Tuesday 6 March 2012

Cerapan 5 Mac: Lembah Schroter (Vallis Schroter)

Tarikh: 05.03.12
Masa: ~Jam 2100
Tempat: Asahan Melaka
Objek: Bulan
Teleskop: Orion XT10

Cuaca 5hb pada siangnya mendung. Saya tak menjangka akan cerah pada malamnya. Alhamdulillah, walaupun sedikit berawan saya sempat melakukan cerapan bulan dan Marikh (tiada gambar Marikh dirakam).

Marikh pada kuasa pembesaran 160x cukup untuk membolehkan saya melihat ciri pada permukaan planet berkenaan. Walaupun keadaan atmosfera menyebabkan imej tidak stabil. Saya nampak 2 ciri utama iaitu maria dan juga kutub ais pada Marikh. Walaupun tak dapat merakam gambar, saya puas dengan cerapan Marikh pertama saya.

Bulan hampir purnama pada 5hb. Kawah Copernicus, dan Kepler semakin sukar dicerap. Ini disebabkan cahaya yang dipantulkan dari kawah itu terlalu terang. Sukar untuk lihat details pada kawah berkenaan. Namun disebabkan bulan belum penuh, saya berjaya melawat kembali kawah-kawah yang saya pernah lawati dulu. 

Gassendi memang mudah dilihat pada malam itu.Saya juga boleh lihat Rupes Liebig dengan jelas. Tidak ketinggalan Rimae Mersenius di bahagian atas sedikit dari Rupes Liebig. Banyak perkara yang menyebabkan saya suka mencerap ciri yang dipanggil rilles ini. Kali pertama saya mencerap Rupes Liebig adalah pada 7 November 2011. Ketika itu saya tidak perasan Rimae Mersenius, barangkali kerana cahaya bulan atau cuaca berawan.
Gassendi (kawah besar paling kanan) dan Rupes Liebig(garisan pada disebelah Gassendi). Rimae Mersenius dibahagian atas tapi samar-samar. Lebih jelas dengan mata.

Bulan merupakan objek menarik. Begitu banyak ciri pada bulan sehingga pada waktu ini, masih ada ciri yang saya belum teliti. Ciri yang baru saya lawati pada 5hb 3 adalah lembah Schroter (Latin: Vallis Schroter). Dalam cerapan 29 Januari 2012, saya ada mencerap lembah Rheita( Vallis Rheita), berbeza dengan lembah Rheita yang terbentuk hasil hentaman dan pertindihan meteoroid, Lembah Schroter terbentuk hasil aktiviti volkanik jutaan (ribuan juta/billion) tahun lalu. Lembah Schroter merupakan contoh terbaik Sinous Rilles (rilles yang berliku seperti sungai) yang pernah saya bincangkan dalam post Geologi Bulan.

Vallis Schroter kelihatan seakan sungai pada bulan

Lembah Schroter merupakan Sinuous Rilles terbesar pada bulan. Ianya seakan bermula 25km dari arah barat laut kawah Herodotus (sebenarnya bermula dari kawah herodotus H yang berdiameter hanya 6km) dan berliku-liku dari kawah berkenaan. Berdekatan dengan Lembah Schroter merupakan kawah Aristarchus. Lembah Schroter merupakan tapak cadangan pendaratan Apollo 18 yang dibatalkan. Mempunyai diameter maksimum 168km, tidak dapat disangkal Lembah Schroter merupakan satu ciri bulan yang menarik dan akan saya cerap pada masa akan datang.(wikipedia)

No comments:

Post a Comment