Tuesday, 31 January 2012

Melihat Satellite Melintas di Angkasa

Pos pendek hari ini berkenaan dengan perkara yang saya lihat ketika cerapan bulan 29/01/12 dan saya tak laporkan dalam log cerapan saya. Lebih kurang 8 malam lebih pada tarikh berkenaan ketika mencerap saya nampak objek bergerak laju di antara bulan dan Musytari.

Saya tahu itu satellite. Sudah 3 kali saya lihat objek seperti itu di langit. Satu kali di birmingham dengan teleskop XT10 (jarang orang nampak satellite melalui teleskop), satu kali dengan binokular saya 10x50 celestron dan kali ini dengan mata kasar.

Kali pertama dan kedua tak nampak dengan mata kasar, sebenarnya kali pertama, kebetulan dia melintas dalam Field of view saya. Kali kedua saya track dengan bino dan kali ketiga sangat cantik dengan mata kasar. Artificial object macam satellite dan Stesyen-stesyen angkasa adalah bonus kepada cerapan yang di lakukan.

Ada orang yang selalu track satellite terutama Iridium dan ISS. Saya tidak berapa beri perhatian terhadap hobi 'mengejar' satellite. Stellarium beri ramalan laluan satellite, tapi saya rasa website Heavens Above lebih tepat. Ada juga freeware seperti orbiton. 

Kali pertama dan kedua saya tidak kesan satellite apa yang saya lihat. Tapi kali ini saya berjaya kesan. Saya lihat satellite OAO 3 Copernicus, milik Nasa. Ia adalah satellite teleskop UV dan juga mengadungi alat untuk eksperimen cosmic X-ray. Dilancarkan pada tahun 1972, dan tamat perkhidmatan pada tahun 1981. Masih lagi berada di orbit. Saya gunakan laman web heavens above, untuk dapat maklumat. berikut adalah laluan satellite pada ketika saya melihatnya.
Waktu yang ditunjukan dalam gambar adalah dalam zone central European time..UTC+1. Waktu Malaysia +7. Unspecified adalah kedudukan saya.

Kawasan cerah dalam gambar adalah kawasan dimana satellite berkenaan boleh dilihat. Berikut adalah gambar laluan satellite bila dilihat dari bumi.

Saya mula mengesan OAO 3 Copernicus apabila ia kelihatan melintasi bulan yang saya cerap.

Perhatikan betapa lajunya satellite itu melintasi angkasa. Satu perkara yang menarik dan jika kita menghargai usia satellite berkenaan, satellite ini lambang pencapaian manusia di angkasa. Dilancarkan pada tahun 1972?? Kereta nasional kita pun belum lahir pada masa itu.

Saya tidak bercadang untuk menulis berkaitan satellite yang saya lihat. Cuma, apa yang saya lihat pada 29 Januari 2012 mengingatkan saya pada satu filem yang amat memberikan inspirasi. October Sky, scene Homer Hickam jr mendongak kelangit melihat Sputnik melintas di angkasa. Sama dengan apa yang saya lihat pada 29/01/12. Homer Hickam Jr akhirnya menjadi spaceflight Engineer Nasa. Saya ada beli dan baca memoirnya. Rocket Boys. Filem October Sky adalah berdasarkan memoir berkenaan. Saya tamatkan pos saya denga trailer dari filem berkenaan, my favourite film all time! :

 Rujukan:


Heavens Above
Nasa's Heasarc: Observatories

Monday, 30 January 2012

Planet Zuhrah Menerusi Teleskop

Objek : Zuhrah (Venus)
Masa : 20:00-20:30
Tarikh: 30/01/12
Tempat: Jasin Melaka Malaysia
Cuaca: Sedikit berawan, Zuhrah berada lebih kurang (anggaran) 30-40 darjah dari ufuk.
Teleskop: Orion XT10, 15mm eyepiece +2x Barlow.. (160x Magnification) +zoom kamera nikon coolpix L18

Baru siang tadi rasanya saya menulis log cerapan yang saya sifatkan sebagai terakhir dalam bulan Januari. Namun malam ini saya berkesempatan meneropong ke planet Zuhrah dalam cerapan pendek saya yang kurang dari setengah jam.

