Showing posts with label Nebula. Show all posts
Showing posts with label Nebula. Show all posts

Thursday, 28 March 2013

Prime Focus Astrophotography

Tarikh: 28/03/13
Masa: 7.30pm-9.15pm
Cuaca: awan nipis. Penglihatan kurang memuaskan.
Teleskop: Orion XT4.5, Orion Apex 90mm Maksutov Cassegrain
Tempat: Kolej Matrikulasi Labuan

Pos pendek malam ini berkenaan dengan cerapan ringkas yang dilakukan selepas maghrib tadi. Saya dan rakan mencuba untuk melakukan cerapan di tapak cerapan baru. Kami pilih di atas menara pentadbiran kolej matrikulasi Labuan.

Objek yang pertama di cerap adalah Musytari(jupiter). 2 bulan kelihatan jelas seakan menari mengililingi Musytari. Imej menerusi Orion XT4.5 sangat jelas. 3 atau 4 jalur awan pada permukaan Jupiter dapat di perhatikan. Saya seakan dapat melihat GRS menerusi Orion XT4.5. Cuma apabila saya cek semula pada software Jupiter 2, kedudukan GRS tidak berada ditempat yang saya lihat ketika cerapan. (akan datang akan cerap menggunakan filter berwarna).

Objek seterusnya adalah Orion Nebula. Nebulosity (awan) nebula lebih baik berbanding cerapan ketika di padang kolej. Penambah baikan ini mungkin disebabkan mata kami telah disesuaikan dengan keadaan gelap. Kami berada jauh dari lampu jalan. Namun lampu-lampu jalan sekeliling kolej serta lampu dari blok kediaman pelajar terus menjadi tirai menghalang bintang-bintang di langit menunjukan persembahannya. Secara jujur, saya telah lupa bagaimana Orion Nebula melalui XT10. Saya tidak ingat ada perbezaan dengan apa yang yang saya lihat dengan XT4.5.

Objek seterusnya adalah bulan. Bulan berada pada 98% penuh dan semakin mengecil. Imej bulan secara visual menerusi Orion Apex Mak-Cass tidak berapa cantik. Keamatan cahaya bulan menghilangkan kontrast kawah. Tiada perbezaan(sekali imbas) apabila filter berwarna digunakan dalam cerapan.

Pada malam ini juga kali pertama saya menggunakan kaedah Prime Focus untuk merakam gambar. Ini satu perkara baru kerana selama ini kaedah yang saya gunakan adalah afocal. Pada mulanya kaedah prime focus cuba digunakan dengan Orion Xt4.5. Namun kami gagal untuk mendapatkan focus pada bulan. Ini telah kami jangka dengan lebih awal.

Orion Apex 90mm Mak Cass memang saya beli kerana berangan-angan untuk melakukan prime focus photography. Tapi ianya terhenti disebabkan kos. Perlu disedari pada cerapan ini mount yang kami gunakan tidak mempunyai kemampuan untuk 'track' objek. Justeru Imej hasil cerapan kami tidak mencapai jangkaan kami. Walaubagaimana pun, focus dapat dicapai dengan teleskop Mak-Cass. Berikut adalah gambar set up prime focus (Kamera Nikon, model tak pasti) bersama teleskop Orion Apex Mak Cass.
Live View dari kamera Nikon

Orion Apex Mak-Cass 90mm dengan kamera DSLR

Prime Focus, Sambungkan kamera pada teleskop tanpa lens atau eyepiece.

Sunday, 24 June 2012

[Cerapan] Objek Deep Sky(DSO)

Objek: Zuhal, M4, M7, M6 (butterfly cluster), Lagoon Nebula, Trifid Nebula
Tarikh: 23/06/12
Peralatan: Orion XT10, Celestron 10x50 Binokular. Untuk cerapan objek deep sky, Eyepiece yang digunakan adalah Orion Q70 32mm 2inch Eyepiece.


Semalam (23/06/12 Jam 2234) cuaca agak cerah. Bintang Antares yang berada lebih kurang langit selatan dah mula meninggi. Bahagian langit selatan di kawasan cerapan saya ditutupi dengan pokok kelapa sawit. Jadi sejak beberapa ketika memang susah nak buat cerapan kalau objek berada di bahagian selatan. Utara pula selalu berawan. 

