Tuesday 22 November 2011

Cuaca dan Astronomi

Hobi Astronomi ni perlukan kesabaran. Terutama sekali sebab ianya berkait dengan keadaan cuaca. Sebab tu lah kadang-kadang teleskop yang mahal, kalau susah nak set up, pun tak guna juga. Baik teleskop murah dan mudah set up, asal cuaca cerah je, boleh observe. Tak perlu makan masa, kalau teleskop yang susah set up, besar pula, ambil masa, dan kadang-kadang cuaca tak menyebelahi.

Kat UK, musim sejuk jarang-jarang cerah, musim panas pula asik hujan. Kat Malaysia sekarang pula memang musim hujan. Kadang-kadang je rajin nak keluar tengah-tengah malam, dan nasib-nasib cerah. Itu pun bukan keseluruhan langit.

Jam 1912 tadi keluar buang sampah. Langit berawan, tapi sebelah timur dan barat masing-masing ada bintang cerah. Sebelah timur Musytari (Jupiter) sebelah Barat Zuhrah (Venus). Lepas masuk rumah, after solat (Jam 1930), keluar sekejap ingat kan nak ambil gambar (sekaligus menilai cuaca cukup baik atau tidak untuk cerapan). Planet Zuhrah dah kena tutup dengan awan. Bukan calang-calang awan, siap kilat sambar menyambar. 

Jadi memang tak menjadilah nak mencerap Orion nebula malam nnt. Sekarang separuh langit ditutupi awan. Jupiter nampak, cuma rasanya tak lama lagi ditutup awan lah tu. Jadi memang lah kena bersabar dengan hobi ni. Tapi bila dapat cerap sekali dua, memang perasaan teruja tak terhingga. Jadi dalam post ni nak share sikit gambar-gambar yang di ambil dari kamera kecil Nikon Coolpix dari siang tadi, hinggalah malam.
Cuaca pada Jam 1500 hari ini. Jalur Gemilang berlatarkan awan di langit

Mengintai Musytari di celahan pohon kelapa

Musytari betul-betul berada di celah daun kelapa

Langit barat, Awan hitam berarak menutup Zuhrah









Bukan calang-calang awan, sekali dengan petir dan guruh. Cuaca di Malaysia bumi tercinta.

Tuesday 15 November 2011

Gerhana Bulan Penuh 10 Disember 2011


Pada 10 Disember 2011, akan berlaku peristiwa gerhana bulan penuh dan ianya dapat di saksikan di Malaysia. Gerhana bulan kali ini adalah gerhana bulan ke dua dalam tahun 2011. Sebelum ini gerhana bulan penuh berlaku berlaku pada 15 Jun 2011. Gerhana pada bulan Jun adalah gerhana bulan terpanjang di dalam masa 11 tahun.

Pada 10 Disember, bulan akan memasuki bahagian bawah bayang-bayang bumi (Umbra). Ianya berbeza dengan gerhana yang belaku pada bulan Jun di mana bulan melalui bahagian tengah. Walaupun melalui bahagian bawah bayang-bayang bumi, Gerhana pada 10 Disember ini akan berlangsung selama 51minit 08 saat. Ini lebih pendek berbanding gerhana yang berlaku pada bulan Jun yang berlangsung selama 1 Jam 40 minit 32 saat.

Berikut adalah sedikit maklumat yang dipetik dari laman web Nasa:

Rajah 1: Fasa gerhana bulan, masa serta tempoh ianya berlaku.


Rajah 1 menunjukan fasa gerhana bulan memasuki bayang-bayang bumi. Rajah 1 juga menunjukan apa yang di maksudkan dengan bulan melalui bahagian bawah bayang-bayang. Masa ianya akan berlaku pada Rajah 1 adalah menggunakan UT. Waktu Malaysia adalah UT+8, maka gerhana akan memasuki fasa U2 pada Jam 22:06:16 waktu Malaysia. Walaubagaimanapun, bagi memperlihatkan keseluruhan proses gerhana, adalah lebih balik sekiranya cerapan di jalankan seawal bulan memasuki kawasan bayang-bayang P1 iaitu pada Jam 19:33:22 lebih kurang selepas waktu Maghrib.

