Friday, 23 March 2012

Zuhal berlabel

Objek: Zuhal
Tarikh: 22/03/12
Masa: 2300-2330
Teleskop: Orion XT10

Post ni untuk tulis sikit pasal cerapan zuhal semalam. Semalam cuaca kira ok, tapi tahu kenapa tak nampak banyak bintang. Pernah sekali cerah sampai nampak bima sakti(milky way). Waktu tu ijtimak Zuhrah dan Bulan.

Semalam Zuhal melalui magnifikasi 48x hanya menampakkan 3 bulan nya. Pelik.. mungkin saya tidak pandang betul-betul. Saya nampak Dione , Titan dan Rhea. Tethys tidak kelihatan padahal magnitud kecerahan hampir sama dengan Dione. Mungkin sebab berada 'dekat' dengan Zuhal. Jadi saya tak perasan. Hari ni nampaknya penglihatan tak berapa baik, mungkin ada awan, atau Zuhal tak cukup meninggi lagi ke?? Saya terpaksa tunggu zuhal terbit meninggi atas beberapa sebab, 1) supaya kesan atmosfera kurang, 2) kawasan saya mencerap ada pokok kelapa. Jadi saya kena tunggu Zuhal ada atas pokok kelapa dulu:p.

Dibawah adalah gambar Zuhal. Mungkin gambar tak berbeza dengan cerapan 17/03 lalu. Saya rasa sampai bulan depan (waktu Istiqbal) pun mungkin perbezaan tak kan ketara sangat. Lagipun saya gunakan teleskop dobsonian, dan rakam gambar guna teknik afocal (letak kamera kat eyepiece).

Zuhal; Cassini Division jelas kelihatan di atas gelang zuhal.
Apa yang saya nak tambah dalam post kali ini adalah gambar berlabel. Saya cuba labelkan gambar di atas bagi menunjukkan apa yang saya lihat.

Gambar berlabel cerapan 22/03/12


Walaupun samar-samar, saya pasti yang saya lihat cassini Division. Disebabkan Cassini Division memisahkan Gelang A (A ring) dan Gelang B ( B ring), jadi saya boleh labelkan A dan B dalam gambar di atas. Cuma C ring saya tak pasti. Saya tak lihat waktu cerapan. Cuma bayang saya?? Bayang-bayang Zuhal masih di situ dan awan zuhal juga kelihatan.

Itu saja untuk laporan cerapan kali ni. Walapupun saya rasa cerapan akan datang tak banyak perbezaan, tapi saya masih berharap ada benda baru yang saya rakamkan akan datang. Sekian.

Saturday, 17 March 2012

Zuhal sebulan sebelum Istiqbal

Objek: Zuhal
Masa: Jam 0030-0105
Tempat: Asahan Jasin Melaka
Teleskop: Orion XT10
Cuaca: Cerah, awan nipis kelihatan

Semalam dan pagi 17/03/12 cuaca cerah setelah beberapa hari hujan dan mendung. Belajar dari perubahan cuaca, saya tak dapat halang diri untuk cerap zuhal. Kali terakhir cerap zuhal melalui teleskop orion xt10 adalah hampir 2 tahun lepas. Itu ketika kali pertama saya gunakan teleskop. Zuhal memang amat menarik. Gelang Zuhal menyebabkan peminat astronomi boleh menghabiskan masa berjam-jam mencerap Zuhal. 2 tahun lepas saya gunakan eyepiece 25mm. Jadi magnification cuma 48x. Kali ini saya gunakan eyepiece 15mm dengan 2x Barlow menjadikan magnification sebanyak 160.

Puas hati saya dapat pastikan bahawa melalui Orion XT10 saya dapat melihat Cassini division. 4 bulan Zuhal juga kelihatan( Orion Apex cuma boleh nampak 1 bulan(Titan) sahaja, itu ketika Istiqbal 2011). Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan Imej yang saya lihat menerusi teleskop saya. 