Zuhal


Awal cerapan saya mulakan dengan cerapan planet Zuhal. Ini bagi memastikan apa yang saya cerap pada 17 Jun adalah betul. Saya dapat sahkan pada 23 Jun memang saya tidak dapat lihat Cassini Division secara visual dengan magnifikasi 160x/96x. Cerapan Zuhal mengambil masa lebih kurang 20-30minit.



Beberapa cerapan yang lalu saya ada tulis tentang kesukaran mencerap objek-objek deep sky jika tiada pengalaman. Baru-baru ini saya mula gunakan binokular untuk mengimbas langit bagi mencerap objek-objek deep sky. Berbaloi kerana binokular memang peralatan terbaik untuk latihan mengenal bintang dan membiasakan diri dengan kedudukan bintang. Omega Centauri, M4 globular cluster antara objek deep sky yang saya perhatikan melalui binokular terlebih dahulu sebelum menggunakan teleskop.



Gugusan Messier 4 


M4 saya perasan melalui bintang Antares. Antares agak mudah dicari memandangkan warnanya yang 'merah' berbanding dengan bintang lain. Antares adalah bintang dalam buruj Scorpio. Jadi saya tumpukan cerapan saya dengan bintang-bintang dalam buruj scorpio kerana berdekatan dengan bintang-bintang tersebut terdapat objek deep sky yang menarik.

Gambar 1: M4 dari teleskop amatur (Sumber : Hewholooks)
M4 melalui binokular memang kurang jelas. Namun jika diperhatikan sebaik mungkin kelihatan seakan kotoran/asap yang bercahaya dilangit. Bentuknya hampir sama dengan Omega Centauri jika dilihat dari binokular cuma, kecerahan omega centauri lebih cerah berbanding M4. Justeru, kali pertama saya menghalakan binokular ke M4 saya tidak pasti apa yang saya lihat. Saya fikir M4 yang saya lihat menerusi binokular mungkin bayangan dalam fikiran saya. Cerapan kali ini mengesahkan apa yang saya lihat terlebih dahulu. 


Melaui Orion XT10, imej M4 tidak secerah Omega Centauri. Barangkali disebabkan bintang berdekatan menyebabkan kontras imej kurang menyerlah. Dengan menggunakan Orion Q70 32mm eyepiece saya boleh muatkan M4 dan Antares dalam field of view (FOV) saya. Imej yang saya perhatikan hampir sama dengan rajah diatas cuma imej yang saya lihat hitam putih. Imej diatas dirakam dengan ccd.


Messier 7 dan Butterfly Cluster


Setelah mengesahkan apa yang saya lihat berdekatan Antares, Saya halakan binokular pada ekor scorpio. Bintang Shaula dan Lesath (berkemungkinan dari bahasa Arab) menjadi petunjuk saya kali ini.

Gambar 2: M7 atau Ptolemy Cluster (sumber: Astronet)
Tidak sukar mencari M7. Halakan teleskop pada Shaula, dan kemudian tolak(dobsonian) tube teleskop ke kiri supaya pointer difinderscope bergerak lebih kurang satu jari dari bintang Shaula. Insya'Allah terus boleh jumpa M7 atau dikenali juga sebagai ptolemy cluster.

Saya boleh cari M7 dengan mudah melalui binokular. Bahkan binokular yang membantu saya mencari M7 dengan teleskop. Melalui teleskop saya, bintang-bintang kebiruan seperti dalam Gambar 2. Cuma tidaklah saya lihat bintang sebanyak dalam gambar 2 melalui visual. Dan kecerahan melalui teleskop saya kurang sedikit berbanding dengan gambar 2.

Butterfly Cluster(M6) tidak berada jauh dari M7. Melaui binokular, boleh dilihat M6 dan M7 dalam fov yang sama.  Saya boleh muatkan M6 dan M7 dalam fov eyepiece 32mm saya. Tapi kesan aberration eyepiece membuatkan imej tidak fokus dibahagian tepi fov. Lebih lama saya lihat, lebih jelas bentuk Rama-Rama M6. 