Gerhana kali ini boleh dilihat sepenuhnya di Asia dan Australia. Di negara-negara Eropah seperti United Kingdom, ketika bulan terbit pada tarikh berkenaan, gerhana sedang berlangsung. Rajah 2 menunjukan peta di mana gerhana boleh dilihat.
Rajah 2: Keseluruhan Proses Gerhana kelihatan di Malaysia sekiranya cuaca mengizinkan



Fenomena gerhana bulan berlaku apabila bulan melalui bayang-bayang bumi. Ini bermakna, bumi akan berada di antara bulan dan matahari. Tidak seperti gerhana matahari yang cuma boleh dilihat dikawasan tertentu, gerhana bulan penuh boleh dilihat selagi mana bulan kelihatan di kawasan tersebut. Ketika gerhana bulan, keamatan cahaya bulan akan berkurang, dan  ianya bergantung kepada kawasan bayang-bayang bumi yang dilalui oleh bulan. Sebagai contoh sekiranya bulan melalui kawasan tengah bayang-bayang, ada kemungkinan bulan akan terus tidak kelihatan akibat bayang-bayang bumi yang gelap, manakala sekiranya bulan tidak melalui kawasan tengah, warna lain mungkin kelihatan.
Rajah 3: Keamatan cahaya bulan ketika gerhana mengikut skala Danjon

Ahli astronomi Perancis Andre-Louis Danjon memperkenal skala yang di panggil skala Danjon bagi  menganggarkan keamatan cahaya bulan ketika gerhana. Skala berkenaan adalah seperti berikut.

  • Sifar, pada skala danjon, skala sifar adalah gerhana yang sangat gelap. Secara praktikalnya bulan tidak kelihatan. Ianya berlaku apabila bulan betul-betul melalui bahagian tengah Umbra.
  • Satu, Bulan kelihatan berwarna kelabu gelap atau keperangan. Ketika ini, ciri pada permukaan bulan amat sukar dilihat
  • Dua, Bulan berwarna merah gelap/ merah karat, dimana bahagian tengah bayang-bayang gelap dan bahagian luar lebih cerah
  • Tiga, Bulan berwarna merah bata, bayang-bayang bumi berwarna cerah atau kuning
  • Empat, bulan berwana jingga/merah kuprum, bayang-bayang bumi cerah dan kebiruan

Skala diatas boleh digunakan ketika cerapan dilakukan. Nasa menggalakan ahli astronomi untuk melaporkan skala yang di perhatikan ketika gerhana bulan kepada Sky and Telescope dan kepada Dr Richard Keen (richard.keen@colorado.edu).

Bagi melakukan cerapan gerhana bulan, teleskop bersaiz besar dan bermagnifikasi tinggi tidak digalakan. Teleskop bersaiz kecil serta binokular lebih sesuai digunakan kerana bulan dapat dilihat secara menyeluruh ketika gerhana berlaku. Sekiranya tiada peralatan, gerhana bulan juga amat cantik dicerap dengan mata kasar. Bagi yang terlepas mencerap gerhana bulan pada bulan Jun, diharapkan pada gerhana kali ini, langit cerah tanpa awan agar cerapan dapat dilakukan.Sekian

 Selamat menjalankan cerapan gerhana bulan penuh Disember 2011!!!