Berikut adalah saturn dan kedudukan bulan-bulan yang saya lihat ketika cerapan:

Kedudukan bulan Zuhal dihasilkan dari Stellarium. R: Rhea E: Enceladus D: Dione Ti: Titan
Keempat-empat bulan ini boleh dilihat dengan magnifikasi rendah. Titan adalah bulan Zuhal yang paling besar. Enceladus pula dipercayai menyemburkan ais yang membentuk gelang Zuhal. Berikut adalah imej yang saya rakamkan semalam:

Melalui cerapan visual, imej lebih jelas, dan Cassini division boleh dilihat.











Gambar di atas merupakan imej Zuhal terbaik saya buat masa ini. Saya gembira memiliki Orion XT10. Sudah banyak Imej bulan dan planet yang saya rakamkan walaupun dengan teknik afocal. Lihat kembali gelang Zuhal, saya boleh cerap planet ini berjam-jam. Sangat hebat ciptaan Allah.  Dalam Documentary Wonders of the Solar System ada menceritakan keindahan Zuhal.  Itu yang mempengaruhi saya menyertai hobi ini.

Berikut pula adalah video cerapan semalam. Video saya stack dengan Registax dan Imej diatas dapat dihasilkan :) 


Istiqbal Zuhal bulan depan. Saya tidak pasti tarikh tepat di Malaysia, tapi menurut website dari US ianya pada 14hb April. Ini bermakna Zuhal akan berada berhampiran dengan bumi pada tarikh itu. Jika berkesempatan saya akan cuba rakamkan imej pada Istiqbal Zuhal bulan depan. Harapnya cuaca cerah dah meingizinkan.

Kemaskini:

Saya nak perincikan sedikit apa yang saya maksudkan dengan saya nampak Cassini division. Gelang pada Zuhal sebenarnya terbahagi kepada beberapa gelang. Diantara gelang terdapat kekosongan (gap). Cassini division sekiranya dilihat dari teleskop bumi, ianya menjadi pemisah antara gelang A dan gelang B zuhal. (ada banyak gelang dan agak complex). Kekosongan pada gelang sebenarnya disebabkan oleh kesan graviti bulan zuhal pada gelang. Dalam kes Cassini division, bulan Mimas yang bertanggungjawab  membentuk Cassini division. Sebenarnya dalam Cassini division tu ada gelang2 juga, Voyager rakam gambar Cassini division secara dekat. 

Jika dilihat betul2 dari gambar saya yang kabur-kabur dibawah (serta kat atas), memang nampak ada bahagian hitam pada gelang Zuhal. Itu adalah Cassini division. Dengan mata, melalui teleskop, lebih jelas lagi.

Gambar yang ke2 saya edit. bahagian belakar Zuhal nampak bahagian gelang yang ditutupi bayang-bayang planet

Berikut pula adalah cassini division yang diambil dari satellite Cassini yang mengorbit Zuhal:

Perhatikan didalam Cassini division terdapat gelang-gelang lain (Gambar diambil dari website wikipedia)







Friday, 16 March 2012

[Foto] Ijtimak Musytari dan Zuhrah

Sekarang giliran saya pula untuk post gambar Musytari dan Zuhrah (Jupiter and Venus Conjunction). Sudah berhari-hari hujan, dan mendung, lebat pula tu. Malam 16 Mac 2012, Alhamdulillah cerah. Allah taala bg rezeki untuk saya menikmati ciptaan nya. Berikut adalah beberapa gambar yang saya rakam ketika ijtimak Musytari dan Zuhrah kali ini : )

Musytari Zuhrah dan Jalur Gemilang

Musytari dan Zuhrah ketika selepas matahari terbenam

Disebalik daun pokok delima

Zuhrah lebih cerah dari Musytari

Masih tinggi di langit sebelum terbenam

Musytari dan Zuhrah dilangit Asahan Melaka

Akhir sekali saya dan kedua-dua planet:)
Melepas geram hujan berhari-hari. Alhamdulillah walaupun tak pakai kamera canggih-canggih, dapat juga rakam kan ijtimak Musytari dan Zuhrah baru-baru ni. Zuhrah dan semakin nak 'menghampiri' matahari untuk transit Zuhrah Jun 2012. Lepas Jun 2012 kena tunggu 100 tahun lebih baru dapat tengok transit Zuhrah.

