Friday 14 October 2011

Musytari (Jupiter) menghampiri Bumi


Jika anda mengharapkan post kali ini berkaitan dengan planet Musytari hendak melanggar Bumi, saya terpaksa mengecewakan anda. Setakat ini tiada kedengaran dari Planetary Defence Force yang ada objek hendak melanggar bumi.

Post ringkas kali ini berkaitan dengan peristiwa yang di panggil Istiqbal (dalam bahasa arab) ataupun opposition (English). Istiqbal Musytari akan berlaku pada 29 hb Oktober tahun 2011. Peristiwa ini amat penting bagi segenap lapisan masyarakat kerana ini adalah masa terbaik untuk mencerap Musytari. Mengapa? kerana Musytari berada dalam kedudukan paling hampir dengan bumi berbanding kedudukanya sepanjang tahun ini.

Apa itu Istiqbal/Opposition?

Saya fikir gambar di bawah dapat menerangkan secara jelas apa yang di maksudkan dengan istiqbal/ opposition. Gambar menunjukan kedudukan Musytari dan Bumi ketika Istiqbal nanti.

Gambar 1: Musytari dan Bumi pada 29hb Oktober 2011. Kedudukan Musytari pada orbitnya menghampiri Bumi

Istiqbal dari segi bahasa bermaksud perbuatan menghampiri sesuatu. Di dalam kes Istiqbal Musytari, Musytari dan Bumi menghampiri antara satu sama lain. Seperti di dalam gambar di atas bumi berada di antara matahari dan Musytari. Musytari dan Matahari berada bertentangan antara satu sama lain (Opposite). Jadi kedudukan seperti di dalam gambar 1 merujuk kepada Istiqbal/Opposition.

Masa terbaik mencerap Musytari


Ketika Istiqbal (atau beberapa hari sebelum dan selepas), Musytari akan kelihatan cerah di langit. Ketika ini, Musytari adalah objek yang kedua paling cerah di langit selepas bulan. Kecerahan disebabkan oleh kedudukan Musytari berdekatan dengan Bumi. Teleskop berfungsi sebagai alat untuk mengumpul cahaya, justeru, imej Musytari menerusi teleskop akan kelihatan lebih jelas dan ciri pada planet akan lebih signifikan. 
Gambar 2: Bulan dan Jupiter pada 15hb September 2011. Jupiter kelihatan cerah di bawah bulan seakan menari-menari bersama di langit cerah.

Ketika Istiqbal tahun lepas (Laporan Cerapan) saya mendapati saiz Musytari lebih besar berbanding dengan saiz Musytari sebulan sebelum Istiqbal (melalui teleskop XT10). Ini memberikan kepuasan di dalam melakukan cerapan. Bagi yang memiliki teleskop berdiameter besar, ini merupakan masa terbaik untuk mencerap ribut di Musytari (Great Red Spot). 

Apa yang boleh dilihat pada Musytari?


Musytari merupakan objek kegemaran peminat astronomi amatur memandangkan ianya mudah di cari dan banyak perkara menarik boleh di cerap melalui teleskop. 

Belts(Jalur) pada Musytari merupakan ciri yang paling jelas boleh di lihat. Apa yang menarik ialah, belts pada Musytari akan hilang pada sesetengah waktu. Kadang-kadang belts pada Musytari mengambil masa sehingga 2 tahun untuk muncul kembali. Saintis masih belum memahami sepenuhnya cuaca di Musytari dan bagaimana belts pada Musytari boleh terbentuk dan hilang secara tiba-tiba. (Artikel Nasa)
Gambar 3: Imej  Musytari yang di ambil pada September 2010. Southern belt tidak kelihatan.( Gambar terbalik, bahagian selatan adalah bahagian sebelah atas)
Gambar 4: Diambil pada 15 September 2011, Kedua-dua belts kelihatan pada Musytari.



Gambar 3 dan 4 menunjukan perbezaan jelas tentang ciri yang di panggil sebagai Belts (Jalur). Pada bulan September 2010, Southern Equatorial Belt tidak kelihatan dan memudahkan cerapan Great Red Spot (terletak pada southern equatorial). Kedua-kedua gambar di atas di ambil dengan teknik amatur, jadi kualiti agak tidak baik, tapi saya berpuas hati kerana gambar tersebut di ambil oleh saya secara sendiri. Gambar 3 adalah gambar Musytari pertama yang saya ambil dalam penglibatan saya dalam hobi ini.

Selain daripada itu, Musytari popular kerana pergerakan bulan-bulan nya mengelilingi Planet kelihatan seolah-olah seperti sistem suria mini. Terdapat 4 bulan Musytari yang jelas kelihatan, iaitu, Ganymede, Calisto, Io dan Europa. Saya pernah melihat 3 bulan Musytari menggunakan binokular Celestron Upclose 10x50 (Laporan Cerapan).

Dengan menggunakan teleskop, peristiwa lebih menarik seperti moon transit pada Musytari boleh di cerap. Ianya berlaku apabila bulan Musytari berada diantara Musytari dan Matahari kelihatan seolah-olah bulan berkenaan merentasi Musytari jika di lihat dari Bumi. Saya pernah melihat Io transit pada Musytari. Jelas kelihatan Bulan-bulan berkenaan bergerak mengorbit Musytari seakan sistem solar mini.

Kesimpulan

Secara keseluruhan Istiqbal Musytari memberikan peluang yang baik bagi peminat astronomi untuk mencerap planet berkenaan. Ciri-ciri yang saya nyatakan boleh di lihat dengan lebih jelas berbanding masa-masa lain sepanjang tahun. Ini juga merupakan masa terbaik untuk merakam imej berkenaan memandangkan Musytari berada dekat dengan Bumi.

Selamat Melakukan Cerapan Musytari, Istiqbal Musytari 2011!

No comments:

Post a Comment