Kemaskini:
Waktu Gerhana (Malaysia), Rujuk Rajah 1.
P1:  Jam 19:33:32
U1: Jam 20:45:42
U2: Jam 22:06:16
U3 Jam 22:57:24
U4: Jam 00:17:58
P4: Jam 01:30:00

Kemaskini 2

Rujukan:

  1. Nasa Eclipse website
  2. Terence Dickinson, NightWatch, A Practical Guide to viewing the Universe 4th Edition, 2006, Firefly Book Ltd, m/s  152-153

Thursday 10 November 2011

Bulan dan Musytari melalui Binokular

Tarikh: 10/11/11
Masa : 0010-0030
Objek: Bulan dan Musytari
Peralatan: Kamera compact dan Celestron Upclose 10x50 binocular
Cuaca: Cerah

Dari tingkap saya dapat mengangak langit telah cerah. Awan telah berlalu. Jadi saya buat cerapan ringkas. Tidak lama, saya cuma menggunakan binocular. Musytari dan bulan kelihatan dekat diantara satu sama lain. Peristiwa ini dipanggil conjuction atau Ijtimak dalam bahasa arab (kemudianya diguna sebagai bahasa melayu).
Saya boleh lihat kedua-dua objek serentak menerusi binokular saya FOV 7degree.

Saya juga halakan binokular kearah Jupiter. Saya boleh lihat beberapa bulan Jupiter. Saya tidak lihat dengan jelas, sebab binokular tidak stabil. Saya percaya saya nampak Europa. Akan datang saya akan buat cerapan lebih terperinci dengan binokular saya. Saya akan letakan binokular di atas tripod. Cahaya bulan sedikit sebanyak menghalang cerapan objek lain. Orion nebula tidak sejelas cerapan yang lepas. Berikut adalah gambar bulan yang saya rakam.

Bulan dan Musytari berada hampir di atas kepala selepas tengah malam.


Kemaskini 

Masa: Jam0120
Objek: Musytari
Jupiter melalui Celestron Upclose,paling hampir dengan Jupiter, Io, Europa, Callisto dan Ganymede,. Imej dihasilkan menggunakan stellarium.

 Saya tidak puas hati dengan cerapan pukul 12tgh malam. Jam 0120, saya keluar, kali ini saya ikat binokular pada tripod (saya tidak ada tripod adapter). Saya teliti kembali bulan Jupiter. Saya percaya saya nampak ke empat-empat bulan utama Jupiter. Cuma, saya agak ragu dengan Io. Berkemungkinan saya lihat Io, 3 bulan yang lain saya pasti. Europa, Ganymede dan Callisto. Semuanya kelihatan Melalui Binokular. Sekian

Wednesday 9 November 2011

Zuhrah dan Utarid sejurus selepas matahari tenggelam

Tarikh: 09/11/11
Masa : 1930
Objek: Zuhrah
Peralatan: Kamera Nikon Coolpix 8Mpixel, Teleskop Orion 10inch
Cuaca : Berawan

Selepas Matahari terbenam, saya sudah bercadang lebih awal untuk menjenguk ke langit  barat. Saya sudah lihat satu 'bintang' cerah di sebelah barat (lebih kurang). Saya pasti itu venus (zuhrah). Saya tidak berharap untuk lihat venus dari teleskop. Tapi, saya bawa keluar juga teleskop saya. Apa yang saya lihat, kelihatan seakan bintang biasa (warna putih) yang cerah bersinar.

Tidak jauh, dari venus, ada 'bintang' yang sedikit kurang cerahnya berbanding venus. Namun cukup untuk saya lihat dengan mata kasar walaupun cahaya mentari yang tenggelam masih ada diufuk. Saya rakamkam gambar menggunakan kamera compact Nikon saya. Berikut adalah gambar berkenaan.

