbit Musytari sebanyak 32 kali sebelum memasuki atmosfera planet berkenaan untuk menamatkan misinya.

Berikut adalah video sekitar pelancaran Juno di atas roket Atlas 5 semalam:

1) Persediaan Sebelum Berlepas



2)T minus 2:22:22 liputan sebelum berlepas



3)Juno berlepas!!!!



4) Simulasi Laluan Juno ke Musytari



5)Simulasi Juno mengorbit Musytari



Sumber: NASA, BBC

Video mengenai Juno juga boleh di dapati di tab video di dalam blog ini..