Thursday 15 September 2011

Bulan dan Musytari (Jupiter) Menari-nari di langit

Tarikh: 15/09/2011
Masa: 2230-2353
Objek: Bulan, Musytari (Jupiter)
Cuaca: Sedikit berawan
Peralatan: Orion Apex 90mm Mak Cass, Nikon 8MP compact camera

Mungkin tajuk entry tidak mengambarkan suasana sebenar cerapan semalam. Tapi, itulah ayat yang dapat saya garapkan untuk mengambarkan keindahan alam ciptaan tuhan. Semalam (15hb Sept 2011) pada jam 2230 saya keluar untuk mencerap bulan. Gambar bulan amat mudah untuk saya tangkap. Beberapa minit selepas itu planet Musytari mula 'terbit' dari pucuk pokok di kejauhan.

Selepas saya puas mengambil gambar bulan, saya halakan teleskop saya ke arah Musytari. Kali ini saya gunakan eyepice 15mm, tidak seperti sebelum ini saya gunakan 25mm. Eyepiece berkenaan saya beli murah, jadi kualitinya tidak berapa baik. Tapi magnification lebih besar menyebabkan imej Musytari dapat saya ambil. Imej kali ini lebih baik dari imej yang saya ambil pada 4hb Sept 2011. Saya masih tidak dapat melihat Io. Cuma Calisto, Ganymede dan Europa sahaja kelihatan. Saya akan beri tumpuan pada detail cerapan selepas ini, memandangkan cuaca agak berawan jadi saya terburu-buru untuk mendapatkan imej Musytari.
Gambar 1: Inilah yang saya maksudkan dengan Bulan dan Musytari menari bersama
Tidak susah untuk mencerap planet. Lihat sahaja gambar di atas, sekali imbas Musytari sudah dapat di kenalpasti. Musytari terbit beberapa minit selepas bulan terbit. Semalam kedudukannya tidak jauh dari bulan. Musytari juga dapat dikenalpasti kerana kecerahannya yang lebih cerah dari objek-objek lain. Pada laporan cerapan menggunakan binokular dalam post yang lepas, saya berjaya mengesan bulan-bulan planet zuhal (saturn). Saya pasti bulan planet Musytari juga mudah di kesan dengan menggunakan binokular. Akan datang saya akan mencerap Musytari dengan menggunakan binokular.
Gambar 2: Bulan pada 15Sept. Cuba namakan kawah-kawah yang kelihatan! 4 'rays system' juga jelas dalam imej kali ini
Gambar 2 pula merupakan gambar bulan yang saya ambil semalam. Ray system dari Tycho  kepler, Copernicus, Byrgius jelas kelihatan (lihat gambar 3). Appennine Mts juga kelihatan jelas dan cantik semalam. Walaupun awan nipis mengganggu cerapan namun, bulan yang terang membolehkan gambar yang baik di ambil.
Gambar 3: Gambar bulan seperti gambar 2 tetapi dengan label 'ray system' dan gunung pada bulan.
Ray system di sebelah bawah adalah dari kawah Byrgius A. Ray system menjangkau jarak 400km. Manakala ray system dari kawah Tycho pula menjangkau 1500km panjang. Ray system digunakan oleh ahli geologi bulan untuk menentukan umur kawah. Selain itu arah ray system dapat menceritakan bagaimana hentaman berlaku.

Gambar 4: Musytari (Jupiter) dengan tali pinggang utara dan selatan (Jupiter's Belts)
Sebagaimana yang saya katakan tadi, cuaca sedikit berawan. Jadi saya tidak dapat mencerap Musytari dengan lama. Saya dapat rakamkan video musytari dan kemudianya video itu saya proses dengan Registax. Registax adalah software percuma (lihat bahagian kanan blog di ruangan free astronomy software untuk dimuat turun) yang biasa digunakan oleh ahli astronomi amatur untuk memproses imej. Di dalam video imej tali pinggang samar-samar, namun dengan registax saya berjaya menaikan imej berkenaan sehingga jelas kelihatan.

Kesimpulan:

15hb Sept merupakan hari yang produktif dalam penglibatan saya dengan hobi astonomi. Pada siang hari saya menggunakan 'projection technique' untuk mengesan tompok matahari (sun spot) dan pada malamnya saya dapat mencerap bulan dan Musytari. Tambah menggembirakan, saya dapat merakam gambar dan video untuk di tulis dalam log cerapan. Saya berharap dapat mencerap dengan lebih kerap di masa akan datang!!!


No comments:

Post a Comment