Zuhrah, sebelah kanan, dan Utarid di sebelah kiri. Gambar diambil dengan kamera nikon coolpix 8Mpixel dengan mood Night Landscape. Lokasi gambar diambil; Asahan Melaka


Tamat cerapan singkat saya, saya masuk ke rumah, dan meneliti stellarium bagi mengenal pasti objek yang saya lihat. Zuhrah kelihatan sejurus selepas matahari tenggelam, ianya berada lebih kurang 20 darjah dari arah barat (ke kiri). Tidak jauh dari Zuhrah adalah planet Utarid, kini ianya kelihatan hampir dengan Zuhrah. Zuhrah mempunyai magnitude -3.8 manakala Utarid pula -0.21 (Stellarium).

Saya tamatkan cerapan awal kerana cuaca berawan. Bulan dan Musytari main sorok-sorok disebalik awan. Jadi saya tidak bercadang untuk duduk lama diluar. Pada hari ini, bulan kelihatan hampir dengan Musytari. Saya tidak bepeluang untuk rakamkan nya. Tapi, Zuhrah dan Utarid menjadi pengganti cerapan saya pada hari ini. Sekian.




Sunday 6 November 2011

Ulasan '' A Long Way Gone'', The True Story of a Child Soldier

Memori tentang hidup saya ketika berumur 12 tahun kebanyakannya berkisar dengan zaman persekolahan. 12 tahun bagi majoriti kanak-kanak di Malaysia merupakan kemuncak bagi zaman kanak-kanak, masing-masing berada pada tahun akhir sekolah rendah dan pastinya sibuk dengan persediaan peperiksaan UPSR.

Ismael Beah dan memoirnya A Long Way Gone

Pastinya cerita yang sama tidak dilalui oleh Ismael Beah, penulis buku A Long Way Gone, kisah benar hidupnya sebagai seorang askar kanak-kanak. Ketika berumur 12 tahun lagi, peperangan dinegaranya Sierra Leone menyebabkan dia menjadi pelarian, cuba mencari keluarga yang terpisah dan cuba mendapatkan tempat berlindung dari keganasan peperangan.

Pada ketika umurnya antara 13-16tahun, kesemua ahli keluarganya terkorban akibat peperangan. Ini menyebabkan dia lari mendapatkan perlindungan di sebuah kem tentera yang kemudiannya beliau di rekrut menjadi tentera. 

Sepanjang hidupnya sebagai tentera, beliau berhadapan dengan pelbagai kisah hitam, peperangan mengajarnya untuk mengenepikan kemanusian. Dia menjadi mangsa peperangan yang menyebabkan dia menjadi ganas cuba untuk menuntut bela kematian keluarganya.

Hidup sebagai askar, menyebabkan Ismael terlibat dengan dadah, ganja dan sebagainya. Kisah hidupnya sebagai tentera merupakan pengakuan berani yang dibuatnya terhadap kisah silam beliau. Kisah beliau, di pusat pemulihan pastinya menyentuh perasaan pembaca, bagaimana kanak-kanak yang begitu liar akibat perang, ditambah dengan gangguan mental akibat memori silam dipulihkan oleh pasukan yang benar-benar mahu mereka kembali ke kehidupan normal.

Apa yang menyentuh hati apabila Ismael dan kanak-kanak lain menikam seorang pekerja di pusat pemulihan, sekembalinya pekerja itu dari hospital dalam keadaan tempang akibat di tikam dibahagian kaki, beliau cuma berkata kepada Ismael dan kanak-kanak lain, '' It's not your fault that you did such thing to me''. Begitu kuat semangat mereka membantu kanak-kanak yang di eksploitasi di dalam peperangan.
Tentera Kanak-Kanak dari Sierra Leone. APC adalah kependekan dari ''All People Congress'' parti politik yang memerintah Sierra Leone pada 1967

Di Sierra Leone, di anggarkan 10 000 ke 30 000 kanak-kanak bawah 18 tahun direkrut sebagai tentera. Di anggarkan sekitar 300 000 ke 800 000 kanak-kanak seluruh dunia menjadi mangsa dan terlibat dalam peperangan sebagai tentera. Kisah Ismael merupakan salah satu kisah dari ratusan ribu kanak-kanak yang di rompak masa kecil mereka akibat peperangan.

