Wednesday, 17 April 2013

23 Tahun Megah di Angkasa( Laporan Cerapan Hubble Space Telescope)

Tarikh: 16 April 2013
Masa: 19.00-19.50
Cuaca: Cerah dengan sedikit taburan awan.
Peralatan: Celestron Upclose binocular 10x50

Ramai yang sedia tahu ada sebuah teleskop di angkasa yang dinamakan Hubble (Hubble Space Telescope, Hubble). Ketika pembelian teleskop pertama saya XT10, saya namakan teleskop berkenaan Little Hubble mengambil semangat HST yang banyak menghantar gambar-gambar angkasa dengan kualiti yang mengkagumkan. Ternyata kualiti imej yang diberikan XT10 setanding dengan gelaran yang saya beri padanya. 

Pada hari ini, saya dan rakan saya berjaya menyaksikan Hubble melintasi langit Labuan. Aktiviti baru kami dimulakan dengan cerapan tidak sengaja badan roket Centaur D yang melintasi langit pada 15 April 2013. Sejurus selepas itu, rasa ingin tahu membuatkan kami menjejak lebih banyak objek buatan manusia di angkasa. Kami bernasib baik kerana pada hari ini keadaan langit cerah dan pada masa yang sama Hubble melintasi bukan sahaja langit Labuan malahan kelihatan melintasi Orion Belt (Alnilam, Mintaka, Alnitak) Melalui laman web Heavens Above, kami dapat mengetahui laluan Hubble pada hari ini.

Gambar 1: Bulatan Merah menunjukan dimana kawasan Hubble boleh dilihat. Labuan merupakan tapak cerapan kami.

Gambar 2: Laluan Hubble yang terbit dari barat kemudiannya melalui Orion Belt. 

Gambar 3: Ramalan laluan  Hubble  menggunakan Stellarium. 

Gambar 1 menunjukan dimana Hubble boleh di lihat dari sekitar kawasan cerapan kami di Labuan. kelihatan ianya berada pada kedudukan maksimum pada jam 19:35.

Gambar 2 menunjukan laluan Hubble jika dilihat dari bumi. Pada jam 19:34 Hubble mula menghampiri Orion belt (Alnitak, Alnilam, Mintaka). Ini pada saya sesuatu yang amat menarik bagi Hubble untuk melalui garisan Orion Belt.

Gambar 3 dihasilkan dengan menggunakan perisian Percuma Stellarium. Kelihatan Hubble mula memasuki Orion Belt sekitar jam 19:34:35.

Laporan Cerapan:

  1. Persiapan telah dibuat awal. Kami telah berada di atas bumbung banggunan kolej tepat jam 19:00. Peralatan yang dibawa cuma binokular dan kamera dslr.
  2. kami bercadang untuk mengambil gambar saat Hubble melintasi langit labuan. Gambar berjaya dirakam.
  3. Jam kami telah di set kan untuk menyamai waktu atomic clock. Tepat jam 19:30 tiada objek kelihatan di ufuk. Ini disebabkan awan.
  4. Walaubagaimanapun pada jam 19:34, rakan saya memberitahu saya sepatutnya Hubble akan mula masuk ke buruj Orion. Saya halakan binokular kearah Orion Belt dan ternyata Hubble sedang bergerak pantas.
  5. Gambar ketika Hubble melintasi Orion Belt gagal dirakam. Secara visual, amat jelas pergerakan Hubble. Bahkan pergerakan Hubble boleh dilihat tanpa menggunakan binokular. Amat mengkagumkan!
  6. kecerahan Hubble berada pada magnitude 1.26. Ini merupakan magnitude yang boleh dilihat dengan mata kasar, Walaubagaimana pun pencemaran cahaya dari bulan perlu diambil kira. 
  7. Kami mengikuti Hubble sehinggalah Hubble masuk kedalam bayang-bayang bumi. Cerapan Tamat.
Nilai Sentimental

Cerapan kali ini bukan cerapan kosong. Sebelum ini cerapan satellite dilakukan dengan tidak sengaja. Tetapi cerapan kali ini dirancang dengan baik dan teliti walaupun terdapat kelemahan. Hubble Space Telescope merupakan satu satellite yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sains dan astronomi. Imej-imej banyak digunakan di sekolah untuk meningkatkan minat golongan muda terhadap sains.

Kali pertama saya mendengar nama Hubble adalah ketika tahun pertama universiti ketika melakukan pembentangan kumpulan. Waktu di kolej tidak pernah saya ambil kisah imej-imej dari Hubble. Apabila saya mula menceburkan diri dalam astronomi saya gelarkan teleskop saya Little Hubble. Begitu juga dengan blog yang masih saya tulis sehingga sekarang. 

Hubble Space Telescope dilancarkan pada 24 April 1990. Ini bermakna pada 24 April 2013 ini sudah 23 tahun Hubble berada di angkasa dan terus menyumbang kepada pembangunan ilmu astronomi dunia. Sehingga kini HST masih lagi menghantar imej-imej yang tidak dapat diambil oleh teleskop dibumi.

Hubble di lancarkan oleh NASA menggunakan Space Shuttle Discover (STS-31). Pada asalnya imej yang tidak dapat dihasilkan kerana kecatatan pada cermin. Satu misi bagi membetulkan cermin dilakukan. Servis yang terakhir dilakukan pada tahun 2009. Sepanjang perkhidmatanya, Hubble telah di servis sebanyak 5 kali. 