Selepas ni saya target untuk cerap Zuhal yang terbit semakin awal. Semoga malam-malam akan datang lebih cerah pada malam ini. Malam 16 Mac, langit timur berawan : ( 

Tuesday, 6 March 2012

Cerapan 5 Mac: Lembah Schroter (Vallis Schroter)

Tarikh: 05.03.12
Masa: ~Jam 2100
Tempat: Asahan Melaka
Objek: Bulan
Teleskop: Orion XT10

Cuaca 5hb pada siangnya mendung. Saya tak menjangka akan cerah pada malamnya. Alhamdulillah, walaupun sedikit berawan saya sempat melakukan cerapan bulan dan Marikh (tiada gambar Marikh dirakam).

Marikh pada kuasa pembesaran 160x cukup untuk membolehkan saya melihat ciri pada permukaan planet berkenaan. Walaupun keadaan atmosfera menyebabkan imej tidak stabil. Saya nampak 2 ciri utama iaitu maria dan juga kutub ais pada Marikh. Walaupun tak dapat merakam gambar, saya puas dengan cerapan Marikh pertama saya.

Bulan hampir purnama pada 5hb. Kawah Copernicus, dan Kepler semakin sukar dicerap. Ini disebabkan cahaya yang dipantulkan dari kawah itu terlalu terang. Sukar untuk lihat details pada kawah berkenaan. Namun disebabkan bulan belum penuh, saya berjaya melawat kembali kawah-kawah yang saya pernah lawati dulu. 

Gassendi memang mudah dilihat pada malam itu.Saya juga boleh lihat Rupes Liebig dengan jelas. Tidak ketinggalan Rimae Mersenius di bahagian atas sedikit dari Rupes Liebig. Banyak perkara yang menyebabkan saya suka mencerap ciri yang dipanggil rilles ini. Kali pertama saya mencerap Rupes Liebig adalah pada 7 November 2011. Ketika itu saya tidak perasan Rimae Mersenius, barangkali kerana cahaya bulan atau cuaca berawan.
Gassendi (kawah besar paling kanan) dan Rupes Liebig(garisan pada disebelah Gassendi). Rimae Mersenius dibahagian atas tapi samar-samar. Lebih jelas dengan mata.

Bulan merupakan objek menarik. Begitu banyak ciri pada bulan sehingga pada waktu ini, masih ada ciri yang saya belum teliti. Ciri yang baru saya lawati pada 5hb 3 adalah lembah Schroter (Latin: Vallis Schroter). Dalam cerapan 29 Januari 2012, saya ada mencerap lembah Rheita( Vallis Rheita), berbeza dengan lembah Rheita yang terbentuk hasil hentaman dan pertindihan meteoroid, Lembah Schroter terbentuk hasil aktiviti volkanik jutaan (ribuan juta/billion) tahun lalu. Lembah Schroter merupakan contoh terbaik Sinous Rilles (rilles yang berliku seperti sungai) yang pernah saya bincangkan dalam post Geologi Bulan.

Vallis Schroter kelihatan seakan sungai pada bulan

Lembah Schroter merupakan Sinuous Rilles terbesar pada bulan. Ianya seakan bermula 25km dari arah barat laut kawah Herodotus (sebenarnya bermula dari kawah herodotus H yang berdiameter hanya 6km) dan berliku-liku dari kawah berkenaan. Berdekatan dengan Lembah Schroter merupakan kawah Aristarchus. Lembah Schroter merupakan tapak cadangan pendaratan Apollo 18 yang dibatalkan. Mempunyai diameter maksimum 168km, tidak dapat disangkal Lembah Schroter merupakan satu ciri bulan yang menarik dan akan saya cerap pada masa akan datang.(wikipedia)