Ini kerana faktor awan dan kepanasan malam menyebabkan saya memendekkan cerapan. Zuhrah cuma dapat saya lihat dalam setengah jam. Kemudian awan menutupi planet Zuhrah dan menyebabkan cerapan terpaksa dihentikan.

Sebelum ini seringkali saya pos gambar planet Zuhrah. Ini termasuk ijtimak planet Zuhrah dengan bulan dan dengan planet Utarid. Namun ini merupakan pos pertama saya mengenai planet Zuhrah menerusi teleskop. 

Planet Zuhrah boleh dilihat ketika/selepas matahari terbenam. Ia mempunyai kecerahan yang membolehkan ianya dilihat dengan mata kasar. Sering di panggil evening star dan kadang-kadang bintang kejora. Berikut adalah gambar venus,bulan dan musytari yang dirakam lebih kurang waktu yang sama pada 29/01/12.

Zuhrah (bawah), bulan (tengah) dan Musytari(atas) selepas matahari terbenam. 

Seperti di dalam gambar di atas, Zuhrah dan Musytari mudah dilihat dengan mata kasar sekiranya langit cerah tidak berawan. Semalam saya menumpukan cerapan pada bulan. Jadi tidak sempat saya halakan pada Zuhrah. Berikut adalah gambar Zuhrah melalui teleskop:

Imej Zuhrah yang diproses melalui Registax. Zuhrah terlalu cerah dan memerlukan filter untuk mengurangkan kecerahan. 






Imej diatas adalah imej Zuhrah yang diproses dengan menggunakan registax. Saya tidak berkesempatan untuk menggunakan filter untuk melihat perbezaan imej dengan mata kasar. Namun saya sempat merakam video dan memproses video berkenaan dan hasilnya tidak mengecewakan.

Pemerhatian: 

Di sekeliling planet Zuhrah kelihatan warna merah dan biru seperti dari pelangi. Ini mungkin disebabkan oleh serakan cahaya oleh atmosfera bumi ataupun kesan dari lensa kamera. Selain itu sebelum diproses imej yang dilihat dengan mata kasar amat cerah dan berkilauan (flare). Jadi secara ringkasnya saya tidak melihat apa-apa ciri atmosfera Zuhrah. Atmosfera bumi menyebabkan imej yang dilihat melalui teleskop tidak stabil. Ini membuatkan cerapan atmosfera Zuhrah agak mustahil dan sukar.

Walau bagaimanapun, perhatikan bentuk Zuhrah yang dirakam. Bulat?? tidak!! saya pasti sekiranya saya tidak melabelkan gambar tersebut sebagai Zuhrah, barangkali ada yang menyangka ianya bulan. Disebabkan  Zuhrah merupakan 'inner planet', maka ia mempunyai fasa seperti bulan (sabit/separa/ penuh etc). Anggaran saya dalam cerapan kali ini Zuhrah berada pada 70% penuh.

Berikut adalah video pendek yang saya rakam dan dimuatkan di laman youtube saya. 



Kesimpulan:

Mencerap Zuhrah melalui teleskop merupakan sesuatu yang baru bagi saya. Dalam cerapan pertama ini saya sudah amat berpuas hati berjaya menyaksikan fasa planet Zuhrah. Akan datang saya akan cuba menggunakan filter untuk mengurangkan silau dari planet berkenaan.

Nota: Malam ini juga planet Musytari berada berdekatan dengan bulan. Saya tidak rakamkan gambar berkenaan. Saya pasti ramai yang merakamnya. Kini cuaca sudah mendung. Saya menunggu gambar dari sahabat-sahabat di internet. !

Sunday, 29 January 2012

Mencerap Bulan

Objek : Bulan
Masa: 1950-2110 
Tarikh: 29/01/2012
Tempat: Jasin Melaka, Malaysia

Sudah lama saya nantikan langit cerah ketika bulan tidak penuh. Ini kerana banyak kawah dan ciri bulan dapat dilihat berbanding ketika bulan penuh. Bulan pada malam cerapan dilakukan adalah 35% penuh. Jadi banyak bentuk permukaan bulan yang dapat saya lihat ketika ini.

Walaupun eyepiece berkuasa tinggi memberikan magnifikasi yang hebat dan memberikan kepuasan dalam mencerap ciri bulan secara dekat. Kadang-kadang, eyepiece berkuasa sederhana memberikan kepuasan kerana seluruh permukaan bulan dapat dilihat. Perhatikan imej yang dirakam menggunakan eyepiece 25mm.
Rajah 1: Bulan dan kegelapan malam. Lebih banyak kawah yang boleh dilihat ketika ini. Terutamanya di kawasan sempadan gelap dan cerah di bulan.

Berikut adalah gambar berlabel yang menujukan maria yang boleh dilihat di dalam rajah 1.
Rajah 2: Maria yang dapat dilihat dari rajah 1. Kebanyakan Maria ini juga boleh dilihat dengan mata kasar. Kawah Thophilus, Cyrillus, dan Catharina menjadi kawah yang paling menonjol dalam cerapan kali ini.





 Mare Serenitatis dan Mare Tranquillitatis (Sea of Serenity dan Sea of Tranquillity)

Imej yang seterusnya adalah imej yang di zoom kepada Sea of Serenity dan Tranquility. Walaupun imej yang saya post kan ini tidak sebaik imej yang dilihat melalui teleskop (dengan mata), ada beberapa ciri pada rajah 3 yang boleh dibincangkan.
Rajah 3: A) Mare Serinitatis B) Mare Tranquillitatis a)Posidonius b) Dorsa Smirnov c)Mons Argaeus d)Dawes e)Plinius f)Ross g)Lamont h)Torricelli i) Sinus Asperitatis j) Theophilus X) Apollo 17 Y) Apollo 11

Perkara yang pertama menarik perhatian saya semasa saya mula menghalakan teleskop ke arah Mare Serinitatis dan Mare Tranquillitatis adalah kedutan (wrinkle) pada permukaan bulan. Ini pada rajah 3 saya labelkan dengan label b). Terdapat juga ciri b pada Mare Tranquillitatis, namun saya gagal melabelkan nya. Dorsa Smirnov adalah rabung (bukit/gunung) yang kelihatan berkedut pada permukaan bulan. Ketika dilihat dengan mata melalui teleskop, ianya amat jelas, lebih jelas dari rajah 3. Ciri ini merupakan ciri utama yang boleh dilihat pada Mare Serinitatis. Ianya boleh dicerap 5 hari selepas bulan baru (anak bulan) atau 4 hari selepas bulan penuh. 

Selain itu kawah (dataran berdiding) yang saya label sebagai a) turut menarik perhatian saya. Ia adalah Posidonius. Kelihatan jelas lantai kawah yang rata dan dipenuhi dengan kawah-kawah sekunder. Di kawasan sempadan antara Mare Serenitatis dan Mare Tranquillitatis, ciri bertanda c) adalah gunung yang bernama Mons Argaeus. Mons Argaeus dianggarkan berketinggian 7600 kaki, lebih kurang separuh dari ketinggian Gunung Kinabalu (Sabah) yang berketinggian 13435 kaki.

Beralih kepada Mare Tranquillitatis, terdapat 3 kawah yang saya tandakan sebagai d) e) dan f). Kawah-kawah berkenaan adalah Dawes, Plinius dan Ross. Terdapat juga kawah-kawah yang lebih kecil tetapi tidak saya labelkan. Saya ingin memberi tumpuan kepada ciri bertanda g) yang bernama Lamont. Barangkali melalui gambar tidak pasti apakah yang saya tandakan sebagai g). Lamont ada bentuk bulat yang agak kabur (ghost formation) disebelah kiri tanda g).  Lamont merupakan kawah yang agak tua, di bahagian atas/tepi Lamont (dalam gambar), kelihatan rabung seperti yang dilihat di dalam Mare Serenitatis. Rabung(bukit) yang berbentuk bulat membentuk ciri Lamont. Lamont hanya boleh dicerap ketika bulan tidak penuh dan apabila ianya berada di kawasan sempadan gelap dan siang. Ia sebenarnya terbentuk dari 2 bulatan (concentric), yang tidak lengkap.  Namun didalam rajah 3, ianya kelihatan seakan mempunyai 1 bulatan.

Bahagian bertanda h) dan i) pula merupakan sempadan di antara Mare Tranquillitatis dan Mare Nectaris. Sinus Asperitatis adalah kawasan yang dipanggil 'bay' pada bulan memisahkan ke dua-dua mare. Ianya kawasan yang kasar dan di bahagian atas Sinus Asperitatis terdapat kawah Toricelli.Kawah Toricelli pula dapat membantu saya menerangkan ciri kawah Lamont. Kawah Toricelli berada di tengah kawah Toricelli R. Toricelli R adalah ciri yang sama dengan Lamont iaitu 'Ghost Crater'. Kedua-dua ciri Lamont dan Toricelli R dinamakan ghost crater kerana kebanyakan bahagian kawah telah ditimbuni dengan bahan lain seperti lava dan debu dari hentaman meteorite. Apa yang boleh dilihat mungkin puncak tengah dan bentuk bulat kawah yang tidak lengkap.

Rajah 3 merupakan gabungan 2 Mare yang penting dalam misi ekplorasi manusia ke angkasa. Tidak lengkap juga jika saya tidak melabelkan ciri X dan Y. X adalah tapak pendaratan Apollo 17 manaka Y adalah tapak pendaratan Apollo 11. Apollo 11 merupakan misi yang pertama membawa manusia di bulan manakala buat masa ini, Apollo 17 adalah misi terakhir yang membawa manusia di bulan.

Mare Nectaris


Beralih pula kepada ciri yang berada berdekatan dengan mare nectaris. Rajah 4 menunjukan kawasan Mare Nectaris dan label beberapa ciri permukaan bulan yang menarik.
Rajah 4: a) Theophilus b)Cyrillus c) Catharina d) Catharina P e)Rupes Altai f) Piccolomini

3 kawah yang menarik perhatian bukan sahaja melalui teleskop besar bahkan binokular kecil adalah a) Theophilus b) Cyrillus dan c) Catharina. Secara kasarnya sudah pasti kita dapat menjangka bahawa kawah Cyrillus lebih tua dari kawah Theophilus. Di dalam pos Geologi bulan yang lepas saya ada bincangkan perkara ini. Ini kerana kawah Theophilus menindih kawah Cyrillus. Kedua-dua Theophilus dan Cyrillus mempunyai puncak tengah manakala kawah Catharina tidak. Di dalam Catharina kita boleh lihat kawah sekunder yang besar iaitu Catharina P.  

Garisan e adalah Rupes Altai. Rupes Altai adalah ciri yang dipanggil cerun di permukaan bulan. Rupes Altai seakan menghubungkan kawah Catena Albufeda (dalam kawasan gelap) dengan kawah Piccolomini (f). Rupes Altai agak tidak sekata tidak seperti Rupes Recta yang pernah dibicangkan sebelum ini. (rupes recta lurus)

Lembah

Rajah 5: Bahagian bawah bulan yang dipenuhi dengan kawah

Selain dari ciri yang biasa saya lihat dan terangkan diatas. Ciri pada rajah 5 adalah ciri yang belum saya sentuh. Valis Rheita adala lembah pada bulan. Ianya kelihatan memanjang dari tenggara ke barat laut. Ianya terbentuk hasil dari pertindihan beberapa kawah. Saya tidak perasan ciri ini ketika cerapan. Cuma perasan ketika meneliti imej yang dirakam. Agak terburu-buru hendak tamatkan cerapan kali ini. Jadi saya cuma ambil beberapa gambar untuk dikongsikan.

Lain-lain

Rajah 6: Bahagian utara bulan pada 29/01/12. Dua kawah di bahagian atas gambar adalah Atlas (atas) dan Hercules (bawah).






Ciri pada rajah 6 ada pada Rajah 3. Cuma, rajah 6 menghala kearah utara bulan sedikit. Ini memberikan imej kawah Hercules dan Atlas. Perhatikan juga perbezaan dari segi bilangan kawah dalam rajah 5 dan 6.  Kawah pada selatan bulan lebih banyak berbanding di bahagian utara dalam rajah 6.

Kesimpulan

Alhamdulillah cuaca mengizinkan saya untuk mencerap dan berkesempatan untuk menulis log cerapan ini. Saya fikir ini log cerapan yang paling banyak saya tulis menyatakan ciri bulan yang berbeza-beza. Gambar yang menunjukan tapak Apollo 17 dan 11 juga bagi saya antara yang baik pernah saya ambil dengan teknik afocal. Ramai orang bertanya bolehkah kita melihat tapak pendaratan Apollo. Sudah tentu boleh, namun bekas tinggalan dari misi Apollo hanya boleh dirakan dengan satellite di bulan. Post kali ini merupakan penutup untuk bulan Januari. Dalam bulan Januari saya ada menulis cerapan zuhal dan bulan. Walaupun ada fenomena menarik seperti ribut geomagnetik, saya tidak berkesempatan menulis berkenaan fenomena itu. Bulan depan akan saya lebih tumpukan dengan planet Marikh. Saya agak teruja menjelang istiqbal Marikh 2012. Harapnya cuaca cerah dan menyebelahi ahli falak seluruh Malaysia!.

Rujukan:

Virtual Moon Atlas 

Tuesday, 3 January 2012

Mencerap Zuhal & Bulan

Objek: Zuhal
Teleskop: Orion Mak Cass 90mm
Tarikh: 030112
Masa: ~4 a.m (Malaysia)

Zuhal

Dalam post ucapan awal tahun saya ada mention yang cuaca kat Malaysia mendung dan lembab. Ramalan manusia memang tak tentu. Allah dah izinkan langit cerah, 2 malam sudah. Pagi lepas pukul 12 awan menghilang membiarkan bintang di langit jelas kelihatan. Tingkap bilik menghadap timur, jadi saya tidak keluar rumah untuk mencerap. Cuma dari tingkap bilik sahaja.

Sudah memang menjadi impian sejak dulu lagi membeli teleskop untuk mencerap planet marikh. Rasanya planet marikh sinonim dengan rakyat Malaysia kerana ada mitos-mitos moden berkenaan dengan planet itu. Tapi sejak saya beli telekop 2 tahun lalu masih belum mencerap planet marikh. Hari untuk Istiqbal Marikh semakin hampir. Hari ini saya cuba halakan teleskop ke arah marikh. Masih tidak kelihatan apa-apa detail pada planet berkenaan. Apatah lagi saya cuma guna telekop kecil dan eyepiece 25mm.

Tapi Zuhal berbeza, kecil tapi gelang zuhal masih kelihatan jelas. Zuhal berada jauh dari bumi. Menjelang Istiqbal Zuhal nanti pastinya imej Zuhal melalui teleskop lebih baik. Saya masih ingat dalam tahun lepas ada saya tulis laporan cerapan Zuhal. Saya boleh lihat Titan  ketika itu. Dalam cerapan kali ini bulan zuhal tidak kelihatan. Saya akan pastikan sekali lagi malam ini jika langit cerah. Saya rasa mungkin sebab jarak Zuhal dengan bumi sekarang kira-kira 9 AU. Berikut adalah gambar dan video yang saya rakamkan.
Keunikan gelang Zuhal membolehkan peminat astronomi menghabiskan masa berjam-jam untuk mencerapnya planet ciptaan Allah ini. 


Zuhal kelihatan amat kecil dari teleskop 90mm saya.
Namun Gelangnya jelas kelihatan. Galileo adalah orang pertama mencerap Zuhal dengan Teleskop, namun di sebabkan kualiti optik ketika itu agak rendah, Galileo menyangka Zuhal mempunyai telinga!..

Bulan Jam 6 petang.

Langit 6 petang agak cerah. Saya ambil beberapa gambar bulan. Rindu rasanya lama tidak mencerap bulan. Berikut adalah gambar yang saya rakamkan.
Langit masih biru, bulan juga kelihatan biru.  Gambar saya edit dan menjadikan kawah-kawah jelas kelihatan.

Dalam banyak post saya ada menyebut saya gunakan teknik afocal. Jadi dalam post kali ini saya akan tunjukan set up amatur yang saya gunakan. Berikut adalah gambar ketika merakam imej bulan.
Imej bulan yang di rakam oleh kamera melalui eyepiece.

Kamera di tempatkan di eyepiece teleskop menggunakan camera adapter.
Tamat saya menulis post ini, langit kembali mendung. Semoga akan datang langit bertambah cerah terutamanya menjelang Istiqbal Marikh nanti. Sekian