Gambar 3: M6 Butterfly cluster (sumber : APOD)
Apa yang menyebabkan saya mudah mengenali M6 bukan kerana bentuknya. Tetapi dalam gugusan M6 terdapat satu bintang berwarna merah berbeza dengan warna biru bintang lain. Jika dilihat melalui teleskop newtonian saya bintang tersebut berada di sayap kanan rama-rama. Bintang tersebut adalah BM Scorpii (HIP 86257).

Lagoon Nebula dan Trifid Nebula

Ini merupakan kali pertama saya mencerap Nebula selain dari Orion Nebula. Orion Nebula lebih mudah dicerap kerana cerah dan bentuknya yang mudah dikenali serta kedudukan yang mudah dicari didalam buruj Orion.
Gambar 4: Lagoon Nebula (Sumber Misti Mountain Observatory)
Pada asalnya saya sesat ketika mencari Butterfly Cluster. Terjumpa Lagoon Nebula, walaupun ketika itu saya tidak tahu namanya, tapi saya tahu ia adalah nebula kerana 'nebulosity' objek yang saya lihat memang jelas. Ciri yang paling menonjol secara visual adalah gap gelap ditengah-tengah nebula. Ciri itu yang buat saya kenal Lagoon Nebula. Tidak seperti Gambar 4, imej visual yang saya lihat kurang cerah dan tiada warna. Warna didalam gambar adalah kesan pemprosesan komputer (Imej diambil dengan filter RGB dan kemudian diproses). Saya tidak perasan Lagoon Nebula binokular. 

Untuk mencari Lagoon Nebula saya gunakan bintang Kaus Borealis sebagai petunjuk. Tidak jauh dari Lagoon Nebula dan bintang berkenaan boleh dilihat dengan mata kasar.

Tidak jauh dari Lagoon Nebula terdapat satu lagi nebula, yang dinamakan Trifid Nebula.

Gamabar 5 : Trifid Nebula ( Sumber: Physcohistorian)
Saya tidak nampak apa-apa ciri dan details pada trifid nebula ketika cerapan. Apa yang membuatkan saya yakin objek yang saya lihat adalah trifid nebula adalah kedudukannya yang hampir dengan Lagoon Nebula dan saya perasan ciri Nebula pada objek yang saya lihat.

Saya boleh muatkan Trifid Nebula dan Lagoon Nebula dalam satu fov (XT10). Saya halakan binokular, saya tidak nampak apa-apa ciri  menonjol nebula melalui binokular saya. Jadi saya simpulkan saya tidak lihat kedua-dua nebula melalui binokular (walaupun saya ada nampak sesuatu yang berkemungkinan 2 nebula yang hampir).

Penutup

5 DSO dalam satu malam M4,M7,M6, Lagoon nebula, Trifid Nebula. Saya rasa saya boleh tambah lagi list malam tu, cuma dah tengah malam dan nyamuk dah banyak. 5 DSO kira satu pencapaian untuk saya.  Biasanya nak cari 1 DSO pun terkial-kial. Malam 23 Jun adalah malam cerapan yang agak serius bagi saya. Bukan sahaja saya bawa teleskop dan binokular, Laptop pun saya bawa untuk rujuk Stellarium. Itu yang membuatkan saya boleh cerap dan mengenali objek yang saya cerap. Selain dari itu saya bawa buku nota, pen, dan lampu suluh (merah). Saya tulis sedikit-sedikit apa saya buat dan lihat, akan datang saya akan cuba tulis dengan lebih banyak. 


Gambar 6: Sedikit Coretan Cerapan 
Selain daripada itu, Buruj Scorpio merupakan Buruj yang mudah dicari dan banyak DSO disekitar Buruj Berkenaan. Jadi siapa-siapa yang baru mula nak menjinakkan diri dalam mencerap DSO, mungkin Buruj Scorpio boleh dijadikan target yang baik. Sekian.

Nota: Semua gambar Objek Deep Sky didalam post ini diambil dari sumber lain. Sumber gambar dinyatakan didalam caption gambar. Cerapan hanya dibuat secara visual.


Apabila saya kata bintang/objek berwarna merah, boleh jadi Jingga, cuma saya selalu anggap merah.