Wednesday, 22 February 2012

Nota cerapan planet 22/02/12

  1. Semalam mencerap planet dalam pukul 8 malam. Cuaca cerah dan baik. Planet Zuhrah dan Musytari menghiasi langit barat. Tak lama selepas itu planet Marikh terbit. 
  2. Nampak jelas kemerahan planet Marikh. Saya tak rakamkan gambar Zuhrah. Gagal rakamkan planet Marikh. 
  3. Namun dari cerapan nampak sedikit ciri-ciri pada permukaan Marikh. Nampak warna hitam pada permukaan dan nampak juga polar cap yang berwarna putih. Dengan magnification 160x, marikh kelihatan sangat kecil. Saya tak rasa saya boleh nampak apa-apa dengan teleskop 90mm saya.
  4. Zuhrah kelihatan macam bulan separuh penuh.. cerah lebih cerah dari Musytari.
  5. Musytari tak secerah ketika Istiqbal, namun mudah dicerap. 4bulan kelihatan. Ini masa-masa terakhir nak cerap planet Musytari..akan datang kena tunggu sehingga bulan 9/10.
  6. Berikut adalah gambar Musytari yang saya rakam:
Musytari 22/02/12 ~jam 8.30 malam


  7. Berikut pula adalah imej Marikh. Walaupun tidak jelas, saya boleh lihat polar caps pada marikh            (dengan    mata kasar lebih jelas.  ) Ini adalah imej Marikh pertama saya rakamkan!!

Agak sukar merakam imej marikh dengan teknik afocal. Magnification pula tak cukup.

Monday, 20 February 2012

Mitos 2: Matahari Terbit Pada Arah Barat di Marikh

Saya menulis pos ini sempena istiqbal Marikh bulan hadapan. Saya tahu sudah ramai yang menulis berkenaan dengan 'hoax' planet Marikh. Namun saya tertarik untuk menulisnya sekali lagi. Di dalam siri mitos moden Marikh, ini saya akan membincangkan 2 mitos popular yang beredar dikalangan masyarakat kita, dengan harapan dapat memberikan fakta sebenar dan menamatkan mitos yang berlegar di kalangan masyarakat kita. 


Sambungan dari Mitos 1: Marikh Sebesar Bulan..


Kali pertama saya mendengar kisah Marikh berubah arah orbit/matahari terbit pada arah barat di Marikh ketika saya sekolah menengah . Ada seorang penceramah menyatakan bahawa seorang tokoh mengatakan bahawa matahari telah terbit dari sebelah barat di Marikh (tapi Nasa sembunyikan fakta ini :p). Saya tidak beri perhatian berkenaan dengan kisah itu, namun setelah muncul pelbagai media alternatif dan laman sosial seperti facebook dan youtube. Cerita-cerita seperti ini masih muncul dan ianya dikaitkan dengan agama.

Saya tidak dapat selidiki punca mitos ini, namun saya pernah terlihat seorang rakan berkongsi sebuah gambar di facebook. Saya pasti mitos ini wujud lama sebelum kemunculan facebook, namun kini ianya disebarkan melalui laman sosial berkenaan. Berikut adalah gambar yang saya maksudkan:
Gambar 1: Separuh palsu, separuh benar, Artikel dari keratan Akhbar yang tidak diketahui namanya. Ia tersebar di laman sosial facebook



Dan didalam sesetengah versi emel berantai (versi Malaysia), ada yang memetik seorang tokoh mendakwa planet marikh telah berubah arah orbit dan terbitnya matahari pada arah barat di Marikh. Saya cuba cari video asal kenyataan beliau, dan beliau sebenarnya  membaca(memetik) artikel dari sebuah majalah berbahasa arab. 

Penjelasan:


Artikel pada gambar 1 dan Majalah yang dipetik oleh tokoh dalam kuliahnya adalah palsu (berkenaan dengan retrograde motion). Artikel pada gambar 1 bukan sahaja menyalah tafsir pergerakan retrograde sebagai perubahan arah orbit, tetapi tidak memahami konsep terbit dan terbenamnya matahari. Matahari kelihatan terbit dan terbenam dari bumi/marikh/planet-planet lain adalah disebabkan oleh putaran planet pada paksinya. Justeru, perubahan arah orbit sesuatu planet tidak membuktikan matahari terbit di arah berlainan (sebaliknya perubahan putaran planet pada paksinya akan menyebabkan matahari terbit pada arah yang berlainan). Di sebabkan perkara ini dikaitkan dengan agama dan NASA, maka masyarakat menyebarkan emel tanpa usul periksa.