Barangkali di dalam filem perang, digambarkan sebelah pihak baik, dan sebelah pihak jahat. Namun, Ismael Beah menekan kan, di dalam perang, semuanya jahat. Masing-masing membunuh di antara satu sama lain. Di Sierra Leone, kanak-kanak yang menyertai pemberontak (RUF) menganggap tentera adalah jahat dan membunuh keluarga mereka, manakala kanak-kanak yang menyertai tentera kerajaan beranggapan sebaliknya.

Kesimpulan:

Buku ini memberikan saya satu perasaan bersyukur terhadap zaman kanak-kanak yang saya lalui. Pengakuan Ismael, serta pengalaman yang di laluinya perlu di ketahui oleh semua pihak. Hanya orang gila yang memilih jalan peperangan, sekiranya masih ada jalan damai. Sekian..

links:

Thursday 3 November 2011

Jupiter (Musytari) Planet Misteri

Post kali ini ditulis sempena dengan Istiqbal (Opposition) Jupiter pada 29 October 2011. Walaupun ianya telah berlalu, namun Jupiter akan terus cerah menerangi langit malam sepanjang bulan November dan Disember. Justeru post ini bertujuan memberi maklumat ringkas berkenaan planet yang menjadi tumpuan peminat astronomi seluruh pelusuk dunia.

Jupiter merupakan planet terbesar di dalam sistem suria. Nama Jupiter diambil sempena nama tuhan Rome, Jupiter manakala perkataan Musytari adalah nama Jupiter dalam bahasa melayu yang di ambil dari perkataan Arab. Jisim (mass) planet Jupiter adalah lebih besar dari jisim semua planet dalam sistem suria. Adalah di percayai bahawa Jupiter memainkan peranan dalam menghalang komet dari menghentam planet di bahagian dalam sistem suria (Marikh, Bumi, Zuhrah, dan Utarid). Banyak perkara yang masih menjadi misteri mengenai planet ini. Nasa banyak menghantar Satellite untuk mengkaji planet Jupiter. Satellite yang baru di lancarkan adalah Juno, di ambil sempena nama isteri Jupiter dalam mitos rome.

Pergerakan Jupiter di langit

Setiap tahun, Jupiter akan kelihatan cerah di langit malam. Bagi ahli astronomi amatur, ia merupakan musim mencerap planet tersebut. Pada sesetengah masa ia merupakan objek yang paling cerah selepas bulan. Ia boleh mencapai magnitude -2.94. Jupiter akan berada pada kedudukan Opposition (Istiqbal) setiap tahun. Ini bermakna Jupiter akan berada dekat dengan orbit bumi. Ia akan berada di kedudukan bertentangan(Opposite) dengan Matahari manakala Bumi berada di tengah-tengah. Walaubagaimapun, ada tahun yang berlalu tanpa opposition. Sebagai contoh, opposition selepas 2011 adalah pada 3 Dec 2012, dan kemudian nya pada  8 Jan 2014. Ini meninggalkan tahun 2013 tanpa Opposition. Kecerahan Jupiter menyebabkan ianya mudah dicerap dan merupakan planet kegemaran ahli astronomi.

Sejarah Cerapan Awal Jupiter

Jupiter mula dicerap menggunakan teleskop sekitar tahun 1610 oleh Galileo dan Simon Marius. Ketika itu, 4 bulan Jupiter ditemui, namun ciri permukaan Jupiter tidak kelihatan. Pada tahun 1630, dengan menggunakan teleskop pembias berdiameter kecil, N. Zucchi berkemungkinan menemui Jalur khatulistiwa (Equatorial Belt) utama Jupiter. manakala pada tahun 1633 F. Fontana berjaya mencerap 3 jalur pada Jupiter. Hanya pada tahun 1659, C.Huygens menerbitkan lukisan yang menunjukan 2 jalur khatulistiwa Jupiter.