Gambar Hubble kali terakhir di servis oleh NASA
terdapat 1500 galaksi didalam gambar ini!

Imej Orion Nebula yang paling terbaik Hubble rakam kan.
Hubble Space telescope merupakan teknologi tahun 1980an. Kini ia masih berkhidmat setelah 23tahun berada di angkasa. Ianya lebih menarik apabila cerapan hubble hari ini tepat beberapa hari sebelum ulangtahun hubble di lancarkan keangkasa. Selepas tamat perkhidmatan, Hubble akan digantikan dengan teleskop yang lebih berkemampuan tinggi. Imej-imej yang dihasilkan cumalah hasil sampingan dari kajian yang di jalankan untuk mengetahui bagaimana alam semesta mula terjadi. Kesan dan sumbangan hubble pada hobi astronomi membuatkan cerapan Hubble sempena 23 tahun pelancarannya amat bermakna.. 

Sumber:





Tuesday, 2 April 2013

Vixen Porta II Mount

Disebabkan saya sudah lama tidak menulis(dan baru sahaja mula menulis kembali) terdapat beberapa perkara berkenaan aktiviti astronomi serta peralatan saya yang tidak saya catatkan di blog ini. Salah satu peralatan yang saya beli ketika saya tidak menulis adalah Alt Az Mount, Vixen Porta II mount.

Grab n Go Scope
Vixen Porta II dengan OTA 90mm Orion Mak Cass

Vixen Porta II mount adalah satu daripada pelaburan saya di dalam bidang astronomi. Dengan menggunakan Mount ini, saya tidak lagi menggunakan tripod kamera bagi tujuan cerapan dengan Orion 90mm Mak Cass. Asalnya Orion Mak Cass saya beli sebagai Grab n Go scope di sebabkan saiz Orion XT10 saya yang terlalu besar. Kini Orion 90mm Mak Cass menjadi teleskop utama saya memandangkan saya di tempatkan di Labuan. Justeru, pembelian Vixen Porta II dengan harga RM1500(tidak termasuk penghantaran ke Labuan) melengkapkan kemampuan Orion 90mm Mak Cass.

Tripod Mount ini diperbuat daripada Aluminium. Berat keseluruhan mount ini adalah 5.7kg dan mampu menampung teleskop seberat 5kg.



Mudah digunakan

Vixen Porta II mudah digunakan dibandingkan dengan Mount beginner yang lain. Ianya tidak memerlukan apa-apa set up. Cuma pasangkan teleskop pada mount dan ianya boleh terus digunakan. Mount ini adalah manual dan tidak boleh mengikuti objek secara automatik. Ianya mudah digunakan bagi tujuan visual bukan photography.

Terdapat 2 tombol yang mengawal Altitude(atas bawah) dan Azimuth(kiri kanan) teleskop. Pergerakan teleskop tidak lagi bergegar seperti menggunakan tripod. Syarikat Orion patut menarik dakwaan bahawa Teleskop Orion Mak Cass boleh digunakan dengan tripod kamera.
Allen keys melekat pada magnet dan tidak jatuh

Control Knob (atas Alt) bawah Az

Terdapat 2 allen keys pada mount yang diletakkan dibawah lapik getah mount. Ianya boleh digunakan untuk melonggarkan/mengetatkan pergerakan Alt Az agar boleh ditolak dengan tangan dan pada masa yang sama boleh digerakan secara perlahan dengan tombol

Tripod ini juga disertakan dengan eyepiece tray. Tapi saya tidak gunakan eyepiece tray kerana tidak praktikal. Saya terpaksa membawa eyepiece tray kemana-mana dan menyukarkan set up sedangkan eyepiece boleh disimpan dalam beg/tool box.
Kelemahan

Vixen Porta II juga ringan dan mudah dibawa ke mana-mana. Walaubagaimana pun, objek yang berada 90 darjah dari ufuk(Zenith) tidak boleh di cerap memandangkan teleskop tidak boleh dihalakan terus ke Zenith. Ini merupakan satu kelemahan set up yang saya gunakan. Tambahan pula finderscope Orion 90mm Mak Cass saya tidak berada pada posisi atas (sebaliknya dibawah). Barangkali kerana perbezaan brand. Namun ianya tidak terlalu menganggu cerapan. Terdapat aksesori yang boleh dibeli (mount plate) untuk mengatasi masalah ini. Plate berkenaan beharga RM450. Saya tangguhkan dulu pembelian plate berkenaan.

Keseluruhan

Secara keseluruhan, mount ini ringan, mudah dipasang dan dibawa kemana-mana(portable). Ianya juga stabil dan memudahkan cerapan visual dengan pergerakan Alt dan Az perlahan. 

walaubagaimana pun, objek yang berada di Zenith sukar dicerap. Objek yang berada tinggi menyebabkan eyepiece berada pada kedudukan yang tidak sesusai/selesa untuk digunakan. Mount ini tidak sesuai jika anda mahu terlibat dengan astrophotography secara serius.

Sekiranya anda mahukan Grab n Go scope. Kecil dan mudah alih, Orion Apex 90mm Mak Cass bukanlah yang sesuai. Walaupun telah digabungkan dengan Vixen Porta Mount II yang bagus, terdapat teleskop yang lebih portable dan mudah dipakai.

Teleskop tersebut adalah Orion XT4.5 Dobsonian. Imej cerapan teleskop Orion XT4.5 boleh didapati di sini [Laporan Cerapan 1] [Laporan Cerapan 2].