Retrograde Motion


Kedua-dua versi artikel ada menyebut tentang retrograde motion. Pergerakan Retrograde sesebuah planet menyebabkan planet kelihatan berubah arah haluan jika dilihat dari BUMI. Namun sebenarnya planet berkenaan TIDAK berubah arah haluan.


Fenomena Retrograde Motion ini sebenarnya telah disedari semenjak tamadun Yunani lagi. Perkataan Planet adalah berasal dari perkataan Yunani yang bermaksud wandering stars (bintang yang berlegar-legar). Ini kerana ahli astronomi dalam tamadun Yunani mendapati pada ketika-ketika tertentu planet akan kelihatan berubah arah haluan. 


Ketika tamadun Yunani juga manusia percaya bahawa bumi berada ditengah-tengah dan dikelilingi oleh objek-objek lain. Justeru perubahan arah dalam pergerakan planet adalah mustahil lantas Ptolemy memperkenal epicycle sebagai usaha untuk menerangkan pergerakan Retrograde planet-planet.


Tamadun Islam juga sedar tentang pergerakan retrograde


Di hujung kejatuhan Tamadun Yunani, Tamadun Islam mula melancarkan gerakan untuk menterjemah karya-karya Tamadun di seluruh dunia. Ini termasuk hasil kerja Ptolemy. Ahli Astronomi Ibn Haytham kemudiannya menulis dan mengkritik teori Ptolemy di dalam bukunya al‐Shukūk ʿalā Baṭlamyūs (Doubts Concerning Ptolemy). Haytham mendakwa model geocentric (Bumi di tengah) Ptolemy yang mengunakan epicylce dan equant untuk menerangkan pergerakan planet tidak menepati kiraan matematik. 


200 Tahun selepas Ibn Haytham menulis bukunya itu, At Tusi meneruskan usaha dalam menghasilkan model yang lebih menepati kiraan matematik. At Tusi kemudiannya memperkenalkan Tusi couple dalam menerangkan pergerakan planet di angkasa (masih lagi geocentric). Namun model berkenaan masih ada kelemahan.


Apa yang saya cuba ketengahkan disini adalah, isu pergerakan Retrograde bukan suatu fenomena yang baru diketahui. Bahkan telah menjadi perbincangan dan perdebatan dikalangan ahli sains silam. Apatah lagi ianya pernah di sentuh oleh ahli astronomi Islam dan hasil kerja ahli astronomi Islam (geocentric model) kemudianya pula di petik oleh Copernicus di dalam bukunya De revolutionibus orbium Coeslestium yang mengenegahkan model heliocentric (Matahari ditengah).


Justeru, adalah penting bagi kita masyarakat moden memahami sejarah perkembangan sains dan konsep asas sains agar tidak mudah tertipu dengan cerita bohong yang disebarkan di internet. Maklumat-maklumat dan fakta benar mudah didapati di internet termasuk wikipedia.


Kesimpulan : Video Animasi Pergerakan Retrograde.


Pergerakan retrograde lebih mudah difahami dengan animasi dan gambar rajah. Video dibawah menerangkan kedudukan planet pada orbit dan kedudukan planet jika dilihat dari bumi ketika melakukan pergerakan retrograde. Sila perhatikan pergerakan ini mengambil masa berbulan untuk diperhatikan. Perhatikan juga planet TIDAK berubah arah orbit tetapi ianya KELIHATAN berbuat demikian apabila bumi memintas planet berkenaan (planet bahagian luar ie Marikh, Jupiter, Saturn etc). Dalam kes Marikh ia berlaku lebih kurang 2 tahun sekali.