Sehingga kini, permukaan Jupiter masih dicerap oleh ahli astronomi amatur seluruh dunia. Teknologi CCD beresolusi tinggi membolehkan rakaman yang jelas dan terperinci di rakam.

Permukaan Jupiter

Jalur (belts)
Jalur pada Jupiter jelas kelihatan menerusi teleskop kecil berdiameter 90mm. Gambar diambil menggunakan kamera compact 8Mpixel.

Permukaan Jupiter dipenuhi dengan jalur gelap dan kawasan cerah. Dua jalur utama Jupiter boleh dilihat dengan teleskop bersaiz kecil. Saya pernah merakam jalur Jupiter hanya dengan menggunakan teleskop berdiameter 90mm. Apa yang menarik, jalur-jalur pada planet Jupiter tidak tetap dan berubah-ubah. Sebagai contoh pada tahun 2010, Jalur Khatulistiwa Selatan( Southern Equatorial Belt ''SEB'') hilang dari pandangan. Punca ianya berlaku masih menjadi misteri kepada saintis.

Kadangkala kecerahan jalur-jalur juga berubah. Ia berlaku terutamanya pada SEB. Pada tahun 1962-1963, Jalur Khatulistiwa Utara (Northern Equatorial Belt ''NEB'') dan SEB kelihatan bergabung bersama. Pada SEB juga kelihatan perolakan awan dan ribut yang di kenali sebagai Great Red Spot (GRS).

Pada Latitude 16 darjah utara pula boleh kelihatan apa yang dipanggil sebagai Barge. Bentuk bujur berwarna coklat/gelap. Ianya terletak pada NEB.

Musim di Jupiter?

Dalam sebuah lagu penyanyi terkenal Frank Sinatra yang berjudul ''Fly Me to the Moon'' ada menyebut, 

'' Fly me to the moon, let me swing among the stars, let me see what spring is like, On Jupiter and Mars....''

Namun apakah benar ada musim di Jupiter seperti dalam lagu berkenaan? Jawapan nya Tidak. Paksi putaran planet Jupiter berada serenjang dengan orbitnya. Paksinya cuma lebih 3 darjah, lebih kecil berbanding dengan planet lain. 

Great Red Spot (GRS)
GRS disebelah bawah kiri Jupiter. Ribut di sebelah atas juga kelihatan. Gambar dirakam dengan teknik afocal menggunakan kamera compact 8Mpixel merusi teleskop berdiameter 10inchi

GRS merupakan ciri permukaan Jupiter yang paling popular di kalangan ahli astronomi amatur. Ianya berkemungkinan pernah di rekodkan oleh Cassini pada tahun 1665. Manakala lakaran GRS dibuat oleh R.Hooke pada tahun 1666 walaupun dia mungkin telah melihat GRS pada tahun 1664. Pada tahun 1831 GRS direkodkan menerobos kearah selatan SEB oleh H.Schwabe. Pada tahun 1878 ianya mudah dilihat dan berwarna merah batu sehinggalah tahun 1882 ianya menjadi kabur.

Saiz terbesar pernah direkodkan ialah 40 000km panjang (timur barat) dan 14 000 km panjang (Utara Selatan). Namun saiznya mengecut sehingga kini hanya 24 000kmx12 000km. Samaada pengurangan saiz akan berterusan atau tidak, masih belum diketahui.

Pada masa dahulu GRS disangka sebagai puncak gunung berapi. Ada yang menyangka GRS sebagai pepejal yang terapung diatas awan Jupiter. Namun, hasil dari kajian dan satellite yang di hantar, GRS merupakan ribut pada atmosfera Jupiter yang boleh mencapai kelajuan 360km/jam. 

Bahagian Utara GRS, angin bertiup ke arah barat manakala di bahagian selatan angin bertiup kearah timur. Ini menjadikan GRS berputar melawan arah jam. Tempoh putaran bahagian luar GRS mengambil masa 12 hari manakala bahagian dalam mengambil masa 9 hari (1960). Namun pada tahun 2006, GRS sudah mengecil dan tempoh putaran berkurang kepada 4.5hari.

Imej GRS pada tahun 1997 yang diambil oleh satellite Galileo memperlihatkan GRS seakan ribut di bumi. Warna merah pada GRS masih belum diketahui puncanya. Ianya berkemungkinan disebabkan oleh kondensasi campuran sulfur dan fosforus di atas awan Jupiter.

Bulan-Bulan Jupiter
Jupiter dan bulannya Io menerusi Orion XT10 pada Istiqbal 2011

Terdapat empat bulan jupiter (Galilean Satellite) yang boleh dicerap menggunakan teleskop di bumi. Saya pernah mencerap 3 daripadanya dengan menggunakan binokular. Bulan-bulan berkenaan adalah:

Io
Io dari Satellite Galileo. Kelihatan permukaannya yang penuh dengan aktiviti volkanik

Nama Io di ambil sempena nama anakanda perempuan Inachus, Raja Argos. Saiz Io besar sedikit berbanding bulan kita di bumi. Pada awalnya sebelum satellite di hantar ke Jupiter, Io di sangkakan berkawah dan berbatu, namun sangkaan itu meleset. Io merupakan bulan Jupiter yang mempunyai aktiviti gunung berapi paling aktif. Bagaimana objek sekecil Io, dan sangat jauh dari matahari boleh mempunyai gunung berapi? Jawapannya terletak pada Jupiter. Kesan tarikan graviti, memberikan ''pengembangan dan pengecutan'' pada teras Io dan sekaligus membekalkan tenaga yang cukup untuk haba terbentuk dan menjana aktiviti gunung berapi yang tinggi.

Europa
Imej Europa yang di ambil pada tahun 1996 dari Satellite Galileo

Europa adalah bulan ke dua dan yang paling kecil dalam keempat-empat galilean sattelite. Mengikut mitos, Europa merupakan anak perempuan Raja Agenor dari Tyre dan adik kepada Cadmus. Jupiter (Zeus dalam mitos yunani) bertukar menjadi lembu dan menculik Europa. Europa kemudianya melahirkan beberapa anak daripada Jupiter.

Ciri pada permukaan Europa sangat berbeza dengan Io, permukaannya licin, putih, dilitupi dengan ais dan salji. Suhu pada permukaan Europa sangat sejuk mencecah -145darjah celcius. Dibawah lapisan ais berkemungkinan ada lautan. Di katakan jumlah ais dan air di Europa lebih daripada apa yang ada pada bumi. Satellite Galileo mengesan bahan yang mampu mengalirkan elektrik pada Europa. Ia berkemungkinan air garam seperti magnesium sulfat.

Sekiranya Lautan di bawah permukaan ais benar-benar wujud, berkemungkinan tidak ada sebarang hidupan, namun ada yang beranggapan kandungan oksigen di dalam air di Europa mampu menampung hidupan kecil (micro organism).

Ganymede
Imej Ganymede yang dirakan dari satellite Galileo

Ganymede adalah bulan terbesar bagi planet Jupiter. Ianya dinamakan sempena budak lelaki kacak yang di culik oleh Jupiter untuk menjadi budak suruhan (niat Jupiter meculiknya boleh dipersoalkan).

Ketumpatan Ganymede adalah kurang dari ketumpatan Europa dan Io. Ketumpatan Ganymede lebih kurang 2 kali ganda ketumpatan air. Komposisi Ganymede adalah 60% bahan batuan dan 40% air. Teras ganymede dikatakan kaya dengan besi dan berdiameter 1800km dan lapisan air pada bahagian luar setebal 150km. Sekiranya wujud laut di Ganymede, ianya mungkin terletak lebih dalam dari laut di Europa.

Callisto
Imej Callisto yang dirakam pada tahun 2001 oleh Nasa. Kelihatan kawah bersinar hampir sama dengan sistem sinar di Bulan.

Callisto adalah bulan Galilean ke empat. Namanya di ambil sempena nama anak perempuan Raja Lycaon dari Arcadia. Callisto disumpah oleh Juno menjadi beruang dan kemudian nya di letakan ke langit sebagai Ursa Major (buruj Beruang Besar).

Callisto berada jauh sedikit dari Jupiter berbanding  Io, Europa dan Ganymede. Saiznya hampir menyamai saiz Mercury (Utarid).  Ketumpatan Callisto juga paling rendah berbanding ketumpatan Io, Europa dan Ganymede.

Permukaan Callisto dipenuhi dengan kawah. Kelihatan juga kawah-kawah yang menyerupai kawah di bulan. Sebelum Satellite Galileo melawat Callisto, saintis menyangka Callisto berpemukaan batuan pejal. Namun sangkaan itu kini berubah, lapisan atas permukaan Callisto adalah ais beketebalan 80-100km, dan dibawahnya pula berkemungkinan ada laut garam berkedalaman 200km.

Lain-Lain satellite


Setakat tahun 2008, 63 bulan Jupiter telah berjaya dikesan. Selain daripada empat bulan utama, Jupiter juga mempunyai bulan berdekatan (inner satellite) yang kecil. Antaranya ialah  Metis, Adrastea, Amalthea dan Thebe. Sebelum tahun 2008 cuma 7 satellite di bahagian luar sahaja di kenal pasti. Namun kini jumlahnya sudah 63. Bulan-bulan kecil ini masih banyak yang belum di lawati. Bentuk dan permukaan masih lagi misteri.

Misi Ke Jupiter

Misi terbaru ke Jupiter adalah penghantaran Satellite Juno, untuk merakam kawasan kutub di Jupiter. Di akhir misinya Juno akan menjunam ke permukaan Jupiter untuk merungkai misteri planet berkenaan. Video Juno berlepas ada saya letakan di post yang lepas. Juno di jangka sampai ke Jupiter pada 2016.

Sebelum Juno, satellite new horizon singgah ke Jupiter dalam misinya menuju ke Pluto. New Horizon merakam planet Jupiter dan kemudiannya menuju kearah Pluto dengan bantuan graviti planet Jupiter.

Kesimpulan


Dari sudut kajian sains, Jupiter merupakan planet yang masih misteri kepada tamadun manusia. Ia berkemungkinan berperanan dalam melindungi planet di bahagian dalam sistem suria dari hentaman komet. Walaubagaimanapun, dari sudut hobi, Planet Jupiter memberikan seribu satu keseronokan. Ciri pada planet, jalur, ribut, awan pada planet memberikan keseronokan kepada penggiat hobi astronomi. Peristiwa seperti gerhana di Jupiter (moon transit), dsb membuatkan diri ini rasa kerdil di alam semesta ini. Jupiter akan terus diperhatikan dari bumi, semoga dengan pemerhatian yang dilakukan, tamadun manusia dapat mendekati pencipta alam semesta ini.

Sumber:

Patrick Moore's Data Book of Astronomy m/s 179-199

Tuesday 1 November 2011

Jupiter's opposition Observation Video

I considered my observation during Jupiter's Opposition last month as the most successful observation I ever made since I involve in amateur astronomy. The weather in my small village near the Ledang Mountain during the opposition was considered to be the best weather during these rainy season. I'm so happy and excited, because I successfully captured my best Jupiter's image using a very amateur technique. In this short post, I would like to share the video of Jupiter during the Opposition that I recorded using Nikon Coolpix 8Mpixel compact camera. I then stack the video to get the image of the Jupiter.



For more pictures and detail report, the observation log is available here. Thank you for watching!