Walaupun Vixen Porta II Alt Az mount sangat baik dan stabil. Dobsonian (sejenis Alt Az mount tanpa tripod) yang ringkas lebih mudah dan sesuai untuk beginner. 

Saturday, 30 March 2013

Jupiter melalui Orion XT4.5 (Video)

Tarikh: 29/03/12
Masa: 7.45-11.00 malam
Tempat: Kolej Matrikulasi Labuan
Cuaca: Mendung
Teleskop: Orion XT4.5

Cerapan kali ini merupakan sambungan kepada cerapan yang lepas. Kali ini saya meneruskan lagi cerapan menggunakan teleskop Dobsonian XT4.5. Teleskop ini terus mencuri hati saya dengan imej yang amat cantik dan tajam. Sekali imbas untuk seorang amaturs seperti saya, kualiti imej yang di tonjolkan tidak kurang dari Teleskop Orion XT10.

Cuaca amat mendung ketika cerapan ini dilakukan. Kedua-dua teleskop Orion XT4.5 dan Orion Apex Mak Cass 90mm menghala kearah planet Jupiter yang cerah di sebalik awan. Walaupun Jupiter telah melepasi kedudukan Istiqbal(opposition) ianya masih mudah di cerap dan cerah dilangit.

Sekali-sekali awan membuka tirai bagi membolehkan kami mengintai kearah Jupiter. Ketika itu teleskop Orion XT4.5 telah siap dengan kamera bagi membolehkan imej dirakam. Alhamdulillah video selama beberapa minit dapat saya rakam. Ini merupakan kali pertama saya mengikuti(track) planet sambil merakam video. Apa yang membolehkan saya melakukan tracking secara manual adalah saiz teleskop yang kecil dan mudah di kendalikan. Berikut adalah video cerapan Jupiter pada malam berkenaan.




Video berkenaan kemudiannya saya proses menggunakan Registax 6. Berikut adalah imej yang dihasilkan setelah diproses:

3 Jalur pada planet Jupiter jelas kelihatan (dari kiri (paling nipis) northern temperate Belt, Northern Equatorial Beln dan Southern Equatorial Belt. 

Imej mungkin boleh di tambahbaik sekiranya cerapan dilakukan ketika Istiqbal

Dengan melakukan beberapa perubahan ketika proses mengedit, imej Io jelas kelihatan disisi jupiter. Io juga dapat dilihat didalam video dengan samar-samar




Penutup

Saya berasa beruntung dapat mencuba teleskop Orion XT4.5 yang dibeli oleh kawan saya. Review yang sangat baik di internet ternyata benar. Teleskop ini amat bermanafaat digunakan oleh peminat-peminat baru dalam bidang ini.

Tambahan

Kesemua bulan Jupiter (yang empat) kelihatan ketika cerapan. Io beada hampir dengan Jupiter. Berikut adalah kedudukan bulan-bulan Jupiter ketika cerapan

Ganymede(Gan), Europa(Eur), Io, dan Callisto(Cal), imej dari perisian Jupiter2




Sekitar cerapan(Update 31/03/12)

Afocal Astrophotography dengan Orion XT4.5. Dalam berjam-jam cerapan, cuma beberapa minit video dirakam, dan beberapa minit cerapan visual dilakukan. Cuaca mendung!

Astrophotography Minimalist , Orion XT4.5 dan Nikon Coolpix L18, Imej Objek sistem suria boleh dirakam dengan kualiti yang baik menggunakan set up ini

Jelas imej Musytari sedang dirakam dengan kamera. Manual Tracking

Meneropong Objek menerusi finderscope sebelum objek boleh dicerap

Thursday, 28 March 2013

Prime Focus Astrophotography

Tarikh: 28/03/13
Masa: 7.30pm-9.15pm
Cuaca: awan nipis. Penglihatan kurang memuaskan.
Teleskop: Orion XT4.5, Orion Apex 90mm Maksutov Cassegrain
Tempat: Kolej Matrikulasi Labuan

Pos pendek malam ini berkenaan dengan cerapan ringkas yang dilakukan selepas maghrib tadi. Saya dan rakan mencuba untuk melakukan cerapan di tapak cerapan baru. Kami pilih di atas menara pentadbiran kolej matrikulasi Labuan.

Objek yang pertama di cerap adalah Musytari(jupiter). 2 bulan kelihatan jelas seakan menari mengililingi Musytari. Imej menerusi Orion XT4.5 sangat jelas. 3 atau 4 jalur awan pada permukaan Jupiter dapat di perhatikan. Saya seakan dapat melihat GRS menerusi Orion XT4.5. Cuma apabila saya cek semula pada software Jupiter 2, kedudukan GRS tidak berada ditempat yang saya lihat ketika cerapan. (akan datang akan cerap menggunakan filter berwarna).

Objek seterusnya adalah Orion Nebula. Nebulosity (awan) nebula lebih baik berbanding cerapan ketika di padang kolej. Penambah baikan ini mungkin disebabkan mata kami telah disesuaikan dengan keadaan gelap. Kami berada jauh dari lampu jalan. Namun lampu-lampu jalan sekeliling kolej serta lampu dari blok kediaman pelajar terus menjadi tirai menghalang bintang-bintang di langit menunjukan persembahannya. Secara jujur, saya telah lupa bagaimana Orion Nebula melalui XT10. Saya tidak ingat ada perbezaan dengan apa yang yang saya lihat dengan XT4.5.

Objek seterusnya adalah bulan. Bulan berada pada 98% penuh dan semakin mengecil. Imej bulan secara visual menerusi Orion Apex Mak-Cass tidak berapa cantik. Keamatan cahaya bulan menghilangkan kontrast kawah. Tiada perbezaan(sekali imbas) apabila filter berwarna digunakan dalam cerapan.

Pada malam ini juga kali pertama saya menggunakan kaedah Prime Focus untuk merakam gambar. Ini satu perkara baru kerana selama ini kaedah yang saya gunakan adalah afocal. Pada mulanya kaedah prime focus cuba digunakan dengan Orion Xt4.5. Namun kami gagal untuk mendapatkan focus pada bulan. Ini telah kami jangka dengan lebih awal.

Orion Apex 90mm Mak Cass memang saya beli kerana berangan-angan untuk melakukan prime focus photography. Tapi ianya terhenti disebabkan kos. Perlu disedari pada cerapan ini mount yang kami gunakan tidak mempunyai kemampuan untuk 'track' objek. Justeru Imej hasil cerapan kami tidak mencapai jangkaan kami. Walaubagaimana pun, focus dapat dicapai dengan teleskop Mak-Cass. Berikut adalah gambar set up prime focus (Kamera Nikon, model tak pasti) bersama teleskop Orion Apex Mak Cass.
Live View dari kamera Nikon

Orion Apex Mak-Cass 90mm dengan kamera DSLR

Prime Focus, Sambungkan kamera pada teleskop tanpa lens atau eyepiece.

Saturday, 23 March 2013

Cerapan sempena Earth Hour 2013(review Orion XT4.5)

Objek: Bulan, Musytari(Jupiter), dan Zuhal (Saturn)
Teleskop: Orion Apex 90mm Maksutov Cassegrain, Orion SkyQuest XT4.5
Cuaca: Cerah dengan tompokan awan. Langit sebelah timur boleh dikatakan di penuhi awan.
Tarikh: 23/03/13
Masa: 9.30 malam-12 tengah malam
Lokasi: Kolej Matrikulasi Labuan

Lebih enam bulan saya tidak menulis laporan cerapan. Pos terakhir ketika sebelum ditugaskan di Labuan. Teleskop Orion XT10 saya tinggalkan di Melaka. Ada masalah untuk saya bawa ke Labuan. Namun, saya melabur dengan tripod Alt Azimuth teleskop 90mm Orion Apex (Maksutov Cassegrain) saya. Jadi cerapan dengan 90mm Apex tidak sesukar dulu (dengan tripod kamera). Tidak ada laporan cerapan selama ini kerana sudah jarang mencerap atas sebab-sebab kerja. Tambah pula XT10 di Melaka. Cerapan kecilan diadakan sekali sekala.

Laporan kali ini berkaitan 3 objek langit, bulan, Musytari(Jupiter) dan Zuhal (Saturn). Peralatan yang digunakan bukan satu teleskop tapi 2! Sudah lama mengidam nak mencuba Orion XT4.5, akhirnya tertunai apabila kawan saya beli dari StargazerOnline Shop di Bukit Jalil.

Bulan

Laporan kali ini lebih tertumpu pada cerapan melalui Orion XT4.5. Bulan 83% penuh ketika cerapan dilakukan. Banyak ciri bulan yang menarik dapat dicerap ketika ini. Antaranya, kawah Gassendi, Rupes Leibig, sistem sinar kawah Copernicus serta kawah-kawah lain. Berikut adalah gambar yang di ambil pada cerapan tadi:
Gassendi, Rupes Leibig

Copernicus Ray Systems

Copernicus Ray Systems

Plato, Valis Alpes, dan kawah-kawah di kawasan utara bulan

Mare Imbrium, Jelas kelihatan banjaran Gunung didalam Mare Imbrium

Sinus Iridum, Mare Frigoris, dan kawah J. Herschel

Mare Crisum dan sistem sinar dari kawah Proclus

Plato
Cerapan Visual Bulan melalui XT4.5 amat memuaskan hati. Imej dan ciri pada permukaan kawah bulan amat jelas dan mudah dilihat. Bahkan Rimae Gassendi yang berada di dalam kawah Gassendi amat mudah dilihat secara visual.

Musytari (Jupiter)

Jupiter semakin sukar dicerap. Waktu Istiqbal telah berlalu, Musytari semakin menjauhi bumi (bumi menjauhi Musytari). Walaubagaimana pun Musytari terus cerah dilangit barat sebelum terbenam.

Imej Musytari melalui Orion XT4.5 dengan magnifikasi 90x (10mm eyepiece) amat jelas. Jalur pada musytari amat kontra dengan kawasan cerah di awan musytari. Bulan Musytari juga kelihatan jelas dan cerah melalui Orion XT4.5. Secara relatifnya pada malam ini Orion XT4.5 memberikan imej yang lebih baik berbanding Apex 90mm Maksutov Cassegrain. Samaada bayangan ataupun betul, saya rasa saya dapat melihat barge pada permukaan Musytari. 

Kelihatan juga 2 bulan di sebelah 'atas' Musytari. Pada jam 9.30 malam cuma satu bulan kelihatan. Kemudian satu bulan lagi muncul tidak lama kemudian. Bulan itu adalah Europa dan Ganymede. Saya tidak ingat melihat bulan yang lain, barangkali sebab saya cuma tumpukan pada 2 bulan berkenaan.

Ketika cerapan saya beranggapan bahawa Europa baru keluar dari belakang Musytari. Namun melalui software Jupiter2, apa yang berlaku sebenarnya ialah Europa baru transit Planet Musytari (lalu di depan Musytari). Melalui Jupiter2 juga didapati terdapat bayang-bayang Europa di atas planet Musytari. Namun bayang-bayang tidak kelihatan ketika cerapan. 

Saya tidak berpengalaman mencerap transit. ketika Ogos 2010 dulu berkemungkinan saya menyaksikan Io transit melalui XT10. Sehingga kini masih belum saya sahkan cerapan berkenaan. Berikut adalah imej yang diambil melalui XT4.5:


 Kelihatan 2 bulan Musytari Ganymede dan Jupiter samar-samar didalam gambar diatas. Europa paling hampir dengan Musytari.


Zuhal(Saturn)


Cerapan Zuhal ringkas dan pendek. Disebabkan kepenatan, kepanasan dan dihurung nyamuk, cerapan Zuhal tidak lama.

Zuhal sedang menghampiri Istiqbal pada bulan hadapan. Ianya semakin sesuai untuk dilihat. Posisi Zuhal sekarang membolehkan Cassini Division dicerap.

Saya melihat 2 bulan pada Zuhal tadi melalui Orion XT4.5. 2 Pencerap termasuk saya merasakan Cassini Division dapat dilihat dalam cerapan kali ini. Memang ada laporan cerapan yang mengatakan Cassini Division dapat dilihat dengan menggunakan XT4.5. Ia sesuatu yang menarik memandangkan ada yang mengatakan bahawa untuk mencerap Cassini Division memerlukan teleskop reflektor 8inchi keatas. Berikut adalah gambar Zuhal yang dirakam. Agak banyak masa yang dibuang untuk merakam gambar berkenaan sehinggakan cerapan visual sedikit diabaikan.

Imej Zuhal yang dirakam menggunakan teknik afocal. Cerapan Visual lebih jelas dari gambar diatas.



























Kesimpulan

Ini cerapan paling lama saya lakukan semenjak mula berkhidmat di Labuan. Ini disebabkan kali ini cerapan dilakukan bersama rakan-rakan dan bukan seorang. Tambahan pula saya agak teruja untuk mencuba teleskop Orion XT4.5.

Secara keseluruhan Orion XT4.5 sememangnya mempunyai kualiti yang hebat. Sesampainya dari kedai, collimation teleskop berkenaan berada pada keaadan yang amat baik. Ini di sahkan melalui star test yang saya buat ketika cerapan. Saiz yang kecil memudahkan ianya dibawa ke mana-mana dengan mudah.

Harga XT4.5 cuma RM1450 (tidak termasuk bayaran penghantaran). Berbeza dengan Apex Maksutov cassegrain yang memerlukan tripod, binaan Dobsonian XT4.5 menyebabkan semua kos tertumpu pada kualiti optik teleskop berkenaan. Justeru ianya merupakan teleskop paling bagus dan murah untuk yang mahu memulakan hobi dalam bidang astronomi. Teleskop lain saya tak jamin. 
Khusyuk Melakukan Cerapan berama Orion Apex 90mm Mak Cass(dengan Tripod) dan Orion XT4.5( Dobsonian)

XT 4.5 tidak memerlukan apa-apa set up. OTA yang boleh dihalakan dalam pelbagai sudut membolehkan cerapan dilakukan dengan mudah. Eyepieces yang disertakan bersama adalah 25mm plossl dan 10mm plossl. Kedua-duanya berkualiti. Barlow mungkin diperlukan untuk cerapan bulan. Namun kualiti imej merosot dalam magnifikasi 180x (10mm +2x Barlow). Ini disebabkan oleh keadan atmosfera di Malaysia.

Selama ini, saya sering mencadangkan rakan-rakan saya menggunakan XT4.5. Kini setelah mencuba sendiri teleskop berkenaan saya lebih yakin untuk mencadangkan teleksop dobsonian orion kepada bakal-bakal peminat astronomi.

Sunday, 1 July 2012

Teknik Afocal

Post pada awal bulan Julai ini saya dedikasikan kepada teknik pengambaran yang saya gunakan dalam Astrophotografi iaitu Afocal. Saya pernah membincangkan teknik ini secara ringkas dalam beberapa post saya sebelum ini. Antaranya artikel yang berkaitan adalah tips menceburkan diri dalam hobi astronomi dan di dalam log cerapan saya.

Apa itu teknik Afocal?

Idea di sebalik teknik Afocal sangat mudah. Apabila anda meletakan lensa kamera anda pada eyepiece teleskop dan kemudiannya menekan shutter bagi merakam imej, maka itulah yang dipanggil teknik Afocal. Lensa kamera menggantikan mata manusia pada eyepiece untuk merakam imej yang dilihat melalui eyepiece. 

Objek Cerah Sahaja

Walaupun tekniknya mudah, terdapat beberapa kekangan dalam menggunakan teknik ini. Teknik Afocal tidak boleh digunakan untuk merakam objek-objek yang kurang cerah seperti nebula dan galaksi. Objek kurang cerah memerlukan 'exposure' yang cukup dan tripod yang stabil serta mampu untuk mengikuti objek berkenaan bagi menolak kesan putaran bumi pada paksinya (objek kelihatan bergerak merentasi ruang penglihatan melalui eyepiece kerana putaran bumi pada paksinya).

Justeru teknik ini hanya boleh digunakan bagi merakam objek-objek cerah seperti planet, bulan dan matahari (penapis matahari diperlukan).  Dengan mount yang manual serta sedikit pengalaman dan kaedah cuba jaya, imej bulan dan planet yang memuaskan boleh dirakan dengan teknik ini.  Cara rakaman planet dan bulan berbeza memandangkan planet lebih kecil(kelihatan melalui eyepiece) dan kurang cerah  daripada bulan.

Kestabilan

Kestabilan merupakan faktor penting dalam fotografi. Perkara yang sama juga boleh perlu dititikberatkan dengan astrofotografi menggunakan teknik afocal. Teknik Afocal tanpa adapter (kamera dipegang dengan tangan) mampu dilaksanakan untuk merakam imej bulan. Namun ada perbezaan kualiti imej dengan kamera yang dipasang pada adapter.
Gambar 1: Kamera dipegang dengan tangan pada eyepiece teleskop Sumber: A Darker View
Gambar 2: Kamera digital dipasang pada adapter 
Kualiti Imej

Pada bahagian ini saya akan menyediakan gambar untuk membezakan kualiti imej yang dirakam menggunakan kaedah pada gambar 1 dan 2

Gambar 4 (Laporan Cerapan)
Gambar 5: Bulan pada 28 Jun 2012
Gambar 4 diambil dengan kamera dipegang menggunakan tangan pada teleskop manakala gambar 5 diambil menggunakan kamera yang dipasang pada adapter. Kualiti pada gambar 5 lebih ketara dengan kesan gegaran ketika gambar diambil berjaya dikurangkan. Walaubagaimanapun, jujur perlu  saya katakan gambar 5 telah diubahsuai dengan software komputer bagi meningkatkan kualiti gambar. Namun ianya tidak akan berhasil sekiranya kamera tidak diletakan pada Adapter.

Secara teorinya, agak sukar untuk merakam imej planet tanpa meletakan kamera pada adapter. Kualiti yang dirakam jauh berbeza. Meletakkan kamera pada adapter membolehkan beberapa kaedah dilaksanakan  bagi memastikan gambar yang dirakam mempunyai kualiti yang maksimum. 
Gambar 6: Imej Musytari pertama yang saya rakam (Laporan Cerapan)
Gambar 7: Imej Musytari terbaik pernah saya rakam (Laporan Cerapan)
Gambar 6 merupakan satu satunya gambar Musytari yang saya rakam tanpa adapter (tetapi berjaya rakam awan pada Musytari). Saya anggap saya bernasib baik. Awan khatulistiwa selatan pada Musytari tidak ada dalam gambar 6. Gambar 7 pula merupakan imej musytari terbaik saya. Gambar 7 dirakamkan dengan meletakkan kamera pada adapter. Dengan kaedah tertentu yang akan saya bincangkan pada bahagian seterusnya, saya berjaya merakam bukan sahaja jalur awan, tetapi juga 'brown oval', Great Red Spot (GRS) serta bulan Musytari, Io. Selain dari adapter, Kedudukan Istiqbal Musytari serta cuaca yang baik turut menyumbang kepada kualiti gambar yang dirakam.

Tips-Tips teknik Afocal
  • Adapter: Adapter merupakan aksesori penting dalam menggunakan kaedah afocal dalam fotografi. Harga adapter (atau dipanggil juga digiscoping bracket) jenama Orion adalah £40 di UK atau RM260 di pengedar Orion Malaysia (US lebih murah). 
  • Merakam Bulan: Eksperimen dengan semua setting yang ada pada kamera kompact anda. Jangan guna setting Auto. Pastikan pilih setting yang menawarkan kelajuan shutter yang laju memandangkan bulan objek yang cerah (setting seperti dusk, sunset sesuai). Gambar 5 saya rakam dengan setting copy. Sekiranya anda menggunakan kamera DSLR, gunakan setting manual agar anda boleh menentukan kelajuan shutter dan tempoh exposure. 
  • Merakam Bulan: (dengan adapter), Pastikan jangan terus menekan shutter, sebaliknya gunakan timer supaya kamera boleh berada dalam keadaan stabil ketika gambar dirakam. Sekiranya kamera tidak boleh fokus, gunakan focuser teleskop untuk menfokus gambar (tekan shutter separuh dan ubah focuser teleskop). 
  • Planet: Gunakan fungsi video pada kamera compact anda untuk merakam imej planet. Ini kerana planet lebih kecil (dalam eyepiece) dan kurang cerah berbanding bulan. 
  • Planet: Sekiranya teleskop tidak mempunyai fungsi untuk mengekori pergerakan planet, jangan cuba untuk mengikuti planet secara manual (dengan tangan). Sebaliknya rakam video planet dan biarkan planet bergerak melintasi 'field of view'. 
  • Planet: Setelah video dirakam, imej planet boleh dihasilkan dengan menggunakan perisian percuma seperti Registax. Gambar 7 merupakan imej yang dihasilkan dengan kaedah yang sama. Video asal gambar 7 boleh didapati di link youtube disebelah kanan blog ini.
Selain daripada itu, imej yang dirakam perlulah di ubahsuai menggunakan perisian komputer bagi menaikan ciri pada planet dan bulan. 

Selain Astrofotografi

Selain astrofotografi, teknik afocal juga boleh digunakan bagi merakam objek-objek di darat pada waktu siang. Kamera boleh diletakan pada eyepiece teleskop yang sesuai untuk aktiviti mengintai flora dan fauna. Walaupun teleskop reflector (pemantul) tidak sesuai digunakan untuk melihat burung. Namun saya pernah menggunakan nya untuk aktiviti berkenaan.
Gambar 8 : Blue Tailed Bee Eater menerusi teleskop Mak-Cass 90mm dirakam dengan teknik afocal (Laporan Aktiviti)


Gambar 8 menunjukan imej burung Blue Tailed Bee Eater yang saya rakamkan di kawasan ampang dengan menggunakan teknik afocal. Selain itu saya juga mempunyai mikroskop poket dan beberapa imej menerusi mikroskop juga boleh dirakam dengan teknik afocal. Berikut adalah imej yang saya maksudkan
Gambar 9: Sel Bawang
Gambar 10:  Dua butir gula dibawah mikroskop poket saya (Laporan Aktiviti 9 dan 10)
Penutup

Teknik afocal menawarkan kaedah murah bagi peminat astronomi yang mempunyai bajet yang kecil. Walaupun mempunyai kekangan (tidak dapat merakam objek malap seperti nebula dan bintang) namun kemampuan teknik afocal merakam imej bulan serta planet sudah cukup memberikan kepuasan kepada peminat astronomi. Teknik afocal juga boleh digunakan untuk aktiviti bukan astronomi seperti memerhati unggas dan fauna di Malaysia yang sememangnya kaya habitat hidupan liar. Dengan kesabaran, dan kaedah yang betul, teknik afocal menjanjikan pulangan yang tidak ternilai dari segi ekonomi dan kepuasan kepada peminat astronomi. Sekian

Sunday, 24 June 2012

[Cerapan] Objek Deep Sky(DSO)

Objek: Zuhal, M4, M7, M6 (butterfly cluster), Lagoon Nebula, Trifid Nebula
Tarikh: 23/06/12
Peralatan: Orion XT10, Celestron 10x50 Binokular. Untuk cerapan objek deep sky, Eyepiece yang digunakan adalah Orion Q70 32mm 2inch Eyepiece.


Semalam (23/06/12 Jam 2234) cuaca agak cerah. Bintang Antares yang berada lebih kurang langit selatan dah mula meninggi. Bahagian langit selatan di kawasan cerapan saya ditutupi dengan pokok kelapa sawit. Jadi sejak beberapa ketika memang susah nak buat cerapan kalau objek berada di bahagian selatan. Utara pula selalu berawan. 

Zuhal


Awal cerapan saya mulakan dengan cerapan planet Zuhal. Ini bagi memastikan apa yang saya cerap pada 17 Jun adalah betul. Saya dapat sahkan pada 23 Jun memang saya tidak dapat lihat Cassini Division secara visual dengan magnifikasi 160x/96x. Cerapan Zuhal mengambil masa lebih kurang 20-30minit.



Beberapa cerapan yang lalu saya ada tulis tentang kesukaran mencerap objek-objek deep sky jika tiada pengalaman. Baru-baru ini saya mula gunakan binokular untuk mengimbas langit bagi mencerap objek-objek deep sky. Berbaloi kerana binokular memang peralatan terbaik untuk latihan mengenal bintang dan membiasakan diri dengan kedudukan bintang. Omega Centauri, M4 globular cluster antara objek deep sky yang saya perhatikan melalui binokular terlebih dahulu sebelum menggunakan teleskop.



Gugusan Messier 4 


M4 saya perasan melalui bintang Antares. Antares agak mudah dicari memandangkan warnanya yang 'merah' berbanding dengan bintang lain. Antares adalah bintang dalam buruj Scorpio. Jadi saya tumpukan cerapan saya dengan bintang-bintang dalam buruj scorpio kerana berdekatan dengan bintang-bintang tersebut terdapat objek deep sky yang menarik.

Gambar 1: M4 dari teleskop amatur (Sumber : Hewholooks)
M4 melalui binokular memang kurang jelas. Namun jika diperhatikan sebaik mungkin kelihatan seakan kotoran/asap yang bercahaya dilangit. Bentuknya hampir sama dengan Omega Centauri jika dilihat dari binokular cuma, kecerahan omega centauri lebih cerah berbanding M4. Justeru, kali pertama saya menghalakan binokular ke M4 saya tidak pasti apa yang saya lihat. Saya fikir M4 yang saya lihat menerusi binokular mungkin bayangan dalam fikiran saya. Cerapan kali ini mengesahkan apa yang saya lihat terlebih dahulu. 


Melaui Orion XT10, imej M4 tidak secerah Omega Centauri. Barangkali disebabkan bintang berdekatan menyebabkan kontras imej kurang menyerlah. Dengan menggunakan Orion Q70 32mm eyepiece saya boleh muatkan M4 dan Antares dalam field of view (FOV) saya. Imej yang saya perhatikan hampir sama dengan rajah diatas cuma imej yang saya lihat hitam putih. Imej diatas dirakam dengan ccd.


Messier 7 dan Butterfly Cluster


Setelah mengesahkan apa yang saya lihat berdekatan Antares, Saya halakan binokular pada ekor scorpio. Bintang Shaula dan Lesath (berkemungkinan dari bahasa Arab) menjadi petunjuk saya kali ini.

Gambar 2: M7 atau Ptolemy Cluster (sumber: Astronet)
Tidak sukar mencari M7. Halakan teleskop pada Shaula, dan kemudian tolak(dobsonian) tube teleskop ke kiri supaya pointer difinderscope bergerak lebih kurang satu jari dari bintang Shaula. Insya'Allah terus boleh jumpa M7 atau dikenali juga sebagai ptolemy cluster.

Saya boleh cari M7 dengan mudah melalui binokular. Bahkan binokular yang membantu saya mencari M7 dengan teleskop. Melalui teleskop saya, bintang-bintang kebiruan seperti dalam Gambar 2. Cuma tidaklah saya lihat bintang sebanyak dalam gambar 2 melalui visual. Dan kecerahan melalui teleskop saya kurang sedikit berbanding dengan gambar 2.

Butterfly Cluster(M6) tidak berada jauh dari M7. Melaui binokular, boleh dilihat M6 dan M7 dalam fov yang sama.  Saya boleh muatkan M6 dan M7 dalam fov eyepiece 32mm saya. Tapi kesan aberration eyepiece membuatkan imej tidak fokus dibahagian tepi fov. Lebih lama saya lihat, lebih jelas bentuk Rama-Rama M6. 

Gambar 3: M6 Butterfly cluster (sumber : APOD)
Apa yang menyebabkan saya mudah mengenali M6 bukan kerana bentuknya. Tetapi dalam gugusan M6 terdapat satu bintang berwarna merah berbeza dengan warna biru bintang lain. Jika dilihat melalui teleskop newtonian saya bintang tersebut berada di sayap kanan rama-rama. Bintang tersebut adalah BM Scorpii (HIP 86257).

Lagoon Nebula dan Trifid Nebula

Ini merupakan kali pertama saya mencerap Nebula selain dari Orion Nebula. Orion Nebula lebih mudah dicerap kerana cerah dan bentuknya yang mudah dikenali serta kedudukan yang mudah dicari didalam buruj Orion.
Gambar 4: Lagoon Nebula (Sumber Misti Mountain Observatory)
Pada asalnya saya sesat ketika mencari Butterfly Cluster. Terjumpa Lagoon Nebula, walaupun ketika itu saya tidak tahu namanya, tapi saya tahu ia adalah nebula kerana 'nebulosity' objek yang saya lihat memang jelas. Ciri yang paling menonjol secara visual adalah gap gelap ditengah-tengah nebula. Ciri itu yang buat saya kenal Lagoon Nebula. Tidak seperti Gambar 4, imej visual yang saya lihat kurang cerah dan tiada warna. Warna didalam gambar adalah kesan pemprosesan komputer (Imej diambil dengan filter RGB dan kemudian diproses). Saya tidak perasan Lagoon Nebula binokular. 

Untuk mencari Lagoon Nebula saya gunakan bintang Kaus Borealis sebagai petunjuk. Tidak jauh dari Lagoon Nebula dan bintang berkenaan boleh dilihat dengan mata kasar.

Tidak jauh dari Lagoon Nebula terdapat satu lagi nebula, yang dinamakan Trifid Nebula.

Gamabar 5 : Trifid Nebula ( Sumber: Physcohistorian)
Saya tidak nampak apa-apa ciri dan details pada trifid nebula ketika cerapan. Apa yang membuatkan saya yakin objek yang saya lihat adalah trifid nebula adalah kedudukannya yang hampir dengan Lagoon Nebula dan saya perasan ciri Nebula pada objek yang saya lihat.

Saya boleh muatkan Trifid Nebula dan Lagoon Nebula dalam satu fov (XT10). Saya halakan binokular, saya tidak nampak apa-apa ciri  menonjol nebula melalui binokular saya. Jadi saya simpulkan saya tidak lihat kedua-dua nebula melalui binokular (walaupun saya ada nampak sesuatu yang berkemungkinan 2 nebula yang hampir).

Penutup

5 DSO dalam satu malam M4,M7,M6, Lagoon nebula, Trifid Nebula. Saya rasa saya boleh tambah lagi list malam tu, cuma dah tengah malam dan nyamuk dah banyak. 5 DSO kira satu pencapaian untuk saya.  Biasanya nak cari 1 DSO pun terkial-kial. Malam 23 Jun adalah malam cerapan yang agak serius bagi saya. Bukan sahaja saya bawa teleskop dan binokular, Laptop pun saya bawa untuk rujuk Stellarium. Itu yang membuatkan saya boleh cerap dan mengenali objek yang saya cerap. Selain dari itu saya bawa buku nota, pen, dan lampu suluh (merah). Saya tulis sedikit-sedikit apa saya buat dan lihat, akan datang saya akan cuba tulis dengan lebih banyak. 


Gambar 6: Sedikit Coretan Cerapan 
Selain daripada itu, Buruj Scorpio merupakan Buruj yang mudah dicari dan banyak DSO disekitar Buruj Berkenaan. Jadi siapa-siapa yang baru mula nak menjinakkan diri dalam mencerap DSO, mungkin Buruj Scorpio boleh dijadikan target yang baik. Sekian.

Nota: Semua gambar Objek Deep Sky didalam post ini diambil dari sumber lain. Sumber gambar dinyatakan didalam caption gambar. Cerapan hanya dibuat secara visual.


Apabila saya kata bintang/objek berwarna merah, boleh jadi Jingga, cuma saya selalu anggap merah.