Friday, 17 February 2012

Mitos 1: Marikh Sebesar Bulan

Saya menulis pos ini sempena istiqbal Marikh bulan hadapan. Saya tahu sudah ramai yang menulis berkenaan dengan 'hoax' planet Marikh. Namun saya tertarik untuk menulisnya sekali lagi. Di dalam siri mitos moden Marikh, ini saya akan membincangkan 2 mitos popular yang beredar dikalangan masyarakat kita, dengan harapan dapat memberikan fakta sebenar dan menamatkan mitos yang berlegar di kalangan masyarakat kita. 

Mitos 1: Marikh sebesar Bulan

Kali pertama saya mendengar marikh sebesar bulan adalah ketika saya belajar di sekolah menengah (tingkatan 3). Tahun itu tahun 2003 di mana Istiqbal Marikh paling hampir dalam tempoh 59 619 tahun akan berlaku. Sekolah menjemput seorang penceramah yang bercerita berkenaan fenomena itu, saya ingat dia dari balaicerap berdekatan. Saya ingat dia menggunakan software seperti celestia (mungkin celestia) untuk menerangkan fenomena berkenaan. Saya ingat dia kata fenomena Istiqbal Marikh berlaku 2 tahun sekali (dengan menggunakan Celestia untuk menerangkannya). Saya tidak pasti samaada ianya datang dari penceramah berkenaan atau tidak, tapi yang pastinya, selepas ceramah itu, ramai yang berkata Marikh akan kelihatan sebesar bulan pada malam itu. Saya lihat kelangit senja arah timur (nampak Gunung Ledang dari sekolah), langit mendung, dan saya fikir, saya telah terlepas suatu yang menarik yang tidak pernah berlaku dalam tempoh ribuan tahun. Kemudian saya lupakan peristiwa itu.

Ternyata cerita Marikh sebesar bulan memang bermula pada tahun 2003 dan ternyata ianya ada kaitan dengan Istiqbal tahun 2003. Emel berkenaan Istiqbal Marikh pada Ogos 2003 ada mengatakan: 

"At a modest 75-power magnification Mars will look as large as the full moon to the naked eye"

Ini bermakna, dengan menggunakan teleskop yang mempunyai kuasa pembesaran sebanyak 75x, Marikh akan kelihatan sama besar dengan bulan yang dilihat dengan mata kasar.

Walaubagaimanapun, selepas itu, muncul emel-emel lain yang berbunyi:

"It will look as large as full moon to the naked eye"

Ini sekaligus mengenepikan fakta bahawa marikh hanya boleh dilihat sebesar bulan dengan menggunakan teleskop yang mempunyai kuasa pembesaran 75x. Tambah mengelirukan, emel berangkai ini disebarkan setiap tahun pada bulan Ogos sedangkan istiqbal Marikh cuma berlaku 2 tahun sekali dan tidak semestinya pada bulan Ogos (Istiqbal 2012 pada 3 Mac).

Punca penyebaran emel barangkali kerana emel berkenaan menggunakan ayat-ayat yang menarik perhatian seperti " The red planet is about to be spectacular" atau " No one alive today will ever see this again". Jadi masyarakat jadi teruja dan cepat-cepat menyebarkannya tanpa usul periksa. Punca utama adalah salah faham maksud ayat asal emel berkenaan Istiqbal dan tidak biasa dengan isu-isu sains. Ini kerana emel yang disebarkan mengenepikan separuh dari ayat sebenar serta tidak menilai kesan sekiranya Marikh betul-betul boleh dilihat sebesar bulan dengan mata kasar (bumi huru hara disebabkan kesan graviti). 

Nota Astronomi:

Apakah yang dimaksudkan dengan teleskop mempunyai kuasa pembesaran (Magnification) 75x?

Formula magnification (mudah) adalah seperti berikut:

Magnification =  Telescope focal length/ Eyepiece focal length.

Teleskop XT10 saya mempunyai focal length 1200mm dan ianya disertai dengan eyepiece 25 mm .Justeru, gabungan kedua-dua nya membolehkan saya mencerap dengan magnification sebanyak 48x. Untuk melihat marikh dengan kuasa pembesaran 75 kali saya memerlukan eyepiece bersaiz 16mm. 


Sumber: