Saturday 31 December 2011

Selamat Menyambut Tahun Baru 2012!

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2012 kepada semua rakan, keluarga serta yang sudi membaca kiriman saya di dalam blog ini. Ini merupakan kiriman ucapan tahun baru kedua semenjak saya menulis blog ini.



Blog ini pada asalnya bertujuan bagi menjadi medium perkongsian aktiviti astronomi yang telah saya ceburi hampir 2 tahun. Dengan menulis blog ini, hobi astronomi dapat saya kekalkan sebagai hobi yang bermanafaat bagi saya. Boleh saya katakan, sebelum menceburi hobi astronomi, saya tidak mempunyai topik tetap untuk menulis.


Kini setelah hampir 2 tahun, saya merasakan tujuan utama saya menulis blog ini tercapai. Setiap kali saya melakukan cerapan, saya akan menulis berkenaan cerapan tersebut. Apabila berlaku peristiwa penting, saya juga akan menulis berkenaan dengannya. 

Saya kembangkan fokus blog ini kepada semua hobi utama saya termasuk, membaca, menonton drama korea, perbincangan isu semasa/politik, dan hobi-hobi minor seperti birdwatching dan mencerap awan. 


Sepintas lalu Little Hubble 2011

Pada awal tahun 2011, saya telah meletakan beberapa target dalam hobi astonomi serta blogging. Antaranya termasuk menulis berkenaan hal semasa serta menambah giatkan lagi aktiviti astronomi dan memperkembangkan nya di peringkat Kolej. Saya amat berbesar hati memandangkan saya ada menulis berkaitan isu tukar kerajaan dan negara kebajikan serta sedikit perasaan saya terhadap rusuhan di UK. Saya tidak banyak menulis isu politik di Malaysia, saya kurang menulis tentang isu-isu seperti ini kerana saya tidak cerdik dalam bidang berkenaan.

Ringkasan buku yang saya baca juga ada saya tuliskan, Front of the class, Memoirs Shamsiah Fakeh, serta Memoirs Ismael Beah ada saya kirimkan ringkasan serta pandangan. Tidak semua buku yang saya baca saya tulis ringkasan nya. 

Berkenaan dengan aktiviti astronomi bersama bakal pelajar saya, saya fikir kesibukan tugas mengajar serta pentadbiran akan menjadi penghalang utama saya memulakan kelab astronomi di tempat saya mengajar. Hakikatnya target tersebut masih belum dicapai bukan kerana sebab-sebab yang saya nyatakan, tetapi kerana saya sendiri masih belum di tempatkan di mana-mana kolej.  Jadi, saya dan rakan-rakan masih menunggu panggilan dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Kami sudah menunggu 6 bulan, barangkali kami akan terpaksa menunggu lebih lama. Semoga Allah memberi kekuatan kepada saya dan rakan-rakan untuk terus mengekalkan semangat kami untuk berkhidmat kepada rakyat.

Tahun 2011 saya fikir tahun terbaik saya dalam hobi astronomi. Bertemu dengan Prof Brian Cox ,Sir Patrick Moore dan Brian May di Astrofest merupakan pengalaman berharga. .Selain itu, cerapan yang saya lakukan semakin baik. Teknik rakaman gambar saya semakin baik. Walaupun menggunakan teknik afocal (teknik yang sangat amatur) saya berjaya merakam beberapa imej menarik ketika tahun 2011. Ini dapat dicapai dengan menggunakan teleskop 10inchi saya.

Dua gambar saya sumbangkan kepada Hotel Kompleks Falak Negeri Sembilan yang terletak di Port Dickson. Saya difahamkan gambar yang disumbangkan akan dipamerkan di Hotel berkenaan. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak hotel memberi peluang untuk gambar saya (yang di ambil dengan teknik yang sangat amatur) untuk di pamerkan di hotel berkenaan. Saya juga mengucapkan terima kasih atas saguhati yang diberi kepada saya.Pada mulanya agak keberatan untuk menghantar gambar saya memandangkan kualiti gambar yang kurang memuaskan serta saya kurang berpengalaman dalam mengunakan software bagi meningkatkan kualiti gambar. Namun saya fikir, tidak ada ruginya saya menghantar, sekiranya terpilih, ini membuktikan bahawa hobi astronomi tidak memerlukan kos serta peralatan rakaman yang mahal-mahal. 

Setelah menggunakan kaedah cuba jaya, saya berjaya menaikan resolusi gambar berkenaan dengan menggunakan software percuma. Berikut adalah gambar yang saya hantarkan kepada wakil Hotel Kompleks Falak Negeri Sembilan






Gambar Musytari (Jupiter) dan bulan nya Io menjadi gambar planet terbaik pernah saya rakam kan dalam hidup saya setakat ini. Bukan sahaja planet dan bulan, tetapi ciri seperti GRS dan barge pada Musytari amat jelas kelihatan. Imej tersebut saya rakamkan  ketika istiqbal( Opposition) Musytari 2011.

Manakala Gambar bulan yang saya ambil pada 7 November 2011 adalah gambar bulan paling menarik pernah saya rakam kan. Saya berjaya mencerap kawasan yang di panggil Lunar Libration Zone. Dua gambar ini merupakan pencapaian saya dalam hobi astronomi pada tahun 2011.

Target 2012


Dengan keadaan cuaca yang mendung akibat La Nina, saya tidak mempunyai target spesifik untuk tahun ini. Cuma saya akan kejar target yang gagal saya capai pada 2011, iaitu promosi bidang astronomi/falak kepada  pelajar. Insya'Allah jika di izinkan Allah dan di murahkan rezeki saya. Khuatir juga penempatan yang jauh menyukarkan saya membawa teleskop ke kolej.

Selain itu, saya akan cuba membaca banyak buku dari pelbagai genre. Barangkali akan saya tulis ringkasannya jika berkelapangan. Saya juga akan menulis laporan cerapan dengan lebih teratur. Saya tidak bercadang untuk menaik taraf peralatan, saya tidak fikir saya mampu dari segi ekonomi untuk berbuat demikian. Namun saya akan cuba menggunakan peralatan sedia ada semaksimum mungkin.

Tahun 2012 juga menjanjikan peristiwa astronomi yang menarik. Jika tidak ada aral saya mahu mencerap venus trasit pada tahun ini (dengan menggunakan projection technique) serta saya amat menanti Istiqbal Marikh tidak lama lagi. Semoga cuaca cerah dan jika berkelapangan saya akan menulis mengenainya.

Saya merancang, dan Allah juga merancangan, dan sebaik-baik perancangan adalah perancangan Allah swt. Saya berharap tahun 2012 merupakan tahun yang baik untuk aktiviti astronomi, serta tahun yang di beri keberkatan oleh Allah kepada semua rakyat Malaysia.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2012!!!  

No comments:

Post a Comment