Thursday 3 November 2011

Jupiter (Musytari) Planet Misteri

Post kali ini ditulis sempena dengan Istiqbal (Opposition) Jupiter pada 29 October 2011. Walaupun ianya telah berlalu, namun Jupiter akan terus cerah menerangi langit malam sepanjang bulan November dan Disember. Justeru post ini bertujuan memberi maklumat ringkas berkenaan planet yang menjadi tumpuan peminat astronomi seluruh pelusuk dunia.

Jupiter merupakan planet terbesar di dalam sistem suria. Nama Jupiter diambil sempena nama tuhan Rome, Jupiter manakala perkataan Musytari adalah nama Jupiter dalam bahasa melayu yang di ambil dari perkataan Arab. Jisim (mass) planet Jupiter adalah lebih besar dari jisim semua planet dalam sistem suria. Adalah di percayai bahawa Jupiter memainkan peranan dalam menghalang komet dari menghentam planet di bahagian dalam sistem suria (Marikh, Bumi, Zuhrah, dan Utarid). Banyak perkara yang masih menjadi misteri mengenai planet ini. Nasa banyak menghantar Satellite untuk mengkaji planet Jupiter. Satellite yang baru di lancarkan adalah Juno, di ambil sempena nama isteri Jupiter dalam mitos rome.

Pergerakan Jupiter di langit

Setiap tahun, Jupiter akan kelihatan cerah di langit malam. Bagi ahli astronomi amatur, ia merupakan musim mencerap planet tersebut. Pada sesetengah masa ia merupakan objek yang paling cerah selepas bulan. Ia boleh mencapai magnitude -2.94. Jupiter akan berada pada kedudukan Opposition (Istiqbal) setiap tahun. Ini bermakna Jupiter akan berada dekat dengan orbit bumi. Ia akan berada di kedudukan bertentangan(Opposite) dengan Matahari manakala Bumi berada di tengah-tengah. Walaubagaimapun, ada tahun yang berlalu tanpa opposition. Sebagai contoh, opposition selepas 2011 adalah pada 3 Dec 2012, dan kemudian nya pada  8 Jan 2014. Ini meninggalkan tahun 2013 tanpa Opposition. Kecerahan Jupiter menyebabkan ianya mudah dicerap dan merupakan planet kegemaran ahli astronomi.

Sejarah Cerapan Awal Jupiter

Jupiter mula dicerap menggunakan teleskop sekitar tahun 1610 oleh Galileo dan Simon Marius. Ketika itu, 4 bulan Jupiter ditemui, namun ciri permukaan Jupiter tidak kelihatan. Pada tahun 1630, dengan menggunakan teleskop pembias berdiameter kecil, N. Zucchi berkemungkinan menemui Jalur khatulistiwa (Equatorial Belt) utama Jupiter. manakala pada tahun 1633 F. Fontana berjaya mencerap 3 jalur pada Jupiter. Hanya pada tahun 1659, C.Huygens menerbitkan lukisan yang menunjukan 2 jalur khatulistiwa Jupiter.

Sehingga kini, permukaan Jupiter masih dicerap oleh ahli astronomi amatur seluruh dunia. Teknologi CCD beresolusi tinggi membolehkan rakaman yang jelas dan terperinci di rakam.

Permukaan Jupiter

Jalur (belts)
Jalur pada Jupiter jelas kelihatan menerusi teleskop kecil berdiameter 90mm. Gambar diambil menggunakan kamera compact 8Mpixel.

Permukaan Jupiter dipenuhi dengan jalur gelap dan kawasan cerah. Dua jalur utama Jupiter boleh dilihat dengan teleskop bersaiz kecil. Saya pernah merakam jalur Jupiter hanya dengan menggunakan teleskop berdiameter 90mm. Apa yang menarik, jalur-jalur pada planet Jupiter tidak tetap dan berubah-ubah. Sebagai contoh pada tahun 2010, Jalur Khatulistiwa Selatan( Southern Equatorial Belt ''SEB'') hilang dari pandangan. Punca ianya berlaku masih menjadi misteri kepada saintis.

Kadangkala kecerahan jalur-jalur juga berubah. Ia berlaku terutamanya pada SEB. Pada tahun 1962-1963, Jalur Khatulistiwa Utara (Northern Equatorial Belt ''NEB'') dan SEB kelihatan bergabung bersama. Pada SEB juga kelihatan perolakan awan dan ribut yang di kenali sebagai Great Red Spot (GRS).

Pada Latitude 16 darjah utara pula boleh kelihatan apa yang dipanggil sebagai Barge. Bentuk bujur berwarna coklat/gelap. Ianya terletak pada NEB.

Musim di Jupiter?

Dalam sebuah lagu penyanyi terkenal Frank Sinatra yang berjudul ''Fly Me to the Moon'' ada menyebut, 

'' Fly me to the moon, let me swing among the stars, let me see what spring is like, On Jupiter and Mars....''

Namun apakah benar ada musim di Jupiter seperti dalam lagu berkenaan? Jawapan nya Tidak. Paksi putaran planet Jupiter berada serenjang dengan orbitnya. Paksinya cuma lebih 3 darjah, lebih kecil berbanding dengan planet lain. 

Great Red Spot (GRS)
GRS disebelah bawah kiri Jupiter. Ribut di sebelah atas juga kelihatan. Gambar dirakam dengan teknik afocal menggunakan kamera compact 8Mpixel merusi teleskop berdiameter 10inchi

GRS merupakan ciri permukaan Jupiter yang paling popular di kalangan ahli astronomi amatur. Ianya berkemungkinan pernah di rekodkan oleh Cassini pada tahun 1665. Manakala lakaran GRS dibuat oleh R.Hooke pada tahun 1666 walaupun dia mungkin telah melihat GRS pada tahun 1664. Pada tahun 1831 GRS direkodkan menerobos kearah selatan SEB oleh H.Schwabe. Pada tahun 1878 ianya mudah dilihat dan berwarna merah batu sehinggalah tahun 1882 ianya menjadi kabur.

Saiz terbesar pernah direkodkan ialah 40 000km panjang (timur barat) dan 14 000 km panjang (Utara Selatan). Namun saiznya mengecut sehingga kini hanya 24 000kmx12 000km. Samaada pengurangan saiz akan berterusan atau tidak, masih belum diketahui.

Pada masa dahulu GRS disangka sebagai puncak gunung berapi. Ada yang menyangka GRS sebagai pepejal yang terapung diatas awan Jupiter. Namun, hasil dari kajian dan satellite yang di hantar, GRS merupakan ribut pada atmosfera Jupiter yang boleh mencapai kelajuan 360km/jam. 

Bahagian Utara GRS, angin bertiup ke arah barat manakala di bahagian selatan angin bertiup kearah timur. Ini menjadikan GRS berputar melawan arah jam. Tempoh putaran bahagian luar GRS mengambil masa 12 hari manakala bahagian dalam mengambil masa 9 hari (1960). Namun pada tahun 2006, GRS sudah mengecil dan tempoh putaran berkurang kepada 4.5hari.

Imej GRS pada tahun 1997 yang diambil oleh satellite Galileo memperlihatkan GRS seakan ribut di bumi. Warna merah pada GRS masih belum diketahui puncanya. Ianya berkemungkinan disebabkan oleh kondensasi campuran sulfur dan fosforus di atas awan Jupiter.

Bulan-Bulan Jupiter
Jupiter dan bulannya Io menerusi Orion XT10 pada Istiqbal 2011

Terdapat empat bulan jupiter (Galilean Satellite) yang boleh dicerap menggunakan teleskop di bumi. Saya pernah mencerap 3 daripadanya dengan menggunakan binokular. Bulan-bulan berkenaan adalah:

Io
Io dari Satellite Galileo. Kelihatan permukaannya yang penuh dengan aktiviti volkanik

Nama Io di ambil sempena nama anakanda perempuan Inachus, Raja Argos. Saiz Io besar sedikit berbanding bulan kita di bumi. Pada awalnya sebelum satellite di hantar ke Jupiter, Io di sangkakan berkawah dan berbatu, namun sangkaan itu meleset. Io merupakan bulan Jupiter yang mempunyai aktiviti gunung berapi paling aktif. Bagaimana objek sekecil Io, dan sangat jauh dari matahari boleh mempunyai gunung berapi? Jawapannya terletak pada Jupiter. Kesan tarikan graviti, memberikan ''pengembangan dan pengecutan'' pada teras Io dan sekaligus membekalkan tenaga yang cukup untuk haba terbentuk dan menjana aktiviti gunung berapi yang tinggi.

Europa
Imej Europa yang di ambil pada tahun 1996 dari Satellite Galileo

Europa adalah bulan ke dua dan yang paling kecil dalam keempat-empat galilean sattelite. Mengikut mitos, Europa merupakan anak perempuan Raja Agenor dari Tyre dan adik kepada Cadmus. Jupiter (Zeus dalam mitos yunani) bertukar menjadi lembu dan menculik Europa. Europa kemudianya melahirkan beberapa anak daripada Jupiter.

Ciri pada permukaan Europa sangat berbeza dengan Io, permukaannya licin, putih, dilitupi dengan ais dan salji. Suhu pada permukaan Europa sangat sejuk mencecah -145darjah celcius. Dibawah lapisan ais berkemungkinan ada lautan. Di katakan jumlah ais dan air di Europa lebih daripada apa yang ada pada bumi. Satellite Galileo mengesan bahan yang mampu mengalirkan elektrik pada Europa. Ia berkemungkinan air garam seperti magnesium sulfat.

Sekiranya Lautan di bawah permukaan ais benar-benar wujud, berkemungkinan tidak ada sebarang hidupan, namun ada yang beranggapan kandungan oksigen di dalam air di Europa mampu menampung hidupan kecil (micro organism).

Ganymede
Imej Ganymede yang dirakan dari satellite Galileo

Ganymede adalah bulan terbesar bagi planet Jupiter. Ianya dinamakan sempena budak lelaki kacak yang di culik oleh Jupiter untuk menjadi budak suruhan (niat Jupiter meculiknya boleh dipersoalkan).

Ketumpatan Ganymede adalah kurang dari ketumpatan Europa dan Io. Ketumpatan Ganymede lebih kurang 2 kali ganda ketumpatan air. Komposisi Ganymede adalah 60% bahan batuan dan 40% air. Teras ganymede dikatakan kaya dengan besi dan berdiameter 1800km dan lapisan air pada bahagian luar setebal 150km. Sekiranya wujud laut di Ganymede, ianya mungkin terletak lebih dalam dari laut di Europa.

Callisto
Imej Callisto yang dirakam pada tahun 2001 oleh Nasa. Kelihatan kawah bersinar hampir sama dengan sistem sinar di Bulan.

Callisto adalah bulan Galilean ke empat. Namanya di ambil sempena nama anak perempuan Raja Lycaon dari Arcadia. Callisto disumpah oleh Juno menjadi beruang dan kemudian nya di letakan ke langit sebagai Ursa Major (buruj Beruang Besar).

Callisto berada jauh sedikit dari Jupiter berbanding  Io, Europa dan Ganymede. Saiznya hampir menyamai saiz Mercury (Utarid).  Ketumpatan Callisto juga paling rendah berbanding ketumpatan Io, Europa dan Ganymede.

Permukaan Callisto dipenuhi dengan kawah. Kelihatan juga kawah-kawah yang menyerupai kawah di bulan. Sebelum Satellite Galileo melawat Callisto, saintis menyangka Callisto berpemukaan batuan pejal. Namun sangkaan itu kini berubah, lapisan atas permukaan Callisto adalah ais beketebalan 80-100km, dan dibawahnya pula berkemungkinan ada laut garam berkedalaman 200km.

Lain-Lain satellite


Setakat tahun 2008, 63 bulan Jupiter telah berjaya dikesan. Selain daripada empat bulan utama, Jupiter juga mempunyai bulan berdekatan (inner satellite) yang kecil. Antaranya ialah  Metis, Adrastea, Amalthea dan Thebe. Sebelum tahun 2008 cuma 7 satellite di bahagian luar sahaja di kenal pasti. Namun kini jumlahnya sudah 63. Bulan-bulan kecil ini masih banyak yang belum di lawati. Bentuk dan permukaan masih lagi misteri.

Misi Ke Jupiter

Misi terbaru ke Jupiter adalah penghantaran Satellite Juno, untuk merakam kawasan kutub di Jupiter. Di akhir misinya Juno akan menjunam ke permukaan Jupiter untuk merungkai misteri planet berkenaan. Video Juno berlepas ada saya letakan di post yang lepas. Juno di jangka sampai ke Jupiter pada 2016.

Sebelum Juno, satellite new horizon singgah ke Jupiter dalam misinya menuju ke Pluto. New Horizon merakam planet Jupiter dan kemudiannya menuju kearah Pluto dengan bantuan graviti planet Jupiter.

Kesimpulan


Dari sudut kajian sains, Jupiter merupakan planet yang masih misteri kepada tamadun manusia. Ia berkemungkinan berperanan dalam melindungi planet di bahagian dalam sistem suria dari hentaman komet. Walaubagaimanapun, dari sudut hobi, Planet Jupiter memberikan seribu satu keseronokan. Ciri pada planet, jalur, ribut, awan pada planet memberikan keseronokan kepada penggiat hobi astronomi. Peristiwa seperti gerhana di Jupiter (moon transit), dsb membuatkan diri ini rasa kerdil di alam semesta ini. Jupiter akan terus diperhatikan dari bumi, semoga dengan pemerhatian yang dilakukan, tamadun manusia dapat mendekati pencipta alam semesta ini.

Sumber:

Patrick Moore's Data Book of Astronomy m/s 179-199

No comments:

Post a Comment